Monday, May 31, 2010

Masjid Kampung Pasir Salak


Ini adalah gambar lama Masjid Kampung Pasir Salak, Kampung Gajah Perak. Saya pernah sampai ke sini tahun lepas. Gambar ini saya ambil dari sebuah majalah lama yang bernama Suara Majlis yang diterbitkan sekitar tahun 1980-an. Majalah ini diterbitkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Perak. Berdekatanan dengan masjid itu ialah tugu peringatan Pasir Salak. Kini masjid tersebut terletak bersebelahan dengan Kompleks Sejarah Pasir Salak.

Syeikhuna Sidi Yusuf Bakhur al-Hasani

Dua minggu lepas saya ke Dar al-Maliki untuk menghadiri majlis ilmu Syeikhuna Sidi Yusuf Bakhur al-Hasani. Sebelum beliau memulakan majlis, tuan guru yang mulia Syeikh Fuad al-Maliki terlebih dahulu mensyarahkan kitab Kanzul Minan. Syeikh As-Syarif al Imam Yusuf Muhyiddin Riq El-Bakhur Al-Hasani berketurunan Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husein r.a. yang merupakan kedua-dua cucu kesayangan Rasulullah s.a.w. Syeikhuna Sidi Yusuf dilahirkan di Aka, Lubnan pada tahun 1948. Kini, beliau tinggal di Lubnan dan Kanada. Pada peringkat awal, Syeikhuna Sidi Yusuf menuntut di Lubnan. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajiannya di Institut Fiqh (Islamic Study) pada tahun 1974 dalam bidang Ijazah Sarjana Muda. Beliau juga turut mengambil pengajian Sarjana Muda di Al-Azhar dan tamat pada tahun yang sama, dalam bidang Al-Syariah wa Al-Qonun. Beliau melanjutkan Ijazah Sarjana di Al-Azhar dalam bidang Al-Syariah wa Al-Qonun dan tamat pada tahun 1989. Dua tahun kemudian, beliau telah dianugerahkan ijazah Kedoktoran (Ph.D) Kehormat daripada Universiti Islam Lubnan. Syeikhuna Sidi Yusuf mengambil tarbiah sufiyah secara khusus dari As-Syeikh Al-Mursyid Sidi Abdul Qadir Isa r.a. yang merupakan mursyid bagi Tarikat As-Syazuliyah Ad-Darqowiyah. Sidi Syeikh Abdul Qadir Isa r.a. kemudiannya memberi izin wirid 'am dan khas tarikat As-Syazuliyah dan izin irsyad dan tarbiah kepadanya. Syeikhuna Sidi Yusuf merupakan khalifah Syeikh Abdul Qadir Isa r.a. yang termuda dari kalangan keempat-empat khalifah beliau. Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani pernah dibawa oleh Syeikh Abdul Qadir Isa r.a. untuk bertemu dengan guru beliau sendiri iaitu Syeikh Muhammad Al-Hasyimi. Syeikh Muhammad Al-Hasyimi turut memberi izin wirid am dan khas tarikat As-Syazuliyah kepada Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani, Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mendampingi gurunya, Syeikh Abdul Qadir Isa sehinggalah ke hujung hayat Syeikh Abdul Qadir Isa r.a.. Setelah kewafatan Syeikh Abdul Qadir Isa r.a., Syeikhuna Sidi Yusuf mencari mursyid lain sebagai tabarruk kerana merasakan dirinya masih lagi memerlukan tarbiah dari seorang mursyid, walaupun pada ketika itu, beliau sudahpun mendapat izin sebagai seorang mursyid. Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mengambil bai'ah tabarruk dari Syeikh Sa'duddin Murod, yang merupakan khalifah utama Sheikh Abdul Qadir Isa r.a.. Syeikh Sa'duddin Murod turut memberikan izin tarbiah khalwah dan izin wirid am dan khas tarikat As-Syazuliyah kepada Syeikh Yusuf. Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani turut menemui Syeikh Al-Habib Abdul Qadir As-Saggaf untuk mengambil bai'ah tarikat daripada beliau seterusnya menjadi murid beliau. Syeikh Abdul Qadir As-Saggaf kemudiannya memberi izin irsyad tarikat As-Syazuliyah kepada Syeikhuna Sidi Yusuf al-Hasani setelah melihat keahlian yang dimiliki oleh Sheikhuna Sidi Yusuf. Di samping itu juga, Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mengambil bai'ah tarikat daripada beberapa mursyid tarikat berlainan serta menerima izin irsyad dari mursyid-mursyid tarikat tersebut seperti Syeikh Soleh Farfur (tarikat As-Syazuliyah juga), Syeikh Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi Al-Maliki (tarikat Alawiyah), Syeikh Uthman Sirajuddin An-Naqsyabandi (tarikat An-Naqsyabandiyah), Syeikh Muhammad Na'im Al-Jailani Al-Asyarafi (tarikat Al-Qadiriyah) dan Syeikh Muhammad Zaki Ad-Din Ibrahim (tarikat Asyirah Muhammadyah). Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani juga meriwayatkan hadith-hadith musalsal dan sanad-sanad hadith dan ilmu agama secara umum dari Syeikh Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki r.a. dan Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim. Syeikhuna Sidi Yusuf pada ketika ini memegang beberapa jawatan seperti Pengarah Yayasan Islam Kanada, di Hamilton, Kanada bermula dari tahun 1981 sehingga hari ini, Pensyarah di Universiti Islam Lubnan, Ahli JawatanKuasa Majlis Fatwa Lubnan dan Anggota Majlis Ulama' di Syria. Beliau adalah seorang pendakwah peringkat antarabangsa (Syam, Kanada, Mesir, Jepun dan AsiaTenggara) dan merupakan Mursyid atau Syeikh Tarikat Al-Asyirah Al-Muhammadiyah di Hamiton, Kanada. Beliau adalah Murobbi Tasawwuf khususnya dalam Tarikat Syazuliyah, Qadiriyah, Naqsyabandiyah, Darqowiyah, Alawiyah dan sebagainya. Beliau turut menjadi Pengasas Dar El-Hasani Center, iaitu tempat perhimpunan anak-anak murid beliau di Mesir, Penasihat Kehormat Institut Pengajian Ar-Razi, Pulau Pinang, Malaysia dan Penaung dan Penasihat kepada Markaz Darul Hasani Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.
*Biografi Syeikhuna Sidi Yusuf al-Hasani diolah dari sumbernya di sini


Syeikhuna Sidi Yusuf bersama-sama dengan Tuan Guru Yang Mulia Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

Syeikhuna Sidi Yusuf sedang menyampaikan syarahan

Wednesday, May 19, 2010

Nanas

Ayahanda mertua saya seorang yang amat gemar bercucuk-tanam. Boleh dikatakan pantang ada kawasan kosong sikit, pasti akan ditanamnya samada dengan pokok buah atau apa-apa jenis pokok kampung yang boleh dimakan seperti ulam dan sebagainya. Menariknya, kebanyakan pokok yang ditanam oleh ayah ‘menjadi’. Pokok buah seperti dokong, rambutan gading, mempelam, manggis, buah naga, nanas dan macam-macam lagi 'menjadi' belaka hasil usaha tulang empat kerat ayah. Ramai yang minat dengan nanas ayah. Malah nanas ayah juga turut menjadi tumpuan pencuri. Kalau rumah ditinggal dua tiga hari semasa musim pokok berbuah maka putih mata la jawabnye kerana buah dikebas orang. Nanas ayah sangat special. Ayah menanam pelbagai spesis nanas tetapi tidaklah saya pasti samada ianya dari jenis morris atau nanas Sarawak seperti yang terdapat di pasar-pasar besar seperti Tesco atau Mydin. Ada yang jenis daunnya berduri dan ada yang tidak. Buah yang terhasil juga bermacam jenis, ada yang besar dan ada yang kecil. Namun kesemuanya mempunyai satu persamaan iaitu SANGAT MANIS. Selain manis, nanas yang ditanam ayah juga tidak meninggalkan kesan ‘gatal’ atau ‘kesat’ pada lidah dan lelangit mulut setelah memakannya. Inilah kelebihan nanas yang ditanam ayah. Apabila saya kaji dan teliti balik, ada dua perkara yang menyebabkan nanas ayah ini menjadi sangat manis dan mempunyai keistimewaan sebegitu rupa. Pertama, ayah tidak kedekut menyiram pokok. Setiap hari, sekurang-kurangnya dua kali sehari ayah pasti akan menyiram pokok-pokoknya iaitu di sebelah pagi dan petang. Kedua, ayah sentiasa membaja pokok-pokoknya. Pokok-pokok yang ditanam tidak dibiar begitu sahaja. Beliau sentiasa melihat perkembangan pokok-pokoknya dan memastikan pokok-pokoknya sentiasa sihat. Apapun, kata kuncinya ialah disiplin. Bercucuk-tanam ni memerlukan disiplin yang tinggi. Tanpa disiplin, tanam apa pun tak menjadi.


Buah nanas dari pokok yang ditanam ayah

Kuasa elektrik

Baru-baru ini saya ke pejabat pengurusan taman perumahan saya untuk menyelesaikan beberapa urusan. Tatkala melangkah masuk ke dalam pejabat, saya terpandang kenderaan ini. Selama ini saya ingat buggy ini menggunakan minyak tetapi sebenarnya ia mengunakan kuasa elektrik. Buggy ini digunakan oleh pengawal keselamatan di taman perumahan saya untuk aktiviti rondaan. Nampak gaya kaedah mengecasnya mirip seperti telefon bimbit. Tetapi tidak pulalah diketahui berapa lama ia perlu dicas dan berapa lama pula ia tahan sebelum perlu dicas semula. Terpikir juga saya, kalaulah kenderaan biasa juga menggunakan elektrik kan ke mudah. Malam-malam boleh cas kereta, tak perlu susah-susah pergi stesen minyak. Lagipun kuasa elektrik ni nampak macam lebih mesra alam berbanding dengan minyak. Wallahualam.


Kereta sedang dicas

Tempat cas

Tak pasti berapa lama perlu dicas sebelum boleh digunakan

Lima perkara

Minggu lepas saya ada mendengar kupasan al-Fadhil Ustaz Dr Zulkifli al-Bakri di corong radio IKIM. Ustaz memetik kata-kata al-Faqih Samarqandi seperti berikut, “Lima perkara untuk nak dapat syurga ialah
1. Jarakkan diri dari maksiat
2. Redha dengan sedikit dunia maksudnya tidak tamak dengan harta dunia
3. Loba akan mentaati ibadah
4. Kasih akan orang soleh
5. Banyakkan doa dan mohon redha Allah”
Sambung ustaz lagi, “Seorang sahabat pernah berkata, “Bila aku bersama Rasulullah saw, aku berasa syurga seperti dihadapanku. Akan tetapi apabila aku membuat kerja, aku lupa tentang itu”. Sabda Rasulullah saw, “Selagi mana engkau taat kepada Rasulullah saw maka engkau berada di landasan syurga”.

Tuesday, May 18, 2010

Masjid Negara


Saya sampai di Masjid Negara lebih kurang jam 6.45 petang. Saya menghadiri majlis ilmu Syeikh Fuad sebelum datang ke sini. Syeikh mensyarah kitab Kesempurnaan Rasulullah saw dan Agamamu dalam Bahaya. Misi pertama bila sampai di Masjid Negara ialah mencari tempat parking. Nampaknya takde yang kosong berhampiran dengan Masjid Negara. Terpaksalah saya mendaki bukit menuju ke Auditorium Muzium Kesenian Islam. Semua tempat parking dah penuh. Saya mendaki lagi hingga sampai ke Muzium Polis. Deretan kereta sudah memenuhi bahu jalan. Tanpa disedari, rupanya adinda saya dibelakang saya. Apabila saya call katanya dah ada kat belakang saya. Kami berdua berjalan menuruni bukit menuju ke masjid. Sementara itu, masih banyak lagi kenderaan mendaki bukit mencari tempat parking. Ikut jadual majlis bermula jam 5 petang yakni selepas solat asar. Lebih kurang macam jadual tahun lepas. Maka sudah tentu kami terlepas beberapa syarahan dari speaker yang telah dijemput. Majlis pada tahun ini diserikan dengan kehadiran DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Baginda tiba tidak lama selepas kami mendapat tempat didalam dewan solat utama. Sungguh ramai jemaah yang hadir pada tahun ini. Rasanya dalam 4 atau 5 kali ganda berbanding tahun lepas. Usai solat, majlis dimulakan dengan ucapan aluan menyambut kehadiran DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong. Seterusnya hadirin menikmati syarahan yang disampaikan oleh Prof Dr Ahmed Umar Hasyim, Prof Dr Ahmad Obaid al-Kubaisi dan ditutup dengan kupasan pengerusi al-Wariseen Trust iaitu Maulana asy-Syeikh Afeefuddin al-Jailani. Sebelum solat isyak, hadirin bersama-sama membaca Maulid ad-Daiba’i yang dipimpin oleh Habib Hassan bin Mohammed Salim al-Attas. Majlis berakhir lebih kurang jam 10 malam. Selesai menikmati hidangan, saya dan adinda saya meninjau-ninjau gerai jualan di luar kawasan negeri. Ada yang menjual poster, minyak wangi, cincin, jubah dan kopiah. Sambil membelek-belek barangan jualan, sesekali mata meleret ke arah jalan memerhatikan deretan kereta yang bergerak keluar menuju ke jalan besar. Apabila nampak jalan agak reda, kami pun berjalan menuju ke kereta masing-masing dan seterusnya pulang ke rumah.


Sampai di Masjid Negara lebih kurang jam 6.45 petang

Dewan solat utama sudah pun dipenuhi dengan jemaah

Ucapan aluan majlis pada petang itu

Prof Dr Ahmed Umar Hasyim menyampaikan syarahan





Prof Dr Ahmad Obaid al-Kubaisi menyampaikan syarahan



Habib Hasan memimpin Maulid



Suasana didalam dewan solat utama ketika maulid dialunkan



Syeikh Afeefuddin menutup majlis dengan kupasan yang menarik

Cenderahati dari penganjur

Mug kenang-kenangan Sambutan Maulidur Rasul dan Hol Syeikh Abdul Qadir al-Jailani 1431 H

Monday, May 17, 2010

Syeikhuna Tuan Guru Haji Muhammad Syukeri bin Unus

Saya ke pusat pengajian Ba ‘Alawi pagi Sabtu lepas untuk mengikuti majlis pengajian yang sangat istimewa dan penuh berkah. Pengajian ini sangat istimewa kerana yang hadir bersyarah pada hari itu ialah Tuan Guru kepada Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam iaitu Syeikhuna Tuan Guru Haji Muhammad Syukeri bin Unus. Selain Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam yang mengiringi kedatangan gurunya pada hari itu, turut menyerikan majlis ialah Tuan Guru Baba Abdul Aziz al-Fathani yang turut hadir pada hari itu. Kalau tak silap saya, Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi ada memaklumkan bahawa ini adalah kali pertama Syeikhuna Tuan Guru datang ke Malaysia. Antara sebab kunjungan Syeikhuna Tuan Guru ke Malaysia adalah untuk menziarahi jenazah Al-Arif Billah Al-Habib Ali bin Ja’far Al-Aydrus rahimahullah yang meninggal dunia pada petang Khamis, 13 Mei 2010 dan menghadiri majlis Maulidur Rasul dan Hari Hol Syeikh Abdul Qadir al-Jailani yang bermula pada sebelah petang Sabtu, 15 Mei 2010.
Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam mendapat ilmu-ilmu asas khususnya bahasa Arab dari Syeikhuna Tuan Guru. Syeikhuna mempunyai keahlian yang sangat luas dalam bahasa Arab. Bahkan kitab nahunya yang merupakan syarah atas matan Ajrumiyah yang berjudul Is’afuth Thalibin telah menjadi teks subjek Nahu di institusi pengajian di tempat Syeikhuna iaitu di negeri Banjar. Terdapat lebih 20 kitab berbahasa Arab telah dikarang oleh Syeikhuna Tuan Guru. Syeikhuna Tuan Guru mengadakan pengajiannya di Martapura dimana sesi pengajiannya dikenali dengan nama Sabilal Anwar. Setiap kali pengajian diadakan, lautan manusia akan hadir untuk menimba ilmu dengannya. Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi melazimi pengajian Syeikhuna Tuan Guru sejak dari tahun 70-an hinggalah ke hari ini. Kata Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi apabila mensifati gurunya, “Tuan guru ini bukanlah seorang penceramah tetapi beliau adalah pembentuk generasi”. Memang benar, telah ramai ulama-ulama besar lahir menerusi tangan Syeikhuna Tuan Guru. Maka kami pada hari itu sangat beruntung kerana Syeikhuna Tuan Guru telah mensyarah kitab yang dikarangnya sendiri yang kemudiannya disusun semula oleh Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi. Kitab ini asalnya dalam bahasa Arab kemudian diterjemah oleh Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi ke dalam bahasa Melayu/Indonesia untuk kemudahan umat Islam di Alam Melayu. Kitab ini berjudul 40 Hadith Kelebihan Ilmu dan Ulama. Kitab ini telah ditulis oleh Syeikhuna kira-kira 26 tahun yang lalu. Syeikhuna Tuan Guru telah memulakan pengajian pada hari itu dengan muqadimah diikuti dengan perbahasan tiga buah hadith yang terkandung didalam kitab tersebut. Hati saya sangat terkesan apabila melihat kemuliaan adab dan ketinggian akhlak yang dizahirkan oleh ketiga-tiga tuan guru yang sangat saya muliakan itu. Ketiga-tiga tuan guru yang sangat saya muliakan itu masing-masing memuliakan dan menghormati antara satu sama lain. Jelas terpancar perasaan kasih dan mahabbah antara mereka bertiga. Betapa kasihnya Tuan Guru Baba kepada Syeikhuna Tuan Guru apabila beliau menyapu wangian qaswah kepada wajah Syeikhuna yang mulia sambil mengucup dahi dan kedua belah pipi Syeikhuna Tuan Guru. Syeikhuna Tuan Guru pula memanggil Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi sebagai anakanda apabila mahu berbicara tentang sesuatu dengannya. Allah, sejuk hati bila melihat suasana mahabbah sebegini. Peribadi ketiga-tiga tuan guru ini juga sangat tawadhu’. Begitu tawadhu’nya Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi apabila beliau mengumpamakan dirinya seperti debu tayammum manakala gurunya seperti air wudhu’. Kata beliau, “Apabila air wudhu’ telah ada, debu tayammum pun tidak perlu dipakai lagi.” Begitulah halus dan indahnya bahasa Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi yang sangat tawadhu’ yang meminta kami sebagai anak muridnya mengambil terus ilmu dari Syeikhuna Tuan Guru memandangkan Syeikhuna Tuan Guru telah ada disitu pada hari itu, padahal selama ini dengan Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi-lah kami menghilangkan dahaga dengan meneguk pelbagai macam ilmu. Tuan Guru Syeikh Ahmad dan Tuan Guru Baba Abdul Aziz masing-masing mengingatkan kami sebagai penuntut ilmu agar tidak jemu-jemu menuntut ilmu dan jangan sekali-kali memutuskan hubungan antara anak murid dengan guru. Kata Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi, “Saya tidak redha jika ada di kalangan anak murid saya memanggil saya sebagai ‘bekas guru’nya. Orang sebegini tidak dianggap sebagai anak murid kerana tidak mempunyai adab kepada gurunya. Apabila seseorang itu mula menuntut ilmu kepada gurunya maka hubungan beliau dengan gurunya itu tidak akan terputus sampai bila-bila hinggalah ke Hari Akhirat. Justeru, istilah ‘bekas guru’ tidak ada dalam kamus bagi seorang penuntut ilmu.” Sambung Tuan Guru lagi, “ Bekas menteri mungkin ada istilahnya tapi ‘bekas guru’ tidak ada istilahnya.” Tuan Guru Baba juga turut menyampaikan tazkirah kepada kami pada hari itu. Katanya, “Saya berasa sungguh seronok dengan kehadiran tuan guru (Syeikhuna Tuan Guru) pada hari ini. Beliau telah mengorbankan seluruh kehidupannya untuk menyebarkan ilmu”. Hadirin menjadi sebak bila Tuan Guru Baba berbicara tentang pengalamannya bersama almarhum al-Arif Billah al-Habib Ali bin Ja'afar al-Aydrus. Kata Tuan Guru Baba, "Kita telah kehilangan seorang bapa rohani". Selanjutnya, Tuan Guru Baba menyatakan tentang kepentingan sikap tawadhu’ dalam menuntut ilmu. Katanya, “Kita tidaklah berbangga dengan ketinggian ilmu atau kemuliaan keturunan kita tetapi kita berbangga apabila kita dapat menghilangkan sifat-sifat mazmumah dalam diri kita”. Beliau turut menekankan akan kepentingan melazimkan diri untuk hadir dalam majlis ilmu khususnya dalam majlis muqadimah kitab dan pengkhataman sesebuah kitab kerana pada waktu itu berkahnya amat banyak. Guru perlu dihormati dan dikasihi oleh para penuntut ilmu. Bahkan kata Tuan Guru Baba, “Guru itu lebih tinggi kedudukannya dari ibubapa kerana ia membimbing rohaniah kita”. Kata Tuan Guru Baba lagi, “Tidak ada istilah demokrasi dalam menuntut ilmu. Apabila berguru, hendaklah seseorang itu patuh dan taat kepada gurunya. Itulah adab seorang murid kepada gurunya kerana guru membimbing muridnya dari mula hingga akhir. Murid yang suka menyalahkan gurunya adalah murid yang takabbur dan derhaka pada gurunya. Guru yang baik pula tidak akan menceritakan keburukan orang lain serta asyik membicarakan perkara-perkara yang khilaf”. Sebelum mengakhiri majlis, Syeikhuna Tuan Guru Muhammad Syukeri bin Unus telah berkenan untuk mengijazahkan sanad ilmunya dengan katanya, “Saya mengijazahkan para hadirin akan-apa-apa yang telah diijazahkan oleh Syeikh Ahmad Fahmi”. Majlis yang bermula sekitar jam 10.15 pagi berakhir lebih kurang jam 12.30 tengah hari.


Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi, Syeikhuna Tuan Guru Haji Muhammad Syukeri Unus dan Tuan Guru Baba Abdul Aziz

Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi memulakan majlis pengajian pada hari itu



Hadirin mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan tuan-tuan guru



Sunday, May 9, 2010

Arnab di Mydin

"Arnab ni ada jual kat atas", kata seorang penjual kain di bahagian basement Mydin apabila melihat kami sekeluarga cukup berminat dengan anak arnab yang sedang dipegang oleh anaknya. Comel sungguh anak arnab yang dipegang oleh anaknya, rasanya jenis kacuk kut. Kami sekeluarga dah jadi peminat arnab sejak bela arnab beberapa bulan yang lepas. Langsung kami naik ke atas. Katanya ada pameran arnab di bahagian atas. Ternyata pameran itu menjadi tumpuan pengunjung. Peminat arnab tidak mengenal usia. Masing-masing melihat jenis dan baka arnab yang dipamerkan dari satu sangkar ke sangkar yang lain. Ada yang dijual dengan harga ratusan ringgit. Anak-anak arnab pula dijual dengan harga serendah RM 25. Ada pelbagai jenis baka arnab dipamerkan pada hari itu. Bulu arnab jenis kacuk lebih tebal dari bulu arnab kampung. "Sampai bila pameran ni?" Tanya saya. "Hari ni last bang", jawab si penjaga pameran. Hajat memang hendak beli sepasang tapi memandangkan reban kat rumah pun belum siap maka terpaksalah saya tangguh dulu hajat tersebut. Kata si penjaga pameran, mereka mempunyai tempat ternakan di Banting. Mungkin saya boleh berkunjung ke sana bila reban dah siap.


Sekawan merpati di Shah Alam. Kami ke Shah Alam di sebelah pagi untuk menyelesaikan beberapa urusan. Selepas itu, baru ke Mydin USJ

Pameran arnab yang menjadi tumpuan pengunjung

Pelbagai jenis baka arnab dipamerkan

Sisi lain pameran arnab di Mydin USJ

Seni

Hari Sabtu baru-baru ini, saya menghabiskan masa di sebelah siang di MAPTAM. Ada kerja-kerja pemasangan perkakasan elektrik seperti lampu dan kipas serta wiring dijalankan jadi saya perlu melihat aktiviti tersebut. Saya mendapat ilmu baru pada hari itu. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu hendak membengkokkan batang paip plastik yang menjadi pelindung dan salur tempat wayar elektrik melaluinya. Rupanya mudah je nak bengkokkan batang paip tersebut. Kena ada cara dan seni.



Batang paip (warna putih) yang telah siap bengkok. Pembengkoknya ialah dengan menggunakan spring seperti dalam gambar diatas. Caranya ialah dengan memasukkan spring (fizikal macam spring buaian tetapi saiznya kecil sedikit) ke dalam batang paip dan lenturkan batang paip mengikut bentuk yang diperlukan

Batang paip asal - Setelah tengok cara membengkoknya barulah saya tahu bahawa batang paip ini boleh di'bentuk' dengan mudah asal kena dengan gayanya

Sseorang pekerja sedang mem'bentuk' batang paip setelah spring dimasukkan

Monday, May 3, 2010

KAMIL 2010

Ahad lepas, saya berkampung di SRA Bandar Seri Putra bersama-sama dengan warga MAPTAM yang menyertai pertandingan KAMIL daerah Sepang. Laporan penuh boleh dibaca disini. Pertandingan ini adalah pertandingan tahunan. Tahun lepas, pertandingan ini dijalankan pada bulan April (rujuk disini dan sini) dan dibahagikan kepada dua zon. Tahun ini, nampaknya kedua-dua zon tersebut digabungkan. Pertandingan ini sangat bermanfaat untuk para pelajar dari segi mencungkil bakat, memupuk semangat setiakawan dan menambah ilmu pengetahuan.


Pamplet aturcara majlis

SRA Bandar Seri Putra, Bangi - lokasi berlangsungnya KAMIL daerah Sepang

Fakhrul dengan hadiah yang dimenanginya

Ya Bunayya

Sabtu lepas, saya ke Salak Tinggi bersama isteri. Kami menghadiri majlis ilmu Syeikh Fahmi. Syeikh mensyarah dua buah kitab iaitu Ya Bunayya dan 40 Hadith Peristiwa Akhir Zaman. Kedua-dua kitab ini dikarang oleh Syeikh sendiri. Kitab Ya Bunayya adalah sebuah kitab yang sangat istimewa kerana ia menghimpunkan nasihat Imam Ibnul Wardi al-Kindi (691-749 H) yang dimuatkan dalam qasidah yang dinamakan sebagai Lamiyah Ibnil Wardi. Terdapat 76 bait syair didalam qasidah ini dan Syeikh mensyarah ke atas bait-bait yang terkandung didalamnya. Apa yang menarik ialah syeikh mula menterjemah dan menyusun isi kandungan kitab ini setelah membeli kitab Lamiyah Ibnil Wardi ketika berjalan-jalan di kedai kitab di Damascus, Syria pada 11 Mei 2004 (rujuk muqadimah penterjemah). Majlis ilmu pada hari itu bermula sekitar jam 9 pagi dimulai dengan bacaan maulid dan berakhir sekitar jam 12 tengah hari.

Kitab Ya Bunayya yang mengandungi untaian syairImam Ibnul Wardi (ulama besar Syria abad ke 8 H)



Kitab 40 Hadith Peristiwa Akhir Zaman