Sunday, June 27, 2010

MIAT


Pada hujung minggu baru-baru ini, saya ke MIAT yang terletak di Jenderam Hulu untuk menghadiri satu seminar anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Sepang. Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki di MIAT. Seminar tersebut adalah berkaitan tentang penjelasan amalan tariqat. Penceramah yang dijemput ialah Ustaz Eizzul dari Bahagian Penyelidikan Unit Akidah, JAKIM dan Dr Zulkifli al-Bakri. Majlis tersebut berlangsung selama setengah hari. Selesai majlis, saya ke Bangi kerana perlu menyudahkan beberapa urusan yang lain.


Dewan Theatherette, tempat berlangsungnya seminar

Replika kapal terbang, terletak betul-betul di pintu masuk MIAT.

DAWAMA

Minggu lepas saya ke DAWAMA yang terletak di Hulu Kelang. Tujuan ke sana ialah untuk meninjau jualan buku pertengahan tahun. Hujan renyai-renyai pada waktu itu. Ketika saya sampai, tidak begitu ramai pengunjung. Bagi saya, skala jualan buku tahun ini agak kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya. Skala jualan yang saya maksudkan disini ialah dari segi ruang jualan dan kategori buku. Ruang jualan kali ini agak kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya. Begitu juga kategori buku tidak sebanyak tahun-tahun sebelumnya. Apa pun, buku cerita untuk kanak-kanak dan remaja agak banyak juga yang ditawarkan. Dapat juga saya membeli beberapa buah buku untuk diletakkan di perpustakaan mini MAPTAM. Oh ya, jualan kali ini ada cabutan bertuah bagi pembeli-pembeli buku. Kemungkinan besar ini adalah satu strategi DAWAMA untuk menggalakkan pengunjung datang ke sini.

Kedai buku DAWAMA di Hulu Kelang

Monday, June 14, 2010

Awal Rajab

Semalam saya ke Dar al-Maliki untuk menghadiri majlis pembukaan pembacaan kitab Sahih al-Bukhari. Telah menjadi tradisi ulama terdahulu untuk membaca kitab ini sepanjang bulan Rajab sehingga khatam. Tuan Guru yang mulia, Syeikh Fuad berpesan kepada ikhwan agar memperbanyakkan doa ketika kitab ini dibaca memandangkan majlis itu adalah majlis yang penuh berkah dan dirahmati Allah Ta'ala. Alhamdulillah, dengan taqdir Allah, saya telah bertemu dengan seorang saudara saya dalam majlis ini. Namanya Faisal. Saya memanggilnya Pak Su Faisal. Menurutnya, dia dan isterinya sering melazimi majlis pengajian Syeikh tetapi baru semalam saya perasan kelibatnya mungkin kerana pada waktu itu saya duduk hampir dengannya. Usia beliau hampir sebaya dengan saya tetapi beliau berpangkat bapa saudara kerana bondanya dan bonda kepada ayahanda saya adalah adik-beradik. Katanya, ada seorang lagi saudara tinggal tidak jauh berhampiran dengan rumahnya. Beliau adalah dua pupu saya dan jatuh pangkat anak saudara kepada Pak Su. "Bila-bila datang le rumah Pak Su", katanya pada saya kerana rumahnya berada di sekitar Ampang sahaja.

Kitab Sahih Bukhari terjemahan yang dijual di pasaran




Antara kitab bahasa Arab Sahih Bukhari yang dijual di pasaran



Friday, June 11, 2010

Catatan tiga hari dua malam perjalanan – Taman Tasik Taiping

Di sebelah petang, saya membawa anak-anak saya bermain di sekitar Taman Tasik Taiping. Taman Tasik ini adalah taman tasik yang tertua dalam negara. Taman Tasik ini merupakan bekas lombong bijih timah. Taman tasik ini dibuka pada tahun 1880. Keluasan tasik ini dikatakan mencapai hingga 62 hektar. Jika satu masa dulu bapa saya sering membawa saya bermain di kawasan ini, kini giliran saya pula membawa anak-anak saya bermain di sini. Saya masih ingat lagi ketika saya masih kecil dahulu, saya suka benar bermain gelongsor yang diperbuat dari batu. Gelongsor jenis ini agak tinggi. Sementara jongkang-jongket pula diperbuat dari kayu dan perlu dimainkan secara berpasangan. Kini gelongsor tidak diperbuat dari batu tapi dari fiber/plastik manakala jongkang-jongket pula terdiri dari spring yang agak kukuh dimana ia boleh dimainkan walau hanya seorang sahaja duduk diatasnya. Selain mempunyai panorama yang indah, Taman Tasik ini juga kaya dengan sejarah. Sebagai contoh, Zoo Taiping yang berada di dalam kawasan taman tasik ini adalah merupakan zoo yang tertua dalam negara. Begitu juga dengan rumah rehat dan lain-lain bangunan yang terletak di sekitar taman ini seperti Muzium Taiping, sekolah-sekolah yang mempunyai senibina lama dan sebagainya. Di taman permainan yang kami kunjungi pada petang ini, kelihatan sekumpulan beruk sedang mencari-cari makanan disana-sini. Ada yang menggeledah tong sampah dan ada juga yang mengutip sisa-sisa makanan yang jatuh atau dibuang oleh pengunjung. “Yang tu garang, jangan dekat sangat dengan dia”, kata si penjual aiskrim mengingatkan kepada pengunjung apabila terpandang seekor beruk yang sedang mengendong anaknya. Katanya, induk beruk yang membawa anak sangat garang terhadap sesiapa sahaja yang cuba mendekatinya kerana disangkanya orang itu mahu menganggu anaknya.


Panorama taman tasik

Ada yang santai, ada juga yang menaiki basikal air (sebab kena kayuh)

Salah satu lokasi kawasan permainan di taman tasik. Letaknya betul-betul dihadapan zoo

Wednesday, June 9, 2010

Catatan tiga hari dua malam perjalanan – Lubuk Merbau

Di majlis ijtima’ itu juga saya telah bertemu dengan saudara-mara saya yang turut hadir mengikuti majlis tersebut. Ada yang datang dari Lenggong, yang letaknya kira-kira 40 km dari Sungai Petai. Selesai majlis, saya ke Lubuk Merbau. Hajat di hati ialah hendak menziarahi makam seorang ulama besar Alam Melayu. Tokoh yang dimaksudkan oleh Syeikh Muhammad Idris bin Abdur Rauf al-Marbawi. Beliau adalah seorang pengarang yang sangat hebat. Antara kitabnya yang paling masyhur ialah Bahrul Mazi yang terdiri dari 22 buah jilid. Judul lengkapnya ialah Bahrul Mazi li Syarh Mutkhtasar Sahihit Tarmizi. Ia merupakan terjemahan kitab Sahih Tarmizi dan kemudiannya disyarah oleh beliau. Kitab ini membicarakan 8200 permasalahan agama dan hal ehwal dunia akhirat yang dianggap sebagai satu daripada kitab hadith yang terawal di negara ini. Makam Syeikh Idris terletak dikawasan kompleks pemakaman Lubuk Merbau. Lokasinya ialah kira-kira 100 meter di belakang Masjid Jamek Lubuk Merbau. Selesai menghadiahkan al-Fatihah, kami bertolak keluar dari pekan Lubuk Merbau menuju semula ke Taiping. Dari pekan Lubuk Merbau ke simpang Padang Rengas, jaraknya ialah sekitar 14 km. Ada satu kawasan perkelahan antara Lubuk Merbau dan Padang Rengas. Kalau tak silap saya namanya ialah Taman Perkelahan Paya Lintah Batu Hampar. Agaknya inilah kawasan perkelahan yang sering disebut-subut orang sebagai Batu Hampar yang sangat terkenal itu. Kira-kira 5 km untuk sampai ke simpang Padang Rengas, saya ternampak satu signboard yang menunjukkan arah ke SMA Ad-Diniah al-Islamiah. Kalau tak silap saya inilah sekolah yang telah diasaskan oleh seorang ulama besar Alam Melayu satu masa dahulu iaitu almarhum Syeikh Junid Thala. Anak Syeikh Junid Thala yang bernama Sakinah telah berkahwin dengan almarhum Tan Sri Asri Muda yang merupakan bekas Presiden PAS menggantikan Prof Dr Burhanuddin al-Helmi yang meninggal dunia dalam tahun 1969. Syeikh Junid Thala adalah seorang ulama yang begitu mengambil berat tentang amalan mewakafkan tanah dan harta serta kemajuan ekonomi Islam atas dasar bersama dan bantu membantu antara satu dengan lain. Beliau telah memajukan tanah wakaf dengan menanam sayur-sayuran, buah-buahan, dan sebagainya. Beliau sendiri menunjukkan kepada pelajarnya teknik pertanian yang betul. Dari segi industri dan ekonomi beliau mempelawa beberapa orang pembatik dan pembuat terompah supaya datang ke Padang Rengas untuk membuka perusahaan di sini. Dan sebagai hasil daripada usaha ini, maka di Padang Rengas sendiri pada penghujung tahun tiga puluhan terdapat lebih kurang 30 buah kedai yang semuanya kepunyaan orang Melayu, terdiri daripada kedai kopi, kedai dobi, kedai getah, kedai runcit, kedai gunting rambut dan sebagainya. Selesai melihat bangunan sekolah SMA Ad-Diniah, kami singgah di sebuah gerai menjual jagung. Bersebelahan dengan gerai tersebut terpampang papan tanda “Projek Jagung Kampung Lalang”. Tidak jauh dari situ ada satu lagi papan tanda “Projek Kambing Tumpang”. Agak banyak juga perusahaan kampung di kawasan ini. Langsung saya terkenang akan usaha-usaha perekonomian yang telah dijalankan oleh Syeikh Junid Thala di kawasan ini satu masa dahulu.

Makam Syeikh Idris al-Marbawi dan isterinya

Papan tanda makam

Nisan makam Syeikh Idris al-Marbawi

Nisan makam isterinya

Lokasi makam ini betul-betul di tepi jalan kira-kira 100 meter di belakang Masjid Jamek Lubuk Merbau

Gerai jagung di Kampung Lalang. Satu ikat jagung dijual dengan harga RM 3

Papan tanda projek jagung, bersebelahan dengan gerai jagung tadi

SMA Ad-Diniah al-Islamiah di Kampung Lalang

Bangunan sekolah

Surau sekolah

Papan tanda sekolah dan pintu masuk utama

Catatan tiga hari dua malam perjalanan – Sungai Petai

Lebih kurang jam 8.30 pagi, kami bertolak ke Sungai Petai. Jarak antara rumah orang tua saya dengan Sungai Petai tidaklah begitu jauh. Lebih kurang 15 minit kami sampai di Sungai Petai. Untuk ke Sungai Petai, landmarknya kalau dari Taiping ialah simpang traffic light ke Changkat Ibol (belok ke kanan), betul-betul sebelum Masjid Jelutong. Dari simpang itu, kami melewati satu flyover dimana dibawahnya ialah lebuhraya PLUS. Selepas melalui jambatan Sungai Petai (jambatan kecil sahaja) ada satu signboard yang tertulis MAJLIS IJTIMA' WAL MUZAKARAH di Kampung Sungai Petai. Jarak simpang ini dari simpang utama tadi ialah sekitar 1 km. Dari simpang masuk ke Sungai Petai, kami bergerak perlahan-lahan menuju ke Madrasah Ahmadiah. Suasana kampung begitu jelas terasa di sini. Amat mendamaikan. Jaraknya tidaklah terlalu jauh iaitu hanya sekitar 400 hingga 500 meter sahaja. Saya memarkirkan kereta betul-betul dihadapan rumah almarhum Tuan Guru Haji Ahmad, pengasas Madrasah Ahmadiah dan juga pengasas MAJLIS IJTIMA' WAL MUZAKARAH. Bertentangan dengan rumah almarhum Tuan Guru ialah Madrasah Ahmadiah, tempat dimana berlangsungnya majlis ini. Sebelum majlis bermula, para peserta dikehendaki mendaftarkan diri terlebih dahulu. Bagi peserta baru, mereka akan diberikan satu kad keahlian dimana pada kad itu ada tertera nombor keahlian. Dari segi sejarah, majlis ini telah diasaskan oleh almarhum Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Yunus pada tahun 1948. Pada peringkat awal penubuhannya, majlis ini disertai oleh alim-ulama dengan ruang perbahasan yang agak tinggi. Berikutan ramai alim-ulama telah meninggal dunia maka sesi perbincangan ilmiah yang dianggap tinggi ini kemudiannya diubah menjadi kuliah pengajian bulanan. Dengan itu, kehadiran pesertanya adalah terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin mendalami ilmu. Dalam majlis ini, kitab-kitab turath (warisan) yang muktabar yang ditulis oleh ulama-ulama Melayu Nusantara dijadikan teks-teks pengajian manakala syarahannya disampaikan oleh ulama-ulama yang berkeahlian dalam bidang tersebut. Berbalik kepada majlis ijtima’ yang saya hadiri pada Ahad lepas, saya berpeluang mengikuti syarahan yang disampaikan oleh Tuan Guru Ibrahim Al-Fatani yang mensyarahkan sebuah kitab tasawwuf berjudul Minhajul Abidin. Tuan Guru merupakan tenaga pengajar di Maahad Tarbiah Al-Islamiah (SABK), Batu 8, Jalan Trong. Tuan Guru menyampaikan syarahan selama sejam iaitu bermula dari pukul 9 hingga pukul 10 pagi. Selepas itu, majlis disambung dengan syarahan kitab A’qidatun Najin, sebuah kitab tauhid yang disampaikan oleh anakanda kepada almarhum Tuan Guru Haji Ahmad iaitu Sahibus Samahah Dato' Haji Hassan Bin Haji Ahmad. Beliau kini memegang jawatan sebagai Mufti bagi negeri Pulau Pinang. Majlis berehat selama setengah jam iaitu dari pukul 11.00 hingga 11.30 pagi. Tepat jam 11.30 pagi, majlis disambung semula oleh seorang lagi anakanda almarhum Tuan Guru Haji Ahmad iaitu Dato' Haji Salleh Bin Haji Ahmad yang membahas kitab Bughyatul Tulab, sebuah kitab fiqh yang dikarang oleh ulama besar Alam Melayu abad ke 18 dan awal abad ke 19 Masehi iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dato Haji Salleh kini merupakan tenaga penting didalam Persatuan Ulama Malaysia. Sejam selepas itu, Ustaz Mutalib Bin Maarof mengambil tempat untuk mensyarah kitab tafsir, Nurul Ihsan. Ustaz Mutalib merupakan mudir Madrasah An-Nahdhoh di Bukit Mertajam. Majlis berakhir pada jam 1.30 petang. Selesai solat zohor, para peserta menjamu selera dengan makan berdulang. Duduk sedulang dengan saya ialah dua orang ustaz, seorang agak muda dari saya manakala yang seorang lagi lebih kurang sebaya saya. Kalau tak silap saya, kedua-duanya merupakan bekas pelajar Maahad Batu 8. Apa yang menarik perhatian saya ialah gaya bahasa/dialek atau loghat ustaz yang sebaya dengan saya. Loghat yang digunakannya ialah loghat Kuala sedangkan kalau di area Sungai Petai, loghat di situ condong ke arah bunyi Utara dan mungkin ada campur slang Patani (Ikut kata kawan saya, kat area Bukit Gantang dan kawasan sekitarnya ramai orang yang berasal dari Patani). “Ustaz asal mana?” Tanya saya kepada ustaz yang hampir sebaya umurnya dengan saya itu. “Saya orang Kampung Pauh, kampung sebelah ni je”. Maka dapatlah saya mengagak bahawa loghat Kuala (loghat Perak) berkemungkinan besar bermula dari Kampung Pauh hingga ke bahagian yang lebih selatan dalam negeri Perak. Jika sebelum ini saya agak tertanya-tanya dimanakah agaknya garis sempadan kawasan yang menjadi pemisah kepada loghat Kuala dengan loghat Utara, kini mungkin soalan itu telah terjawab.



Madrasah Ahmadiah Sungai Petai

Rumah almarhum Tuan Guru Haji Ahmad betul-betul dihadapan madrasah

Tuan Guru Haji Ibrahim sedang menyampaikan syarahan

Dato Haji Hassan sedang menyampaikan syarahan

Dato Haji Salleh sedang menyampaikan syarahan

Ustaz Mutalib sedang menyampaikan syarahan

Catatan tiga hari dua malam perjalanan – Taiping


“Dah makan ke belum”, tanya bonda saya elok-elok kami sampai di rumah. “Belum lagi”, jawab saya sambil membawa masuk barang-barang ke dalam bilik. Di luar rumah, kelihatan kereta berbaris di kiri dan kanan jalan. Ada kenduri kahwin di dewan berdekatan dan setentang dengan dewan ada kematian dimana khabarnya jenazah akan dikebumi sebelum Asar pada hari tersebut. Selesai makan tengah hari, saya berehat sambil membaca surat khabar. Tidak lama selepas itu azan Asar berkemundang. Saya solat di Masjid Daerah yang letaknya betul-betul dalam bandar Taiping. Pada papan kenyataan masjid, terpampang jadual majlis ilmu. Antara tokoh yang menyampaikan syarahan dalam bulan Jun ini ialah Tuan Guru Dato Haji Abdul Latif bin Abdul Rahman (lebih dikenali sebagai Pak Teh Kroh), mudir Madrasah Addiniah al-Latiffiah dan juga merupakan Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perak. Majlis syarahannya kalau tak silap saya bakal diadakan pada 19 Jun 2010. Selesai solat, saya berkunjung ke Masjid Lama Bandar Taiping (dikenali dengan nama Masjid Melayu Taiping). Letaknya hanya beberapa ratus meter sahaja dari Masjid Daerah. Masjid ini adalah antara masjid tertua di bandar Taiping. Ia dibina pada tahun 1893. Masjid ini dibina oleh ahli keluarga Ngah Ibrahim, tokoh Melayu yang sangat berpengaruh di negeri Perak pada abad ke-19 Masehi. Di sekitar kawasan masjid ini terdapat kompleks pemakaman yang agak besar. Ramai tokoh terkenal dan ulama besar telah dimakamkan disini termasuklah ahli keluarga Ngah Ibrahim sendiri. Antara tokoh terkenal dan ulama yang disemadikan disini ialah Prof Dr Burhanuddin al-Helmi dan Syeikh Makhbuli. Sebenarnya saya tidak tahu pun dimana letaknya lokasi makam Prof Dr Burhanuddin al-Helmi cuma sebelum ini saya pernah mendengar khabar bahawa makamnya ada di kawasan ini. Ketika saya sedang tercari-cari makam tersebut, ada seorang lelaki sekitar usia lewat 40-an masuk ke dalam kawasan pemakaman. Saya bertanya kepadanya tentang lokasi makam tokoh tersebut. Lelaki itu menggelengkan kepala tanda tidak tahu malah beliau sendiri pun tidak tahu bahawa tokoh berkenaan dimakamkan di kawasan tersebut. Kira-kira dua tahun lepas, saya pernah bertemu dengan salah seorang anak murid Prof Dr Burhanuddin al-Helmi di Gunung Semanggol. Namanya ialah Dr (H) Ahmad. Beliau adalah adik kepada Ustaz Mustafa bin Abdul Rahman, pengarang kitab-kitab Melayu yang sangat terkenal satu masa dahulu. Beliau sangat rapat dengan almarhum Prof malah dianggap anak angkat kepada Prof. Lebih kurang lima minit saya mencari akhirnya saya menemui makam tersebut. Letaknya tidak jauh dari pintu masuk kompleks pemakaman. Prof Dr Burhanuddin al-Helmi ketika hayatnya adalah seorang ahli politik yang terkenal. Beliau juga sangat aktif mengarang. Dalam banyak-banyak buku yang dikarangnya, buku yang paling lekat dalam fikiran saya ialah yang bertajuk Simposium Tasawwuf dan Tariqat. Bagi saya falsafah perjalanan seluruh hidupnya ada tertuang dalam buku itu. Lagipun kalau tak silap saya buku itu disusunnya kira-kira 3 tahun sebelum beliau meninggal dunia. Selesai menghadiahkan al-Fatihah, saya meninjau makam-makam lain. Kelihatan di satu sisi, lelaki yang saya temui tadi sedang tekun membaca surah Yassin di hadapan sebuah pusara, mungkin makam ahli keluarganya. Jam menunjukkan hampir pukul 5.30 petang. Saya bergerak menuju ke pusat bandar. Saya ke Perniagaan Ikhwan untuk mencari kitab agama. Kedudukan kedai ini ialah berhampiran dengan Pasar Besar Taiping dan Bazar Melayu Taiping. Kedai ini adalah salah satu kedai terbesar di bandar Taiping yang menjual kitab-kitab dan kelengkapan agama. Saya perlu mencari beberapa kitab kerana terlupa membawa kitab untuk hadir ke MAJLIS IJTIMA' WAL MUZAKARAH yang diadakan di Sungai Petai, esoknya. Majlis ijtima’ ini diadakan pada hari Ahad setiap awal bulan sepanjang tahun. Saya membeli kitab Minhajul Abidin di kedai ini.


Dewan Solat Utama Masjid Daerah Taiping

Salah satu tempat mengambil wuduk

Kubah dan menara masjid

Sisi lain pandangan masjid

Masjid Lama (Masjid Melayu) Taiping, kira-kira beberapa ratus meter sahaja dari Masjid Daerah

Pintu masuk ke kawasan masjid dan kompleks pemakaman

Makam isteri Ngah Ibrahim, Toh Puan Halimah binti Laksamana Muhammad Amin

Binaan makam yang agak terserlah berbanding makam-makam lain. Binaan ini mungkin dibina oleh Jabatan Muzium. Kemungkinan besar makam seorang ulama besar kerana dicatatkan pada batu peringatan dihadapan masjid, ada seorang ulama besar bernama Syeikh Makhbuli telah dimakamkan di kawasan ini

Makam Prof Dr Burhanuddin al-Helmi


Tulisan yang tertera pada makam Prof Dr Burhanuddin al-Helmi

Sisi lain pandangan makam

Tahun meninggal yang dicatatkan ialah pada tahun 1389 H/1969 M

Pemandangan kompleks pemakaman

Kolah mengambil wuduk

Mihrab masjid

Dewan solat utama Masjid Lama (Melayu) Taiping

Anjung luar dewan solat utama

Ruang udara dewan solat utama

Batu peringatan masjid dan kompleks pemakaman

Pintu utama masjid


Bazar Melayu di tengah-tengah bandar. Lokasinya berhampiran dengan Pasar Besar Taiping

Perniagaan Ikhwan - Kedai menjual kitab-kitab agama. Kalau tak silap saya, ini adalah cawangannya manakala pejabat dan kedai utamanya ialah di Kamunting

Bangunan Seri Larut, tidak jauh dari Perniagaan Ikhwan, Bazar Melayu dan Pasar Besar Taiping. Didalamnya ada kedai-kedai menjual kain. Dahulu, ada restoran di bahagian atas. Saya tak pasti samada masih ada lagi restoran atau tidak di situ.

Dahulu bahagian atas bangunan ini adalah Supermarket yang paling 'happening' di Taiping iaitu Supermarket Larut Matang. Kini supermarket tersebut hanya tinggal kenangan. Menjelang raya, kawasan ini adalah yang paling sesak sekali. Ini adalah kerana pengunjung dari luar ramai yang datang ke sini misalnya dari Kuala Kangsar, Bukit Gantang, Trong, Bagan Serai dan Batu Kurau

Sisi lain Bazar Melayu