Sunday, December 19, 2010

Sungai Petai Bahagian 2

Saya hanya mempunyai masa beberapa jam sahaja sebelum pulang semula ke ibukota. Masa yang agak suntuk itu saya manfaatkan untuk menziarahi beberapa lokasi yang ada kaitan dengan Tuan Guru Haji Ahmad. Salah satu darinya ialah Masjid al-Ahmadi yang terletak di Changkat Ibol. Changkat Ibol ini letaknya lebih kurang 2-3 km dari Kampung Sungai Petai. Masjid ini diasaskan oleh Tuan Guru Haji Ahmad sekitar tahun 1960-an. Nama masjid ini diambil bersempena nama Tuan Guru Haji Ahmad. Saya ada melihat gambar asal masjid ini dan saya dapati masjid ini telah mengalami beberapa pengubahsuaian khususnya dari segi pembesaran ruang.



Papan tanda Masjid al-Ahmadi


Masjid al-Ahmadi Changkat Ibol

Kolah wuduk


Ruang luar


Dewan solat utama


Kubah masjid dari dalam


Mimbar baru

Thursday, December 16, 2010

Bersatu

Saya berkesempatan mendengar radio IKIM pagi tadi. Ada perbincangan menarik yang berkaitan dengan halal dan haram dalam pemakanan. Tetamu pada sesi itu ialah Ustaz Riduan. Beliau memberikan satu tips yang sangat baik untuk diamalkan semasa membasuh beras. Katanya, "Ketika basuh beras, genggamlah beras itu kuat-kuat dan bacalah permulaan ayat 103 dalam Surah Ali 'Imran seperti dibawah,
Mudah-mudahan jika si ibu yang membacanya maka seluruh anak-anak dan ahli keluarganya akan diperteguhkan dan disatukan hati mereka, jika dibaca untuk majlis kenduri-kendara maka akan dipertautkan dan disatukan hati masyarakat di situ dan jika di baca oleh si isteri maka akan disatukan dan dipereratkan lagi kasih suami isteri". Maksud ayat diatas ialah "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai".

Wednesday, December 15, 2010

Sungai Petai Bahagian 1

Lebih kurang dua minggu lepas, saya ke Sungai Petai, Perak. Sungai Petai ini sebenarnya nama sebuah kampung yang letaknya dalam mukim Bukit Gantang. Tujuan saya ke sana ialah untuk menyudahkan kajian lapangan saya di sana. Ianya berkaitan dengan seorang tokoh ulama negeri Perak iaitu almarhum Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Petai. Berkebetulan semasa saya ke sana, majlis ijtimak bulanan sedang berlangsung jadi dapatlah saya bertemu dengan beberapa orang anaknya. Saya juga diberi izin untuk melihat koleksi kitab Tuan Guru Haji Ahmad. Kata salah seorang anakandanya iaitu Ustaz Haji Husin, "Kitab ayah ana sebenarnya banyak tetapi dia dah jual sebahagian kitabnya di Makkah masa dia nak balik ke Tanah Melayu".


Sungai Petai, dari nama sungai inilah kampung Sungai Petai mendapat nama


Surau Ahmadiah mengambil nama sempena nama almarhum Tuan Guru Haji Ahmad. Surau ini sentiasa dimanfaatkan oleh masyarakat setempat untuk pengajian ilmu dan merupakan lokasi utama majlis ijtimak bulanan


Antara koleksi kitab Tuan Guru Haji Ahmad

Tuesday, December 14, 2010

Tengkera

Selesai urusan beca, kami pun berangkat pulang. Jalan di sekitar bandar Melaka semakin lama semakin sesak. Di papan tanda jalan, saya melihat satu nama tempat "Tengkera" tertera pada papan tanda itu. Kalau tak silap saya, di situ ada satu masjid lama yang belum pernah kami kunjungi sebelum ini. Bolehlah kami singgah menunaikan solat zohor di situ sambil melihat pemandangan masjid itu. Lagi pun dari situ, kami boleh ambil susur keluar terus ke Alor Gajah dan seterusnya masuk highway menuju ke KL.


Masjid Tengkera, satu masa dahulu ia merupakan masjid utama di negeri Melaka


Menara masjid


Kolam wuduk



Masjid ini diiktiraf sebagai warisan negara


Ruang solat masjid


Sebuah meriam lama di dalam perkarangan masjid


Papan penerangan tentang masjid



Papan penerangan tentang tokoh ulama Melaka iaitu Syeikh Haji Abdul Latif Tambi juga turut ada di sini. Saya ada menulis entri tentang tokoh ini di sini


Makam Sultan Hussin Shah, putera sulung Sultan Mahmud Shah III (1761-1812) hanya beberapa ela dari perkarangan masjid


Penerangan tentang Sultan Hussin Shah


Nisan makam


Nisan Aceh di sebelah kanan ruang masuk makam Sultan Hussin


Nisan di sebelah kiri ruang masuk makam Sultan Hussin


Kawasan perkuburan dan pemandangan masjid dari lokasi makam Sultan Hussin


Sisi lain masjid


Pintu gerbang masjid


Monday, December 13, 2010

Menaiki beca bahagian 4

Macam-macam usul yang diberikan oleh si penarik beca dalam usaha untuk mengisi masa yang hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi. "Nak tengok pertunjukan ular sawa?" Dia memberikan cadangan. Kami pun menuruti cadangannya. Sehinggalah pada 5 minit yang terakhir, dia memberi cadangan agar kami menjamah cendol yang dikatakannya antara yang paling sedap di Bandar Melaka. Selepas makan, kami pun dihantar pulang di hadapan kota A Famosa tempat di mana kami mula-mula naik tadi. Apa pun kredit harus diberikan kepada si penarik beca yang membawa kami kerana banyak juga sejarah-sejarah silam dikisahkan kepada kami tatkala kami singgah di satu-satu tempat atau melewati satu-satu kawasan. Boleh dikatakan mereka ini ibarat duta kecil di bandar Melaka.


Menara jam di tengah bandar


Replika kincir angin



Gerai cendol di tepi sungai


Bandar Melaka yang semakin sibuk di tengah hari


Gerai-gerai cenderamata berhampiran dengan muzium


Sungai Melaka dilihat dari gerai cendol


Dataran Pahlawan

Menaiki beca bahagian 3

"Tinggal 20 minit lagi bang", si penarik beca mengingatkan saya. Inilah perkara yang melecehkan bila ambil pilihan ikut masa. Si penarik beca membawa saya ke Muzium Kesenian Islam. Di muzium ini pun, saya tidak masuk ke dalam. Saya hanya melihat kawasan sekitar luarnya sahaja. Saya bertanya kepada penjaga kaunter, "Ada tak buku sejarah dijual di sini?" Kata penjaga kaunter, " Tak ada. Buku sejarah rasanya ada dijual di muzium sejarah, dekat dengan jam besar tu". Muzium sejarah yang dinyatakan oleh penjaga kaunter itu adalah merujuk kepada Bangunan Stadthuys. Saya dah pergi tadi bertanyakan kepada penjaga kaunter di situ. Malangnya staf yang menjual buku bercuti pula pada hari itu.


Muzium Kesenian Islam. Warna bangunan-bangunan muzium di bandar Melaka hampir sama kesemuanya


Bertentangan dengan muzium tersebut, satu kawasan sedang digali. Kata si penarik beca, "Berkemungkinan bekas tinggalan kota Melaka satu masa dahulu"


Replika nisan Sultan Malikul Saleh yang ada di luar muzium


Replika batu Tarsilah Brunei


Replika Batu Bersurat Terengganu


Kelihatan Bukit St Paul dari celah-celah bangunan muzium

Menaiki beca bahagian 2

Kami tak masuk pun dalam bangunan Stadthuys. Anak perempuan saya lebih berminat dengan cenderamata yang dijual di bahagian bawah, berhampiran tangga Bangunan Stadthuys. Kami kemudiannya dicadangkan melawat muzium maritim. Kata penarik beca, "Kalau abang pergi situ, abang boleh melawat tiga muzium sekaligus". Kami bersetuju dan terus ke sana. Kami perlu membeli tiket sebelum dibenarkan masuk. Harganya RM 2 untuk dewasa dan RM 1 untuk kanak-kanak. Kami masuk ke salah satu muzium yang bentuknya seperti sebuah kapal perang lama. Di situ sahaja, kami menghabiskan masa selama setengah jam. Apa pun kami hanya melawat satu muzium sahaja. Dua lagi kami tak pergi.


Salah satu muzium maritim yang menggunakan replika kapal perang lama


Cenderahati yang dijual di pintu masuk (kapal)



Diorama Panglima Awang





Penerangan tentang Panglima Awang


Matawang Empayar Melaka


Senjata lama angkatan perang Portugis



Replika bahtera


Peti besi Belanda


Perkakasan yang ada kaitan dengan maritim


Pemandangan di bahagian anjung kapal


Replika sauh kapal