Monday, October 26, 2009

Sakit mata

Setelah membuat pemeriksaan di klinik pada hari Ahad (semalam) dan dapat sijil sakit baru le saya tahu bahawa sakit mata ni nama saintifiknya ialah Conjunctivitis (seperti yang tertera pada sijil sakit). Seingat saya, saya pernah kena dua kali sebelum ini. Kali pertama ketika saya berusia 13 tahun dan kali kedua ketika saya berumur 20 tahun. Dan berbelas tahun tak kena sakit mata sehinggalah pada hari Sabtu lepas, saya kena balik sakit mata. Ketika kali pertama saya kena sakit tersebut, saya sedang menuntut di sebuah sekolah berasrama penuh di Ipoh. Dapat cuti seminggu kalau tak silap saya. Kali kedua saya kena ialah ketika hendak mendaftar di pusat matrikulasi di Kuala Pilah. Saya pergi juga mendaftar dan mengikuti program orientasi walaupun dalam keadaan sakit mata. Namun sakit mata ketika usia pertengahan 30-an ini agak perit sikit. Hari pertama dan kedua, dia punya denyut menangkap sampai ke kepala. Hari ketiga dah tak denyut tapi mata dah rasa gatal-gatal. Isteri saya pun sama macam saya. Bangun pagi melekat kedua-dua belah kelopak mata. Nasib baik ada ubat eye ointment yang saya ambil kat klinik semalam. Kegunaannya ialah untuk mengelakkan kelopak mata dari melekat selepas bangun tidur.




Kali pertama jumpa doktor, dia bagi ubat ni, ubat titik "Beagenta" dan eye ointment

Kali kedua jumpa doktor dia bagi ubat titik ni pulak

Sunday, October 25, 2009

Program Haul Imam al-Haddad

Sebaik melihat pamplet program yang beredar di kebanyakan masjid di seluruh Lembah Kelang, saya sudah bertekad untuk menghadiri ketiga-tiga program haul seperti yang tercatat didalam pamplet tersebut. Pada aturcara majlis untuk hari Jumaat yang berlangsung di Masjid al-Falah USJ 9, tercatat bahawa program akan bermula pada pukul 6 petang. Apapun ketika saya sampai di masjid tersebut sekitar 6.15 petang, majlis masih belum bermula. Sebaik sahaja saya sampai ke perkarangan masjid, kelihatan sebuah mercedes berwarna hitam memasuki kawasan masjid dan parkir ditempat yang dikhaskan oleh pihak masjid. Kelibat yang keluar dari kereta tersebut ialah para VIP yang akan memimpin majlis pada hari itu antaranya ialah Habib Mohsen bin Hamed al-Haddad yang merupakan Naib Munsib al-Haddad Hawi di Tarim, Hadramaut. Disebabkan saya pada ketika itu betul-betul berada di hadapan laluan ke ruang solat utama masjid, maka saya sempat bersalaman dan mengucup tangan beberapa VIP yang sedang menuju masuk ke ruang solat utama masjid termasuklah Habib Mohsen. Setelah kesemua VIP berada didalam ruang solat utama maka barulah bacaan wirdul latif bermula. Kalau tak silap saya bacaan ini dipimpin oleh Sayyid Alwi Mustafa Al-Haddad. Bacaan bermula sekitar jam 6.30 petang dan berakhir kira-kira jam 6.50 petang. Selepas itu, hadirin diperdengarkan dengan bacaan qasidah Ya Dzaljalali wal Ikram yang dialunkan oleh Sayyid Alwi Mustafa al-Haddad sementara menanti masuk waktu maghrib. Tepat jam 7.00 malam, azan maghrib berkumandang. Solat maghrib berjemaah dipimpin oleh Imam Azian. Selepas solat, majlis bermula dengan bacaan Ratib al-Haddad yang dipimpin oleh Sayyid Alwi Mustafa al-Haddad. Ini disusuli dengan penerangan ringkas biografi oleh penganjur program iaitu Habib Abdul Rahman Isa al-Haddad yang merupakan pengasas Hawi al-Khairat di Malaysia. Selepas penerangan tersebut, hadirin diperdengarkan dengan alunan qasidah Qad Kafani yang dialunkan oleh Sayyid Alwi Mustafa al-Haddad. Ketika azan Isyak berkumandang, seorang lagi tetamu khas majlis sampai iaitu Syeikh Afifuddin al-Gaylani. Majlis diteruskan selepas azan Isyak dengan Habib Abdul Rahman bin Hussain As-Seqaf mengambil posisi di pentas utama untuk menyampaikan syarahannya. Selesai syarahan beliau, hadirin sekali lagi dijamu dengan halwa telinga. Kali ini qasidah didendangkan oleh Ustaz Muhib dari Syria. Beliau mengalunkan qasidah Ya Rasulullah Salamun 'Alaik. Syarahan disambung selepas itu dengan Syeikh Afifuddin al-Gaylani dan Habib Sholeh al-Jufri mengambil tempat di pentas syarahan. Qasidah Salamun-Salamun Kamiskil Khitam dialunkan oleh Sayyid Alwi Mustafa al-Haddad selang antara dua syarahan itu. Selesai syarahan oleh Habib Sholeh, hadirin yang hadir dalam majlis itu kemudiannya diijazahkan sanad dan matan Ratib al-Haddad oleh Habib Mohsen bin Hamed al-Haddad. Selesai pengijazahan tersebut, hadirin menunaikan solat isyak berjemaah sekali lagi dipimpin oleh Imam Azian sambil doa penutup dibaca oleh Habib Mohsen. Untuk pengetahuan, semua qasidah yang dialunkan pada malam itu adalah merupakan hasil nukilan al-Imam Qutub al-Irshad al-Habib Abdullah bin Alwi bin Muhammad al-Haddad yang hidup pada abad ke 12 Hijrah. Sebelum pulang, hadirin dijamu dengan makan dulang lauk daging kambing dan dalca. Di ruang legar masjid, hadirin mengambil kesempatan untuk melihat pelbagai barangan yang dijual antaranya kitab, tasbih, kopiah dan sebagainya. Tetapi gerai jualan yang paling laris berdasarkan pengamatan saya pada malam itu ialah gerai jualan poster ulama. Poster yang sold-out ialah poster almarhum Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki. Majlis berakhir sekitar jam 10.30 malam. Sebelum tidur, saya dah mula pasang impian untuk pergi ke kemuncak progam haul di Baitul Aman keesokan harinya. Sebaik bangun tidur pada pagi Sabtu, mata sebelah kanan saya merah dan ceme (loghat Perak maksudnya bengkak sikit). Sah kena sakit mata! Isteri saya juga sama. Anak lelaki saya adalah yang paling awal kena. Dia kena pada hari Khamis, kami kena pada hari Sabtu. Pada sebelah petang, mata kanan saya menjadi semakin merah dan denyut sampai menangkap ke kepala. Maka tak dapatlah saya hadir progam Haul di Baitul Aman. Hari Ahad kami sekeluarga ke klinik ambil ubat. Kalau semalam belah kanan, hari Ahad belah kiri pula. Hanya anak perempuan saya saja yang tak kena sakit mata. Hajat hendak hadirkan diri ke program haul di Masjid al-Bukhary pada hari Ahad nampaknya juga tinggal impian. Terpaksalah tunggu tahun depan, Insya Allah.

Tuesday, October 20, 2009

Minyak

Kira-kira dua tahun yang lepas, kereta satria saya sangat 'kuat' makan minyak (petrol). Ketika di'kemuncak'nya, kereta saya hanya mampu bergerak sejauh tidak lebih dari 300 km setelah di isi minyak sebanyak RM 50. Pada penunjuk aras minyak, jarang dapat ke takuk penuh untuk isian sebanyak RM 50. Tapi pagi tadi, keajaiban berlaku. Selepas isi minyak RM 50, penunjuk aras naik ke takuk yang hampir penuh (seperti mengembalikan nostalgia silam sebelum zaman 'kuat' makan minyak). Kemudian, bila saya bawak pun, jarum penunjuk pun macam 'lambat' turun. Selalunya kalau saya tekan sikit minyak, cepat je jarum tu turun ke takuk bawah. Mungkinkah bayangan kereta baru perlu dilenyapkan? Saya perlu observe dulu, mana tau takut2 meter penunjuk pulak yang rosak. Harap-harap tidak. Harap-harap penukaran beberapa part pada radiator semalam adalah jawapan kepada masalah 'kuat' makan minyak sebelum ini.

Monday, October 19, 2009

Radiator

Hari Isnin. Saya keluar awal dari rumah lebih kurang jam 7.30 pagi. Elok-elok sampai di traffic light Desa Air Hitam, saya nampak asap di bahagian hadapan kereta saya. Sangkaan saya asap itu bukan dari kereta saya tetapi dari ekzos kereta dihadapan saya kerana ekzosnya agak besar jadi mungkin asap itu keluar dari situ. Sebaik masuk LDP, asap makin tebal, barulah saya perasan temperature kereta dah naik. Rupanya asap tu dari kereta saya. Saya ingat kena berhentikan dulu kereta. Saya berhentikan kereta di Bandar Puteri. Saya call isteri saya mintak dia bawakan air. Saya bukak cap radiator. Kering habis. Saya masukkan air yang isteri saya bawak tadi. Agak-agak penuh, cepat-cepat saya hidupkan enjin untuk ke kedai pomen. Biasale, kedai Wing Hup yang pomennya nama Ben. Dalam perjalanan risau juga jika temperature mendadak naik. Alhamdulillah selamat sampai. sebaik sampai, seorang lagi mekanik, nama dia Ah Kai terus check radiator. Muka dia agak berkerut. Katanya, Harap2 jangan head rosak. Kalau rosak lagi kacau. Lagi banyak belanja. Beberapa lama kemudian, Ben sampai. Kata Ben, Apasal tak call saya, lain kali kalau radiator problem, you jangan bawak, call kita biar kita ambil. Takut dia effect sama enjin. Lepas dari itu, Ben dan Ah Kai silih berganti check enjin dan radiator. Ben kata benda ni ambik masa, mungkin petang baru siap. Dia hantarkan saya balik rumah dulu. Tengahari kemudian dia call. Bang, enjin ok. Untuk radiator dan lain-lain barang semua sekali dalam RM275. Kereta siap disebelah petang. Dalam kepala saya dah terbayang kereta baru.


Penunjuk temperature ketika saya dalam perjalanan nak kedai pomen. Dalam hati, janganle sampai ke takuk merah tu.


Ah Kai dengan seriusnya memberi tumpuan meneliti tempat mana yang bocor



Semua sekali RM 275



Titisan hujan

Hari ini 29 Syawal. Banyak rumah yang buat open house di penghujung Syawal ini. Di sebelah tengah hari, saya dan keluarga pergi ke open house sebuah rumah di Puchong Hartamas. Ini kali pertama saya sampai di kawasan ini. Sebenarnya kami sendiri tak tahu rumah yang mana satu dan hanya berpandukan kanopi. Open house zaman sekarang lazimnya dipacakkan kanopi. Sekali imbas macam kenduri kahwin. Nampak satu kanopi terus kami ke situ. Takut juga jika tersalah rumah. Setelah berjumpa dengan tuan rumah, confirm itulah rumahnya. Lebih kurang sejam kami disitu kami pun beredar dari majlis. Azan asar kedengaran dan saya mencari masjid atau surau yang berdekatan. Jumpa satu surau yang agak besar setelah keluar sedikit dari kawasan Puchong Hartamas. Selesai solat kami terus pulang ke rumah. Pukul 6.00 petang, saya keluar bergerak menuju ke Taman TAR kerana menghadiri majlis ilmu Syeikh Fuad. Hari ini Syeikh hendak memulakan syarah kitab Titisan Hujan Lautan Sufi.


Open house di Puchong Hartamas. Kanopi menjadi penunjuk arah





Surau tempat kami menunaikan solat Asar. Suaru ini bersaiz masjid. Agak besar.

Nama surau ini ialah Surau Darussalam. Diasaskan pada tahun 1998 M/1419 H (seperti yang tertera pada batu tanda)


Saya terpaksa meninggalkan majlis ilmu untuk mengambil mertua saya di Pudu. dari Ampang, saya ambil Jalan Tunku Abdul Rahman untuk kesana. Kelihatan tanglung-tanglung ketupat menghiasi jalan tersebut


Selepas itu, saya ambil Jalan Tun Perak untuk sampai ke Pudu. Mujurlah kereta tak banyak sangat jadi perjalanan saya pun agak cepat.



Inilah kitab yang disyarah oleh Syeikh Fuad malam itu. Kitab ini asalnya ditulis oleh Tuan Hussain Kedah, ulama besar abad ke-20 Masehi

Saturday, October 17, 2009

Khusyuk Solat

Pagi tadi saya bukak TV seawal pukul 7. Tengok rancangan Tanyalah Ustaz. Kali ini dikendali oleh al-Fadhil Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir. Beberapa poin yang dapat saya kutip (secara bebas) ialah seperti berikut;
1. Untuk khusyuk, setiap bacaan dalam solat itu perlulah difahami maknanya. Ini adalah kerana setiap makna bacaan itu ada hikmahnya. Sebagai contoh, dalam bacaan rukuk, kita mengagungkan Tuhan. Apabila kita sujud, kita menjadi sehina-hina hamba dihadapan Tuhan kerana kita meletakkan anggota badan kita yang paling mulia iaitu dahi di tempat yang paling rendah iaitu atas lantai. Pada ketika itu, kita meletakkan Tuhan di peringkat yang tertinggi dan kita diperingkat yang terendah iaitu sebagai hamba-Nya.
2. Untuk khusyuk, kita perlu betulkan iktiqad akidah kita. Pastikan akidah kita itu adalah akidah yang sahih.
3. Untuk khusyuk, kita perlu jauhkan diri dari dosa-dosa besar dan kecil.
4. Untuk khusyuk, kita perlu bertaubat (nasuha).
5. Untuk khusyuk, pastikan perut kita jangan terlalu lapar. Jika lapar, isikanlah perut dengan sedikit makanan sebelum menunaikan solat supaya konsentrasi tidak terjejas.
6. Untuk khusyuk, bersegeralah menunaikan solat sebaik masuk waktu.
7. Untuk khusyuk, pandangan haruslah ditundukkan. Mata memandang pada tempat sujud.
8. Untuk khusyuk, selesaikan qada hajat terlebih dahulu jika ada terasa hendak menunaikannya. Ini penting supaya konsentrasi tidak terjejas.
Ada orang bertanya apakah boleh solat itu disegerakan (maksudnya dilakukan secara cepat-cepat)? Jawab: Dalam kitab Ihya Ulumuddin seperti yang dinyatakan oleh al-Fadhil Ustaz, ada dikisahkan satu cerita tentang sahabat Nabi saw yang bernama Ammar bin Yasir. Beliau ditegur oleh sahabat lain apabila didapati beliau menyegerakan solatnya. Lalu dijawab oleh Ammar, adakah aku mengurangkan solatku? Jawab sahabat, Tidak. Tetapi kenapa kamu menyegerakannya (maksudnya cepat-cepat menunaikannya)? Tanya sahabat kembali. Jawab Ammar, Aku menyegerakannya kerana ingin mendapat kekhusyukan dan menghindarkan perasaanku dari was-was syaitan. Ammar bin Yasir tetap menjaga rukun solat, menjaga syarat-syaratnya dan menjaga sunat solat walaupun melaksanakannya dalam keadaan yang agak pantas.

Jualan Gudang

Hari Sabtu baru ni saya dan keluarga menghadiri dua 'open house'. Kedua-duanya di Puchong. Selepas itu kami ke Kelana Jaya. Hajat hendak menengok-nengok jualan gudang buku anjuran Crescent News. Banyak juga buku yang dijual samada yang baru atau yang dah berstatus klasik. Ketika saya sampai sekitar jam 5 petang, pengunjung tidaklah begitu ramai. Saya hanya berminat dengan longgokan buku-buku lama. Jumpa juga beberapa buah buku yang menarik perhatian saya. Antaranya ialah seperti Fatwa dalam Perundangan Islam dan Ramuan Makanan Islam. Terus beli. Untuk anak saya, saya belikan beberapa buku kerja untuk buat latihan. Banyak juga diskaun yang diberikan. Saya hanya perlu bayar sekitar RM47 untuk beberapa buah buku klasik dan buku kerja anak saya.





Parkir kereta di perkarangan Kompleks Sukan Kelana Jaya


Pintu masuk ke Jualan Gudang


Khabarnya ada buku yang dijual dengan harga RM 1, tu yang nak tengok tu


Lambakan buku yang dijual


Surau di Kompleks Sukan


Laluan ke Surau, sementara laluan ke tandas ialah disebelah kiri dan kanan





Tak begitu ramai pengunjung yang hadir pada waktu itu

Poster jualan gudang

Wednesday, October 14, 2009

Keropok




Beli keropok lagi? Tanya isteri saya. Di dapur rumah saya dah ada melambak keropok. Bukan dibeli di Kelantan atau Terengganu tetapi dibeli dari penjual-penjual keropok yang berasal dari Patani yang menjaja dimasjid-masjid sekitar Lembah Kelang. Baru-baru ini, saya terbeli lagi keropok ketika solat zohor di masjid yang berdekatan. Apabila didatangi oleh penjual keropok saya tak reti nak menolak. Belilah syeikh, tolong orang Patani. Anak saya 3 orang, semua tengah mengaji, kata seorang penjual sambil meminta saya membeli keropoknya. Keropok apa yang ada? Tanya saya. Keropok tamban dan parang, balas si penjual. Bagi saya tamban satu, balas saya. Satu je ka, ambiklah dua saya bagi diskaun, pujuk si penjual. Rumah saya dah banyak keropok, kata saya sambil mengunjukkan duit keropok sebanyak RM18. Setakat ini, keropok yang paling sedap yang pernah saya beli dari penjual keropok Patani ialah keropok ikan tenggiri. Pernah si penjual kata keropok ikan merah pun sedap. Mungkin lepas ni kena try keropok ikan merah pulak.

Monday, October 12, 2009

Jambatan

al-Fadhil Ustaz Zawawi ketika memetik kata-kata Imam Alusi menerusi tafsirnya berkata, Allah Ta'ala merahsiakan saat berlakunya kiamat dan kematian dari pengetahuan manusia kerana hendak menguji manusia samada manusia taat mengerjakan ibadah atau sebaliknya. Dunia ini bukanlah apa-apa. Ia ibarat jambatan. Jambatan adalah tempat laluan sementara. Begitu jugalah dunia yang bersifat sementara. Oleh itu manfaatkanlah apa yang ada di dunia untuk melipatgandakan amalan sebagai bekalan di akhirat kelak.

Jalani hidup apa adanya

Lanjutan dari mesyurat madrasah tidak rasmi semalam, saya terpaksa menyelesaikan beberapa perkara yang berkaitan dengan hal-ehwal madrasah keesokan harinya. Disebelah pagi, saya membantu isteri saya menyemak perancangan persediaan madrasah tahun depan dan juga program untuk cuti sekolah. Selepas itu, kami ke madrasah untuk menguruskan sesi fotografi 'konvokesyen' pelajar-pelajar tadika 6 tahun. Selesai 1/2 jam selepas itu, saya dan isteri ke pasaraya untuk membeli kelengkapan harian madrasah. Masa terasa begitu cepat. Kami terpaksa pergi ke beberapa tempat lagi untuk menyelesaikan urusan madrasah. Selepas berurusan di beberapa bank di Puchong, kami seterusnya ke Majlis Perbandaran Sepang yang terletak di Cyberjaya. Tujuannya adalah untuk mengambil borang permohonan bagi pemasangan banner dan bunting. Destinasi seterusnya ialah ke pejabat JAIS daerah Sepang yang terletak di Bandar Baru Salak Tinggi. Ada beberapa perkara yang perlu diuruskan disitu. Setelah selesai, kami ke Bandar Baru Nilai untuk ke Bank Islam kerana itulah cawangan yang paling dekat dengan Bandar Baru Salak Tinggi. Kami makan tengahari, itupun dah dekat pukul 4 petang.
Ketika saya menunggu isteri saya berurusan dibank di Puchong, saya on radio dan dengar satu kuliah dzohor. Tajuknya berbunyi "Jalani hidup apa adanya". Catatan bebasnya adalah seperti berikut;
1. Disebalik kesulitan yang dihadapi sebenarnya tersembunyi hikmah tentang apa yang berlaku.
2. Orang yang bijak dan adil itu menganggap bahawa setiap luka yang terjadi pasti ada harganya (maksudnya ada hikmah disebaliknya).
3. Allah menjadikan dunia ini dalam dua hal yang bertentangan. Sebagai contoh, baik lawannya buruk, senang lawannya susah dan seterusnya. Maka segala yang baik itu akan dikumpulkan didalam syurga manakala yang buruk dan jahat itu akan dikumpul didalam neraka. Maka atas sebab itu, kita kena lawan perkara-perkara yang membawa kepada keburukan dan kejahatan ini.
4. Dunia adalah terlaknat disisi Allah kerana ia tidak mempunyai harga disisi Allah Ta'ala. Yang bernilai disisi Allah Ta'ala ialah zikir iaitu mengingati-Nya. Orang yang dipandang Allah Ta'ala ialah orang yang melakukan perbuatan yang dicintai Allah dan orang alim yang menimba ilmu yang bermanfaat.
5.Maka atas sebab itu, jalanilah hidup di dunia apa yang ada didalamnya. Carilah segala kebaikan dan bersyukur dengan apa yang ada. Janganlah seorang mukmin itu membenci isteri atau suaminya disebabkan hanya satu perangainya tetapi ingatkanlah segala kebaikan yang ada pada dirinya kerana manusia itu tidak sempurna.




Bangunan Majlis Perbandaran Sepang


Laluan keluar dari bangunan Majlis Perbandaran Sepang


Bangunan Majlis Perbandaran Sepang dari jalan utama


Pejabat JAIS daerah Sepang. Letaknya di Bandar Baru Salak Tinggi. Urusan pendidikan, dakwah, syariah peringkat daerah berpusat disini



Bahagian pendidikan letaknya di tingkat atas (tingkat 1)


Laluan ke unit Pendidikan Islam

Kami sampai di Bandar Baru Nilai sekitar jam 3.30 petang. Mujur bank belum tutup.


Hotel Allson Klana yang terletak di tengah-tengah Pusat Bandar Baru Nilai bertentangan dengan Bank Islam


Deretan kedai di Bandar Baru Nilai


Makan tengahari disebuah restoran di Bandar Baru Nilai. Ambil lauk ikan bakar (kembung seekor dan pari sekeping) + nasi dua pinggan + lauk sayur + air barli panas + jus tembikai. Kena RM20. Isteri saya musykil pasal apa mahal sangat. Kata si penjual, harga pari sekeping tu je RM 6.50. Entah le, tapi rasanya kalau saya makan di restoran ayam kampung, ambil lauk nasi + sayur + ikan bakar + sirap limau pun baru RM6 seorang. Samada harga lauk memang dah naik atau restoran tu jual mahal, Wallahualam.

Aktiviti hujung minggu lepas


Hari Sabtu lepas disebelah pagi, saya agak sibuk sedikit. Awal-awal pagi lagi saya dah ke madrasah sebab kena temuduga bakal pengajar madrasah. Ramai yang apply jawatan tetapi yang datang hari tu cuma dua orang. Kedua-duanya ustaz. Saya beritahu mereka keputusan temuduga akan dimaklumkan dalam tempoh dua minggu selepas itu. Selepas temuduga, saya ke kedai ayam. Beli ayam 3 ekor sebab besok nak buat meeting madrasah tak rasmi dan makan-makan sikit



Ni le rupa kedai ayam tu. Tak macam kedai ayam. Kedainya besor tapi bersih dan kemas. Ayamnya disembelih kat ladang. Kat kedai ni diorang cuma timbang dan potong sahaja.


Ini di auditorium Muzium Kesenian Islam KL. Saya kesini keesokan harinya sebab menghadiri wacana pemikiran almarhum Sayyid Muhammad

Kelihatan ada satu mangkuk besar dan satu arca buku didepan ruang legar auditorium. Kalau tak silap saya direka dari pereka Iran


Bahagian dalam auditorium


Tuan Haji Yusri, Persiden ABIM mempengerusikan majlis. Majlis bermula lebih kurang jam 9.00 pagi


Pembentang pertama ialah Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki


Waktu rehat. Ikhwan dibekalkan dengan sekeping 'pizza' dan sebotol mineral water untuk alas perut. Kata Tuan Haji Yusri, dekat auditorium ada 'pantang-larangnya'. Tak dibenar adakan jamuan di kawasan perkarangan auditorium.


Ikhwan mengambil angin di ruang legar auditorium


Sesi kedua bermula. Sayyid Ahmad bersama pengiringnya duduk dibahagian hadapan auditorium bersama-sama dengan Syeikh Fuad


Sebelum ucaptama bermula, ikhwan dijamu dengan 'halwa telinga' yakni diperdengarkan qasidah


Ucaptama bermula. Sayyid Ahmad mensyarah tentang peribadi ayahandanya Sayyid Muhammad dan bab-bab yang berkaitan tentang aqidah


Murid kanan almarhum Sayyid Muhammad, Habib Abdurrahman turut memberi syarah tentang sosok peribadi Sayyid Muhammad


Majlis berakhir


Saya pulang dengan ditemani sebotol mineral water tajaan Yayasan al-Bukhari


Kitab yang menghimpunkan karya-karya berkenaan aqidah oleh Sayyid Muhammad ini disusun oleh Syeikh Muhammad Fuad. KItab ini dihadiahkan kepada ikhwan yang hadir di majlis wacana hari itu

Wacana

Ikut perancangan hari Sabtu, nak pergi ke Rembau menghadiri majlis haul Sayyid Muhammad yang dianjur oleh Yayasan Sofa tetapi isteri saya terlebih dahulu dah 'booking' program. Katanya, dia dah janji dengan kawan-kawannya untuk mengunjungi rumah terbuka pada hari itu. Terpaksalah saya ikut, kata hati saya, takpa la kot sebab esok ada lagi majlis kat Taman TAR. Petang itu, kami sekeluarga pergi 3 rumah terbuka, semuanya kawan-kawan isteri saya. Kenyang sampai ke malam, alhamdulillah murah rezeki orang yang menjamu kami. Esoknya, lebih kurang pukul 7.00 pagi saya bertolak ke KL kerana hendak menghadiri majlis wacana pemikiran Sayyid Muhammad. Jalan ok, kereta tak banyak. Sampai KL lebih awal dari yang dijangkakan. Program bermula jam 9.00 pagi dan berakhir lebih kurang jam 12.45 tengah hari. Lebih kurang 300 orang hadir pada majlis itu. Pembentang kertas kerja yang pertama ialah Syeikh Fuad sendiri selaku anak murid kanan Sayyid Muhammad dari Malaysia. Program berehat seketika pada jam 10.15 pagi. Sebaik bermula pada jam 10.45 pagi, hadirin dijamukan dengan halwa telinga yakni qasidah-qasidah salawat ke atas Nabi Muhammad saw. Selepas qasidah, barulah ucaptama bermula. Ianya dibentangkan oleh anakanda Sayyid Muhammad iaitu Sayyid Ahmad diikuti dengan murid kanan Sayyid Ahmad iaitu Habib Abdurrahman (minta tolong betulkan jika saya tersalah menyebut namanya) yang berasal dari Indonesia. Di sebelah petang saya sudah berkira-kira untuk menghadiri majlis Sayyid Ahmad di Taman TAR. Lebih kurang jam 3 petang, mesyuarat tidak rasmi madrasah yang saya pengerusikan bermula. Agendanya ialah untuk membincangkan tentang persiapan dan persediaan untuk program pengajian tahun depan. Tak sangka pula berlanjutan sehingga larut petang. Nampaknya terlepas lagi saya untuk menghadiri satu lagi majlis dengan Sayyid Ahmad.

Wednesday, October 7, 2009

Masjid Kristal Pulau Wan Man

Saya menziarahi masjid ini bersama keluarga ketika menghadiri kenduri adik perempuan saya yang berkahwin dengan orang Terengganu pada pertengahan tahun lepas. selepas melawat Taman Tamadun Islam, saya berjalan ke masjid ini yang terletak bersebelahan sahaja dengan Taman Tamadun Islam. Kebetulan pada masa itu, waktu maghrib sudah hampir dekat, jadi kami menunaikan solat maghrib disitu. Agak ramai juga pelawat datang menziarahi masjid tersebut. Kemungkinan besar, ramai diantara pelawat itu adalah orang luar. Ini berdasarkan plet kereta mereka yang rata-rata bermula dari B (Selangor) dan W (KL). Mungkin mereka juga seperti saya 'menghantar' atau menghadiri masjid kenduri kahwin saudara-mara mereka. Saya tidak ada info lengkap mengenai masjid ini. Walaubagaimanapun dibawah ini saya sertakan serba sedikit catatan tentangnya yang saya petik dari wikipedia.
Masjid Kristal merupakan sebuah masjid yang terletak dalam kawasan pelancongan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Terengganu.
Perasmian
Masjid Kristal telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi
. Yang DiPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama-sama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah telah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Kristal di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu pada 8 Februari 2008 jam 6.00 petang.
Pembinaan
Masjid ini dibina daripada kaca
dan keluli, masjid pintar pertama di Malaysia dan mempunyai keluasan 2,146 meter persegi. Masjid ini boleh memuatkan 700 jemaah pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan prasarana teknologi maklumat dan liputan WiFi yang membolehkan pengunjung menggunakan kemudahan akses internet bagi membaca al-Quran elektronik.


Saya tidak pasti ini binaan apa tetapi didalamnya terdapt kiosk-kiosk perniagaan. Untuk sampai ke masjid perlu melalui binaan ini.


Laluan menuju ke masjid. Anak saya teruja melihat laluan air disepanjang jalan ke masjid. Sekejap-sekejap dia berhenti, memasukkan kakinya kedalam laluan air itu. Boleh kata hampir semua kanak-kanak yang melintasi kawasan itu tidak melepaskan peluang bermain-main dengan air di laluan tersebut.


Masjid Kristal Pulau Wan Man. Selama ini saya hanya tengok gambarnya sahaja tetatpi hari itu saya berpeluang menjejakkan kaki di hadapannya


Masjid Kristal nampak 'gagah' dengan senibina kaca dan kelulinya


Sisi lain masjid. Pelawat yang datang ke sini tidak melepaskan peluang melihat kawasan persekitaran masjid yang mempunyai lanskap yang indah

Kuala Terengganu dapat dilihat dari sini

Satu lagi sisi lain masjid


Ruang solat utama masjid. Mimbarnya berwarna putih


Ruang mimbar dan mihrab



Ruang solat wanita


Gugusan lampu di kubah utama

Kubah utama di bahagian dalam


Masjid Kristal di waktu malam


Gambar dirakam lebih kurang jam 8.00 malam