Friday, May 29, 2009

Taman Warisan Pertanian, Daeng Selili

Sabtu yang lepas, saya sekeluarga bersama dengan dua orang tenaga pengajar MAPTAM telah mengunjungi Taman Warisan Pertanian. Letaknya Taman Warisan ini ialah di Precint 16, Putrajaya. Walaupun tinggal di Puchong hampir 5 tahun tetapi inilah kali pertama saya sampai disini. Pada hari itu, isteri saya beria-ria mengajak kami sekeluarga makan di luar. Saya pun lalu bertanya kepada isteri saya, "Nak makan kat mana?". Isteri saya diam. Lalu saya mencadangkan kepada isteri saya supaya bertanya pada sepupunya. Sepupunya memang suka mencari tempat makan yang sedap-sedap. Lalu sepupu saya mencadangkan supaya pergi ke Taman Warisan yang terletak di Precint 16. Katanya, disitu sesuai untuk mereka yang berkeluarga sebab suasana pun tenang dan tempatnya pun menarik serta bersih. Selepas Isyak, kami bertolak ke Putrajaya. Lebih kurang 20 minit kami sampai. Saya memesan satay manakala isteri saya memesan Roti John. Sepupu isteri saya beria-ria suruh kami mencuba Roti John tu.



Taman warisan Pertanian di Precint 16, Putrajaya



Kaunter Taman Warisan Pertanian


Peta Taman Warisan. Saya tidak dapat mengagak keluasan kawasan tersebut. Maklumlah kami tiba pun sebelah malam dan pertama kali pula.


Selepas menghabiskan Roti John dan beberapa cucuk satay, saya bersiar-siar dengan anak saya dikawasan sekitar. Ada beberapa kiosk atau gerai jualan terdapat disitu tetapi kebanyakannya dah tutup. Yalah, jam pada waktu itu pun dah menunjukkan hampir pukul 10.00 malam. Ketika meninjau kawasan sekitar, tiba-tiba saya tertarik dengan sebuah kiosk/gerai yang menjual barang-barang lama seperti keris, barangan purba dan sebagainya.


Menurut poster yang terdapat diluar kedai tersebut, katanya kedai itu adalah yang pertama di Putrajaya. Mungkin juga sebab jarang ada kedai yang menjual barangan-barangan lama sebegini.

Suasana di Taman Warisan Pertanian sangat damai. Kawasan sekitar dihias dengan senibina Melayu lama. Suka saya melihat lampu-lampu yang mempunyai rekaan zaman silam. Kedai yang menjual keris dan barangan lama tadi mengingatkan saya kepada sebuah cerita lama yang telah mempertautkan kembali hubungan dua bersaudara. Ianya adalah berkait dengan moyang saya juga iaitu Daeng Selili yang lebih dikenali sebagai Haji Besar dan Daeng Hanasah yang lebih dikenali sebagai Nakhoda Hitam dan La Tata Ambralla. Kedua-dua tokoh ini merupakan watak penting dalam sejarah Perak sekitar abad ke-18 tidak lama dahulu. Ceritanya begini,

Semasa dalam pelayaran balik dari Makkah setelah menunaikan fardu haji, beliau (Daeng Selili) telah singgah di Pulau Sembilan yang terletak di Kuala Sungai Perak. Disitulah Daeng Selili bertemu dengan seorang Panglima Bugis yang sangat ditakuti oleh orang-orang Belanda bernama Nakhoda Hitam. Orang-orang Belanda menganggap Nakhoda Hitam itu sebagai perompak laut yang sangat kejam dan ganas tetapi yang sebenarnya Nakhoda Hitam adalah seorang pahlawan yang sangat dihormati oleh orang-orang Bugis dan lain-lain bangsa Bumiputera di Nusantara kerana keberaniannya. Beliau dikatakan hanya menyerang dan merompak kapal-kapal Belanda sahaja. Nakhoda Hitam lebih suka menentang Belanda dimana-mana juga di perairan Nusantara tetapi dihari-hari kebelakangan, beliau lebih suka menetap di sekitar Pulau Sembilan sahaja untuk menentang dan menyerang kapal-kapal Belanda yang datang ke negeri Perak untuk membeli bijih timah. Nakhoda Hitam dipercayai tidak lagi balik ke negara asalnya iaitu Tanah Bugis setelah negeri itu ditakluk oleh Belanda semenjak dari tahun 1667. Ketika Daeng Selili sampai di Pulau Sembilan, beliau telah ditentang oleh Nakhoda Hitam. Nakhoda HItam itu dikatakan La Tata Ambralla, seorang panglima Bugis yang sangat terkenal didalam sejarah. La bererti Lelaki, Tata bererti perkasa dan Ambralla bererti Laksamana lelaki perkasa. Peristiwa berlaku bila Daeng Selili yang juga digelar Haji Besar berhenti berehat di Pulau Sembilan untuk menunaikan sembahyang dan berehat seketika dalam perjalanan pulang dari Mekah ke Sulawesi. La Tata menyangkakan Daeng Selili seorang perisik upahan Belanda lalu mengambil tindakan untuk menyerang Daeng Selili. Sebenarnya Daeng Selili dihantar ke Makkah oleh bapanya kerana beliau terlalu bengis dan bapanya berbuat demikian untuk menginsafkannya. Perdamaian berlaku bila La Tata terlihat keris bersarungkan emas dan mempunyai bentuk pajar saleh (mengikut tulisan Petri Noor Jaliah) atau Khalid (mengikut tulisan A Halim Nasir) di buntutnya yang dipakai oleh Daeng Selili yang menunjukkan beliau berketurunan Raja Bugis. Maka sudah pasti beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Belanda sekaligus menghapuskan tanggapan La Tata sebelum ini. Daeng Selili kemudiannya mengambil keputusan untuk menetap di Pulau Sembilan.

Asalnya Daeng Hanasah menyangkakan bahawa Daeng Selili itu adalah sekutu Belanda tetapi setelah melihat keris yang tersarung padanya, tahulah Daeng Hanasah bahawa Daeng Selili itu adalah saudara kandungnya yang sudah lama tidak ditemuinya. Kedua-duanya kemudian mengadap Sultan Perak pada waktu itu lalu membantu Sultan untuk mentadbir kerajaan.

Tuesday, May 26, 2009

Masjid Kampung Tuan, 1830

Masjid Kampung Tuan mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan ulama besar Alam Melayu iaitu Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani. Hubungan yang dimaksudkan ialah menerusi anaknya iaitu Syeikh Abdur Rahman yang lebih dikenali oleh masyarakat setempat sebagai Tuan Mandak. Beliaulah yang telah meletakkan batu asas untuk membangunkan masjid ini. Masjid ini yang terletak berdekatan dengan bandar Chukai dalam daerah Kemaman telah dibina pada tahun 1830. Tokoh yang bertanggungjawab membangunkan masjid ini ialah anak Syeikh Abdur Rahman yang juga merupakan cucu kepada Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani iaitu Syeikh Abdush Shamad yang mempunyai nama yang sama dengan datuknya. Syeikh Abdush Shamad lebih dikenali sebagai Tuan Wok. Menurut tulisan Mohammad Tajuddin Mohammad Rasdi dalam karyanya, The Architectural Heritage of the Malay World yang diterbitkan oleh Penerbit UTM (rujuk mukasurat 79 hingga 83), kedua-dua waris Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani ini adalah merupakan tokoh agama yang sangat disegani dan dihormati oleh masyarakat setempat. Dizaman kedua-dua tokoh besar ini, masjid ini dikatakan telah menjadi pusat perkembangan sufi yang sangat terkenal di Alam Melayu. Kini masjid ini menjadi salah satu warisan berharga tanahair. Gambar masjid yang saya sertakan didalam makalah ini telah dirakam oleh sahabat saya, Haji Salleh Bador dan anaknya, Nor Safwan Amirul ketika berkunjung ke Kemaman pada awal tahun ini.




















Friday, May 22, 2009

Khutbah Jumaat, Kewajipan mentaati dan membalas jasa ibu

Telah dua minggu berturut-turut saya bersolat Jumaat di masjid dalam kawasan KL, hari ini saya bersolat Jumaat dalam kawasan Selangor. Khutbah pada hari ini bertajuk Kewajipan mentaati dan membalas jasa ibu. Hayatilah teks khutbah ini seperti yang saya lampirkan dibawah ini,


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita bersungguh-sungguh dan berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan sentiasa mematuhi dan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita memperolehi kesejahteraan dan kerahmatan dari Allah dalam menjalani kehidupan kita di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam Surah Al-Isra' ayat 23:
Maksudnya:
"Dan Tuhan mu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-dua sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun seperti perkataan "ah" adalah tidak dibenarkan dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang baik dan mulia (bersopan santun)".
Dalam Islam kita dituntut agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan tuntutan tersebut adalah suatu kewajipan yang perlu ditunaikan . Ini kerana setiap permulaan kehidupan manusia adalah bermula dengan kelahiran dari seorang ibu. Oleh itu, Islam memandang serius hukum dan adab berkaitan hubungan anak dengan seorang ibu .
Kita diperintahkan untuk sentiasa melakukan kebaikan , berlemah lembut, berbudi bahasa dan bersopan santun terhadap mereka. Lantaran itu juga kita diharamkan dan dilarang keras untuk melakukan kekasaran terhadap mereka samada dengan perbuatan mahupun percakapan hatta dengan perkataan "ah" sekalipun tidak di benarkan memandangkan perkataan menyanggah seperti tersebut menunjukkan tanda ingkar atau membenci terhadap tindakan mereka.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN
Islam memandang berat pengorbanan seorang ibu kerana merujuk kepada kepayahan dan kesusahan mereka ketika mengandungkan kita, membesar, memelihara dan mendidik kita sehingga kita mampu berdikari.
Firman Allah dalam Surah Lukman ayat 14:
Maksudnya:
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ,ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepada ku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepad Aku lah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan".
Pengorbanan mereka adalah pengobanan yang cukup besar. Maka atas dasar itulah Islam menggandingkan tanggungjawab mentaati ibubapa mengiringi persoalan mentauhidkan Allah.
Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 36:
Maksudnya
"Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua pun dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang yang bermusafir dalam kesusahan dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan suka membangga diri".
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Perintah untuk menyembah Allah dan larangan mensyirikkanNya diikuti dengan berbuat baik dengan kedua ibu bapa adalah menunjukkan begitu rapatnya hubungan antara persoalan taat kepada Allah dan taat kepada kedua ibu bapa. Namun dewasa ini, terdapat dikalangan anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab terhadap ibubapa mereka. Mereka tidak mempedulikan nasib ibu bapa, jarang bertanya khabar tentang sakit pening mereka, kurang prihatin terhadap kesusahan mereka. Bahkan, terdapat juga di kalangan kita menambah bebanan kepada ibu bapa seperti menyuruh menjaga cucu, menjadi pembantu rumah bahkan ada yang sanggup menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang-orang tua dan mengabaikannya.
Ingatlah bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda:
Bermaksud:
"Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa".
Walaubagaimanapun tidak menjadi kesalahan untuk menghantar ibubapa dengan kerelaan mereka sendiri untuk menginap di premis-premis atau rumah jagaan yang dikhususkan untuk mengikuti program-program yang telah disediakan seperti aktiviti-aktiviti ilmiah dan ibadah untuk warga emas. Oleh itu masyarakat setempat perlulah mengambil inisiatif terbaik dengan mewujudkan tempat-tempat pengajian bagi orang-orang tua seperti manayang terdapat di beberapa kawasan di negeri Selangor ini.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian
Sesungguhnya begitu besar sekali peranan dan pengorbanan kedua ibu bapa kita, lebih lebih lagi terhadap ibu. Ini adalah berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
Maksudnya :
"Muawiyah bin Haidah Al-Qusairi telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Siapakah orang yang paling patut untuk aku berbuat baik?. Baginda menjawab: Ibu Mu. Aku bertanya lagi: Kemudian siapa?. Baginda menjawab: Ibu Mu. Aku bertanya lagi: Kemudian siapa?. Baginda menjawab: Ibu Mu. Aku bertanya lagi: Kemudian siapa?. Baginda menjawab: Bapa Mu, seterusnya orang yang paling hampir denganmu" .
Menurut maksud Hadis tersebut pengulangan lafaz ibumu menunjukkan tentang ketinggian martabat seorang ibu tanpa menafikan hakikat dan tanggung jawab seorang ayah.
Dalam kita mengenang jasa ibu sempena kita menyambut hari ibu setiap tahun marilah sama-sama kita bermuhasabah dan berikrar untuk sentiasa menyayangi dan menjaga hubungan baik dengan ibu kita. Berusahalah agar kita tidak menyakiti hati ibu kita yang selama ini entah berapa kali kita telah menyakiti dan menyentuh hati dan perasaan mereka. Ingatlah, perbuatan menyakiti hati seorang ibu adalah merupakan dosa yang cukup besar. Berjanjilah kita bahawa kita akan menjadi anak yang tidak menderhaka kepada kedua ibu bapa kita.
Adalah sesuatu yang amat mengecewakan kita pada hari ini apabila ada sebahagian anak-anak tidak lagi hormat kepada ibu-bapa, berani memaki hamun apabila tidak mendapat apa yang dihajati malah lebih dahsyat sanggup melakukan jenayah seperti memukul, sepak terajang bahkan lebih dahsyat hingga sanggup membunuh ibu-bapa sendiri. Ini adalah tanda jiwa mereka sudah tandus daripada keimanan bahkan jiwa mereka sebenarnya telah dikuasai oleh syaitan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian.
Di antara amalan yang diajar oleh Islam untuk kita membalas jasa ibu bapa adalah dengan kita mendoakan kesejahteraan ke atas mereka.
Disamping itu, kita hendaklah sentiasa mengunjungi dan menziarahi mereka serta menghulurkanlah bantuan dan kewangan. Sentiasalah kita bertanya khabar dan prihatin tentang kesihatan mereka. Sebagai anak maka kita hendaklah sentiasa mendahulukan keutamaan ibu dari orang lain.
Marilah kita mengambil iktibar peristiwa yang pernah berlaku di zaman Nabi s.a.w. iaitu kisah seorang pemuda bernama Al-Qamah yang lebih mengutamakan isterinya berbanding ibunya sendiri. Akibatnya, ketika saat kematiannya al-Qamah tidakmampu untuk mengucap kalimah syahadah sehinggalah ibunya memaafkan kesalahan al-Qamah. Akhirnya, barulah al-Qamah dapat menghembuskan nafasnya dengan penuh tenteram.
Mahukah peristiwa tersebut terjadi kepada diri kita?. Semoga kita tidak termasuk dari golongan yang menderhakai kedua ibu bapa kita
Firman Allah dalam surah Al-Isra' : 24)
Maksudnya :
"Dan Hendaklah engkau merendahkan diri kepada keduanya kerana kasihan belas dan kasih sayang Mu dan Doakanlah untuk mereka dengan berkata : Wahai tuhan kami cucurilah rahmat kepada kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil".
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha Berkuasa, kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha kearah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya Negeri Selangor, sebagai Negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. Justeru kami pohon kehadratmu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat suburkanlah jiwa kami dengan budaya pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit , persengketaan , kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian Negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Sunday, May 17, 2009

Sairus Salikin, Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani

Minggu ini saya mengikuti pengajian kitab Sairus Salikin yang disyarah oleh Syeikh Fahmi ZamZam di Masjid al-Falah USJ 9. Catatan tentang pengajian itu boleh dilayari disini, Bab Rahsia Sembahyang (3). Kitab ini telah dikarang oleh Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani ulama besar Alam Melayu abad ke-18. Dibawah ini, ada saya serta sedikit catatan ringkas tentang tokoh besar ini.

Manuskrip lama Sairus Salikin



Kolah baru (tempat ambil wudhu') di Masjid al-Falah USJ 9


Catatan Ringkas Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani dan senarai kitabnya
Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani merupakan satu nama besar dalam perkembangan intelektualisme Islam di Alam Melayu. Ketokohannya pada abad ke-18 dianggap melengkapi nama-nama besar sebelumnya seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin Al-Raniri, Abdur Rauf Singkel, Yusuf Al-Maqassari, dan banyak lagi.
Riwayat hidup Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani sangat sedikit diketahui dan satu-satunya kitab yang ada memberikan sedikit informasi tentang catatan hidup Syeikh Abdush Shamad ialah Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah yang ditulis oleh Hassan bin Tok Kerani Mohammad Arsyad pada tahun 1968. Kitab itu menyebut bahawa, Syeikh Abdush Shamad adalah putera kepada Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani (ada yang mengatakan al-Mahdali), seorang ulama keturunan Arab (Yaman) yang diangkat menjadi Mufti negeri Kedah pada awal abad ke-18. Sementara ibunya, Radin Ranti adalah seorang wanita Palembang. Tentang bagaimana ayahandanya boleh sampai ke Kedah, ianya berkait dengan pengembaraan Putera Mahkota Kedah. Dalam pengembaraan Putera Mahkota Kedah, Tengku Muhammad Jiwa ke Palembang, ia bertemu dengan Syeikh Abdul Jalil lalu berguru padanya. Tengku Muhammad Jiwa lalu membawa gurunya mengikutinya mengembara ke pelbagai negeri sehingga sampai ke India. Setelah beberapa lama di perantauan, Tengku Muhammad Jiwa mendapat khabar bahawa Sultan Kedah telah mangkat. Tengku Muhammad Jiwa lalu mengajak gurunya itu, Syeikh Abdul Jalil pulang bersamanya ke negeri Kedah. Tengku Muhammad Jiwa lalu dinobat menjadi Sultan pada tahun 1112 H/1700 M manakala Syeikh Abdul Jalil diangkat menjadi Mufti Kedah dan dinikahkan dengan Wan Zainab, puteri Dato’ Seri Maharaja Dewa, Sultan Kedah. Tiga tahun kemudian Syeikh Abdul Jalill kembali ke Palembang bagi memenuhi permintaan beberapa muridnya yang rindu padanya. Di Palembang, Syeikh Abdul Jalil bernikah dengan Radin Ranti dan memperolehi seorang putera, Abdush Shamad yang kelak menjadi tokoh besar di Alam Melayu. Dengan demikian kemungkinan Syeikh Abdush Shamad lahir tahun 1116 H/1704 M. Syeikh Abdush Shamad dikatakan mendapat pendidikan awal di Kedah dan Patani (Thailand Selatan). Setelah itu, ia melanjutkan pengajian di Makkah dan Madinah. Di Makkah dan Madinah, Syeikh Abdush Shamad Al-Falimbani mendalami pelbagai disiplin ilmu kepada ulama-ulama besar pada masa itu serta para ulama yang berkunjung ke sana. Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani nampaknya sangat cenderung pada ilmu tasawwuf. Beliau menimba ilmu tasawwuf antaranya dari Syeikh Abdur Rahman bin Abdul ‘Aziz al-Maghribi dengan menadah kitab Al-Tuhfatul Mursalah (Anugerah yang Diberikan) karangan Syeikh Muhammad Fadlullah al-Burhanpuri (wafat pada 1030 H/1620 M) dan Syeikh Muhammad bin Abdul Karim al-Samman al-Madani (wafat pada 1190 H/1776 M) dengan menadah kitab tauhid (suluk) Syeikh Mustafa al-Bakri (wafat pada 1162 H/1749 M). Bersama sahabat-sahabatnya yang juga ulama terkemuka Alam Melayu iaitu Muhammad Arsyad al-Banjari, Abdul Wahab Bugis dan Abdul-Rahman Masri Al-Betawi dari Jakarta, mereka membentuk empat serangkai yang bersama-sama menuntut ilmu di Makkah dan belajar tariqat di Madinah kepada Syeikh Muhammad al-Samman. Seorang lagi tokoh besar Alam Melayu yang dikatakan turut serta dengan ulama empat serangkai itu ialah Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani.
Antara kitab karangan Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani seperti yang dicatat oleh Almarhum Ustaz Wan Mohd Saghir ialah seperti berikut,

1. Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, 1178 H/1764 M.
2. Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan Bagi Nikah, 1179 H/1765 M.
3. Hidayatus Salikin fi Suluki Maslakil Muttaqin, 1192 H/1778 M.
4. Sairus Salikin ila ‘Ibadati Rabbil ‘Alamin, 1194 H/1780 M-1203 H/1788 M.
5. Al-‘Urwatul Wutsqa wa Silsiltu Waliyil Atqa.
6. Ratib Sheikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani.
7. Nashihatul Muslimina wa Tazkiratul Mu’minina fi Fadhailil Jihadi wa Karaamatil Mujtahidina fi Sabilillah.
8. Ar-Risalatu fi Kaifiyatir Ratib Lailatil Jum’ah
9. Mulhiqun fi Bayani Fawaidin Nafi’ah fi Jihadi fi Sabilillah
10. Zatul Muttaqin fi Tauhidi Rabbil ‘Alamin
11. ‘Ilmut Tasawuf
12. Mulkhishut Tuhbatil Mafdhah minar Rahmatil Mahdah ‘Alaihis Shalatu was Salam
13. Kitab Mi’raj, 1201 H/1786 M.
14. Anisul Muttaqin, manuskrip dalam simpanan penulis.
15. Puisi Kemenangan Kedah.

Tuesday, May 12, 2009

Majlis Tafaqquh Mei 2009 Masjid Muhsinin

Sabtu yang lepas, saya menghadiri majlis tafaqquh di Masjid Muhsinin yang terletak di Taman Desa. Teks pengajian yang digunakan ialah al-Iqna' yang disyarah oleh al-Fadhil Tuan Guru Dato' Haji Salleh Haji Ahmad dan Matan Jauharatut Tauhid yang disyarah oleh al-Fadhil Ustaz Zamihan Mat Zin al-Ghari. Majlis bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir sekitar jam 12.30 tengahari. Saya ada mencatat syarahan yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Zamihan di sini, Syarah Matan Jauharatut Tauhid.



Dalam gambar ini, kelihatan Tuan Guru Dato Haji Salleh Haji Ahmad sedang mengupas teks kitab al-Iqna'


Masjid al-Muhsinin dari luar


Dewan Serbaguna yang terletak dibangunan sekolah rendah agama. Disinilah majlis berlangsung


Ruang mimbar masjid


Pemandangan kubah masjid dari dalam



Ruang dewan solat utama masjid



Tempat mengambil wudhu'



Masjid al-Muhsinin dari luar. Dewan serbaguna terletak bersebelahan dengan masjid ini

Monday, May 11, 2009

Tuan Guru Dato' Haji Salleh Haji Ahmad, Kitab al-Iqna'

Saya berasa sangat beruntung kerana telah berjaya menghadirkan diri di Majlis Tafaqquh di Masjid al-Muhsinin pada hari Sabtu lepas untuk menimba ilmu dibawah seorang ulama yang sangat alim dan faqih didalam bidangnya iaitu Tuan Guru Dato' Haji Salleh bin Haji Ahmad. Tuan Guru telah menggunakan kitab Iqna' yang telah dikarang oleh Syeikh Khatib Syarbini dalam majlis ilmu tersebut.

Kitab al-Iqna'

Dibawah ini saya sertakan catatan ringkas tentang Tuan Guru.

Catatan ringkas tentang Tuan Guru Dato' Haji Salleh Haji Ahmad :
Tuan Guru dilahirkan di Permatang Sungai Dua, Kepala Batas. Ayahanda beliau ialah seorang ulama terkenal di Perak iaitu Tuan Guru Haji Ahmad bin Yunus. Ayahandanya pernah menimba ilmu di Makkah selama 13 tahun dan sezaman dengan Tuan Mufti Kelantan Dato’ Haji Mohammed Nor Ibrahim, Syeikh Ahmad Hussein Pokok Sena dan Tuan Guru Haji Ahmad Kenali Kelantan. Ibunya pula ialah Hajjah Habibah binti Haji Shahabuddin yang mempunyai susur galur dengan ulama terkenal Syeikh Abdul Ghafur Jawi al-Kelantani[1]. Tuan Guru Dato’ Haji Salleh menuntut ilmu di Pondok Gajah Mati, Pendang selama 7 tahun. Setelah itu beliau menyambung pelajaran di Irsyadiah, Bagan Dato’. Di Irsyadiah, beliau menimba ilmu dari Tuan Guru Dato’ Haji Ghazali Arshad[2] atau lebih masyhur namanya sebagai Tuan Guru Haji Ghazali Batu 26.


Tuan Guru Dato' Haji Ghazali Arshad

Setelah itu beliau menyambung pengajian ke MPI, Kota Bharu. Tuan Guru memiliki dua Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Master dalam Fiqh Muqarin dari al-Azhar pada tahun 1978. Salah seorang gurunya yang masyhur di Mesir yang sering disebut namanya ketika majlis ilmu yang saya hadiri tempoh hari ialah Syeikh Muhammad Najib al-Muthi’i as-Syafi’i. Syeikh Muhammad Najib menyempurnakan Al Majamu’ Syarh Muhadzab, sebuah kitab mazhab Syafi’i yang dikarang oleh Imam Abu Ishaq As Sairazy yang sebelumnya disyarah oleh Imam Nawawi dan Taqiyuddin As Subki. Beliau mengarang kitab al-Majmu' Syarah al-Muhadzaba dari jilid 13 – 20 dan menyempurnakan syarah Imam Nawawi (676 H) yang hanya sampai jilid 9. Setelah itu disambung pula oleh Taqiyuddin as-Subki (756 H) yang hanya melanjutkan dari jilid 10 - 12. Ada satu kisah menarik yang diceritakan oleh Tuan Guru tentang bagaimana Syeikh Muhammad Najib mendapat ilham untuk menyambung kitab ini. Kata Tuan Guru, pada satu malam, Syeikh Muhammad Najib telah bermimpi berjumpa Imam Nawawi. Dalam mimpinya itu, Imam Nawawi telah meminta kepadanya agar menyambungkan syarah kitab tersebut. Bermula dari situlah, Syeikh Muhammad Najib mula mengarang kitab tersebut sehingga berjaya menyudahkannya pada jilid ke-20. Tuan Guru pernah menjadi Pensyarah YPTIK, UM Nilam Puri, UM KL, dan UIAM. Beliau juga merupakan AJK Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Perak, AJK Fatwa Perak, Panel Syariah Bank Muamalat, Panel Syariah JAKIM. Beliau banyak menulis buku dan menyampaikan kuliah serata nusantara. Beliau merupakan tenaga penting dalam Persatuan Ulama' Malaysia (PUM).

Tuan Guru Dato Haji Salleh Haji Ahmad



[1] Cucunya yang menjadi ulama yang masyhur di Alam Melayu ialah Syeikh Jalaluddin al-Kelantani, ulama yang telah membuka pusat pengajian pondok yang sangat terkenal di Sungai Dua, Seberang Perai satu masa dahulu
[2] Beliau sezaman dengan ulama-ulama Perak yang terkenal pada satu masa dahulu seperti Mufti Haji Ismail Hamzah, Sheikh Zubir al-Filfulani, Mufti Haji Ghazali Abdullah, Tuan Guru Haji Mohd Arshad Mohd Salleh dan Tuan Guru Haji Abdul Samad Nuh. Beliau dilahirkan di Pasir Panjang Laut, Setiawan Perak pada 13 Rabiul Akhir 1319 Hijriyah (1901). Moyangnya Sheikh Mansur berasal dari Yaman, manakala ibunya, Hajah Puteri Madinah Mat Saman berketurunan Megat Terawis, pahlawan Perak yang terkenal pada satu masa dahulu. Pada awalnya, Haji Ghazali dihantar belajar di Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut selama lima tahun. Pada tahun 1912, beliau dimasukkan ke Pondok Lubuk Merbau, kemudian berhijrah ke Kedah kerana berguru dengan Tuan Hussin Kedah di Pondok Bagan Ulu, Pantai Merdeka dan Pondok Selengkoh, Sungai Limau, Yan. Setelah itu, beliau mengambil masa lima tahun lagi untuk mendalami ilmu agama di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam di bawah bimbingan Sheikh Salleh Masri sehingga tahun 1919. Setelah pengajian peringkat asas ditamatkan, Tuan Guru Haji Ghazali bertolak ke Makkah dengan niat mahu menambahkan lagi ilmu agamanya. Di Makkah beliau mengambil kesempatan untuk menadah kitab dengan ulama-ulama di Masjidil Haram. Dalam masa yang sama, Haji Ghazali telah memasuki Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah, sebuah pusat pendidikan Islam yang terkenal di Makkah ketika itu dan dikendalikan oleh ulama-ulama anti-British dari India. Selepas empat tahun, beliau lulus Syahadah Nihayah pada 1926. Beliau tidak terus pulang, sebaliknya menyambung pengajian dalam halaqah ulama di Masjidil Haram dan pusat pengajian lain di Makkah sehingga 1930. Antara gurunya di Makkah ialah Sheikh Hassan al-Masyat, Pak Da Ail al-Fathani, Sheikh Muhammad Ali al-Maliki, Sheikh Ahmad Khurasan, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok, Sheikh Harun Kambang Minangkabau, Syed Hussin Abdul Nabi, Sheikh Ibrahim Zaidan dan Sheikh Mokhtar Atarid. Selepas 11 musim haji menggali ilmu di Makkah, barulah beliau pulang ke Malaya. Beliau dikatakan alim dalam ilmu balaghah, mantik, falakiah, tafsir, hadis dan fekah. Selepas kembali ke Tanah Melayu, Haji Ghazali menyambung pengajiannya dengan Tuan Hussin Kedah di Pondok Pokok Sena, Seberang Prai. Kerana sumbangan besar beliau dalam dunia dakwah dan pendidikan, pada 1989 Tuan Guru Haji Ghazali dianugerahkan sebagai Tokoh Ulamak Silam oleh UKM, diikuti oleh anugerah Tokoh Maal Hijrah Hilir Perak (1989), Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak (1990) dan anugerah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak pada 1992 yang membawa gelaran Dato’. Lima tahun kemudian, iaitu pada 10 Mei 1997, Tuan Guru Dato’ Haji Ghazali Arshad telah meninggal dunia dalam usia 98 tahun.





Friday, May 8, 2009

Syeikh Abdurrahman, Amal Makrifat

Saya menunaikan solat Jumaat disebuah masjid berdekatan dengan Bulatan Pahang. Inilah kali pertama saya bersolat disitu. agak meriah juga suasana di perkarangan masjid. Ada jualan kitab, kopiah dan makanan dibahagian luar masjid. Saya parking motor saya betul-betul dihadapan gerai jualan seperti yang tertera dalam gambar dibawah.




Cuaca sebenarnya agak panas dan terik. Dalam perjalanan saya untuk ke bahagian atas masjid, saya terjumpa adinda saya, Tuan Haji Khairul Rizal yang kebetulan turut bersolat disitu. Beliau bersama dengan rakannya. Selesai bertanya khabar dalam masa yang singkat, saya naik ke atas.



Kubah masjid dari bahagian luar. Agak comel tetapi bila saya masuk ke bahagian dalam, besar juga ruang kubah ini.

Menara masjid kelihatan disisi kiri masjid

Keadaan dalam masjid setelah selesai solat. Setelah selesai menunaikan solat, saya bergerak ke Perpustakaan Negara Malaysia. Tujuan saya ialah untuk mencari kitab tulisan Syeikh Abdurahman, salah seorang ulama yang sangat terkenal di Alam Melayu pada penghujung abad ke 19 dan awal abad ke 20. Nasabnya sampai kepada Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, ulama yang sangat terkenal di Alam Melayu pada abad ke-18 dengan kitabnya yang paling masyhur, Sabilal Muhtadin. Antara cucu-cicit Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang aktif menulis ialah Syeikh Abdurrahman dan Tuan Hussein Kedah. Kitab-kitab tulisan Syeikh Abdurrahman ada saya senaraikan dibawah ini.


Syeikh Abdurrahman al-Banjari, Mufti Inderagiri

Salah satu kitab tulisan Syeikh Abdurrahman yang saya temui di Perpustakaan Negara Malaysia iaitu Risalah Amal Makrifat (seperti dalam gambar diatas). Satu lagi kitab yang saya temui di Perpustakaan Negara ialah Risalah Tazkirah.

Catatan ringkas Syeikh Abdurrahman al-Banjari

Syeikh Abdurrahman Shiddiq bin Muhammad ‘Afif al-Banjari رحمه الله تعالى mempunyai jalur keturunan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari رحمه الله تعالى. Ayahnya bernama Haji Muhammad ‘Afif bin Haji Anang Mahmud bin Haji Jamaluddin bin Kiyai Dipa Santa Ahmad bin Fardi bin Jamaluddin bin Ahmad al-Banjari. Jalur sebelah ayahnya bertemu dengan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari menerusi ibu Haji Muhammad Afif bernama Sari binti Khalifah Haji Zainuddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, iaitu daripada perkahwinan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dengan Tuan Guat. Disebelah ibunya pula, jalur keturunannya bertemu dengan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari menerusi datuk ibunya yang bernama Shafura binti Mufti Haji Muhammad Arsyad bin Mufti Haji Muhammad As'ad. Ibu Mufti Haji Muhammad As'ad bernama Syarifah binti Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang merupakan anak kepada Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dengan isterinya yang bernama Tuan Bajut. Syeikh Abdurrahman dilahirkan pada tahun 1288H dan wafat pada hari Isnin 4 Sha’ban 1358H bersamaan 18 September 1939M dalam usia 70 tahun. Syeikh Abdurrahman mendapat pendidikan awal dari keluarganya yang yang sangat dihormati di Banjar kerana alim dan waraknya. Beliau sampai di Makkah pada musim haji tahun 1306H, dan tinggal di sana hingga tahun 1312H. Antara sahabatnya sewaktu belajar di Makkah adalah Tuan Husein Kedah al-Banjari (lahir 1280H/1863M), yang juga bersusur-galur dari Syeikh Muhammad Arsyad tetapi bermastautin di Kedah, Haji Abdullah Fahim (lahir 1286H/1869M), Tok Kenali (lahir 1287H/1871M) dan ramai lagi. Antara guru-gurunya sewaktu di Mekah adalah Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, Sayyid Bakri Syata’, Syaikh Abdul Qadir bin Abdurrahman al-Fathani dan ramai lagi. Sekembalinya dari Makkah, beliau terus ke Martapura, dan kemudian pindah ke Bangka sebelum melanjutkan pengembaraannya ke seluruh Semenanjung buat menziarahi teman-temannya, di antaranya Tok Kenali. Beliau ditawar untuk menjadi mufti di beberapa negeri yang disingahinya tetapi ditolak dengan baik. Akhirnya Syeikh Haji Abdurrahman Shiddiq membuka perkampungan sendiri yang diberi nama Parit Hidayat di Inderagiri Hilir. Disana, beliau membuka pengajian sistem pondok. Syeikh Haji Abdur Rahman Shiddiq lalu dilantik sebagai Mufti Kerajaan Inderagiri. Dibidang penulisan, karya-karya Mufti Haji Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari seperti yang disenarai oleh almarhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Saghir adalah seperti berikut,
1. Asrarus Shalah, diselesaikan pada bulan Rejab 1320H. Kandungannya membicarakan mengenai sembahyang. Cetakan yang pertama Mathba' Haji Muhammad Sa'id bin Haji Arsyad, Kampung Silong, Jalan Arab Street, Kedai Surat No, 82 Singapura, akhir Zulhijjah 1327H. Cetakan selanjutnya oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1348H/1929M (cetakan ketiga).
2. Fat-hul `Alim, diselesaikan pada 10 Syaaban 1324H. Kandungannya membicarakan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah secara lengkap. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 28 Syaaban 1347H/8 Januari 1929M.
3. Risalatut Tazkirah li Nafsi wa lil Qashirin Mitsli, diselesaikan pada 20 Syaaban 1324H. Kandungannya merupakan tazkirah dan nasihat yang dipetik daripada Majmu' karangan Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Cetakan pertama, Tempat Cap Haji Muhammad Amin, Singapura, 1324H.
4. Risalah Amal Ma'rifat, diselesaikan di Sapat, Inderagiri, 8 Rabiulawal 1332H. Kandungannya membicarakan akidah menurut pandangan tasawuf. Cetakan yang kedua, 30 Muharam 1344H oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura.
5. Syair Ibarat dan Khabar Kiamat, diselesaikan 25 Zulhijjah 1332H. Kandungannya menceritakan peristiwa Hari Kiamat ditulis dalam bentuk syair. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 9 Syaaban 1344H.
6. Risalah Kecil Pelajaran Kanak-kanak Pada Agama Islam, diselesaikan 1 Safar 1334H. Kandungannya merupakan pelajaran fardhu ain untuk kanak-kanak. Cetakan yang ketiga oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1348H/1929 M.
7. Aqaidul Iman, diselesaikan di Sapat, Inderagiri, 16 Rabiulawal 1338H. Kandungannya membicarakan tentang akidah. Cetakan baru oleh Toko Buku Hasanu, Jalan Hasanuddin Banjarmasin atas izin Mahmud Shiddiq, Pagatan, Kota Baru, Pulau Laut, Kalimantan Selatan, 1405M. Diterbitkan daripada salinan tulisan tangan oleh Hasan Bashri Hamdani.
8. Syajaratul Arsyadiyah, diselesaikan 12 Syawal 1350H. Kandungannya membicarakan asal-usul Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan keturunan-keturunannya. Cetakan pertama oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura.
9. Risalah Takmilah Qaulil Mukhtashar, diselesaikan 10 Safar 1351H. Kandungannya menceritakan tanda-tanda Hari Kiamat dan mengenai kedatangan Imam Mahdi. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, dicetak kombinasi dengan Syajaratul Arsyadiyah (103 halaman) oleh pengarang yang sama, dan Risalah Qaulil Mukhtashar fi `Alamatil Mahdil Muntazhar (55 halaman) karya Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari.
10. Mau'izhah li Nafsi wa li Amtsali minal Ikhwan, diselesaikan 5 Rejab 1355H. Kandungannya merupakan kumpulan pengajaran akhlak. Cetakan yang pertama oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1355H.
11. Beberapa Khuthbah Pakai Makna Karangan Jaddi as-Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya merupakan kumpulan khutbah yang pernah diucapkan oleh Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 101 Jalan Sultan, Singapura, tanpa dinyatakan tahun cetakan.
12. Majmu'ul Ayat wal Ahadits fi Fadhailil `Ilmi wal `Ulama' wal Muta'allimin wal Mustami'in, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya merupakan kumpulan hadis serta terjemahannya dalam bahasa Melayu. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1346H/1927M.



Wednesday, May 6, 2009

Berbudi kepada tanah

Jumaat yang lepas, kawan isteri saya telah mengadakan majlis sambutan hari jadi untuk anak kembarnya (kedua-duanya lelaki) dirumahnya di Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi. Majlis bermula selepas solat Jumaat, kebetulan pada hari itu adalah cuti umum kerana cuti Hari Pekerja. Walaubagaimanapun, kami sekeluarga sampai agak lewat kerana menyangkakan majlis bermula selepas Asar. Namun ada juga hikmahnya kerana cuaca tidaklah begitu terik disebelah petang. Setelah selesai menjamu selera, saya mengambil angin diluar rumah. Ketika berada diluar rumah, saya tertarik dengan persekitaran disebelah rumah kawan isteri saya itu. Rumahnya cantik dihiasi dengan pebagai jenis pokok yang dijaga dengan kemas. Rupanya rumah sebelah itu didiami oleh adik kepada kawan isteri saya. Beliau masih bujang dan tinggal bersama dua orang rakannya yang lain. Ketika masuk ke kawasan rumahnya, kelihatan ada seorang pemuda berusia pertengahan 20-an sedang sibuk meng'adun' pokok-pokok yang ditanam. Beliau merupakan kawan kepada adik kawan isteri saya yang juga merupakan salah seorang penghuni rumah itu. Kami bersalaman. Namanya Khaidir. Beliaulah yang telah menanam pelbagai jenis pokok di perkarangan rumah tersebut. Dari pokok-pokok hiasan, sayuran dan juga buah-buahan, semuanya dialah yang menanamnya. Nampaknya, tangan dia memang serasi betul dengan tanah. Semuanya tanamannya sangat menjadi, mungkin berkat hasil dia berbudi dengan tanah. Kira-kira hampir dua tahun yang lepas dimana kali terakhir saya datang ke sini, rumah ini belum didiami orang. Perkarangannya semak samun. Kini keadaannya berubah bila si Khaidir dan yang lain mendiami rumah ini.

Antara pokok yang ditanam oleh Khaidir


Saya bertanya Khaidir, pokok-pokok ini untuk dijual ke? Dia kata, tidak. Memang dah minat dia dari dulu lagi.

Ini adalah pokok kiambang. Asalnya Khaidir membeli tiga kuntum sahaja yang dijual dengan harga RM1. Kini sudah membiak dengan kadar yang cukup banyak. Jangan tak percaya, dalam setiap bekas kiambang itu, ada ikan gapi!

Ini pokok ribu-ribu. Sangat cantik kerana menjalar rimbun. Khaidir kata pokok ini sangat senang tumbuh. Ia tumbuh menerusi benih yang ada pada bunganya. Kata Khaidir, atas tanah disekitarnya penuh dengan anak-anak pokok ribu-ribu. Mungkin disebabkan spora bunganya pecah lalu bertaburan diatas tanah dan kemudiannya bercambah.

Di satu sisi, Khaidir membela ikan didalam akuarium. Rupanya didalam rumah juga ada akuarium yang sama besar saiznya seperti diluar. Kotak-kotak polisterin yang terdapat didalam gambar diatas berisi kiambang dan gapi. Kemas teratur ditepi dinding rumah.

Inilah kotak-kotak polisterin itu. Didalamnya mengandungi puluhan (atau mungkin ratusan?) ikan gapi. Anak saya yang kecil leka melihat ikan-ikan ini bermain.


Si Khaidir ini cukup teliti dan kreatif orangnya. Untuk mencantikkan mini kolam yang diperbuat dari polisterin itu, diletakkannya batu-batu yang disusun dengan gaya tersendiri. Terhubur bila tengok ikan-ikan berenang dicelah-celah batu itu


Ini adalah pokok roselle yang ditanam oleh Khaidir. Roselle kini cukup popular dijadikan jus minuman kerana baik untuk kesihatan. Khabarnya, Roselle ini kaya dengan vitamin C.


Pelbagai jenis tanaman yang ditanam oleh Khaidir

Pokok orkid juga 'menjadi' ditanam oleh Khaidir

Inilah kawasan 'halaman' yang menjadi tempat Khaidir berkebun dan membela ikan. Kawasannya tersebut taklah begitu besar tetapi benar-benar dimanfaatkan oleh Khaidir dengan berbudi kepada tanah.

Monday, May 4, 2009

Pengkalan Hulu dan Pondok Pak Teh



Pengkalan Hulu merupakan sebuah pekan yang agak terpencil tetapi unik kerana ia bersempadan dengan Negara dan negeri. Di bahagian utara, pekan ini bersempadan dengan negara Thailand, sementara di sebelah baratnya pula, ia bersempadan dengan negeri Kedah. Pekan-pekan yang berhampiran adalah Pekan Daerah Baling di Kedah dan Pekan Daerah Betong di Thailand yang jaraknya adalah lingkungan 15 km dan di negeri Perak pula, Pekan Daerah Gerik adalah yang terhampir iaitu dengan jarak lingkungan 30 km. Dahulunya, nama pekan ini dikenali sebagai Keroh. Pada 4 Januari 1984, semasa pemerintahan Sultan Perak ke-33 iaitu Almarhum Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah (Sultan Idris Shah II), baginda telah berkenan meminda nama Keroh kepada Pengkalan Hulu kerana tempat ini menjadi tempat persinggahan apabila baginda berangkat ke daerah Hulu Perak. Sejarah Pengkalan Hulu bermula sebagai pusat pentadbiran Negeri Reman (sebahagian daripada Negeri Patani) yang mana sempadan negerinya adalah Kedah dan Patani. Bagaimanapun, Raja Reman telah menceroboh Kelian Intan dan mengusahakan perlombongan bijih timah di situ, sehinggalah tercetusnya beberapa siri pertikaian dengan Kerajaan Perak dan beberapa perjanjian yang diusahakan antara pihak Inggeris, Siam dan Perak. Pada tahun 1902, Kerajaan Siam telah menghapuskan sistem pemerintahan beraja di Negeri Reman. Setelah itu, Kerajaan Siam telah menyerahkan daerah Hulu Perak kepada Kerajaan Perak. Istiadat penyerahan daerah Hulu Perak yang penuh bersejarah itu dilangsungkan di Keroh (kini Pengkalan Hulu) pada 16 Julai 1909. Asal-usul nama Pengkalan Hulu bermula dengan sebuah sungai kecil yang mengalir melalui kawasan ini. Sungai yang mengalir ini berpunca dari sebuah kampung yang bernama Selarong. Selarong bermaksud 'denai gajah' dalam bahasa Arab. Sungai ini menjadi tempat mandi dan berkubang gajah-gajah kepunyaan Raja Reman yang bilangannya menjangkau ratusan ekor. Bagi memudahkan gajah-gajah tersebut mandi, Raja Reman telah memerintahkan agar empangan dibina untuk membendung air. Aliran sungai yang diempangkan itu menjadi sebuah tasik kecil dengan keadaan airnya yang sentiasa keruh. Disebabkan itulah pekan ini telah dinamakan sebagai Keroh pada masa dahulu.
Tinggalkan sejarah silam dan kembali berpijak kepada realiti sekarang. Pengkalan Hulu selain terkenal kerana kawasan sempadannya dan juga tempat-tempat pelancongan yang menarik mempunyai satu lagi daya tarikan iaitu sebagai pusat pengajian ilmu tradisi Islam. Pusat pengajian tersebut ialah Madrasah Ad Diniah Al Latiffiah atau lebih dikenali oleh masyarakat setempat sebagai Pondok Pak Teh. Pusat pengajian ini sangat terkenal di peringkat Perak dan juga tanahair kerana berjaya melahirkan ramai alim-ulama yang bertebaran di seluruh tanahair.





Pengasasnya ialah Tuan Guru Haji Abdul Latif bin Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Pak Teh. Pak Teh mendirikan pusat pengajian ini pada tahun 1967 dan lokasinya adalah berdekatan dengan perkarangan rumahnya. Pusat pengajian ini teletak di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu dalam daerah Hulu Perak.

Tuan Guru Dato' Haji Abdul Latif Abdul Rahman



Pak Teh merupakan anak jati kelahiran Kampong Kuak Hulu, Pengkalan Hulu. Beliau dilahirkan pada tahun 1938. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dalam tahun 1947 hingga 1953 dengan menamatkan pengajian hingga darjah 5. Pada peringkat awal, beliau mula menghafal kitab-kitab agama dengan dibimbing oleh Ustaz Omar Mohd Noh. Selepas itu beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat menengah di Sekolah Arab (sistem pondok) yang dikenali dengan nama Pondok Asam Jawa yang terletak di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959. Pak Teh sebenarnya seorang pelajar yang pintar kerana beliau berpeluang melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar tetapi tidak meneruskannya kerana kemiskinan.[1] Kemudian Pak Teh meneruskan pengajian di Sekolah Agama Pondok Pasir Tumboh iaitu Sekolah ad-Diniah Bakriah, Kelantan selama lebih 9 tahun iaitu dari tahun 1959 hingga 1967. Beliau sempat berguru dengan beberapa orang ulama terkenal seperti Tuan Guru Haji Mohamad Saman, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Haji Ahmad, Tuan Guru Haji Sulaiman Mohd Rabik, dan juga ulama-ulama terkenal yang bermastautin di Kelantan iaitu Tuan Guru Haji Mustafa, Tuan Guru Haji Abdul Aziz dan Tuan Guru Haji Hashim Haji Abu Bakar.[2] Beliau telah dapat mengekalkan pengajian secara sistem pondok di mana pengajian ditumpukan dengan mempelajari kitab-kitab Thurath iaitu kitab-kitab tradisi Islam. Beliau adalah pakar rujuk dalam berbagai hal mengenai masalah agama. Mewarisi minat bapanya, Pak Teh juga minat bercucuk tanam dan berkebun buah-buahan. Minatnya itu juga kini tertumpah pada anak-anak muridnya dimana pelbagai jenis tanaman di tanam di pusat pengajian tersebut. Selain dapat memanfaatkan tanah-tanah yang ada, tanam-tanaman ini juga dapat memberikan pendapatan sampingan apabila dijual. Antara tanaman yang ditanam ialah seperti ubi kayu, pinang, pisang, nenas, kangkung, bayam, sawi, tebu dan macam-macam lagi buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pokok-pokok akar kayu untuk perubatan.
Pada peringkat awal penubuhan Madrasah Ad Diniah Al Latiffiah, bilangan murid yang menerima cara pendidikan yang diperkenalkan itu hanyalah seramai tiga orang. Kini setelah madrasah tersebut menjangkaui usia lebih 35 tahun bilangan murid yang belajar di situ melebihi 400 orang secara sepenuh masa.

Salah satu blok bangunan tempat pengajian



Pak Teh merupakan ahli jawatankuasa Syariah Negeri Perak sejak dari tahun 1994. Pengetahuannya yang luas khususnya dalam pemakaian kaedah kitab Arab dan cermatnya beliau dalam mengeluarkan sesuatu usul atau pandangan telah banyak membantu perjalanan jawatankuasa Syariah dan majlis fatwa Perak. Diatas sumbangannya yang besar, Pak Teh telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan DYMM Paduka Sultan Perak ke 76 baru-baru ini. Istiadat pengurniaan tersebut telah berlangsung pada 19 April 2004 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Kebanyakkan pengajian ilmu dimadrasah ini adalah bersumber daripada Kitab-kitab Jawi yang lebih popular dikenali sebagai kitab kuning dan kitab-kitab Arab. Kaedah pengajian di madrasah ini yang berasaskan system pengajian pondok selalunya menggunakan 2 kaedah utama iaitu umumi dan nazomi.Selain itu juga kelas hafalan dipraktikkan secara meluas dalam sistem pengajian pondok. Antara kitab yang digunakan di Pondok Pak Teh ialah Minhajul Abidin(tasawuf), Mughni Muhtaj(feqah), Syuzu(nahu), Hadis Muwatta Imam Malik, Fathul Muin, Fathul Wahhab, Tafsir Nasafi, Ibnu Akil, Syarkawi, Usul Fiqh, Matan Zubad(feqah) dan Matan Majmuk Azhari.

Surau yang menjadi tempat pengajian

Kebanyakan tenaga pelajar di Pondok Pak Teh ialah pelajar-pelajar senior dari Pondok Pak Teh.

Ustaz Ahmad Rozaini salah seorang tenaga pengajar di Pondok Pak Teh

Di Pondok Pak Teh, para pelajar bukan sahaja diajar hal-hal berkaitan agama tetapi juga dididik supaya berdikari.


Pondok pelajar

Mereka ditempatkan di pondok masing-masing dan disitulah mereka belajar bagaimana menguruskan kehidupan seharian mereka sendiri. Dengan dibimbing oleh tenaga pengajar dan pelajar-pelajar senior, mereka dididik berdikari bermula dari awal subuh hinggalah ke waktu tidur. Mereka melakukan kerja-kerja harian seperti membasuh baju, memasak, mengemas tempat berteduh dan membaiki pondok sekiranya rosak. Hikmahnya dalam proses berdikari ini ialah ia mampu membentuk jatidiri serta tidak bergantung kepada sesiapa kecuali pada Allah Taala.

Pemandangan madrasah

Laluan ke pondok kelamin dan muslimat

Para pelajar di Pondok Pak Teh juga diajar asas kehidupan, bagaimana mencari rezeki dari titik peluh sendiri. Mereka bebas bercucuk tanam di tanah yang dimiliki oleh Pak Teh hasil pusaka arwah mertua Pak Teh.

Tentang pengalaman tinggal di Pondok Pak Teh, saya memetik catatan yang dibuat di http://lordnoor.blogspot.com/2008/06/pondok-pak-teh-pengkalan-hulu.html yang saya rasakan sangat menarik untuk dikongsi bersama.

Persekitaran yg sederhana, bersuasana desa, dipayungi pohon-pohon hijau dengan pondok-pondok pelajar yg bertebaran, serta ayam dan kambing yg berkeliaran mungkin tidak menarik minat mereka yg biasa dengan cara hidup kota dan dibesarkan dalam dimensi kemodenan. Namun di pondok-pondok yang usang, tinggal para pelajar dan di surau yg berlantaikan papan bersilingkan zink, transaksi ilmu mengambil tempat dengan penuh adab dan tradisi keilmuwan, mencuit hati sesiapa sahaja yg berkesempatan ke sana. Kitab-kitab silam ditadah dengan penuh khusyuk, sesudah subuh, sesudah zohor, sesudah asar, sesudah maghrib dan sesudah isyak. Selepas solat subuh, kelihatan 3-4 orang pelajar menghampiri Tuan Guru, menyemak hafalan matan-matan yg berbeza. Namun yang ajaibnya, ketajaman deria dengar dan ingatan Tuan Guru dapat sahaja menangkap andainya ada silap dalam hafalan mereka, walaupun setiap mereka membaca matan yg berbeza secara serentak di hadapan Tuan Guru. Penyampaian kuliah di dalam bahasa melayu, dialek siam, Kelantan dan utara. Mereka yg baru mungkin berasa pening dan asing dengan penyampaian si Tuan Guru.Pada waktu malam, kedengaran suara-suara mengatasi bunyi unggas, yg sibuk mengulangkaji pelajaran dan hafalan. Dari Ilmu Nahu ke Ilmu Feqah, riuh di merata pondok suara pelajar mengulangkaji. Tidak cukup dengan kuliah umum kelolaan Tuan Guru di surau, ada juga kelas-kelas mini yg diajar oleh Ustaz-ustaz yg terdiri dari murid senior di pondok. Ada Ustaz-ustaz yg telah menghabiskan masa selama 30 tahun di pondok dan ada yg baru 8 tahun. Kedalaman ilmu mereka mengagumkan walaupun tidak punya sijil, diploma atau ijazah di dalam bidang agama. Bagi yag hanya sementara di sana (seperti teman), boleh diminta Ustaz-ustaz ini mengajarkan secara peribadi mengikut masa yg bersesuaian. Berbekalkan kitab dan sebatang lilin dihadapan sang Ustaz yg terjerit-jerit ibarat “naik syeikh”, teman mengaji ilmu nahu dengan kitab “Syarah Mukhtasar Jiddan A’la Al-Ajrumiyyah”, antara kitab nahu yg paling asas diajarkan di pondok itu. Perkataan dibaca sepatah-sepatah dan dihurai sepatah-sepatah. Tidak hairanlah kalau dalam ½ jam, hanya setengah mukasurat yg mampu dihabiskan. Ada juga beberapa perkara yg menarik dapat diperhatikan di sana. Antaranya, solat subuh hanya bermula pabila Tuan Guru membuka pintu rumahnya dan masuk ke surau (rumah Tuan Guru dan surau bersambung). Selalunya solat subuh pada jam 6:40-6:45 pagi, agak lewat juga kiranya. Begitu juga menariknya bila Tuan Guru tidak mahu mengimamkan solat, murid-murid akan mencari mereka yg paling senior untuk menjadi imam. Apabila yg senior pun enggan menjadi imam, yg muda-muda akan menjadi imam. Namun, sesudah habis solat dan wirid, imam muda tadi akan menepuk lantai dan Tuan Guru atau si senior yg ada di dalam surau akan membaca doa, tak kira di mana duduknya murid senior itu, kadangkala di belakang imam dan kadangkala dibucu surau. Dapat diamati yg mereka ini memuliakan Tuan Guru dan abang-abang seguru mereka, suatu sikap yang sudah jarang wujud dalam diri para pelajar masa kini. Murid-murid juga akan bangun sebelum memulakan kuliah dan mereka hanya duduk sesudah Tuan Guru duduk. Begitu juga halnya sesudah kuliah, mereka akan bangun dan kekal berdiri sehinggalah Tuan Guru masuk ke rumah, barulah mereka beredar. Bersalam dengan Tuan Guru juga ada waktunya. Kalau tak silap, hanya pada hari Selasa dan Khamis sesudah asar Tuan Guru akan bersandar dan akan bersalam dengan anak muridnya yg mencecah jumlah 300 orang. Tangan digarap dan dicium oleh anak murid, dari yang muda hinggalah yang tua bangka. Sikap rendah diri para pelajar serta sistem pembelajaran yg berperingkat, dari yang paling asas ke tahap yg lebih tinggi menjadi faktor penyumbang kepada kefahaman mendalam para pelajar di dalam bidang agama. Kepelbagaian disiplin ilmu, seperti ilmu nahu, sorof, feqah, hadith, tafsir, mantiq dan tasawuf, serta pengekalan penggunaan kitab-kitab silam seperti Tafsir Nasafi, Mataz Zubad, Sahih Bukhari dan Muslim, Matan Ajrumiyyah, Matan Qatar, Fathul Wahab, Matan Syuzu dan banyak lagi, membuktikan yang pondok masih relevan di zaman moden ini, dalam memelihara warisan mereka yang terdahulu, yg kian di jauhi oleh masyarakat Islam di kala ini. Mungkin tempoh pengajian dua minggu tidak melayakkan diri ini untuk bercerita perihal pondok Pak Teh. Tapi dua minggu itu memberi kesan yang amat dalam, betapa perlunya memuhasabah diri ini dan bersikap rendah diri, walaupun bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Shariah, kerana ijazah itu bukannya kayu pengukur yg menjamin kita lebih alim dan bijaksana dari warga pondok ini.

Gambar foto yang saya muatkan dalam artikel ini kebanyakannya saya petik dari http://addiniahallatiffiah.blogspot.com/
[1] Rujuk http://mufti.perak.gov.my/berita/berita040612-4.htm
[2] Rujuk http://mufti.perak.gov.my/berita/berita040421-1.htm



Tuan Guru Dato Haji Abdul Latif Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Pak Teh


Lagi pemandangan madrasah






Papan tanda madrasah






Pejabat madrasah