Monday, July 19, 2010

Mawleed


Setelah pekena roti canai di sebuah restoran di Shah Alam, saya bergerak menuju ke sebuah gerai mamak yang menjual majalah. Hajat hendak membeli paper. Tiba-tiba mata saya tertangkap pada dua buah buku yang mempunyai tajuk yang sungguh menarik iaitu Allah memuliakan Rasulullah saw dan Biografi Sayyid Ahmad al-Badawi. Kedua-dua buku ini ditulis oleh Ustaz Ahmad Lutfi Abdul Wahab al-Linggi, salah seorang anak didik Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki yang kemudiannya menimba ilmu di bumi Mesir dengan alim-ulama terkemuka di sana. Sebenarnya sebelum ini pun saya pernah melihat buku yang sama di jual di kiosk-kiosk majalah dalam pasaraya besar seperti Giant dan Tesco tetapi belum tergerak untuk membelinya. Bukannya saya tak mahu beli tetapi hati kecil selalu berkata, “Banyak lagi buku tu, nanti beli le”. Kali ini tak boleh jadi, saya kena beli. Lagipun saya tengok kuantiti yang dijual pun dah semakin susut takut-takut nanti habis pula. Sekalung tahniah kepada penerbitan Mawleed kerana mengedarkan buku-buku sebegini di gerai-gerai majalah. Lazimnya gerai majalah jarang menjual buku sebegini kerana mereka lebih tertumpu kepada penjualan komik dan majalah tempatan dan antarabangsa yang lebih bercorak hiburan. Mudah-mudahan, di masa akan datang, lebih banyak buku-buku yang bercorak biografi atau manaqib dijual di gerai-gerai majalah. Memang sepatutnya buku-buku inilah yang dibeli oleh khalayak pembaca. Dengan membaca sejarah atau biografi orang-orang sholeh, jiwa kita akan dituntun untuk senantiasa meneladani mereka malah meningkatkan semangat kita untuk mencintai kebaikan dan ibadah seperti mereka. Kata ulama, apabila disebut tentang orang-orang solihin maka akan turun rahmat Allah. Produksi yang kemas dari segi kulit buku, typesetting, font dan gambar-gambar yang disertakan adalah satu lagi daya tarikan yang ada pada buku-buku keluaran Mawleed. Senang cerita, mata tidak letih membaca manakala isinya pula sesuai dibaca oleh semua golongan.


Salah satu buku keluaran Mawleed Publishing

Jakel

Seminggu sebelum itu, kami ke Shah Alam untuk mencari Jakel yang baru buka cawangan di situ. Pusing punya pusing, saya gagal mencarinya. Isteri saya pulak masa tu terlelap dan saya tak sampai hati nak mengejutkannya. Akhirnya kami pulang dengan tangan kosong. Beberapa hari selepas itu, isteri saya pergi sendiri bersama seorang rakannya, Ida dan berjaya menemui Jakel. "Hari tu, abang ikut jalan mana?" tanya isteri saya. "Abang lalu ikut Unisel lepas itu abang belok kanan lepas traffic light", jawab saya. "Patut le tak jumpa, Jakel tu letaknya betul-betul setentang dengan simpang masuk pintu belakang UiTM", kata isteri saya. "Kalau ikut traffic light Padang Jawa tu terus je jumpa bangunan Jakel", sambung isteri saya lagi. Akhirnya berjaya juga isteri saya beli kain di Jakel. Kain itu adalah untuk uniform pelajar tadika MAPTAM. Semalam, kami pergi sekali lagi ke Jakel. Sebenornya saya tak puas hati sebab tak dapat jumpa bangunan tu tempoh hari. Lepas ke Jakel, kami ke Ole-Ole kerana ada urusan di situ.

Bangunan Jakel, Seksyen 7 Shah Alam

Sime Darby


Ada jualan murah tilam dan bantal di Kompleks Sime Darby yang letaknya di USJ beberapa minggu yang lepas. Kami sekeluarga berkunjung ke situ. Tak begitu ramai orang mungkin kerana kedudukannya yang agak tersorok sikit. Kalau tak silap saya, tilam dan bantal yang dijual adalah jenama Dunlopillo. Kalau tengok harga asal untuk tilam, ada yang cecah ribu juga. Tapi bila tengok sambutan pengunjung pada hari tu, nampak macam ramai juga yang beli tilam. Mungkin diskaun banyak kut. Saya beli bantal sahaja. "Ini memang dah murah bang", kata si jurujual yang berusaha meyakinkan saya.

Jualan murah tilam dan bantal

Sunday, July 18, 2010

Kemuncak


Pada 10 Julai yang lepas, kami bertolak dari Puchong menuju ke Rembau lebih kurang jam 5.30 petang. Di beberapa tempat, hujan turun dengan lebat. Kami sampai di Rembau kira-kira sejam setengah kemudian. Alhamdulillah, dapat parkir di dalam kawasan perkarangan Kompleks Yayasan Sofa. Jadi tidaklah begitu jauh untuk kami berjalan menuju ke lokasi utama. Usai solat maghrib, majlis pengkhataman kitab Mukjizat Isra’ dan Mi’raj diteruskan sambil diselang-seli dengan alunan qasidah. Kata syeikh, secara zahirnya memanglah Nabi Musa as meminta Nabi saw bertemu Allah dan memohon kepada Allah agar dikurangkan bilangan solat tetapi secara batinnya, Nabi Musa as sebenarnya ingin melihat kesan nur Allah terpancar atau terlimpah di wajah Nabi saw tatkala baginda saw berulang-alik bertemu Allah. Ini adalah kerana Nabi Musa as tidak berpeluang menatap Allah. Selain itu kata Syeikh, Nabi saw ada bersabda dengan maksudnya, “Jikalau syaitan tidak mengerumuni hati anak Adam maka pastilah mereka dapat melihat kerajaan Allah di langit”. Walaubagaimanapun, ada di kalangan para wali Allah yang dapat melihat kerajaan Allah di langit. Syeikh Bahauddin al-Naqsyabandi misalnya mengetahui masuknya waktu solat zohor setelah beliau melihat para malaikat sedang berbaris mengerjakan solat zohor di langit. Sementara seorang lagi wali Allah iaitu Syeikh Abbas al-Mursi mengetahui waktu solat berdasarkan azan yang dikumandang oleh pemikul Arasy. Para sahabat pernah mengalami peristiwa seumpama itu dan Nabi saw membenarkannya. Sahabat bernama Harithah bin Syuraqah berkata kepada Nabi saw, “Aku beriman hari ini dengan iman yang sempurna”. Lalu Nabi saw bertanya, “Apa buktinya?” Lalu dijawab Harithah, “Aku seolah-olah melihat Arasy Allah dengan terang dan nyata ya Rasulullah”. Syeikh turut berkenan mengijazahkan ikhwan kitab Mukjizat Isra’ dan Mi’raj. Selesai solat isyak, majlis tahnik bermula. Syeikh mentahnik dan memberi nama bayi perempuannya yang baru sahaja lahir beberapa hari yang lepas. Majlis ditutup dengan zikir khusus dan doa yang dipimpin oleh Syeikh.


Kompleks As-Sofa menjelang maghrib

Kitab yang dikhatam pada malam itu

Doa tahnik yang dibaca pada malam itu sempena majlis tahnik anakanda Syeikh

Sambungan doa tahnik

Qasidah yang dibaca pada malam itu

Lagi qasidah yang dialun pada malam itu

Isra’ dan Mi’raj

Hari ini (9 Julai 2010) adalah hari kemuncak sambutan Isra’ dan Mi’raj di Dar al-Maliki. Kenderaan sudah mula memenuhi di kawasan lereng bukit hingga ke Dar al-Maliki. Nampaknya saya tiada pilihan. Saya perlu meletakkan kereta di bahagian bawah kemudian berjalan kaki ke atas. Sampai di atas, majlis telah pun dimulakan dengan alunan qasidah. Syeikh meminta para ikhwan agar memberi sepenuh perhatian kepada apa yang disampaikan. Ini adalah kerana peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah satu peristiwa yang sangat penting bagi umat Islam. Kata Syeikh, “Pandangan Nabi saw hanya tertumpu kepada Allah ketika baginda bertemu Allah”. Kata syeikh lagi, "Mata Nabi saw tidak memandang selain dari yang diperintah-Nya dan tidak melampau memandang yang lain". Dalam majlis tersebut, sebuah kitab baru yang merupakan terjemahan kitab karangan al-Qadhi Syeikh Yusuf ibn Ismail al-Nabhani telah mula dijual. Kitab tersebut diberi judul 40 Hadith Kemuliaan Akhlak Nabi saw dan Syafaat Nabi saw. Di akhir majlis, para ikhwan dijamu dengan nasi kambing.


Kitab terbaru yang diterbitkan oleh Yayasan Sofa mula dijual pada malam itu

Melihat

Saya ke Dar al-Maliki malam Jumaat lepas untuk menghadiri majlis ilmu yang disampaikan oleh Tuan Guru Yang Mulia, Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Dalam majlis tersebut, selain menyampaikan syarahan, Syeikh turut mengijazahkan kitab "Melihat Nabi saw dan 100 Kaedahnya" kepada para ikhwan. Dalam majlis malam itu, Syeikh telah menitipkan beberapa pesanan berharga kepada para ikhwan. Antaranya Syeikh memetik kata-kata Imam Ibnu Arabi dengan katanya, “Kegagalan utama seorang murid ialah apabila ia terpesona dengan masyaikh lain”. Kata syeikh, “Murid itu seumpama isteri kepada suami. Kalau ada keinginan pada yang lain maka itu adalah khianat”. Murid yang tidak mantap ilmunya tidak diizinkan menziarahi masyaikh lain kerana ia masih berada dalam ‘rawatan’ masyaikhnya itu. Dalam pesanan lain, Syeikh teringat kata-kata masyaikhnya iaitu dengan tidak menjadikan kitab sebagai hadiah. Ini adalah kerana kitab yang dijadikan ‘hadiah’ seringkali tidak dihargai. Sebaliknya kalau kitab itu dibeli maka kitab itu lebih dihargai dan sentiasa dibaca berulangkali. Sementara wang jualan kitab itu boleh digunakan untuk penuntut ilmu dan waqaf. Sebelum menutup majlis, Syeikh terkenang amalan gurunya iaitu Tuan Guru Muallim Abdul Wahid, ulama besar asal Melaka yang akan menjamu anak muridnya makan setiap kali selesai majlis. “Kalau tiada jamuan, Tuan Guru akan memberi duit kepada anak muridnya agar membeli makanan di tengah perjalanan”. Majlis selesai sekitar jam 10.30 malam. Sebelum melangkah pulang, para ikhwan menikmati hidangan nasi lemak bungkus.


Kitab Melihat Nabi saw dan 100 Kaedahnya cetakan terkini

Kitab yang sama cetakan terdahulu