Thursday, April 30, 2009

Pusat Manuskrip Melayu, Syeikh Muhammad Nafis Idris al-Banjari

Cuaca sangat baik hari ini. Tidaklah terlalu terik seperti hari-hari sebelumnya. Adakalanya hujan gerimis turun membuatkan hari ini redup sahaja. Saya ke Perpustakaan Negara Malaysia tengahari tadi untuk mengambil tempahan salinan manuskrip. Manuskrip itu adalah berkaitan dengan tulisan Syeikh Muhammad Nafis Idris al-Banjari, ulama Alam Melayu yang sangat terkenal dengan kitab tasawwufnya iaitu al-Durr al-Nafis itu. Manuskrip yang saya tempah salinannya itu tidak mempunyai judul tetapi dibahagikan kepada empat bab utama iaitu fragmen kitab huruf huruf abjad dalam al-Quran,Ilmu haqiqat yang sebenar benar, Majmu' al-sarar dan Masalah orang yang dijadikan imam. Pada manuskrip itu ada dicatatkan tarikh ia selesai dikarang iaitu pada 8 Ramadhan 1245 H bersamaan 1829 Masehi waktu dhuha. Manuskrip itu mempunyai 44 halaman dan dinyatakan catatan oleh pihak Pusat Manuskrip sebagai lengkap iaitu tiada helaian yang tercerai atau hilang. Saya membuat salinan manuskrip ini dan cajnya ialah sebanyak RM 1 satu halaman.




Pintu masuk Perpustakaan Negara Malaysia


Pintu masuk ke Pusat Manuskrip Melayu

Ruang Pameran didalam Pusat Manuskrip Melayu


Pada ketika ini Pameran Munakahat sedang berlangsung di Ruang Pameran Pusat Manuskrip Melayu. Diatas adalah satu contoh manuskrip yang dipamerkan yang ada kaitan dengan bidang munakahat. Ada beberapa lagi mansukrip lain yang berkaitan dengan munakahat yang turut dipamerkan. Salah satunya ialah kitab Idah-ul Bab yang dikarang oleh Syeikh Daud Abdullah Fathani. Ulama yang sangat terkenal sebagai pengarang puluhan (mungkin ratusan?) kitab-kitab yang sehingga kini masih lagi ditelaah, dikaji dan disyarah di institusi pengajian khususnya pusat pengajian pondok dan masjid.

Ini pula adalah contoh replika Batu Bersurat Trengganu

Pandangan luar Perpustakaan Negara Malaysia

Satu lagi pandangan dari luar yang menonjolkan simbol kebudayaan Melayu iaitu tengkolok

Wednesday, April 29, 2009

Qasidah Burdah, Imam al-Busiri dan Alam Siber

Sehari dua ini, perjalanan saya banyak tertumpu dialam 'siber'. Saya amat meminati qasidah burdah yang dikarang oleh Imam al-Busiri. Sebelum ini, saya ada menceritakan serba sedikit tentang Qasidah karangan Imam al-Busiri dalam artikel saya bertajuk, Maulidur Rasul 1430, Antan Batura dan Masjid Negara. Dibawah ini, saya sertakan sedikit kisah ringkas tentang Qasidah Burdah karya Imam al-Busiri ini dan juga beberapa gambar yang ada kaitan dengannya yang saya perolehi sepanjang perjalanan saya di alam siber. Kebanyakan gambar ini saya perolehi di http://www.ee.bilkent.edu.tr/%7Ehistory/religious.html

Masjid Imam al-Busiri di Mesir




Seni khat yang terdapat di Masjid Imam al-Busiri


Senibina yang terdapat di Masjid Imam al-Busiri



Makam Imam al-Busiri di Mesir


Manuskrip Qasidah Burdah


Lagi gambar manuskrip Qasidah Burdah


Pandangan pintu masuk ke bilik khas yang menempatkan khazanah berharga peninggalan Junjungan Besar Rasulullah saw di Muzium Topkapi, Turki



Pintu masuk ke bilik khas tersebut


Peti khas yang menyimpan jubah Rasulullah saw


Pedang Rasulullah saw
Rambut dan Janggut Rasulullah saw

Tapak kaki Rasulullah saw

Translasi surat Junjungan Besar Rasulullah saw

Catatan Ringkas tentang Sejarah Qasidah Burdah karya Imam al-Busiri

Qasidah Burdah dikarang oleh Imam al-Busiri yang dilahirkan pada tahun 610 Hijrah (1213 Masehi) dan meninggal dunia pada tahun 695 Hijrah (1296 Masehi). Nama penuhnya ialah Syarafuddin Abu Abdillah Muhammad bin Zaid al-Busiri. Beliau berketurunan Barbar, dilahirkan di Dallas (ada menyebutnya sebagai Dalos), Morocco dan dibesarkan di Busir, Mesir. Dimasa kecil, beliau telah diasuh oleh ayahandanya sendiri dalam mempelajari al-Quran dan ilmu pengetahuan yang lain. Untuk memperdalamkan lagi ilmu agama dan kesusasteraan Arab, Imam al-Busiri lalu berhijrah ke Kaherah. Di Kaherah, Imam al-Busiri menjadi seorang sasterawan dan penyair yang ulung. Kemahirannya didalam bidang syair mengatasi para penyair lain dizamannya. Karya-karya kaligrafinya juga terkenal dengan keindahannya. Gurunya yang paling utama ialah Abdul Abbas al-Mursi yang merupakan anak murid kepada pengasas tariqat Shazili iaitu Imam Abul Hasan as-Shazili. Melalui gurunya itulah Imam al-Busiri mengambil ijazah tariqat Shazili. Imam al-Busiri juga bersahabat baik dengan Imam Ibnu ‘Ataillah al-Iskandari yang mengarang puisi tasawwuf yang sangat terkenal dalam dunia Islam dan tidak jemu-jemu disyarah sehingga ke hari ini iaitu al-Hikam.
Qasidah Burdah mengandungi 160 bait yang ditulis dengan gaya bahasa atau uslub yang menarik, lembut dan elegan. Imam al-Busiri menterjemahkan kehidupan Nabi Muhammad saw kedalam bentuk bait-bait puisi yang sangat indah. Dengan bahasa yang sebegitu indah, Imam al-Busiri telah berhasil menanamkan kecintaan dan kasihnya umat Islam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw dengan lebih mendalam. Selain dari rasa kecintaan dan kasih yang mendalam terhadap Nabi saw, nilai-nilai sastera, sejarah dan moral turut terkandung dalam qasidah tersebut. Oleh itu, tidak hairanlah apabila qasidah ini sentiasa sahaja dibaca di institusi-institusi pengajian tradisional malah qasidah ini turut diajar di Universiti al-Azhar, Mesir.
Imam al-Busiri hidup dalam zaman transisi atau perpindahan kuasa dinasti Ayyubiyyah kepada dinastik Mamalik Bahriyah. Pada ketika itu, pergolakan politik semakin gawat, akhlak masyarakat merosot dan para pemerintah terlalu mengejar kemewahan. Maka dalam suasana serba kekalutan itu, muncullah Qasidah yang dikarang oleh Imam al-Busiri yang seakan-akan mengajak manusia kembali mencontohi kehdupan Nabi saw yang berasaskan uswatun hasanah yakni suri tauladan yang baik, mengawal hawa nafsu dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar yang berasaskan al-Quran dan Hadith.
Burdah yang menjadi tema utama dalam karya al-Busiri itu adalah merujuk kepada jubah yang dipakai oleh Nabi Muhammad saw. Burdah milik Nabi Muhammad saw ini telah diberikan kepada Ka’ab bin Zuhair bin Abi Salma, seorang penyair terkenal Muhadramin (penyair dua zaman iaitu Jahiliyyah dan Islam). Riwayat pemberian burdah oleh Rasulullah saw kepada Ka’ab bin Zuhair bermula apabila Ka’ab sentiasa menggubah syair yang mengejek-ejek Nabi saw dan para sahabat. Kerana rasa jiwanya terancam, ia lari bersembunyi untuk melindungi diri dari kemarahan para sahabat. Ketika terjadi penaklukan Makkah,, saudara Ka’ab yang bernama Bujair bin Zuhair mengutus surat kepadanya yang isinya antara lain menganjurkan Ka’ab agar pulang bertaubat dan berjumpa Rasulullah saw. Setelah memahami isi surat itu, Ka’ab pun pulang ke rumah dan bertaubat. Ka’ab lalu berangkat menuju ke Madinah. Menerusi Abu Bakar as-Siddiq, Ka’ab menyerahkan diri kepada Rasulullah saw. Ka’ab mendapat penghormatan yang tinggi dari Rasulullah saw sehinggalah baginda melepaskan burdahnya dan diberikan kepada Ka’ab. Ka’ab kemudiannya menggubah sebuah qasidah yang dikenali dengan nama Qasidah Burdah. Qasidah ini ditulis dengan indah oleh seorang ahli kaligrafi, Hasyim Muhammad al-Baghdadi didalam kitab kaligrafinya yang berjudul Qawaid al-Khat al-Arabi. Burdah yang diberikan oleh Rasulullah saw kepada Ka’ab kemudiannya menjadi milik keluarga Ka’ab sehinggalah ia dibeli oleh Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan dengan harga dua puluh ribu dirham. Burdah itu kemudiannya dibeli pula oleh Khalifah Abu Ja’far al-Mansur dari dinasti Abbasiyyah dengan harga empat puluh ribu dirham. Burdah itu seterusnya dipakai pada setiap kali solat hari raya oleh khalifah dan kemudiannya menjadi tradisi turun-temurun.
Berbalik kepada cerita tentang Imam al-Busiri, beliau pernah dilantik menjadi pegawai tinggi dalam kementerian percukaian di bandar Dil Bis sewaktu pemerintahan kerajaan Mamalik. Mungkin disebabkan wujudnya korupsi dalam jabatan kerajaan, Imam al-Busiri mengambil keputusan untuk meninggalkan jawatannya lalu mengasingkan diri daripada perkara-perkara yang melibatkan dunia, kekayaan dan kuasa. Lantaran itu, beliau mendampingkan diri dengan Abu Abbas al Mursi, iaitu anak murid utama kepada pengasas tariqat Syadzili, Syeikh Abu Hassan Syadzili. seperti yang disebut awal tadi, beliau menguasai bidang sastera khususnya syair. Kehebatannya dalam bidang penulisan menyebabkan beliau disanjung-sanjung oleh masyarakat dan pegawai kerajaan termasuk Raja sendiri. Namun, nikmat ini tidak kekal lama. Imam al-Busiri tiba-tiba jatuh sakit dan diserang penyakit Syalal (lumpuh). Mengikut catatan ahli tarikh, beliau lumpuh separuh badan.Tabib-tabib yang terkemuka gagal mengubat penyakitnya. Dalam keadaan kesakitan dan tidak berdaya, Imam al-Busiri mengarang qasidah yang berkaitan dengan Nabi Muhammad saw. Qasidah-qasidah ini disusun dengan begitu indah dan diulang-ulang oleh Imam al-Busiri. Kemuncaknya,pada satu malam ketika Imam al-Busiri tertidur, beliau bermimpi melagukan qasidah-qasidah yang dikarangnya di hadapan Baginda Rasulullah saw sendiri. Rasulullah saw dalam mimpi tersebut begitu gembira dan menyukai qasidah tersebut, lantas baginda mengusap muka Imam al-Busiri dengan kedua-dua tangan baginda yang mulia. Rasulullah saw turut menyentuh bahagian tubuh Imam al-Busiri yang lumpuh dan memakaikan Imam al-Busiri dengan burdah baginda.
Sebaik sahaja tersedar dari mimpi tersebut, Imam al-Busiri mendapati beliau tidak lagi lumpuh! Imam al-Busiri dengan segera keluar dari tempatnya untuk menceritakan kisahnya kepada orang lain. Beliau bertembung dengan seorang pemuda yang bertanya kepadanya, "Syeikh, bawakan kepadaku qasidah-qasidah yang telah kau karang tentang Nabi SAW." Terkejut dengan permintaan pemuda tersebut, Imam al-Busiri bertanya, "Dimanakah anda mengetahui tentang qasidah yang kukarang? Aku tidak pernah menceritakannya mahupun melagukannya kepada sesiapapun!!" Jawab pemuda tersebut, "Aku bermimpi malam tadi bahawa Nabi SAW didendangkan dengan qasidah-qasidah yang cukup indah yang memuji baginda. Aku lihat baginda begitu gembira dan menyukai qasidah tersebut dan memakaikan pakaian baginda (burdah) kepada orang yang melagukan qasidah tersebut…Dan aku melihatmu dalam mimpiku!"
Sejak saat tersebut, Qasidah Burdah yang dikarang oleh Imam al-Busiri menjadi masyhur. Anak-anak Islam pada zaman silam diajarkan tentangnya dan menjadi nasyid harian. Malahan ramai di antara 'ulama Islam seperti Ibnu Hajar Haithami yang menganggap harus untuk mempelajari qasidah ini bagi penuntut-penuntut ilmu Islam bagi memupuk kecintaan terhadap baginda Rasulullah SAW. Selain dari Qasidah Burdah, sebuah lagi qasidah yang sangat terkenal yang dikarang oleh Imam al-Busiri ialah Qsidah Mudariyya.

Tuesday, April 28, 2009

al-Falah USJ dan al-Habib Umar bin Hafidz

Ini adalah gambar masjid al-Falah USJ 9 yang saya ambil pada 23 April 2009. Masjid ini sekali lagi akan dikunjungi oleh ulama yang sangat masyhur dalam dunia Islam pada masa ini iaitu al-Habib Umar bin Hafidz. Poster tentang kunjungan al-Habib telah diedarkan secara meluas (Maklumat terkini: Kunjungan Habib Umar bin Hafidz dibatalkan)

Masjid al-Falah USJ 9. Gambar ini diambil beberapa minit menjelang maghrib. Masjid ini sekali lagi akan menerima kunjungan ulama besar dari Tarim, Hadramaut iaitu al-Habib Umar bin Hafidz pada 11 Mei ini.



Poster tentang kunjungan al-Habib tahun ini

Gambar al-Habib Umar bin Hafidz

Pengajian al-Habib Umar di Dar al-Mustafa


Dar al-Mustafa di Tarim, Yaman. Institusi pengajian ini menjadi tumpuan pelajar dari seluruh pelusuk dunia

Suasana di Dar al-Mustafa dalam majlis maulid

Makam Nabi Hud yang terletak tidak jauh dari Dar al-Mustafa

Pengajian di Dar al-Mustafa. Lihatlah kepada wajah pelajar-pelajar yang hadir yang bukannya dari Tanah Arab sahaja tetapi dari seluruh pelusuk dunia termasuklah Eropah, Amerika Syarikat dan benua Australia

Asrama penginapan pelajar
Sedikit biodata ringkas tentang al-Habib Umar bin Hafidz

Salasilah al-Habib Umar adalah seperti berikut,
Al-Alamah al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Abdullah bin Abi Bakr bin Idrus bin Umar bin Idrus bin Umar bin Abi Bakr bin Idrus bin al-Husin bin al-Shaikh Abi bakr bin Salim bin Abdullah bin Abd. al-Rahman bin Abdullah bin al-Shikh Abd. al-Rahman al-Saqaf bin Muhammad Maulay al-Duwailah bin Ali bin Alawi bin Muhammad sahib al-saumiah ibn Alawi bin Abdullah bin al-Imam al-Muhajir ila Allah Ahmad bin Isa bin Muhammad al-Naqib bin Ali al-Aridhy bin Jafar al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zain al-Abiddin bin al-Husin al-Sibthi bin Ali bin Abi Thalib dan Fatimah al-Zahra’ binti Saidina Muhammad Khatam al-Nabiyin selawat, salam dan keberkatan ke atasnya dan ke atas mereka seluruhnya.
Al-Habib Umar dilahirkan di Bandar Tarim, Hadramaut Negara Republik Yaman sebelum fajar hari Isnin 4 Muharam 1383H bersamaan 27 Mei 1963M. Beliau mendapat pendidikan awal daripada ayahandanya yang ketika itu menjawat jawatan mufti di Tarim. Seterusnya menerima ilmu daripada ulamak-ulamak Hadramaut yang ada pada masa itu, antara guru beliau yang utama ialah al-Habib Salim bin Abdullah al-Shathry. Bermula tahun 1402H bersamaan 1982M al-Alamah al-Habib Umar berulang-alik ke al-Haramain al-Sharifain untuk menimba ilmu dan tarbiyah daripada al-Imam al-Arif al-Daiyah al-Habib Abd al-Qadir bin Ahmad al-Saqaf, al-Arif al-Daiyah al-Habib Ahmad bin Taha al-Hadad, al-Arif al-Alamah Abi Bakr al-Athas bin Abdullah al-Habasi dan beliau menerima ijazah al-Asanid daripada al-Musnid al-Shaikh Muhammad Yasin al-Fadany dan al-Alamah Muhadith al-Haramain al-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliky dan ulamak-ulamak lain.
Beliau mula mengajar dan melaksanakan tugasan dakwah Islam ketika berusia 15 tahun disamping meneruskan pengajian secara talaqi. Berdakwah, mengajar dan belajar telah sebati dalam jiwa beliau. Ayahandanya, al-Habib Muhammad bin Salim adalah salah seorang ulama intelektual Islam yang mengabdikan hidupnya dalam menyebarkan dakwah agama Islam. Beliau secara tragis diculik oleh kelompok komunis dan dipercayai telah meninggal dunia. Dalam menyampaikan dakwah, Habib Muhammad terkenal lantang dalam menyeru umat kepada jalan Allah dan syariatNya. Vokalnya dalam menyampaikan kebenaran tidak dapat dihalang sehingga dengan kepala diacukan pistol beliau tetap menyatakan kebenaran tanpa takut dan gentar. Hal ini membuatkan pemerintah komunis sangat gusar pada waktu itu. Kemuncaknya ialah pada bulan Dzul Hijjah 1392H tatkala beliau dan anakandanya al-Habib Umar yang baru berusia 9 tahun beri’tikaf dalam Masjid Jami` Tarim menunggu masuk waktu solat Jumaat, Habib Muhammad telah dijemput oleh 2 orang polis dan dibawa ke balai yang berdekatan. Sehingga selesai solat Jumaat, Habib Muhammad tidak kembali lagi. Sejak saat itu tidak ada khabar berita mengenai beliau dan tidak diketahui samada beliau telah wafat atau masih hidup. Ramai yang percaya bahawa beliau telah dibunuh syahid oleh pemberontak komunis tersebut kerana khuatir akan pengaruh dan kelantangan beliau. Didepan mata al-Habib Umar sendiri, ayahandanya diculik oleh golongan komunis lalu al-Habib ‘Umar bersendirian pulang ke rumahnya dengan membawa syal milik ayahnya. Seperti yang disebut tadi, sejak dari peristiwa itu, ayahnya tidak pernah terlihat lagi. Syal yang ditinggalkan oleh ayahandanya seakan-akan memberi petunjuk bahawa al-Habib Umar adalah calon yang bakal menyambung tugas dakwah ayahandanya. Al-Habib mula mengumpul jemaah, membentuk majlis-majlis ilmu dan menyebarkan dakwah ke seluruh pelusuk dunia. Perjuangan dan usahanya yang keras demi melanjutkan pekerjaan ayahandanya mula membuahkan hasil. Kelas-kelas dibuka bagi anak muda mahupun orang tua di masjid-mesjid setempat dimana ditawarkan pelbagai program menghafaz Al Qur’an dan juga ilmu-ilmu pengajian tradisional Islam yang lain.Pada tahun 1414H bersamaan 1994M apabila kembali ke tanah tumpah darahnya, beliau telah mengasaskan sebuah pusat pendidikan Islam yang diberi nama “Dar al-Musthafa” di Bandar Tarim Hadramaut. Ini berikutan daripada pelajar-pelajar yang datang dari beberapa Negara Islam untuk menerima didikan daripada beliau. Diperingkat awal penubuhan Dar al-Mustafa diasaskan atas beberapa matlamat seperti berikut:-
1. Menimba ilmu syariat dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya secara talaqi daripada guru-guru yang berkeahlian dalam bidang tersebut berserta sanad mereka
2. Membersihkan jiwa serta mendidik akhlak
3. Mengarusperdanakan ilmu-ilmu yang bermanafaat serta dakwah kepada Allah
Akhirnya Dar al-Musthafa mampu membangunkan tapak pengajian sendiri yang dinobatkan secara rasmi sebagai sebuah pusat pengajian dan pendidikan Islam pada 29 Zu al-Hijjah bersamaan 6 Mei 1997. Kini Dar al-Mustafa begitu mendapat perhatian daripada pelajar-pelajar seluruh dunia Islam, ditambah pula graduan-graduannya telah diiktiraf oleh al-Azhar al-Sahrif dan kebanyakan universiti terkemuka dunia Islam.
Dar-al-Mustafa menjadi hadiah beliau bagi dunia, dan di pusat pengajian itu pulalah dunia diserukan. Dalam waktu yang dapat dikatakan demikian singkat, penduduk Tarim menyaksikan berkumpulnya pada murid dari berbagai daerah atau negara yang jauh bersatu di satu kota. Murid-murid datang dari pelbagai pelusuk negara seperti dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Kepulauan Comoro, Tanzania, Kenya, Mesir, United Kingdom, Australia, Pakistan, Amerika Syarikat, Kanada dan juga negara-negara Arab yang lain.Al-Alamah al-Habib Umar al-Hafiz telah banyak membuat lawatan dakwah Islami dan menyampaikan ilmu ke negara-negara Islam lain seperti Syria, Mesir, Sudan, Pakistan, Indonesia, Brunei Darussalam dan negara kita Malaysia.

Monday, April 27, 2009

Persatuan Sejarah Malaysia dan Maktab Mahmud

Minggu lepas, saya berkunjung ke Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) untuk membeli beberapa buku yang diteribitkan oleh Persatuan itu. Buku dijual di pejabat PSM yang terletak di tingkat 3. saya sampai pada waktu tengahari, waktu rehat pejabat tetapi mujurlah ada pegawai yang ada disitu. saya mencari beberapa buku untuk bahan kajian saya namun yang ada hanyalah tiga buah iaitu tentang batu nisan Patani, sejarah Kedah dan warisan sejarah Johor. Itupun tinggal beberapa naskhah sahaja. Menurut pegawai PSM, buku-buku itu sudah tidak dicetak lagi. Banyak lagi buku-buku lain yang saya perlukan tetapi sudah kehabisan stok. Nampaknya terpaksalah saya cari buku-buku tersebut ditempat lain.

Kaunter pejabat PSM di tingkat 3

Tan Sri Dato' Haji Dol Ramli - salah seorang tenaga penting PSM

Saya tertarik dengan keratan akhbar ini yang diletakkan dalam papan kenyataan pejabat PSM. Ianya berkaitan dengan tokoh yang pertama mengelilingi dunia termasuklah tokoh Melayu zaman silam

Pintu yang terdapat di pejabat PSM. Mempunyai ukiran yang menarik.


Selesai urusan membeli buku, saya kemudiannya ke tingkat mezzanine untuk menunaikan solat. Suraunya terletak dikawasan letak kereta.


Seorang lagi tokoh penting yang mempunyai kaitan dengan sejarah PSM iaitu Dato' Omar Hashim

Namanya diabadikan pada perpustakaan PSM. Perpustakaan PSM terletak sama paras dengan surau. Saya tidak berkesempatan untuk masuk kerana saya tiba disitu waktu pejabat rehat. Perpustakaan tersebut ditutup pada waktu rehat.


Terdapat arca kemerdekaan di paras bawah
Pintu besar Galeri Sejarah di paras bawah. Walaubagaimanapun, ini bukanlah jalan utama untuk ke pejabat PSM. Dari pintu besar ini, pengunjung perlu mengambil laluan kanan disebelah pintu besar ini untuk ke pejabat PSM.

Wisma Sejarah yang menempatkan pejabat PSM, perpustakaan dan juga ruang galeri.

Wisma Sejarah ini terletak bersebelahan dengan Perpustakaan Negara Malaysia iaitu di Jalan Tun Razak. Jika ingin menjadi ahli PSM, disinilah tempatnya.

Inilah buku yang telah saya beli ketika berkunjung di PSM. Saya membeli buku Beberapa Aspek Sejarah Kedah itu kerana ada beberapa artikel menarik yang saya perlukan untuk bahan kajian saya. Salah satunya ialah artikel tentang Maktab Mahmud. Maktab ini terletak di utara semenanjung atau lebih tepat lagi di Negeri Kedah.

Inilah gambar bangunan utama Maktab Mahmud yang saya ambil dari laman web memori-kedah.net. Semasa saya kecil, saya pernah tinggal berdekatan dengan maktab ini. Kini anak saudara sebelah isteri saya menuntut disini tetapi dicawangan lain. Khabarnya, beliau akan melanjutkan pelajaran ke Jordan tahun ini.

Ini merupakan gambar peletakan batu asas yang telah disempurnakan oleh Tunku Mahmud. Nama maktab diambil dari nama tokoh ini (diambil dari laman web memori-kedah.net)

Tunku Mahmud, pengasas Maktab Mahmud(diambil dari laman web memori-kedah.net)

Tuan Haji Ismail Bin Hashim, bekas pelajar Maktab yang telah mengharumkan nama maktab . Beliau telah menjadi johan musabaqah peringkat kebangsaan sebanyak sembilan kali dan lapan kali di peringkat antarabangsa (diambil dari laman web memori-kedah.net)

Berikut saya sertakan sejarah ringkas Maktab dan tokoh-tokoh terkenal yang pernah menimba ilmu di Maktab yang penuh bersejarah ini,

Sejarah ringkas Maktab Mahmud (Maktab Mahmud Putera & Maktab Mahmud Puteri )
Maktab Mahmud Putera berasal daripada sebuah sekolah Arab Ugama iaitu Madrasah Hamidiah, nama yang diambil sempena nama DYMM Sultan Abdul Hamid yang memerintah Kedah ketika itu. Madrasah Hamidiah ini diasaskan pada tahun 1908 oleh Tuan Sheikh Haji Wan Sulaiman bin Haji Wan Sidek iaitu Kadi Besar Negeri Kedah ketika itu. Guru besar yang pertama ialah Tuan Haji Yasin bin Mohamad Tahir. Bangunannya bertempat di Limbong Kapal. Pada tahun 1937, penuntut-penuntut madrasah ini telah berpindah ke bangunan baru yang terletak di Simpang Kuala. Peletakan batu asas untuk bangunan baru ini telah dilaksanakan oleh pengasasnya sendiri iaitu Tunku Mahmud ibni almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Makramul Shah pada hari Jumaat 29 Rabiul Awal 1355 Hijrah bersamaaan 19 Jun 1936 Masihi. Bangunan baru ini kemudiannya dirasmikan oleh DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin dan menukar nama kepada Almaahadul Mahmud iaitu sempena nama Tunku Mahmud (Regent dan President State Consul Negeri Kedah), pengasas bagi bangunan baru ini. Maktab Mahmud Puteri ini pula berasal daripada sebuah sekolah Arab iaitu Attarbiatul Banat. Madrasah ini diasaskan oleh Tuan Haji Saad bin Said pada awal tahun 1948 di rumahnya di Kota Tanah. Tuan Haji Saad merupakan bekas guru Maktab Mahmud dan bekas kadi besar Negeri Kedah. Pada awal tahun 1958, sekolah ini telah berpindah ke bangunan barunya di Jalan Pegawai dan menukar nama kepada Madrasah Attarbiatul Islamiah. Pada tahun 1968, Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak bin Datuk Hussin telah menyampaikan bantuan untuk membina bangunan baru bagi sekolah ini. Pada 25hb April 1969, Yang Amat Berhormat Tun telah merasmikan pembukaan bangunan baru itu.
Kedua-dua sekolah ini berada di bawah pentadbiran pengetua dan lembaga pengelola yang berasingan. Kedua-dua sekolah ini menjalankan pelajaran Ugama mengikut sukatan pelajaran Malaysia sendiri di samping sukatan dari Timur Tengah. Pada 1hb Januari 1973, kedua-dua sekolah ini telah diletakkan di bawah satu lembaga pentadbiran dan seorang pengetua menurut Enakmen Lembaga Maktab Mahmud 1967. Maktab Mahmud Putera dan Maktab Mahmud Puteri ini diletakkan dibawah satu pentadbiran iaitu Lembaga Maktab Mahmud.
Rujukan dari memori-kedah.net

Tokoh lepasan Maktab Mahmud

DATO' PADUKA SHEIKH ABDUL MAJID BIN MOHD NOOR
Bekas Pengetua Maahad Mahmud.
Bekas Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dato' Setia Jaya - DHM,DPCK,PCK

Pengerusi Jawatankuasa fatwa Negeri Kedah

DATO' JAYA PERKASA DATO' SHEIKH MOHD YUSUF BIN HAJI ISMAIL-DCDK,BCK

Bekas Yang Dipertua Majlis Agama Islam Ahli Jawatankuasa SPA Kedah

TUAN SHEIKH ABDUL RAZAK BIN HJ MOHD YUSUF-BCK

Pendaftar Jamiah Islam Negeri Kedah Darul Aman (INSANIAH)

DATO' SHEIKH MAHMUD NAIM

Setiausaha Zakat Negeri Kedah

PROFESOR DATO'DR. OSMAN BIN ISHAK

Bekas rektor Jamiah Islam Negeri Kedah Darul Aman (INSANIAH)

Pengerusi Lembaga Maahad Mahmud

DATO' DR. ABDUL HALIM BIN ISMAIL

Bekas Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia

DATO' DR. ISMAIL BIN IBRAHIM

Bekas Ketua Pengarah IKIM

DR. BALKHIS BINTI ABU BAKAR

Prof. Madya Fakulti Bahasa Arab, UKM, Bangi

DR. HAJJAH SAODAH BINTI HJ HASSAN

Pensyarah Fakulti Bahasa Arab, UKM, Bangi

YB SENATOR MEJAR JENERAL(B) DATO’ HAJI JAMIL KHIR BIN HAJI BAHAROM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Sunday, April 26, 2009

al-Jenderami dan Pulau Tiga

Selesai menghantar pelajar menyertai pertandingan KAMIL peringkat Daerah Sepang 2009, saya bergerak menuju ke Bangi kerana ada urusan disana. Saya mengambil jalan Dengkil-Kajang dan kemudiannya melalui kawasan Yayasan al-Jenderami. Teringat masa majlis maulid tempoh hari, saya ada membuat tempahan buku. Langsung saya ambil keputusan untuk singgah sekejap di Yayasan al-Jenderami.

Papan tanda Yayasan al-Jenderami di tepi jalan. Yayasan ini terletak di Kampung Baru Jenderam Hilir. Ada lebih kurang 10 km dari Bangi atau 25 km dari Puchong (kalau tak silap saya)

Papan tanda Selamat Datang ini terletak berhampiran dengan pintu masuk Yayasan

Inilah wajah Yayasan al-Jenderami disebelah siang. Dalam program maulid sebelum ini, saya hanya berkesempatan mengambil gambar di sebelah malam (rujuk Kenangan Maulidur Rasul 1430 di al-Jenderami).

Pada ketika itu, ada pengajian sedang berlangsung di masjid Yayasan

Saya berjumpa Syeikh Ahmad Roee untuk bertanyakan tentang tempahan buku. Masa majlis maulid tempoh hari, kami ada juga ber'soreh-soreh' tentang salasilah. Kami berbual di ruang pameran Yayasan al-Jenderami. Saya tertarik dengan satu poster yang memaparkan gambar ulama terkenal di Selangor iaitu almarhum Tuan Guru Haji Mohd Zain Tama bersama dengan tenaga-tenaga penting Yayasan al-Jenderami (rujuk gambar atas)

Satu lagi gambar yang menarik perhatian saya ialah gambar beramai-ramai tenaga utama Yayasan al-Jenderami dengan almarhum Tuan Guru Haji Hasyim Abdul Aziz, seorang lagi ulama terkenal Selangor

Di ruang pameran itu juga, ada dipamerkan kitab al-Quran yang bertulisan tangan

Kitab-kitab yang pernah dan masih menjadi teks pengajian di Yayasan al-Jenderami dihimpunkan diruang pameran untuk tatapan pengunjung

Seronok berjumpa dengan Syeikh Ahmad Roee yang kalau tak silap saya merupakan Pengurus Besar Yayasan al-Jenderami. Beliau berasal dari Parit, Perak. Dalam kesempatan yang terlalu singkat, ada jugalah beberapa perkara yang kami bualkan tentang salasilah. Satu perkara menarik yang disebutnya ialah adanya makam seorang ulama besar di Pulau Tiga, Perak. Ulama tersebut dimakamkan berhampiran dengan makam Sultan Perak. Insyallah, jika diizinkan Allah swt, saya akan menziarahi makam ulama tersebut. Saya tidak dapat berbual lama kerana ada urusan lain yang perlu diselesaikan di Bangi. Lebih kurang pukul 11.30 pagi, saya kembali di SRA Dato' Ahmad Razali. Acara-acara yang disertai oleh pelajar saya telahpun selesai dan kini hanya menantikan keputusan pertandingan.

Lebih kurang pukul 1.15 tengah hari, azan Zohor berkumandang. Saya ke masjid ini yang letaknya bertentangan dengan SRA Dato Ahmad Razali.

Di pintu gerbang (sebelah dalam masjid), tercatat nama masjid tersebut iaitu Masjid as-Shariff


Dewan solat utama masjid. Kelihatan bilal sedang mengumandangkan azan




Kombinasi mimbar dan ruang imam