Sunday, September 27, 2009

Majlis Ilmu Pagi dan Malam

Kata Syeikh Fuad semalam, kalau dah lama tak mengajar, hati boleh jadi sempit. Kata Syeikh lagi, ilmu bertambah bila mengajar. Syeikh memetik sabda Nabi saw (dengan maksudnya lebih kurang begini), Apabila terbit matahari jika tidak bertambah ilmu aku maka tidak adalah keberkatan dalam diriku. Maknanya dalam diri kita ni kena sentiasa diisi dengan ilmu. Baru le hati lapang dan bersinar. Hampir seminggu majlis ilmu tak berlangsung kerana sambutan hari raya. Semalam start balik. Di sebelah pagi, Syeikh syarah kitab hadith dan disebelah malam kitab Mafahim Yajibu an-Tusohhah karya ulama besar, al-Allamah al-Muhaddith Prof Dr Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki.



Masjid Darul Ehsan Taman TAR di sebelah malam


Kitab Mafahim Yajibu an-Tusohhah yang disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad di sebelah malam

Ayam

Sabtu lepas, isteri saya suruh saya beli ayam. Dia nak masak kuah ayam untuk roti jala dan nak buat nasik tomato. Saya pun dok carik idea mana nak beli ayam ni. Ikutkan hati rasa malas nak keluar, ingat nak order ayam organik je. Call ayam organik, dia kata tak dapat hantar. Nampak gaya terpaksale keluar. Saya pergi satu kedai, tak jauh dari rumah saya. Depan kedai tu ada tulis banner "Pemborong ayam". Ini kira first time saya masuk kedai ni. Saya masuk kedai tu dan tanya si penjual, Boleh ke saya beli barang satu dua ekor? Balas si penjual, Boleh, nak berapa? Bagi saya tiga ekor. Sekilo dia jual RM 6.80. Saya tak pasti berapa harga pasaran ayam sekarang. Saya dah malas nak survey harga tempat lain sebab nak balik rumah cepat, ada kerja lain nak kena siapkan. Dari segi kebersihan, kedai tu memang first class. Bersih sebersih-bersihnya. Lantai berkilat macam kedai gunting rambut mamak. Tak ada lopak bertakung dalam kedai. Tak ada bulu ayam bersepah. Tak ada bau busuk sisa-sisa ayam. Saya ambil brosur kedai dan infonya seperti dibawah ni.


Ansari Famous Cendol - Taiping

Taiping merupakan antara bandar tertua di Malaysia. Usianya yang tua itu membuatkan ia kaya dengan pelbagai warisan sejarah. Selain dari taman tasiknya, bukit larutnya, bangunan sejarahnya dan tempat-tempat bersejarahnya, Taiping juga menghimpunkan pelbagai menu hidangan yang menjadi tradisi masyarakat disini sejak berabad lamanya. Antara menu 'warisan' yang saya sendiri tak boleh miss ialah cendol, roti canai, popia dan kuetiaw. Di Taiping, ada dua gerai cendol yang sangat popular. Satu nama Ansari dan satu lagi namanya Bismillah. Saya selalu pergi Ansari. Towkay Ansari ni pernah jadi duta Taiping dalam pesta makanan peringkat kebangsaan beberapa tahun dahulu. Ketika saya berkunjung ke pesta makanan kebangsaan yang berlangsung di PWTC beberapa tahun dahulu, saya terserempak dengan towkay Ansari ni, sedang sibuk melayan pengunjung yang order cendol di gerainya. Saya gelar dia sebagai duta Taiping (atau mungkin duta Perak) sebab dia join pesta tu (mungkin dia dijemput oleh komiti event tu) dimana gerai-gerai makanan yang terlibat dengan pesta itu menyediakan hidangan yang berbeza-beza (mungkin unik dan menggambarkan identiti sesuatu tempat) dan setiap gerainya tertera nama negeri masing-masing. Baru-baru ni ketika dalam perjalanan pulang ke KL dari Langkawi, saya singgah sekejap menikmati cendol ni (saya tapau je, makan kat rumah keluarga saya di Taiping). Selain cendol Ansari dan Bismillah, menu hidangan lain yang tergolong sebagai menu warisan Taiping ialah roti canai Bismillah (kalau time raya jenuh le beratur masa nak beli), popia bawah Larut Matang dan kuetiaw Doli (sebelum ada kedai sini, towkaynya dulu jual kat gerai jalanan. Masa tahun 80-an, gerai tu adalah ditengah jalan antara Taiping Supermarket dengan Larut Matang Supermarket. Taiping Supermarket dah tukar nama jadi The Store, Larut Matang dah tutup). Taiping juga terkenal dengan sejarah supermarketnya. Supermarket dulu yang paling top ialah Berkat (lepas tu tukar nama jadi Fajar lepas tu jadi The Store), Karton (dah tutup sekarang jadi kedai kain), Lucky Store (dah jadi KWSP), KOMART (sekarang jadi Hotel Legend Inn), Larut Matang (macam saya kata tadi, dah bungkus), Taiping Supermarket (jadi The Store) dan yang latest Taiping Jaya (tukar nama jadi The Store). Masa saya kecik-kecik, Supermarket Berkat dan Larut Matang nilah tempat saya suka sangat beli barang mainan. Bawah Larut Matang tu pulak ada satu kedai sukan, namanya kalau tak silap, Eng Kiat. Tahun 80-an/90-an dulu saya selalu beli barang sukan kat sini. Selain dari Eng Keat, saya selalu juga ke Kedai Nilai. Kedua-dua kedai ni dah bertahun saya tak pergi. Semuanya jadi nostalgia.



Cendol Ansari (ada perkataan Famous tu). Betapa muhibbahnya kedai cendol ni. Semua kaum ada termasukle pelancong asing.


Pengasas kedai cendol



Doa/Hizib yang jadi amalan tuan punya kedai


Cendol ni regunya ialah rojak pasembor. Bagi yang suka masukkan pulut panggang dalam cendol, Ansari ada sediakan. Sekarang ni Ansari dah masuk generasi ke-3

Masjid India

Masjid India yang dimaksudkan ialah Masjid India yang terletak di Taiping bukannya di KL. Masjid ini termasuk dalam kelompok bangunan warisan negara. Usianya dah melebihi 100 tahun. Kalau dari arah Simpang ke bandar Taiping, lokasi masjid ini dipisahkan oleh dua jalan utama bandar Taiping kalau tak silap saya Jalan Taming Sari dan Jalan Kota, betul-betul selepas traffic light utama di Bandar Taiping.


Masjid India (juga dikenali dengan masjid Hanafi) dirakam dari depan SK Taiping

SK Taiping terletak bertentangan dengan Masjid India. Dipisahkan dengan Jalan Taming Sari. Adik-adik saya pernah sekolah disini.


Pintu masuk utama ke ruang solat masjid

Menara masjid


Batu peringatan yang menandakan bahawa masjid ini tergolong dalam masjid warisan negara

Masjid ini dirasmi oleh almarhum Sultan Idris al-Mutawakkil Shah, Sultan yang memegang tampuk pemerintahan Perak sebelum Sultan Azlan Shah (Sultan Perak sekarang)

Maklumat tentang batu asas masjid

Ruang mihrab dan mimbar masjid

Ruang solat dibahagian luar dewan solat utama


Dari sisi luar ruang solat masjid

Pintu masuk ke ruang solat wanita


Tempat mengambil wuduk

Pemandangan Jalan Kota menuju ke Taiping


Masjid dari bahagian depan


Gujappa, nama yang makin femes di Taiping. Dah macam francais pulak saya tengok kedai ni. Kat Taiping je ada beberapa cawangan.

Friday, September 25, 2009

Pencarian

Pabila saya menyelak-nyelak beberapa buku lama yang mengisahkan kehidupan ulama-ulama tersohor satu ketika dahulu, saya cuba membuat perbandingan dengan kehidupan masyarakat masa kini. Tuan Hussain Kedah, ulama terkenal Kedah awal abad ke-20 pernah berjalan kaki dari Patani ke Kelantan semata-mata hendak menuntut ilmu. Kemudian, beliau belayar pula ke Terengganu dengan menaiki tongkang Cina juga untuk menimba ilmu. Kemudian beliau belayar dengan sampan pukat ke Singapura juga untuk menimba ilmu Bahkan beliau pernah berenang merentasi Sungai Muar kerana waktu itu tidak ada sampan tambang semata-mata kerana hendak menuntut ilmu. Itu belum termasuk pengembaraannya ke Melaka, Medan, Batu Bara, Bedagai, Selangor dan Perak seterusnya ke Makkah dengan niat hendak menuntut ilmu (rujuk buku Ulama Kedah Darul Aman Jilid 1, terbitan Lembaga Muzium Kedah tahun 1996). Seorang lagi tokoh iaitu Tuan Haji Wan Muhammad bekas mufti Perak awal tahun 1900-an juga berjalan kaki dari Kelantan ke Perak dengan niat hendak berdakwah (rujuk Suara Majlis no. 10, terbit pada 12 Julai 1983). Agaknya kalau ulama-ulama ini hidup pada zaman ini, entah berapa banyak rekod Malaysia yang dah mereka pegang tapi sudah tentu itu bukan matlamat mereka. Matlamat mereka adalah untuk menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu. Semangat mereka sangat luar biasa. Mudah-mudahan kita semua menanam tekad dan azam untuk menuruti jejak langkah ulama-ulama besar ini dalam usaha mencari ilmu.

Monday, September 21, 2009

Catatan Aidilfitri

Rabu - 4 hari sebelum raya


Hajat hendak bertolak lebih kurang jam 4.30 petang tetapi tak berhasil dek kerana banyak benda yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Pukul 5.30 petang baru keluar rumah. Isteri saya menjangkakan kereta banyak diatas jalan lalu kami beli sedikit juadah untuk berbuka mana tau kot-kot tak sempat nak berhenti berbuka disebabkan 'jam'. Ternyata apa yang dijangkakan tepat. Kesesakan sangat teruk sebaik masuk ke jalan LDP. Lebih kurang 1/2 jam bergelut dalam kesesakan, kami akhirnya berjaya masuk ke highway ELITE. Lagi beberapa ratus meter nak sampai Shah Alam, highway kembali sesak. Saya ambil keputusan untuk ikut highway Guthrie. Rupanya sangkut juga kat tol Bukit Jelutong. Jam waktu itu dah pukul 7.00 malam. Kereta macam tak bergerak, kalau bergerak pun slow sangat. Radio menjadi peneman untuk mendengar azan tanda masuknya waktu berbuka. Dengan juadah yang dibeli tadi, kami sekeluarga berbuka dalam kereta. Lebih kurang 10-15 minit kemudian, barulah kami berjaya melepasi tol itu. Terus saya berhentikan kereta di sebuah stesen minyak yang tak jauh dari tol tersebut untuk menunaikan solat maghrib. Selepas itu perjalanan disambung kembali. Sebenarnya ini kali pertama kami mengambil jalan Guthrie. Ada tiga tol rupanya di highway ini, setiap satu dengan kadar bayaran RM 1.40 (kalau tak silap saya). Tapi jalan ni ok. Kereta tak banyak, jarak pun rasanya tak jauh. Dalam masa beberapa minit sahaja, kami sampai ke susur keluar Rawang. Nampaknya untuk perjalanan pulang ke kampung selepas ini, mungkin highway ini akan terus menjadi pilihan saya. Kami sampai di Taiping lebih kurang jam 10.30 malam.

Khamis - 3 hari sebelum raya


Cuaca yang sangat baik. Pagi-pagi lagi saya keluar ke bandar. Ayahanda saya cadangkan supaya saya pergi cuci kereta di Gujappa sebelah pagi sebab kereta tak banyak time tu. Saya akur. Sementara menanti kereta dicuci, saya iktikaf sekejap di Masjid India yang terletak bertentangan dengan Gujappa. Selesai solat sunat Dhuha, saya tinjau keadaan sekeliling. Secara jujur, saya tidak pernah bersolat di masjid ini tapi pernah menjejakkan kaki di masjid ini beberapa kali sebelum ini kerana mengambil bubur lambuk. Ini adalah kerana jika saya ke bandar, lazimnya saya akan bersolat di masjid daerah. Masjid India ini kalau tak silap saya namanya Masjid Hanafi yang mengambil nama sempena nama seorang ulama besar berketurunan India Muslim yang pernah datang ke Taiping pada awal abad ke-20 (betulkan jika saya silap fakta ini). Masjid ini menjadi tempat tumpuan komuniti India Muslim untuk berhimpun dan mengeratkan silaturrahim sesama mereka. Komuniti India Muslim di bandar Taiping bolehlah dikatakan komuniti yang agak berjaya khususnya dalam bidang perniagaan. Rangkaian kedai makan dan kedai runcit India Muslim boleh didapati dengan mudah di bandar Taiping. Setelah membaca catatan pada batu tanda yang terletak di dalam perkarangan masjid, barulah saya tahu bahawa masjid ini adalah antara masjid tertua di bandar Taiping. Dengan adanya batu tanda itu, ia menandakan bahawa masjid tersebut tergolong sebagai salah satu lokasi warisan sejarah negara. Satu lagi masjid di Taiping yang tergolong dalam kategori warisan sejarah ialah Masjid Lama yang terletak betul-betul di pusat bandar. Masjid Lama ini turut mempunyai kawasan makam lama yang menjadi tempat persemadian beberapa tokoh besar yang pernah mewarnai sejarah silam Taiping dan Perak. Berbalik kepada Masjid India tadi, jika dilihat dari luar saya menjangkakan bahawa masjid ini mampu menampung kapasiti jemaah tidak kurang dari 1000 orang. Jangkaan saya meleset sebaik saya masuk ke ruang solat utama. Ternyata ruang solat utama tidaklah sebesar dari apa yang saya jangkakan. Mungkin hanya boleh memuatkan sekitar 100 orang sahaja. Saiz masjid yang tidak sepadan dengan ruang solat ini mengingatkan saya kepada Masjid Ubudiah yang terletak di Kuala Kangsar. Jika dilihat dari luar, saiz masjid ini agak besar tetapi ruang solat utamanya kecil dan langsung seperti tidak sepadan dengan saiznya. Lebih kurang 15 minit selepas itu, saya kembali ke Gujappa. Kereta pun dah siap dicuci. Saya kemudiannya ke Balai Pustaka yang terletak lebih kurang 500-1000 meter sahaja dari Gujappa. Ada beberapa buku baru terbitan DBP yang telah terbit dipasaran termasuklah kitab tafsir al-Mubin. Terliur saya dibuatnya. Kemudian ternampak pula beberapa judul buku yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor. Antara buku yang mencuri perhatian saya ialah buku berkenaan Batu Aceh. Buku ini termasuk dalam list buku yang saya cari. Tetapi harganya mahal. Duit yang ada perlu diperuntukkan untuk tujuan lain apatah lagi dengan aidilfitri yang bakal menjelma. Terpaksa saya tangguh dulu hajat untuk memiliki buku tersebut dan juga beberapa buku baru terbitan DBP itu. Seterusnya saya ke Kedai Buku Ikhwan yang terletak di kawasan 'Segitiga Emas' Taiping. Saya gelar kawasan itu segitiga emas kerana suasananya yang sangat padat samada dari segi ruang perniagaannya dan juga orangnya. Saya beli dua buah kitab, Bughyat at-Tullab dan Kasyful Asrar. Kitab Bughyat tu kalau tak silap saya, saya dah beli sebelum ni tapi soft cover. Yang dijual di Ikhwan ini ialah hard cover. Kitab Kasyful Asrar yang ditulis oleh Syeikhul Islam Syeikh Muhammad Saleh versi Jawi belum lagi saya miliki. Dah lama saya cari versi Jawi tapi baru saya ketemu di kedai ini. Terpandang set Bahrul Mazi (Jawi) dengan harga RM 220. Pembantu kedai seperti cuba nak 'provoke' saya beli set itu, eheh, mungkin sebab saya tengok lama sangat kitab itu. Kata pembantu kedai, "Kalau abang beli, kami boleh bagi diskaun. Selalu kami jual RM 200 tapi untuk kali ini, kami jual RM 190." Ikutkan hati memang rasa nak beli, tapi terpaksa tangguhkan dulu.
Disebelah petang, pergi cek bateri dan air-cond kereta. Bateri dah dua tahun tak ganti. Air-cond pula rasa macam tak berapa sejuk. Selepas cek, bateri kena ganti baru. Rabak RM260. Air-cond ok tapi filter dia kena ganti baru. Rabak lagi RM 95.

Kedai Buku DBP - usianya pun 20 tahun lebih (kalo tak silap saya). Setiap kali balik Taiping, saya mesti berkunjung ke sini. Kadang-kadang beli borong, kadang-kadang tengok je sebab bajet tak cukup.


Jumaat - 2 hari sebelum raya
Selepas solat Jumaat, saya bawa keluarga saya pergi tengok baju raya. Isteri saya sangat teliti bab-bab baju raya ni. Dia suka kalau satu family pakai sut lengkap (sama corak, sama warna) baru le orang kata Satu Malaysia, ehehe. Jadi, kedai tumpuan kami ialah Gene Martino, kedai kebanggaan orang Taiping sebab kilangnya ada kat Taiping, kat Jalan Tupai. Kedai ni jadi tumpuan sebab kedai ni adalah satu-satunya kedai yang jual sut lengkap untuk satu family, pilihan pun banyak. Hidung anak lelaki saya yang berumur setahun dah mula berhingus. Tandanya mula nak selesema.



Inilah rupa Gene Martino, tapi beg plastik je le. Macam mana rupa pakaiannya? Tak boleh tunjuk kat sini takut nanti boria pulak...eheh..

Sabtu - 1 hari sebelum raya

Anak lelaki saya dah mula batuk-batuk. Dia tak tahu nak keluarkan kahak menyebabkan kahak tersangkut di saluran pernafasannya. Bila bernafas, ada bunyi macam whizzing. Walaubagaimanapun, ikut jadual, kami perlu bertolak ke Langkawi. Hajat hendak sambut raya di rumah sebelah isteri saya. Kami bertolak dari Taiping lebih kurang jam 10 pagi dan sampai di Perlis lebih kurang jam 1.30 tengah hari. Selesai solat di masjid yang terletak di tepi jalan menghala ke Kangar, kami teruskan perjalanan ke Kuala Perlis. Jalan basah sebab baru lepas hujan. Sebaik kami melewati jalan di pesisiran pantai, kelihatan ombak agak kuat. Di jeti, feri ke Langkawi bakal bertolak pada jam 2.30 petang. Saya expect feri mungkin sampai lambat sikit sebab ombak agak kuat. Ternyata ombak beralun agak kuat tidak seperti sebelum ini. Budak-budak seronok apabila dilambung ombak tetapi orang-orang tua duduk senyap sambil mata resah melihat jam tangan. Kata sepupu sebelah isteri saya, depa (budak-budak) ni dok rasa macam naik endoi (macam diayun buaian). Masa bagaikan terlalu panjang. Perjalanan 1 jam ke pulau terasa seperti berbelas-belas jam. Akhirnya kami sampai di Langkawi lebih kurang jam 4.15 petang. Bunyi whizzing anak saya makin ketara. Petang itu juga saya dan isteri bawa anak lelaki saya ke klinik di tengah pekan. Doktor hanya bagi ubat biasa sedangkan pengalaman kami sebelum ini, kalau ada bunyi whizzing seperti itu selalunya pasti kena masuk gas untuk pecah kahak. Malamnya anak saya tak boleh tidur. Menangis. Pukul 9 menangis. Pukul 10 menangis. Pukul 11 menangis. Pukul 12 menangis. Pukul 12.30 pagi, saya dah tak boleh tahan. Ajak isteri pergi ke hospital. Perjalanan ke Hospital Bukit Tekoh ambil masa lebih kurang 10-15 minit. Betul seperti apa yang kami jangka, anak saya kena masuk gas (betul ke istilah ini saya tak pasti) untuk pecah kahak. Selepas itu barulah dia boleh tidur lena termasuklah bapa dan ibunya.



Dari highway nak ke Kuala Perlis (setelah exit dari dari highway nak ke Bukit Kayu Hitam), nampak bangunan ni. Ingat kot masjid rupa-rupanya bangunan Kompleks Adun Perlis.


Hujan kat luar. Tangkap gambo pun dari dalam kereta tu sebab nampak rintik-rintik kat cermin.

Cuba perati betul-betul kat pintu grill tandas masjid tu, "Sila buang kasut anda". Bior betul kena buang kasut? Maksud sebenornya kena tanggalkan kasut...eheh


Ruang solat utama dalam masjid


Pintu masuk ke ruang solat utama masjid dari bahagian belakang

Jam masjid menunjukkan pukul 2.10 petang


Masjid yang kami singgah untuk solat sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis


Masjid al-Mustaqim dengan menara dan kubahnya. Lokasinya betul-betul tepi jalan sekitar 5 km menghala ke Kangar


Simpang T nak ke Kuala Perlis. Boleh nampak laut kat sini. Baru lepas hujan dan ombak kelihatan agak kuat


Feri ke Langkawi. Ngam-ngam dapat feri bila sampai di Kuala Perlis. Bertolak pukul 2.30 petang


Pasar Ramadhan di Pekan Kuah. Jam lebih kurang 6.30 petang


Esoknya dah nak raya. Singgah kat Pasar Ramadhan sebab mak mertua saya pesan beli sedikit juadah untuk berbuka.


Ahad - Hari Raya Pertama

Kami beraya di rumah-rumah ibu saudara yang letaknya bersebelahan dengan rumah mertua saya. Makan mee rebus di rumah salah seorang ibu saudara. Kenyang sampai ke petang, ehehe. Berjumpa dengan Tok Tam. Pangkat Tok tapi beliau membahasakan dirinya pakcik dengan saya mungkin sebab usianya tidak terlalu jauh dengan mertua saya. Katanya, almarhum nenek isteri saya memanggilnya abang kerana pangkat abang sepupu. Sebab itulah mertua saya memanggilnya sebagai Pak Tam kerana pangkat bapa saudara. Ini kali pertama saya bertemu dengannya. Nampaknya dia seperti ahli dalam mengaitkan atau orang Perak kata 'pandai bersoreh' hubungan seseorang ahli keluarga dengan yang lain. Rasanya saya perlu berjumpa dengannya, mana tau kot-kot dia ada simpan salasilah keluarga sebelah isteri saya.
Disebelah malam, adik-beradik sebelah isteri saya datang dan berhimpun dirumah. Abang-abang isteri saya bercerita tentang pengalaman silam mereka menangkap ikan. Mereka bercerita tentang cara bela ikan hinggalah ke pengalaman kena sengat ikan. Bisa kena sengat ikan keli, sembilang, depu (macam ikan buntal) dan hidupan laut yang mereka panggil sebagai rampai diceritakan dengan penuh bersemangat pada malam itu. Petua untuk hilangkan sengat juga diceritakan dengan terperinci. Ada yang kena lumur dengan kulit pisang awak yang dah hitam (dah masak sangat) ditempat yang kena sengat untuk 'tawar'kan bisa dan macam-macam lagi. Saya tak pasti apa yang menyebabkan mereka mula bercerita tentang ikan cuma salah seorang sepupu isteri saya yang turut join dalam 'perbincangan ilmiah' malam itu bergiat sepenuh masa dalam industri menternak ikan. Mungkin itulah sebabnya mereka memulakan perbincangan ilmiah ini. Sebelum ini beliau bekerja makan gaji di Kulim tapi kemudiannya ambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan pulang ke kampung, bela ikan dalam sangkar. Beliau bela ikan kerapu.

Isnin - Hari Raya Kedua


Tiket ke Kuala Perlis paling awal pukul 10 pagi. Saya tak pasti sempat sampai atau tidak gathering keluarga Haji Hashim/Umi Kalthum sebelah bonda saya di Kiri Baitul Rahmah Bukit Chandan Kuala Kangsar. Sebelum naik feri, ada seorang Arab, kelihatan seperti pelancong datang menuju ke arah kami. Katanya, orang yang beliau bayar untuk membantunya membawakan bagasinya tidak datang menjemputnya. Pada resit tercatat sejumlah RM 70, bayaran yang beliau telah jelaskan kepada seseorang untuk membawa bagasinya. RM 70 untuk bawa bagasi? Biar betul. Saya sarankan beliau agar bertanyakan kepada kaunter pusat informasi, mana tahu mereka kenal dengan agen yang telah beliau lantik itu. Kami sampai di Bukit Merah lebih kurang jam 2.30 petang. Saya call Yop, 'Pengerusi' Majlis Perjumpaan Keluarga. Macam mana kome (loghat Perak) nak tunggu kami ke? Tanya saya pada Yop. Yop kata diorang sanggup tunggu tapi selepas tu diorang nak ke Ipoh pergi beraya dirumah salah seorang ibu saudara. Tambah Yop lagi, jalan nak masuk Kuala Kangsar 'jam' lebih kurang 5 km. Kalau macam tu saya kata tak perlulah tunggu kami. Saya ambil keputusan masuk ke Taiping. Beli cendol Ansari dan pulang ke rumah ibubapa saya. Kami alas perut sebelum sambung perjalanan pulang ke KL. Ketika sampai ke Ipoh, saya ambil susur keluar untuk kerumah ibu saudara, dengan harapan dapat berjumpa dengan saudara-mara yang hadir gathering di Kuala Kangsar sebelum itu. Kami sampai di rumah ibu saudara saya lebih kurang jam 6.15 petang. Masuk waktu maghrib, saya berjalan menuju ke surau yang berdekatan. Malang sungguh bila pintu surau berkunci. Anehnya dalam kawasan surau itu ada beberapa rumah dengan lampunya terang-benderang (maknanya ada penghuni). Diorang tak solat disurau ke? Kata saya dalam hati. Akhirnya saya solat seorang diri dalam gelap di anjung surau dengan bertemankan dua ekor kucing, agaknya penunggu setia surau itu. Selesai makan malam, kami meneruskan perjalanan pulang ke KL. Sampai KL lebih kurang jam 11 malam. Kami dijamu gulai tempoyak Patin Pahang. Sedap sungguh. Alhamdulillah. Dirumah ibu saudara saya, saya berpeluang menatap foto almarhum tok sebelah bonda saya bersama dengan bapanya (nyang saya sebelah bonda). Kata sepupu saya yang saya panggi sebagai Mi, Cuba tengok muka tok, macam muka Man anak Pak Man kan? Saya mengangguk. Betul iras wajahnya mirip muka Man, seorang lagi sepupu saya, anak kepada bapa saudara saya yang merupakan abang bonda saya. Almarhum tok sebelah bonda saya berbangsa Bugis. Saya tak pasti samada beliau mempunyai pertalian kekeluargaan dengan Daeng Selili tetapi dengan merujuk kepada tempat asalnya iaitu di Bandar (Hilir Perak), mungkin almarhum tok ada sangkut-paut dengan keluarga laksamana atau raja mahkota yang merupakan pembantu kepada laksamana. Atau mungkin juga moyang almarhum tok termasuk dalam kelompok orang-orang Bugis yang berhijrah secara besar-besaran ke Perak setelah mendengar berita Raja Bugis yang meninggalkan segala kemashyuran pangkat dan harta benda untuk menetap di Perak. Raja Bugis yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan ialah Daeng Selili. Wallahualam. Saya teringat kata bapa saudara saya yang saya panggil dengan nama Ayah Lang dan diulangi oleh ibu saudara yang saya panggil An malam tadi. Katanya, almarhum tok pernah bercita-cita untuk pulang ke Sulawesi dan menziarahi saudara-mara di sana. Maknanya masih ramai lagi saudara-mara kami disana tetapi saya tidak ada maklumat tentang kedudukan atau lokasi penempatan saudara mara saya di sana. Hanya Abang sahaja yang sempat sahaja jumpa (Abang ni panggilan kepada sepupu saya anak abang sulung kepada bonda saya). Saudara-mara lain yang hadir di gathering masih belum sampai ketika saya hendak bergerak keluar dari perkarangan rumah ibu saudara saya.




Feri nak ke Kuala Perlis



Plan nak naik feri pukul 9.00 pagi tapi tiket dah habis. Jadi terpaksa ambil feri pukul 10.00 pagi

Pukul 10.00 punya feri pun penuh. Dapat seat pun nombor dah 100 lebih. Apapun kami selamat sampai di Kuala Perlis sejam kemudian. Laut pun tenang tak macam masa datang ke Langkawi tempoh hari. Alhamdulillah.

Perjalanan ke rumah ibu saudara di Ipoh. Dah masuk pekan Ipoh ni. Rumah ibu saudara terletak berhampiran dengan airport Ipoh


Gambo klasik. Lelaki dewasa yang berdiri ialah almarhum nyang saya iaitu Haji Abu Bakar. Kanak-kanak lelaki yang berdiri ialah almarhum datuk saya iaitu Haji Mohd Hashim. Yang duduk dalam kereta sorong itu ialah pangkat ibu saudara, tapi saya tak pasti siapa. Maklumat ini diberikan oleh ibu saudara saya yang tinggal di Ipoh


Dalam gambo ni sepatutnya boleh nampak surau yang tak jauh dari rumah ibu saudara saya. Gelap sebab takde orang solat kat sini. Pintu surau kunci. Saya solat kat anjung luar surau. Ada dua ekor kucing menemani saya.

Tuesday, September 15, 2009

Janji

Macam biasa, jika saya bawak kereta saya akan mengikuti kuliah bergerak. Kuliah bergerak tu sebenornya merujuk kepada dengor radio IKIM. Ustaz yang sama sambung kupas kuliah semalam. Dan macam biasa jugak, saya terlepas dengor dari awal lalu sampai sekarang saya masih tak tau sape nama ustaz tu. Baik, ada satu hadith yang dibacakan oleh al-Ustaz tersebut yang menarik perhatian saya. Hadith tersebut yang kalau tak silap saya diriwayatkan oleh Imam Baihaqi ra yang maksudnya seperti berikut, Barangsiapa yang menunaikan solat maghrib dan isya' secara berjemaah dari awal Ramadhan hingga akhr Ramadhan maka beliau pasti akan bertemu dengan malam Lailatul Qadar. Jadi kesimpulannya, janganlah terlepas solat maghrib dan Isya' secara berjemaah dari mula Ramadhan sampai akhir Ramadhan kalau berhajat nak bertemu dengan malam Lailatul Qadar.

Monday, September 14, 2009

Hadiah

Masa memandu tadi, saya buka radio IKIM. Tak pasti nama ustaz yang sampaikan tetapi pointnya menarik perhatian saya. Antara kupasannya berbunyi begini,
Umat Nabi Muhammad saw tidak dikurniakan umur yang panjang, rata-ratanya sekitar 60-70 tahun. Ini berbeza dengan umat Nabi Nuh as yang menjangkau hingga usia 1500 tahun, umat Nabi Musa as yang menjangkau usia 300 tahun dan umat Nabi Isa as yang menjangkau usia 200 tahun. Menyedari keterbatasan umatnya, Nabi Muhammad saw memohon kepada Allah swt agar umatnya dikurniakan ganjaran yang sekurang-kurangnya menyamai umat-umat lain. Allah swt memperkenankan doa Kekasih-Nya dan mengurniakan hadiah berupa Lailatul Qadar. Hadiah ini Allah Ta’ala ceritakan secara khusus dalam surah al-Qadar. Imam Fakhruddin al-Razi dalam tafsirnya Mafahatil Ghaib menyebut bahawa ayat-ayat dalam surah al-Qadar mengajak manusia memahami betul-betul isi kandungan ayat tersebut lalu menghargai pemberian Allah Ta’ala yang tidak ternilai itu. Memang benar, ganjaran Lailatul Qadar adalah ganjaran yang sangat berharga kepada umat Nabi Muhammad saw. Ganjaran pada malam Lailatul Qadar menyamai ganjaran untuk seribu bulan (84 tahun). Sebab itulah umat Islam disarankan supaya memahami betul-betul maksud ayat dalam surah al-Qadar kerana hanya orang-orang yang berjaya memahaminya akan berazam bersungguh-sungguh untuk beramal pada malam Lailatul Qadar. Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut bahawa Lailatul Qadar juga disebut sebagai Lailatul Taqdir yang bermaksud Malam Penentuan. Malam itu disebut Malam Penentuan kerana pada malam itulah, manusia ditentukan tiga perkara iaitu ajal, habuan kesihatan dan rezeki.

Sunday, September 13, 2009

Ijazah Hadith Muslim dan Amalan bulan Ramadhan

Majlis ilmu disebelah pagi Ahad melibatkan syarahan dan pengijazahan dua perkara iaitu pertama, periwayatan sebuah hadith dari hadith Muslim dan kedua, doa-doa yang diamalkan oleh para ulama salafussoleh dalam bulan Ramadhan. Hadith Muslim yang diijazahkan tersebut adalah seperti berikut,

Hadith Muslim

Al-Imam Abi al-Husain Muslim bin al-Hajjaj al-Naisaburi ra telah menceritakan kepada kami Yahya bin Yahya, telah menyampaikan kepada kami Husyaim, daripada Sayyar, daripada Yazid al-Faqir, daripada Jabar bin Abdullah Naisaburi[1] ra berkata sabda Rasulullah saw (dengan maksud hadith),
“Aku dianugerahkan lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun sebelumku: Setiap Nabi diutuskan khusus kepada kaumnya, sedangkan aku diutuskan kepada setiap yang berkulit merah dan hitam, dihalalkan bagiku harta rampasan perang, sedangkan ia tidak pernah dihalalkan kepada seorang pun sebelumku, dijadikan untukku tanah bumi ini baik sebagai alat bersuci dan tempat untuk sujud, maka dimana sahaja seseorang itu (berada ketika) masuk waktu solat hendaklah dia solat dimana sahaja (dia berada), aku diberikan pertolongan dengan didatangkan perasaan takut ke dalam hati musuh selama perjalanannya sebulan[2] dan aku dikurniakan syafaat[3]".




[1] Naisaburi adalah tempat kelahiran Imam Muslim ra
[2] Kata ulama, musuh Nabi saw yang paling jauh jaraknya sebulan perjalanan. Musuh akan berasa gementar sebelum bergerak ke medan perang
[3] Syafaat khusus untuk mempercepatkan timbangan hisab

Syarah bagi Hadith Muslim dan amalan bulan Ramadhan boleh dirujuk disini.


Amalan doa para salafussoleh yang diijazahkan oleh Syeikh;


Amalan bulan Ramadhan




Amalan Mendapat Lailatul Qadar

Friday, September 11, 2009

Lailatul Qadar

Kita akan merasa kesal jika mensia-siakan peluang keemasan yang Allah sediakan kepada kita iaitu malam Lailatul Qadar. Kerana segala amal ibadah yang dilakukan pada malam tersebut, ganjaran berlipat kali ganda. Janganlah kita seolah-olah merasakan amal ibadah kita telah banyak sehingga mengabaikan malam tersebut. Malam Lailatul Qadar adalah malam untuk kita melipatgandakan amal ibadah dan mengumpul sebanyak-banyaknya pahala sebagai bekalan ketika bertemu Allah di akhirat kelak. Sedangkan Rasulullah s.a.w. . Sendiri menanti-nanti malam tersebut dan melipatgandakan amalan Baginda, inikan lagi kita sebagai hamba yang banyak melakukan dosa dan sedikit amal. Dalam sebuah Hadis ada menyatakan bahawa Saidatina Aisyah r.a. berkata :

"كَانَ النَِّبيُّ (ص) إِذاَ دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْياً لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ".

( Hadis riwayat bukhari )

Maksudnya : " Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadan, Baginda akan mempertingkatkan amal ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga " .

Lailatul Qadar adalah malam yang dianugerahkan kepada ummat Nabi Muhammad s.a.w. dan tiada siapa yang tahu bila berlakunya malam tersebut walau diri Baginda sendiri. Sungguhpun demikian, Baginda menasihatkan umatnya supaya sentiasa memperbanyak dan mempertingkatkan amal ibadah khususnya pada malam-malam ganjil pada akhir Ramadan. Sabda Baginda dalam sebuah hadis riwayat Bukhari :

"تَحَرَّواْ لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ".

Maksudnya : " Carilah malam Lailatul Qadar pada malam ganjil sepuluh terakhir Ramadan " .

( Hadis riwayat bukhari )
Justeru, langkah terbaik supaya kita tidak terlepas peluang keemasan malam tersebut hedaklah kita terus beristiqamah melakukan amal ibadah dan memperbanyakkan lagi pada sepuluh malam terakhir terutama pada malam-malam ganjil. Janganlah pula kita terlalu sibukkan diri dengan mementingkan persediaan menyambut hari raya sehingga melupakan dan meringan-ringan amal ibadah .

Penerangan diatas saya petik dari arkib khutbah JAKIM bertarikh 20 Okt 2006.

Thursday, September 10, 2009

Bateri pulak.......

Tak sampai seminggu repair kereta sekali lagi kereta buat hal. Lepas solat Subuh, kereta tak boleh start. Saya suspect ni mesti bateri. Kereta ditinggalkan di masjid dan saya menapak pulang. Saya call pomen minta dia ambilkan saya dirumah. Sambil tunggu pomen datang, sempat jugak saya menyiapkan tiga entri untuk resensi buku. Boleh jenguk kat sini, Sejarah Perak I, Tempat Bersejarah Perak dan Ngah Jabor. Lebih kurang pukul 9.30 pagi agaknya setelah kedai pomen buka, barulah pomen datang ambil saya. Saya pergi menjenguk kereta yang ditinggalkan bersama pomen. Pomen check power battery. Dia geleng kepala. Confirm bateri kong. Dan confirm jugalah duit perlu dikeluarkan lagi. Benarlah kata orang duit tu seperti air. Laju sungguh duit ni mengalir...Bila bawak masuk bengkel, pomen yang bernama Ben itu pun memulakan kerja-kerjanya sambil saya bersembang dengan Joo, seorang bangsa Cina yang dari mula asyik dok tengok kereta saya. Kalau dia berkenan sangat mau saya jual kereta ni, eheh, bisik saya dalam hati. Sebenarnya Joo yang mula-mula tegur saya. Intro dia sempoi. You pakai minyak hitam apa? Saya kata, tengokla minyak apa yang ada kat kedai. I suggest you guna minyak AdPro, sambung Joo. AdPro? Tak pernah saya dengar nama ni. Minyak ni fully sintetik, murah pulak tu, kata Joo. Ni apa hal pulak cerita pasal minyak hitam ni, kata saya dalam hati. You jual minyak ni ke? Tanya saya. Ya, I jadi agen di sebelah pantai timur, kata Joo senyum lebar. Hmm, patutle beria-ria dok sebut nama minyak tu dari tadi. Lepas tu Joo makin rancak menerangkan minyak hitamnya dan saya sekadar mendengarnya. Sedar tak sedar dah dua jam saya kat situ. Dah siap! Kata Ben. Berapa semua? Tanya saya. Semua RM250 termasuk coolant dan belt. Belt apa pulak ni hari tu dah tukar… Ni belt lain, kata Ben sambil tunjuk tempatnya. Oklah, yang penting kereta dah tak meragam dan tak perlu lagi menapak jauh.



Inile rupe minyak AdPro yang diwar-warkan oleh Joo. Harganya RM 128. Joo kata kalau beli dua ketui boleh boleh ada downline, dapat duit balik bla-bla-bla dan macam-macam lagi. Ternganga saya dibuatnya. Aikk, beli minyak pun boleh ada downline?? "Itulah speselnya minyak ni. Penjual untung, pembeli pun untung, win-win maaa", kata Joo. Sambung Joo lagi, tentang downline dont worry. Downline tak payah cari. Semua syarikat yang uruskan. Downline tu sebenarnya macam bonus kepada pembeli. Diorang akan susun secara automatik. Saya sebenarnya tak berapa faham sangat. Tapi Adpro ni dasat. Ada website. Ni website dia, http://www.adpro.com.my/. Boleh refer kat sini. Kata Joo, produk ni baru lagi. Baru je launch bulan lepas. Joo bagi tau saya elok join cepat sebab nanti senang nak dapat downline. Saya kata nanti le dulu sebab saya pun baru je tukar minyak hitam (baru je overhaul minggu lepas). Saya tanya Joo, minyak ni nak beli kat mana? Dia kata minyak ni ada jual kat kedai-kedai worksyop yang diorang market. Dia pun sekarang tengah dok promote minyak tu kat merata-rata kedai worksyop. "Minyak ni bagus. Dia jimatkan petrol. Bunyi enjin pun sedap. Kalau tak percaya cuba you bawak saya punya kereta", kata Joo sambil mengunjukkan kunci keretanya pada saya. Err...takpela lagi pun cuaca panas sangat malas saya nak drive tengah panas, balas saya.


Monday, September 7, 2009

Majlis Ilmu di Shah Alam

Pukul 4.30 petang, Ben (si pomen kereta) call. Kereta abang dah siap, katanya. Eloklah tu, balas saya. Lebih kurang pukul 5.30 petang, kereta saya keluar dari bengkel. Bolehlah saya test drive ke Shah Alam. Sebenarnya pagi-pagi lagi saya ada terima mesej tentang satu majlis ilmu di Shah Alam yang akan diadakan di sebelah malam. Saya bertolak ke Shah Alam lebih kurang pukul 6.15 petang. Bawak slow-slow almaklumlah kereta baru overhaul. Sampai di PERSIDAM lebih kurang jam 7.00 petang. PERSIDAM ini letaknya di Seksyen 13 bertentangan dengan Stadium Shah Alam. Ia diuruskan oleh Ustaz Md Aleh. Maklumat lanjut tentang aktiviti PERSIDAM boleh didapati disini, http://www.persidam.org/. Majlis ilmu tersebut berlangsung di PERSIDAM. Jemaah yang hadir berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib di PERSIDAM. Kira-kira 13-14 orang hadir pada malam itu. Majlis ilmu pada malam itu sebenarnya adalah berkaitan dengan periwayatan hadith musalsal yang telah dihimpun dan diriwayat oleh Syeikh Muhammad Husni al-Langkati al-Azhari. Beliau hadir pada malam itu bersama dua orang pembantunya yang juga merupakan pelajar Malaysia yang tinggal bersama beliau di Mesir. Syeikh Muhammad Husni walaupun usianya masih muda tetapi ilmunya, Masya Allah sangat luas. Beliau telah menimba ilmu dengan ramai ulama-ulama besar di Mesir, Makkah dan Madinah. Syeikh Muhammad Husni sebelum itu telah hadir di Kolej Dar al-Hikmah dalam satu sesi majlis ilmu. Jadualnya agak ketat juga. Selepas majlis di PERSIDAM, beliau perlu berada di Tanjung Karang pada pagi esoknya. Majlis bermula seperti yang dirancangkan iaitu lebih kurang pukul 8.00 malam dan selesai lebih kurang jam 11.30 malam. Selesai majlis, Syeikh bersama pembantunya terus bertolak ke Tanjung Karang. Alhamdulillah, kalau tak silap saya lebih kurang 15 hadith musalsal telah diriwayatkan pada malam tersebut. Sebenarnya dalam kitab Syeikh, terdapat 60 hadith musalsal semuanya. Tetapi ada diantara hadith tersebut yang tidak dapat diriwayatkan berdasarkan faktor masa dan tempat seperti hadith musalsal qunut yang hanya boleh diriwayat ketika membaca qunut dalam solat, hadith musalsal berdoa di multazam, hadith musalsal di hari Jumaat, hadith musalsal hari Asyura dan sebagainya. Ketika mengijazahkan hadith, Syeikh turut mengupas biografi beberapa tokoh yang terdapat dalam rantaian sanad hadith tersebut. Kata Syeikh sebelum menutup majlis, Insyallah beliau akan datang lagi ke Kuala Lumpur untuk mensyarah kitab As-Syamail Muhammadiyah. Jika tiada aral melintang, kemungkinan besar dalam bulan 11 sebelum beliau berangkat pulang ke Mesir.





Tangga ke Pejabat dan Bilik Kuliah PERSIDAM


Syeikh Muhammad Husni sedang menyampaikan syarahannya



Syeikh sedang menunjukkan cara yang betul melilit dan memakai serban sebelum pengijazahan hadith musalsal memakai serban bermula




Kitab yang dikarang oleh Syeikh