Wednesday, July 29, 2009

Blog baru - Resensi buku

Alhamdulillah tercapai juga hajat saya untuk membina blog ini. Blog ini saya didedikasikan kepada ayahanda saya yang sangat saya muliakan, Ayahanda Tuan Haji Zainal Badri bin Ahmad Rafaai. Blog ini boleh dicapai di alamat berikut, http://ikantongkol09-buku.blogspot.com. Blog ini menghimpunkan usaha peribadi saya memperkenalkan buku-buku yang berada dalam koleksi saya samada yang baru dan lama. Mudah-mudahan usaha kecil ini dapat memberi manfaat kepada tetamu yang datang berkunjung ke laman blog ini. Insyallah.

Tuesday, July 28, 2009

Ahad yang Dingin, Pesta Buku Selangor 2009

Hujan lebat dari sebelah malam berlanjutan hingga ke pagi Ahad. sengaja saya letakkan timba di tepi longkang untuk melihat tinggi mana takungan air didalamnya. Ternyata, hujan malam tu memang lebat. Penuh satu baldi. Air hujan tu saya gunakan buat menyiram anak-anak pokok buah-buahan di laman rumah. Hujan adalah rahmat. Sebenarnya dah lama tak hujan. Pokok saya banyak yang dah layu sebab cuaca semenjak dua menjak ni panas sangat. Agaknya bulatan elips kita mengelilingi matahari dah makin mengecil kut dan matahari menjadi semakin dekat dengan kita, Wallahualam. Apapun lebih kurang pukul 9.00 pagi, saya bertolak ke al-Jazari. Disebabkan jalan agak lengang, saya sampai 1/2 jam kemudian. Sempatlah saya pergi membeli suratkhabar di kedai yang berdekatan dan baca dua tiga topik penting yang terpampang di dada akhbar hari itu. Syeikh memulakan syarahan lebih kurang jam 10 pagi. Syarahan ditamatkan agak awal kerana Syeikh ada urusan. Saya kemudiannya bergerak menuju ke kedai Pak Jawahir kerana menurutnya kedai buka pukul 11 pagi. Tapi bila saya sampai, kedai belum dibuka lalu saya ke Perpustakaan Negara Malaysia. Khabarnya ada jualan buku stail car boot sale. Jenuh saya mencari tempat parkir. Akhirnya saya mengalah apabila tiada tempat kosong dan saya terus pulang. Petangnya, saya bersama keluarga pergi ke Pesta Buku Selangor 2009 yang diadakan di Kompleks PKNS. Saya mengharapkan sesuatu di Pesta Buku ini maksudnya yang lebih baik dari Pesta Buku sebelumnya tetapi gagal. Pesta Buku kali ini tidak banyak bezanya dengan tahun lepas. Skala saiz Pesta Buku terlalu kecil bagi saya walaupun dinyatakan bahawa ia adalah sambutan peringkat negeri. Bagi saya, pesta buku seharusnya berskala besar. Selain daripada itu, harga buku yang dijual juga memainkan peranan. Seharusnya dalam pesta buku, harga buku yang ditawarkan mestilah jauh lebih rendah dari pasaran biasa. Bagi saya kalau setakat diskaun 5% atau 10%, itu bukanlah pesta buku namanya. Pengalaman saya bersembang dengan beberapa rakan yang pernah berkunjung ke Pesta Buku di Indonesia misalnya di Jogjakarta atau di Jakarta sangat jauh bezanya dengan Pesta Buku di tempat kita. Disana, lambakan buku dijual oleh pelbagai penerbit dengan harga yang ditawarkan berkali-kali ganda lebih murah dari harga pasaran biasa. Namun, ini hanyalah pandangan peribadi saya. Apapun dari pulang tangan kosong, saya beli dua buah buku. Satu buku yang ditulis oleh Tuan Guru Dato Haji Saleh bertajuk Risalah al-Ahkam. Memang dah lama saya nak beli buku ni tapi asyik tertunda saja. Dan satu lagi ialah buku biografi tentang almarhum Ustaz Niamat Yusoff. Rasanya buku ni agak rare juga kerana saya belum lagi terjumpa buku ini dipasaran buku biasa. Insyallah, kedua-dua buku akan saya perkenalkan diruangan blog resensi kemudian nanti. Saya sebenarnya tengah plan nak established satu lagi blog yang menghimpunkan buku-buku yang pernah saya baca/miliki/telaah/kaji yang saya rasa wajar dikongsi dengan pembaca lain.




Ruang pameran buku di ruang legar Kompleks PKNS (bahagian luar)

Pameran buku di bahagian dalam Kompleks PKNS. Rasanya tak sampai 50 penerbit mengambil bahagian dalam pesta ini

Kitab Risalah al-Ahkam karangan Tuan Guru Dato Haji Saleh. Harga asal RM 40

Buku biografi tentang almarhum al-Ustaz Niamat Yusoff dengan tajuknya Ulama Arkitek Kemanusiaan. Saya beli dengan harga RM 10. Dapat hadiah buku nota satu, pen dan sebuah buku antologi puisi.

Tuesday, July 21, 2009

Ahad, Sambutan Isra' dan Mikraj

Saya memang ternanti-nanti majlis ini. Sejak dari pagi lagi, saya asyik melihat jam, Allah, rasa lambat betul masa berjalan. Sebelum asar, saya bersiap-siap untuk ke Taman TAR. Dalam masa bersiap-siap tu, kepala saya terantuk kat tangga, berdenyut-denyut kepala. Kepala bengkak dan berdarah sikit. Agaknya dosa saya banyak sangat sampai terantuk kepala kat tangga. Ya Allah, ampunkanlah dosaku. Lepas isteri saya menyapu minyak angin kat kepala, saya pun bergerak ke Taman TAR. Sampai di Taman TAR lebih kurang pukul 5.50 ptg. Orang pun dah ramai. Petugas RELA dah mula mengawal lalu-lintas. Saya parkir kereta lebih kurang 200 meter dari masjid. Kereta-kereta pun dah mula penuh dikiri kanan bahu jalan. Sebaik masuk ke perkarangan masjid, saya melihat ramai jemaah di gerai jualan As-Sofa. Rupanya buku terbaru Syeikh Fuad yang bertajuk Siyadah sudah mula dijual. Saya pun terus beli buku tu. Selain buku Siyadah, saya juga turut membeli buku Kelebihan Malam Nisfu Syaaban dan Doa Malam Nisfu Syaaban memandangkan Nisfu Syaaban pun akan menjelang tiba tidak lama lagi. Selepas itu, saya ambil kesempatan menjamah makanan yang terhidang di ruang makan. Seperti yang dijadualkan, majlis bermula sekitar jam 6 petang. Apabila Syeikh Fuad mengambil tempat, jemaah segera merapatkan kedudukan didalam ruang solat utama. Syeikh memulakan syarah dari kitab Mukjizat Isra' dan Mi'raj. Syeikh menamatkan syarahan lebih kurang jam 7 petang untuk memberi masa kepada jemaah mengambil wudhu' dan menanti waktu maghrib masuk. Selesai solat maghrib, kami diberikan beberapa helaian kertas yang mengandungi qasidah untuk dialunkan bersama-sama. Lebih kurang jam 8.15 malam, tetamu istimewa malam itu iaitu Habib Umar A Rahman al-Jifri dari Ribath Madinah menyampaikan syarah khas sempena Isra' dan Mi'raj. Kemudian disusuli dengan syarah khas Syeikh Fuad. Syeikh Fuad turut mengijazahkan kepada ikhwan yang hadir malam itu, sebuah hadtih yang bersambung sanadnya dengan Nabi Ibrahim as. Selepas selesai syarahan Syeikh Fuad, jemaah kembali mengalunkan qasidah. Jemaah kemudiannya solat Isyak berjemaah dan majlis bersurai sekitar jam 10.30 malam.



Saya parkir lebih kurang 200 meter dari masjid. Dibahagian depan masjid sudah agak sesak. Kenderaan dah mula berbaris di bahu-bahu jalan.

Dicelah-celah jemaah yang hadir mengikuti pengajian Syeikh pada petang itu.

Gerai jualan kitab-kitab As-Sofa

Antara kitab dan CD yang dijual oleh As-Sofa

Khemah makanan dan minuman yang disediakan untuk jemaah yang hadir

Tandas bergerak. Jemaah lelaki menggunakan tandas ini. Manakala jemaah wanita menggunakan tandas masjid. Ada dua tandas bergerak disediakan. Bila masuk tandas ni, rasa macam dalam koc keretapi. Tapi tandas ni lengkap dengan kemudahan air dan sebagainya macam tandas biasa.


Jemaah mengambil kesempatan bersalaman dengan al-Habib Umar A Rahman al-Jifri selepas selesai majlis




Jumlah jemaah yang hadir agak ramai. Mungkin 2000 orang kot, entah saya tak pasti tapi sambutan sangat menggalakkan.

Antara qasidah yang dialunkan pada malam itu



Lagi bacaan qasidah

Lagi qasidah



Hadith yang diijazahkan oleh Syeikh Fuad kepada jemaah yang hadir malam itu. Hadith tersebut dengan maksudnya begini, Telah bersabda Rasulullah saw; Aku menemui Nabi Ibrahim as pada malam aku diisra'kan (ke langit), dia bersabda kepadaku,"Wahai Muhammad! Sampaikanlah salam daripadaku kepada umatmu, dan beritahulah mereka bahawasanya syurga itu subur tanahnya, enak airnya dan ia merata, dan tumbuh-tumbuhannya ialah: Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar"






Sambungan helaian sanad dan hadith tadi.


Lagi qasidah yang dialunkan pada malam itu.

Kitab Kelebihan Malam Nisfu Syaaban yang dijual oleh Koperasi As-Sofa. Dijual pada pada malam itu dengan harga RM 8.

Kitab terbaru Syeikh Fuad, bertajuk Siyadah, baru sahaja dicetak dalam bulan Julai 2009. Dijual pada malam itu dengan harga RM 10



Kitab Doa Malam Nisfu Syaaban, dijual oleh Koperasi As-Sofa. Dijual pada malam itu dengan harga RM 5

Syeikh Fuad bersama tetamu istimewa malam itu, Habib Umar A Rahman al-Jifri

Monday, July 20, 2009

Masjid Kampung Baru, Sabtu yang panjang




Saya ke Kampung Baru pagi Sabtu yang lepas. Saya sampai di Masjid Kg Baru sebelum masuk waktu subuh. Masjid kg Baru agak istimewa kerana diluar perkarangannya ada mesin ATM. Saya solat subuh secara berjemaah di Masjid Kg Baru. Selesai solat dan membaca Yasin, kuliah subuh pun bermula. Kuliah disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Abdullah Awang. Teks yang digunakan ialah Aqidatun Najin karangan Tuan Minal. Ternyata kitab ini banyak dijadikan teks pengajian di mana-mana masjid atau surau diseluruh Semenanjung. Kuliah selesai lebih kurang jam 7 pagi. Saya berehat sebentar dalam masjid. Ada beberapa jemaah lain sedang mengaji didalam masjid. Saya sebenarnya ada perancangan untuk ke tempat lain tapi rasanya tempat itu pun belum lagi buka sebab masih awal pagi. Jadi saya ambil kesempatan yang ada untuk meninjau persekitaran masjid. Lebih kurang pukul 7.30 pagi, saya ke Restoran Haslam di Jalan Pahang untuk bersarapan. Pekena roti canai dan teh tarik disitu. Setengah jam kemudian saya ke Darul Fikir yang terletak berdekatan dengan KL International Hotel dan Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL). Sambil menunggu jam 10 pagi untuk ke Taman TAR bagi mengikuti pengajian Syeikh Fuad, saya membelek-belek buku yang dijual disitu. Tidak ramai yang datang pada waktu itu maklumlah masih awal pagi. Staf-staf kedai pun nampak begitu sibuk dengan tugas masing-masing. Ketika saya sedang khusyuk membelek buku, ada seorang hamba Allah ini datang menghampiri saya lalu mengesyorkan beberapa buku untuk dibaca. Katanya buku itu adalah buku yang digunakan dalam pengajian di tempatnya. Saya sebenarnya sedang mencari buku-buku lama. Terjumpa jugalah beberapa buah buku yang dikehendaki dan saya terus buat pembelian. Saya pun sebenarnya dah serik sebab banyak kali terlepas dari membeli buku-buku yang dikehendaki. Alasan yang selalu bermain dalam kepala ialah "Nanti dulu' dan 'Buku tu takde sapa nak beli', last-last bila pergi balik ke kedai yang sama, buku tu pun dah dibeli orang. Lebih kurang jam 9.30 pagi saya pun bertolak menuju ke Taman TAR. Pengajian Syeikh Fuad bermula lebih kurang jam 10.00 pagi. Syeikh mensyarahkan kitab Mukjizat Isra' dan Mi'raj. Syarah berakhir sejam kemudian. Selepas itu, saya dan adinda saya, Tuan Haji Khairul Rizal pergi ke Hospital Kuala Lumpur menziarahi ibu saudara saya (sebelah bapa). Anaknya baru menjalani pembedahan kecil sehari sebelumnya di hospital tersebut. Ibu saudara saya kemudiannya memberitahu kami yang mereka boleh keluar wad pada hari itu. Disebabkan ibu saudara tidak mempunyai kenderaan, saya menghantarnya pulang ke rumah yang terletak di Cheras. Saya kemudiannya bergerak menuju ke Mutiara Ilmu apabila mendapat mesej dari Pak Jawahir menyatakan bahawa kitab yang saya pesan telah sampai. Lebih kurang jam 3.00 petang, saya sampai di kedai Pak Jawahir. Ada seorang Profesor berkunjung di kedai Pak Jawahir. Katanya dari Universitas Andalas Padang. Lupa saya nak bertanya nama Profesor tersebut. Selepas membuat pembayaran kitab, saya pulang ke rumah. Sampai di rumah lebih kurang jam 4.30 petang.




Mesin ATM yang berada di luar perkarangan masjid

Pintu gerbang masjid

Pintu masuk utama masjid

Ruang solat utama masjid dengan mimbar dibahagian depan. Masjid ini kalau tak silap saya dua tingkat. Agak besar juga ruang solat masjid. Rasanya boleh menempati kira-kira 2000 jemaah.

Pemandangan pintu gerbang masjid dari pintu masuk utama masjid


Barulah saya tahu bahawa masjid ini ada kembarnya. Kembarnya ialah Masjid al-Jamiul Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Batu asas masjid ini diletakkan pada 12 Julai 1957. Nama kontraktor dan arkitek turut tercatat pada batu asas ini


Pintu masuk utama dari jarak dekat


Menara masjid

Satu lagi sisi menara masjid

Kolah masjid tempat mengambil wuduk

Ruang dalam kedai buku Darul Fikir



Kedai buku Mutiara Ilmu

Wednesday, July 15, 2009

Kemensah Height, Inilah Jalanku




Selasa lepas, saya dan sahabat saya ke Kemensah Height untuk mengikuti pengajian Syeikh Fuad. Syeikh Fuad mensyarahkan kitab Inilah Jalanku (Qul Hazihi Sabili) pada hari itu. Kitab ini merupakan karangan ulama besar dunia Islam iaitu al-'Alim al-'Allamah al-Sayyid Muhammad bin 'Alawi bin Abbas al-Maliki al-Hasani. Syeikh al-Sayyid Muhammad 'Alawi al-Maliki al-Hasani adalah merupakan guru utama kepada Syeikh Fuad. Kami sampai awal di Surau Kemensah lebih kurang jam 6.15 petang.


Surau Kemensah dari luar


Sebelah kanan surau dari bahagian depan

Sebelah kanan surau

Pintu utama surau


Memandangkan pengajian lazimnya bermula selepas maghrib, kami mengalas perut terlebih dahulu. Tempat yang dituju ialah sekitar Melawati memandangkan tiada tempat makan dikawasan berhampiran. Syeikh memulakan syarah lebih kurang jam 8.00 malam dan mengakhiri syarahnya pada hari itu kira-kira jam 1 1/2 jam kemudian. Ramai jemaah yang hadir malam itu. Boleh kata, setiap ruang Surau Kemensah dipenuhi oleh jemaah yang hadir.


Jemaah keluar dari ruang utama solat selepas selesai majlis

Diperkarangan surau pula, ada beberapa jemaah yang menjual kitab-kitab, minyak wangi, kopiah dan sebagainya.

Dibawah ini saya sertakan biografi As-Sayyid Muhammad bin Alawi bin Abbas Al-Maliki Al-Hasani(Rahmatullahi Alaih), ulama besar yang telah berjaya melahirkan ramai ulama diseluruh dunia yang bermukim di Makkah.

As-Sayyid merupakan waris keluarga Al-Maliki Al-Hasani di Makkah yang masyhur yang merupakan keturunan Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam, melalui cucu Baginda saw iaitu Imam Al-Hasan bin Ali, Radhiyallahu ‘Anhum. Keluarganya merupakan salah satu keluarga yang paling dihormati di Makkah dan telah melahirkan alim ulamak besar di Makkah, yang telah mengajar di Makkah berkurun lama. Datuk beliau iaitu Al-Sayyid Abbas Al-Maliki merupakan seorang Mufti dan Qadhi Makkah dan khatib di Masjidil Haram. Beliau memegang jawatan ini ketika pemerintahan kerajaan Uthmaniah serta Hashimiah. Beliau juga pernah memegang jawatan yang sama ketika Kerajaan Saudi diasaskan. Bapa beliau, As-Sayyid Alawi Al-Maliki merupakan salah seorang ulamak Makkah terunggul di abad yang lalu. Beliau telah mengajar pelbagai ilmu Islam turath di Masjidil Haram selama hampir 40 tahun. Ratusan murid dari seluruh pelusuk dunia telah mengambil faedah daripada beliau melalui kuliah beliau di Masjidil Haram, dan ramai di kalangan mereka telah memegang jawatan penting agama di negara masing-masing. Malah, Raja Faisal sendiri merujuk kepada As-Sayyid Alawi untuk membuat sesuatu keputusan. Diriwayatkan bahawa Raja Faisal tidak akan membuat apa-apa keputusan berkaitan Makkah melainkan setelah meminta nasihat daripada As-Sayyid Alawi.
As-Sayyid Muhammad Al-Hasani bin Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz, dilahirkan pada tahun 1946, di kota suci Makkah Bapa beliau merupakan guru pertama dan utama beliau yang telah mengajar beliau secara peribadi di rumah dan juga di Masjidil Haram. Beliau menghafal Al-Quran sejak kecil. Beliau mempelajari dan mendalami pelbagai ilmu turath Islam: Aqidah, Tafsir, Hadith, Feqh, Usul, Mustalah, Nahw dan lain-lain dengan menadah kitab kepada ulamak-ulamak besar lain di Makkah serta Madinah. Kesemua mereka telah memberikan ijazah penuh kepada beliau untuk mengajar ilmu-ilmu ini kepada orang lain. Ketika berumur 15 tahun lagi, As-Sayyid Muhammad telah mengajar kitab-kitab Hadith dan Feqh di Masjidil Haram, kepada pelajar-pelajar lain, dengan arahan guru-gurunya. Setelah mempelajari ilmu turath di tanah kelahirannya Makkah, beliau dihantar oleh bapanya untuk menuntut di Universiti Al-Azhar As-Syarif. Beliau menerima ijazah PhD daripada Al-Azhar ketika berusia 25 tahun, menjadikan beliau warga Arab Saudi yang pertama dan termuda menerima ijazah PhD dari Universiti Al-Azhar, institusi pengajian yang sangat terkenal dalam dunia Islam. Tesis beliau berkenaan Hadith telah diiktiraf cemerlang dan menerima pujian yang tinggi dari alim ulamak unggul di Al-Azhar ketika itu, seperti Imam Abu Zahrah. Beliau tidak kenal erti jemu atau penat dalam usaha menuntut ilmu. Sejak dari usia muda lagi, beliau telah bermusafir ke Afrika Utara, Mesir, Syria, Turki, dan rantau Indo-Pak untuk belajar dari alim-ulamak yang hebat, bertemu para Wali Allah, menziarahi masjid-masjid dan maqam-maqam, serta mengumpul manuskrip-manuskrip dan kitab.
As-Sayyid Muhammad mendapat penghormatan dengan menjadi Shaykh dengan bilangan ijazah terbanyak dalam waktunya. Beliau juga memiliki rantaian sanad terpendek atau terdekat dengan datuknya, Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam. Sepanjang tempoh permusafiran ilmunya, As-Sayyid Muhammad mendapat lebih dari 200 ijazah dari alim-ulamak teragung di zamannya, di setiap cabang ilmu Islam. Ijazah beliau sendiri, yang beliau berikan kepada murid-muridnya adalah antara yang sangat-sangat berharga menghubungkan anak-anak muridnya dengan sejumlah besar para ulamak agung. Para Masyaikh yang memberikan As-Sayyid Muhammad ijazah-ijazah mereka adalah merupakan ulamak besar dari seluruh dunia Islam. Antaranya ialah
Dari Makkah:
1) Bapa beliau yang alim dan guru beliau yang pertama, As-Sayyid Alawi bin Abbas al-Maliki 2) Shaykh Muhammad Yahya Aman al-Makki
3) Shaykh al-Sayyid Muhammad al-Arabi al-Tabbani
4) Shaykh Hasan Sa‘id al-Yamani
5) Shaykh Hasan bin Muhammad al-Mashshat
6) Shaykh Muhammad Nur Sayf
7) Shaykh Muhammad Yasin al-Fadani
8) Al-Sayyid Muhammad Amin Kutbi
9) Al-Sayyid Ishaq bin Hashim ‘Azuz
10) Habib Hasan bin Muhammad Fad‘aq
11) Habib Abd-al-Qadir bin ‘Aydarus al-Bar
12) Shaykh Khalil Abd-al-Qadir Taybah
13) Shaykh Abd-Allah al-Lahji
Dari Madinah:
1) Shaykh Hasan al-Sha‘ir, Shaykh al-Qurra Madinah
2) Shaykh Diya-al-Din Ahmad al-Qadiri
3) As-Sayyid Ahmad Yasin al-Khiyari
4) Shaykh Muhammad al-Mustafa al-Alawi al-Shinqiti
5) Shaykh Ibrahim al-Khatani al-Bukhari
6) Shaykh Abd-al-Ghafur al-Abbasi al-Naqshbandi
Dari Hadramawt dan Yaman:
1) Al-Habib Umar bin Ahmad bin Sumayt, Imam Besar Hadramawt
2) Shaykh As-Sayyid Muhammad Zabarah, Mufti Yaman
3) Shaykh As-Sayyid Ibrahim bin Aqeel al-Ba-Alawi, Mufti Ta‘iz
4) Al-Imam al-Sayyid Ali bin Abd-al-Rahman al-Habshi
5) Al-Habib Alawi ibn Abd-Allah bin Shihab
6) As-Sayyid Hasan bin Abd-al-Bari al-Ahdal
7) Shaykh Fadhl bin Muhammad Ba-Fadhal
8) Al-Habib Abd-Allah bin Alawi al-Attas
9) Al-Habib Muhammad bin Salim bin Hafeez
10) Al-Habib Ahmad Mashhur al-Haddad
11) Al-Habib Abd-al-Qadir al-Saqqaf
Dari Syria:
1) Shaykh Abu-al-Yasar ibn Abidin, Mufti Syria
2) Shaykh As-Sayyid al-Sharif Muhammad al-Makki al-Kattani, Mufti Maliki
3) Shaykh Muhammad As‘ad al-Abaji, Mufti Shafi‘i
4) Shaykh As-Sayyid Muhammad Salih al-Farfur
5) Shaykh Hasan Habannakah al-Maydani
6) Shaykh Abd-al-Aziz ‘Uyun al-Sud al-Himsi
7) Shaykh Muhammad Sa‘id al-Idlabi al-Rifa‘i
Dari Mesir:
1) Shaykh As-Sayyid Muhammad al-Hafiz al-Tijani, Imam Hadith di Mesir
2) Shaykh Hasanayn Muhammad Makhluf, Mufti Mesir
3) Shaykh Salih al-Ja‘fari, Imam Masjid Al-Azhar
4) Shaykh Amin Mahmud Khattab al-Subki
5) Shaykh Muhammad al-‘Aquri
6) Shaykh Hasan al-‘Adawi
7) Shaykh As-Sayyid Muhammad Abu-al-‘Uyun al-Khalwati
8) Shaykh Dr. Abd-al-Halim Mahmud, Syeihkul Azhar
Dari Afrika Utara (Maghribi, Algeria, Libya dan Tunisia):
1) Shaykh As-Sayyid As-Sharif Abd-al-Kabir al-Saqali al-Mahi
2) Shaykh As-Sayyid Abd-Allah bin Al-Siddiq Al-Ghimari, Imam Hadith
3) Shaykh As-Sayyid Abd-al-Aziz bin Al-Siddiq al-Ghimari
4) As-Sharif Idris al-Sanusi, Raja Libya
5) Shaykh Muhammad At-Tahir ibn ‘Ashur, Imam Zaytunah, Tunis
6) Shaykh al-Tayyib Al-Muhaji al-Jaza’iri
7) Shaykh Al-Faruqi Al-Rahhali Al-Marrakashi
8) Shaykh As-Sayyid As-Sharif Muhammad al-Muntasir al-Kattani
Dari Sudan:
1) Shaykh Yusuf Hamad An-Nil
2) Shaykh Muddassir Ibrahim
3) Shaykh Ibrahim Abu-an-Nur
4) Shaykh At-Tayyib Abu-Qinayah
Dari Rantau Indo-Pak:
1) Shaykh Abu-al-Wafa al-Afghani Al-Hanafi
2) Shaykh Abd-al-Mu‘id Khan Hyderabadi
3) Al-Imam Al’Arif Billah Mustafa Rida Khan al-Barelawi, Mufti India
4) Mufti Muhammad Shafi’ Al-Deobandi, Mufti Pakistan
5) Mawlana Muhammad Zakariyya Al-Kandahlawi, Imam Hadith
6) Mawlana Zafar Ahmad Thanawi
7) Shaykh Al-Muhaddith Habib-al-Rahman Al-‘Azami
8) Sayyid Abu-al-Hasan Ali An-Nadawi
Beliau, seperti mana Masyaikh tradisi yang lain, juga seperti keturunannya sebelum beliau, mengajar hanya kerana Allah dan tidak mengharapkan keuntungan material langsung.
Beliau menempatkan sejumlah besar pelajar di rumahnya sendiri, menyediakan untuk mereka makan minum, penginapan, pakaian, kitab-kitab serta segala keperluan mereka. Sebagai balasan, mereka hanya diminta mengikuti peraturan dan etika penuntut ilmu agama yang suci. Pelajar-pelajar ini biasanya menetap bersama beliau bertahun-tahun lamanya, mempelajari pelbagai cabang ilmu Islam, dan seterusnya kembali ke negeri masing-masing. Ratusan dari para pelajar telah menuntut di kaki beliau dan telah menjadi pelopor pengetahuan Islam dan kerohanian di negara mereka, terutamanya di Indonesia, Malaysia, Mesir, Yaman dan Dubai.
Beliau pernah dilantik sebagai Profesor Pengajian Islam di Universiti Ummul Qura di Makkah sebaik pulang dari menyelesaikan pengajian di al-Azhar pada tahun 1970. Apabila bapanya yang dikasihi meninggal dunia pada tahun 1971, para ulamak Makkah meminta beliau untuk menggantikan tempat bapanya sebagai guru di Masjidil Haram. Beliau menerimanya dan menduduki kedudukan yang telah diduduki oleh keluarganya lebih dari seabad. Beliau juga kadang kala mengajar di Masjid Nabi di Madinah. Kuliah pengajian beliau merupakan kuliah yang paling ramai dihadiri di kedua-dua Tanah Haram. Bagaimanapun pada awal tahun 80-an, beliau telah mengosongkan kedudukan mengajarnya di Universiti Ummul Qura dan juga kerusi warisannya di Masjidil Haram, memandangkan fatwa dari sebahagian ulamak fahaman Wahhabi, yang menganggap kewujudannya sebagai ancaman kepada ideologi dan kekuasaan mereka. Sejak dari itu, beliau mengajar kitab-kitab agung Hadith, Fiqh, Tafsir dan Tasawwuf di rumah dan masjidnya di Jalan Al-Maliki di Daerah Rusayfah, Makkah. Kuliah-kuliah umumnya antara waktu Maghrib dan Isyak dihadiri tidak kurang daripada 500 orang setiap hari. Ramai pelajarnya daripada Universiti menghadiri pengajiannya di waktu malam. Sehingga malam sebelum beliau meninggal dunia, majlisnya dipenuhi penuntut.
Sayyid Muhammad merupakan seorang pengarang besar yang telah menghasilkan hampir seratus buah kitab. Antara kitabnya yang sangat masyhur ialah
Aqidah:
1) Mafahim Yajib an Tusahhah
2) Manhaj As-salaf fi Fahm An-Nusus
3) At-Tahzir min al-Mujazafah bit-Takfir
4) Huwa Allah
5) Qul Hazihi Sabeeli
6) Sharh ‘Aqidat al-‘Awam
Tafsir:
1) Zubdat al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an
2) Wa Huwa bi al-Ufuq al-‘A’la
3) Al-Qawa‘id al-Asasiyyah fi ‘Ulum al-Quran
4) Hawl Khasa’is al-Quran
Hadith:
1) Al-Manhal al-Latif fi Usul al-Hadith al-Sharif
2) Al-Qawa‘id al-Asasiyyah fi ‘Ilm Mustalah al-Hadith
3) Fadl al-Muwatta wa Inayat al-Ummah al-Islamiyyah bihi
4) Anwar al-Masalik fi al-Muqaranah bayn Riwayat al-Muwatta lil-Imam Malik
Sirah:
1) Muhammad (Sallallahu Alaihi Wasallam) al-Insan al-Kamil
2) Tarikh al-Hawadith wa al-Ahwal al-Nabawiyyah
3) ‘Urf al-Ta’rif bi al-Mawlid al-Sharif
4) Al-Anwar al-Bahiyyah fi Isra wa M’iraj Khayr al-Bariyyah
5) Al-Zakha’ir al-Muhammadiyyah
6) Zikriyat wa Munasabat
7) Al-Bushra fi Manaqib al-Sayyidah Khadijah al-Kubra
Usul:
1) Al-Qawa‘id al-Asasiyyah fi Usul al-Fiqh
2) Sharh Manzumat al-Waraqat fi Usul al-Fiqh
3) Mafhum at-Tatawwur wa altTajdid fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah
Fiqh:
1) Al-Risalah al-Islamiyyah Kamaluha wa Khuluduha wa ‘Alamiyyatuha
2) Labbayk Allahumma Labbayk
3) Al-Ziyarah al-Nabawiyyah bayn as-Shar‘iyyah wa al-Bid‘iyyah
4) Shifa’ al-Fu’ad bi Ziyarat Khayr al-‘Ibad
5) Hawl al-Ihtifal bi Zikra al-Mawlid al-Nabawi al-Sharif
6) Al-Madh al-Nabawi bayn al-Ghuluww wa al-Insaf
Tasawwuf:
1) Shawariq al-Anwar min Ad‘iyat al-Sadah al-Akhyar
2) Abwab al-Faraj
3) Al-Mukhtar min Kalam al-Akhyar
4) Al-Husun al-Mani‘ah
5) Mukhtasar Shawariq al-Anwar
Lain-lain:
1) Fi Rihab al-Bayt al-Haram (Sejarah Makkah)
2) Al-Mustashriqun Bayn al-Insaf wa al-‘Asabiyyah (Kajian Berkaitan Orientalis)
3) Silatu Riyadhah Biddin (Hubungan Sukan dengan Agama)
4) Al-Qudwah al-Hasanah fi Manhaj al-Da‘wah ila Allah (Teknik Dawah)
5) Ma La ‘Aynun Ra’at (Butiran Syurga)
6) Nizam al-Usrah fi al-Islam (Peraturan Keluarga Islam)
7) Al-Muslimun Bayn al-Waqi‘ wa al-Tajribah (Muslimun, Antara Realiti dan Pengalaman)8) Kashf al-Ghummah (Ganjaran Membantu Muslimin)
9) Ad-Dawah al-Islahiyyah (Dakwah Pembaharuan)
10) Fi Sabil al-Huda wa al-Rashad (Koleksi Ucapan)
11) Sharaf al-Ummah al-Islamiyyah (Kemulian Ummah Islamiyyah)
12) Usul at-Tarbiyah al-Nabawiyyah (Metodologi Pendidikan Nabawi)
13) Nur an-Nibras fi Asanid al-Jadd as-Sayyid Abbas (Kumpulan Ijazah Datuk beliau, As-Sayyid Abbas)
14) Al-‘Uqud al-Lu’luiyyah fi al-Asanid al-Alawiyyah (Kumpulan Ijazah Bapa beliau, As-Sayyid Alawi)
15) Al-Tali‘ al-Sa‘id al-Muntakhab min al-Musalsalat wa al-Asanid (Kumpulan Ijazah)
16) Al-‘Iqd al-Farid al-Mukhtasar min al-Athbah wa al-Asanid (Kumpulan Ijazah)
Beliau meninggal dunia pada hari Jumaat, 15 Ramadhan (bersesuaian dengan doanya untuk meninggal dunia pada bulan Ramadhan) dalam keadaan berpuasa di rumahnya di Makkah. Seperti yang dinukilkan oleh muridnya, Fakhruddin Owaisi Al-Madani,
"Ratusan ribu manusia membanjiri upacara pengebumiannya. Semua orang menangis dan sangat bersedih… Ia merupakan satu situasi yang tidak dapat dilupakan… Allahu Akbar…
Betapa hebatnya beliau… betapa besarnya kehilangan ini… Betapa ramainya yang menyembahyangkannya… Saya tahu mata saya tidak pernah menyaksikan seorang sepertinya… Seorang yang amat dicintai oleh masyarakat seperti beliau… seorang ulamak yang berkaliber dan berpengetahuan serta berhikmah…Terdapat sekurang-kurangnya 500 orang tentera diperintah oleh kerajaan Arab Saudi di perkuburan Ma’ala untuk mengawal ribuan orang yang menangisinya. Kerabat diraja juga turut hadir. Para manusia menempikkan Kalimah dengan kuat sepanjang uapcara pengebumian beliau, memenuhi Makkah dari Masjidil Haram sehingga ke tanah perkuburan. Beliau disemadikan di sebelah bapanya, berhampiran maqam nendanya Sayyidah Khadijah. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau ada menghubungi seorang pelajar lamanya di Indonesia melalui telefon dan bertanyanya adakah dia akan datang ke Makkah pada bulan Ramadhan. Apabila dia menjawab tidak, Sayyid Muhammad bertanya pula, "tidakkah engkau mahu menghadiri penegebumianku?" Tepat sekali, beliau pergi pada bulan Ramadhan di pagi Jumaat… apakah lagi bukti yang diperlukan menunjukkan penerimaan Allah?! Makkah menangisi pemergiannya… Seluruh dunia Islam menangisi kehilangannya. Moga Allah menganugerahkan beliau tempat yang tertinggi di Jannah, bersama-sama kekasihnya dan datuknya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam. Ameen. "

* Biografi diatas saya petik dan susun kembali dari http://yayasansofa.com/y/index.php?as-sayyid-muhammad-bin-alawi-bin-abbas-al-maliki-al-hasani,55

Sunday, July 12, 2009

Ahad, Kuliah Isra' dan Mi'raj



Hari Ahad, perancangan saya ialah menghadiri kuliah pengajian Syeikh Fuad di Bukit Indah. Saya bertolak dari Puchong lebih kurang pukul 9.00 dan sampai lebih kurang sejam kemudian. Elok-elok sampai sebelum kuliah bermula. Hari Ahad ok sikit sebab tempat parking banyak kosong. Boleh parking berhampiran dengan tempat pengajian. Syeikh bagi kuliah dalam tempoh sejam. Kuliah selesai lebih kurang jam 11.00 pagi. Sempat berbual sekejap dengan adik saya sebelum pulang. Adik saya datang dengan motorbikenya dan kemudian terus menuju ke Seremban untuk persiapan kenduri kahwin adik iparnya yang dijadual dalam bulan Ogos tidak lama lagi. Saya singgah sekejap di sebuah pasaraya di Puchong untuk beli kelengkapan harian.




Gambar Kedai as-Sofa yang saya rakam di waktu siang selepas selesai pengajian.

Ijtimak Kuarters KLIA 2009



Saya hadir ke majlis ijtimak ini bersama-sama dengan sahabat saya, Zaharuddin. Kami sampai disini pada hari Sabtu, ketika program taklim baru sahaja selesai. Kemudian disusuli dengan program untuk ulama, khawas dan pelajar. Saya dan sahabat saya mengambil kesempatan untuk meninjau keadaan persekitaran di ijtimak. Ribuan manusia berada disitu bagi mendengar ucapan-ucapan yang disampaikan oleh ulama-ulama besar yang hadir sepanjang empat hari ia berlangsung disitu. Ruang niaga pun boleh tahan juga. Ramai juga yang mengambil kesempatan untuk berniaga sepanjang majlis tersebut berlangsung. Selain dari makanan dan pakaian, ada juga yang menjual ubatan tradisional, buah-buahan dan pelbagai jenis barangan lain. Ijtimak ini turut mendapat perhatian orang-orang kenamaan tempatan khususnya pemimpin-pemimpin negara seperti Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Negeri Sembilan.




Lawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan - dipetik dari Utusan Malaysia 13 Julai 2009
KHUSYUK
LEBIH 200,000 jemaah tabligh dari dalam dan luar negara yang menyertai Perhimpunan Dakwah Tabligh Sedunia atau Ijtimak 2009 mengambil peluang menunaikan solat Zuhur berjemaah pada hari terakhir perhimpunan itu semalam.
Perhimpunan itu yang diadakan di Nilai, Seremban, Negeri Sembilan disertai pendakwah tabligh dari seluruh dunia termasuk dari Palestin, Myanmar dan China.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut berkenan bersolat Zuhur dengan para jemaah.
Baginda diiringi oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ini merupakan kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah bagi perhimpunan berkenaan
selepas kali pertama pada 27 tahun lalu di Terengganu yang menghimpunkan lebih 50,000 pendakwah.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0713&pub=utusan_malaysia&sec=Selatan&pg=ws_04.htm&arc=hive



Lawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ke Ijtimak


Najib kunjungi ijtimak tabligh

NAJIB bersalaman dengan anggota tabligh ketika menghadiri Perhimpunan Dakwah Tabligh Sedunia di tanah lapang bersebelahan dengan Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
NILAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam sempat meluangkan masa bersama 200,000 jemaah yang menghadiri Ijtimak (Perhimpunan) Tabligh Sedunia di kawasan lapang berhampiran Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini yang bermula Rabu lalu. Perdana Menteri yang tiba jam 5.10 petang terus menunaikan solat Asar di kawasan khemah terbuka bersama anggota jemaah tabligh. Beliau kemudian menyampaikan ucapan ringkas mengalu-alukan kedatangan peserta. "Saya mengucapkan selamat datang kepada saudara-saudara semua, Semoga Allah merahmati dan menjadikan kita umat yang berjaya," katanya.
Najib kemudian menghabiskan masa kira-kira 30 minit bermuzakarah bersama ahli syura jemaah tabligh. Antara mereka ialah Sheikh Mohamad Ali. Bagaimanapun, wartawan tidak dibenarkan memasuki khemah khas untuk tetamu kehormat. Jurucakap jemaah tabligh, Ridzuan Mohd Sagir, berkata mereka yang turut serta dalam muzakarah itu ialah tetamu luar negara seperti Prof Abd Rahman dari India. Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut sama meluangkan masa kira-kira 45 minit menghadiri perhimpunan itu, semalam.
Sebaik tiba kira-kira jam 1.30 tengah hari, beliau mendengar taklimat mengenai majlis itu sebelum menyertai solat Zuhur berjemaah bersama peserta dari 40 negara termasuk Belanda, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan India. "Perdana Menteri bersama ahli syura tidak bercakap mengenai hal keduniaan, sebaliknya membincangkan perkara keimanan dan mendekatkan diri dengan Allah SWT," katanya. Seorang lagi anggota jemaah tabligh yang turut menghadiri pertemuan itu, Prof Hanim Tahir, berkata Perdana Menteri turut meminta jemaah tabligh ketika berdoa di majlis penutup hari ini, mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negara. Terdahulu, pada tengah hari semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut meluangkan masa kira-kira 45 minit bersama jemaah dari 40 negara, termasuk Belanda, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan India.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Muhyiddin menyifatkan perhimpunan berkenaan yang terbesar di dunia dan bersyukur kerana dapat menghadirinya serta bertemu pemimpin jemaah yang membicarakan soal cinta kepada agama, semangat ukhuwah Islamiah, bersikap sederhana dan usaha menyatukan ummah.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Nasional/20090712002520/Article/



Lawatan Menteri Besar Negeri Sembilan

Solat Jumaat terbesar di Negeri Sembilan
Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFARutusanN9@utusan.com.my
NILAI 10 Julai - Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini mencatat sejarah tersendiri apabila lebih 200,000 jemaah menunaikan solat Jumaat.
Kehadiran ratusan ribu jemaah itu merupakan sebahagian besar umat Islam dari seluruh dunia yang hadir sempena Ijtimak (Perhimpunan) Dakwah Tabligh Sedunia yang berlangsung selama tiga hari berhampiran masjid berkenaan.
Turut sama menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi.
Mohamad dalam ucapan ringkasnya sebelum khutbah Jumaat berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran jemaah tabligh ke negeri ini yang berhimpun dengan satu entiti untuk menyebarkan syiar Islam.
''Saya bagi pihak rakyat Malaysia mengucapkan selamat datang dan terima kasih. Saya bersyukur kepada Allah kerana dapat bersama-sama jemaah Tabligh dan berharap perhimpunan ini akan dapat meneruskan dakwah Islam kepada seluruh umat.
''Malaysia sebuah negara yang aman dan mengamalkan sikap terbuka dalam soal agama. Perhimpunan ini adalah bukti bahawa kebebasan untuk berdakwah, tidak seperti negara lain yang tidak bebas untuk menjalankan penyebaran agama Islam," katanya.
Mohamad berkata, solat Jumaat yang berlangsung di sini dengan kehadiran jemaah lebih 200,000 orang merupakan terbesar di Malaysia sekali gus menunjukkan kekuatan umat Islam sejagat.
Ijtimak (Perhimpunan) Dakwah Tabligh Sedunia ini menghimpunkan jemaah daripada China, India, Pakistan, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan sebagainya.
Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di lokasi ijtimak mendapati ratusan ribu umat Islam berpusu-pusu mengerjakan solat Jumaat dan keadaan menjadi sesak apabila mereka beredar meninggal masjid untuk kembali ke khemah yang disediakan berhampiran masjid berkenaan.
Kehadiran jemaah tabligh ini juga antara lain melibatkan aktiviti keagamaan seperti perbincangan, syarahan dan pengajian ilmu.
Dalam pada itu Ali @ Ma Jian Ming, 24, seorang jemaah China dari wilayah Ninsha berkata, dia akan berada di ijtimak ini selama 10 hari dan hadir bersama-sama 200 jemaah tabligh dari negaranya.
Syamsuri Tumirin, 24, jemaah dari Jawa Timur, Indonesia pula menjelaskan, perhimpunan ini mendidik dan mengajar beliau menjadi seorang muslim yang memahami ajaran Islam.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0711&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm&arc=hive


Gambar-gambar yang sempat saya rakam ketika berada di tapak ijtimak



















Habib Umar, Al-Jazari


Jumaat lepas bersamaan dengan 17 Rejab, saya berkesempatan untuk menghadiri majlis bersama Habib Umar bin A Rahman al-Jifri atas kunjungan beliau ke Pusat Tahfiz al-Jazari di Bukit Indah Ampang. Hari itu sehari suntuk saya berada di MAPTAM untuk membuat pemerhatian dan penilaian ke atas pelajar KAFA dan tadika. Selepas habis sekitar pukul 6.00 petang, saya bersiap-siap untuk ke Ampang. Lebih kurang pukul 6.30 petang, saya bertolak dari Puchong menuju ke Jalan Tun Razak. Saya meletakkan kereta saya di kawasan sekitar bangunan pejabat adik saya, Tuan Haji Khairul Rizal. Selepas solat maghrib, saya membonceng motor adik saya untuk ke Bukit Indah. Saya ni bukan biasa sangat membonceng motor orang. Apabila membonceng motor adik saya, Allah, berderau juga darah saya. Apatah lagi motor adik saya jenis motor besar yang berkuasa 1000 cc, Allah, memang saspen je bila motor tu menyelit-nyelit celah kereta. Saya ni hanya biasa bawak motor kapcai je. Bawak slow pulak tu, kadang-kadang orang perempuan yang bawak motor pun boleh potong saya. Tapi sesekali terlintas jugak dalam hati saya, bagus juga jika saya ada motor besar ni. Boleh ulang-alik ke Sik untuk mengikuti pengajian Tuan Guru Haji Salleh. Tak payah kena bayar duit tol kalau naik motor. Kami sampai di Bukit Indah lebih kurang 10 minit selepas itu. Kami terus naik ke tingkat atas setelah meletakkan helmet dan barang-barang lain di Kedai as-Sofa. Di tingkat atas, qasidah sedang dialunkan. Pelajar-pelajar tahfiz memenuhi bahagian depan, mengadap betul-betul dihadapan Habib. Tidak hairanlah apabila Habib memulakan syarahannya, beliau memuji akan hadirin yang datang pada malam itu yang bersinar-sinar dan bercahaya wajahnya. Memang benar. Melihat wajah-wajah pelajar tahfiz ini menyejukkan mata bagi sesiapa yang memandang. Penuh bercahaya dan bersinar-sinar. Itulah barakah yang dihadirkan Allah Taala bagi sesiapa yang bersungguh-sungguh menghafaz kalam-Nya yang mulia. Habib Umar berasal dari Madinah. Dalam majlis itu, beliau duduk bersebelahan dengan Syeikh Fuad Kamaluddin al-Maliki. Syarahan beliau berlangsung lebih kurang 45 minit. Selepas syarahan berakhir, kami solat Isyak berjemaah bersama-sama. Majlis berakhir lebih kurang jam 10.15 malam. Sebelum pulang, saya dan adik saya meninjau-ninjau barangan yang dijual di Kedai as-Sofa.





Ikhwan sedang melihat barang yang dijual didalam kedai As-Sofa.


Antara barangan yang dijual ialah Kopiah, sejadah, kain baldu yang disulam dengan ayat-ayat al-Quran.


Dan sudah tentu buku dan kitab-kitab yang dikarang dan diterjemah oleh Syeikh Fuad Kamaluddin turut dijual di sini


Saya berada ditengah-tengah kelompok jemaah yang hadir pada malam itu untuk mendengar syarah khas Habib Umar A Rahman al-Jifri


Susunan kitab dan barangan lain yang dijual di Kedai as-Sofa, kemas teratur.


Suasana selepas habis majlis. Jemaah mula beredar dari perkarangan Pusat Tahfiz al-Jazari. Pusat Tahfiz terletak di tingkat atas manakala dibawahnya ialah Kedai as-Sofa.


Inilah 'jentera kuda' adik saya yang berkuasa 1000 cc. Dalam gambar nampak macam kecik tapi sebenarnya besar dan tinggi. Nak naik bahagian belakang pun perlu tinjat tempat kaki sebab tak sampai. Kalau dah duduk di tempat bonceng, kaki memang tak boleh nak jijak tanah. Mungkin sebab saya ni rendah orangnya, kalau orang tinggi boleh sampai kut kaki kat tanah. Apapun memang best naik motor ni. Walaupun saya berasa saspen sebab tak biasa naik motor besar tapi jauh beza dengan kapcai. Tak bergegar dan bunyi pun sedap.

Inilah Habib Umar A Rahman al-Jifri yang hadir ke Pusat Tahfiz al-Jazari malam itu


Motor bike adik saya dari jarak dekat. Gambar tak berapa cantik sebab saya tangkap guna kamera handphone.


Suasana selepas selesai majlis. Para ikhwan mengambil kesempatan membeli barangan yang dijual di Kedai As-Sofa. Kedai ini tidak sekadar menjual kopiah, kitab dan sejadah tetapi juga turut menjual barangan harian yang lain seperti minuman, sos dan sebagainya.