Sunday, June 26, 2011

13 Rajab

Saya berkesempatan menghadirkan dalam majlis Al-'Allamah al-Muhaqqiq al-Faqih al-Murabbi al-Habib Zein bin Ibrahim Bin Sumaith yang di adakan di Masjid al-Falah USJ 9 pada 13 Rajab 1432 bersamaan dengan 15 Jun 2011 yang lepas. Majlis bermula selepas maghrib. Saya ada memiliki satu buku tulisan Habib yang berjudul Thariqah Alawiyah Jalan Lurus Menuju Allah. Ianya merupakan terjemahan kepada kitab asal yang berbahasa Arab yang berjudul al-Manhaj al-Sawi Syarh Ushul Thariqah al-Sadah aali Ba’a lawi. Kitab ini sangat menarik untuk ditelaah. Perbahasan utamanya adalah tentang ilmu yang menjadi tunjang dalam tariqah Ba' Alawi.



Pengenalan tentang Habib



Ramai yang hadir mereguk ilmu dari Habib

Syeikh Muhammad 'Awadh


Teringat minggu lepas. “Jadi ke Ustaz?” Tanya saya pada Ustaz Nasir. Jam melepasi angka 12. “Macam jadi, nanti ana confirm balik”, balas Ustaz Nasir. Setengah jam kemudian, Ustaz Nasir call. “Jadi, anta datang sekarang”. Saya bingkas bangun. Start kereta. Jam sudah pukul 1 pagi. Sesampai saja di tempat yang ditujui, kelihatan Syeikh Awadh sudah bersedia di tempat mengajar. Di hadapannya beberapa orang pencinta ilmu. “Anta sampai on-time. Kitorang dah nak start nih”, kata Ustaz Nasir kepada saya. Saya mencari tempat. Majlis bermula. Matan dibaca di hadapan syeikh. Sesekali Syeikh membetulkan bacaan pencinta ilmu. Sedar tak sedar tiga kitab sudah berlalu. Selesai bacaan, Syeikh mengijazahkan sanad kitab-kitab tersebut yang diterima dari gurunya seterusnya bersambung kepada pengarang kitab-kitab tersebut. Jam sudah hampir jam 3.30 pagi. Syeikh hanya mempunyai beberapa jam lagi untuk berkemas sebelum berangkat pulang. “Pukul berapa flight Syeikh?” Tanya saya pada Ustaz Anwar, penganjur majlis. “Lebih kurang jam 10.45 pagi. Tapi kami kena bertolak ke KLIA lebih kurang jam 8 pagi”. Bererti syeikh hanya ada lebih kurang 4 jam lebih sahaja lagi untuk berkemas dan merehatkan badan buat seketika. Benarlah kata ulama, “Tidak ada kerehatan bagi ahli ilmu”. Kata guru kami, "Mengajar itu adalah satu kerehatan". Benar. Syeikh telah berada di bumi tercinta ini untuk memimpin majlis khatam Sahih Bukhari yang berjalan selama dua minggu. Saya sempat menghadirkan diri dalam beberapa sesi majlis. Walaupun dalam tempoh yang singkat, sesiapa yang bersamanya pasti akan merasa kasih terhadapnya. Orangnya sangat tawadhuk. Sangat menjaga pandangan mata. Tidak banyak bicara. Tetapi apabila membuka suara yang dituturkan semuanya mutiara. Tidak pernah merasa jemu atau bosan melayani permintaan pencinta ilmu walau sehingga larut malam. Teringat pertemuan saya dengan Ustaz Anwar selepas syeikh berangkat pulang. Katanya, “Ana masih ingat lagi masa mula-mula Syeikh sampai, benda yang dimintanya ialah seterika”. Syeikh tidak mahu dilayan seperti tetamu. Beliau menyeterika pakaiannya sendiri. Tidak mahu diambilkan air untuknya sebaliknya beliau sendiri yang akan mengambilnya. Mana mungkin saya dapat melupakan pertemuan ini. Terima kasih atas segala ilmumu Syeikh!




Syeikh Muhammad 'Awadh al-Manqoush ketika sesi pembacaan Sahih Bukhari





Majlis khatam

Friday, June 24, 2011

Aniaya

“Ambil kad ni bang. Abang tak payah bayar kalau abang tak pakai”, beria-ria si agen telco mengunjukkan kad post-paid kepada saya. “Betul ke tak payah bayar kalau saya tak guna?” saya agak ragu-ragu. “Betul bang. Ambil je bang”, si agen meyakinkan saya. Lemas dengan pujukan yang sebenarnya lebih ke arah paksaan maka saya pun mengambilnya. Sepuluh tahun kemudian, ketika saya berhajat hendak menukar nombor pre-paid saya ke post-paid, saya dimaklumkan bahawa saya ada outstanding lebih kurang RM 400. Terkejut saya. Bila masa pulak saya pernah guna post-paid. Lalu teringat saya pada kad post-paid yang saya dipaksa ambil beberapa tahun sebeluumnya. Kalau nak buka juga akaun maka saya perlu selesaikan outstanding tu dahulu. Akhirnya saya terus guna pre-paid tanpa menukar ke post-paid. Cuma semalam apabila isteri saya mengajak saya ke pusat khidmat pelanggan langsung saya selesaikan outstanding tersebut walaupun dengan hati yang sangat berat. Sebabnya memang saya tak pernah guna. Dalam hati saya tertanya-tanya, Agaknya berapa banyaklah duit yang terkumpul dari orang-orang yang teraniaya macam saya.

Ijazah Salawat




Habib Muhammad bin Soleh al-Attas menyampaikan tausyiahnya pada 11 Mei yang lepas di Ba 'Alawi


Salawat yang diijazahkan oleh Habib

Konvo KDH

Walaupun telah lama berlalu tetapi saya kira agak penting juga untuk merakamkan peristiwa ini. Pada 30 April 2011 bersamaan 26 Jamadil Awwal 1432, saya telah menghadiri majlis konvokesyen ke-19 Kolej Dar al-Hikmah (KDH) di Institut KWSP, Bangi. Saya hadir bersama isteri. Konvo ini saya rasa bukan sahaja bersejarah bagi diri saya tetapi juga bagi KDH kerana buat pertama kalinya telah berjaya mengeluarkan graduan sarjana hasil usahasama dengan IAIN Imam Bonjol Padang. Selain dari itu, kalau tidak silap saya, majlis ini juga telah berjaya memperkenalkan anugerah Bestari al-Hikmah buat kali pertama. Majlis bermula lebih kurang jam 10 pagi. Tumpuan hadirin selain dari acara penyampaian sijil sudah pasti tersorot kepada ucaptama Presiden dan juga ucapan penerima anugerah Bestari al-Hikmah. Ucapan Presiden, Dato Dr Siddiq Fadzil sungguh bertenaga. Isteri saya yang pertama kali mendengar bicara Dato' langsung teruja. Ucapan Dato' adalah tentang kehilangan roh dalam institusi pendidikan. Dato' banyak mengutip fakta dari buku Excellence Without a Soul yang digarap oleh Harry R. Lewis tentang pengalamannya bersama Universiti Harvard. Ucapan penerima anugerah Bestari al-Hikmah juga tidak kurang hebatnya. Penerimanya iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Osman bin Bakar juga berbicara tentang tema pendidikan. Antara kata-katanya yang saya masih ingat, "Dalam usia yang mencecah 19 tahun, sewajarnya KDH bergelar universiti". Memang betul bagi saya, KDH sudah sepatutnya bergelar universiti atau setidak-tidaknya kolej universiti. Selanjutnya, kata beliau (kalau tak silap saya), "ukuran sesebuah universiti itu bukanlah atas keluasan persekitaran atau bangunannya tetapi ilmu dan warganya". Majlis konvokesyen ditangguhkan sekitar jam 1.15 tengah hari.



Institut KWSP



Para graduan



Penerima Anugerah Bestari al-Hikmah



Prof Emeritus Datuk Dr Osman bin Bakar dipakaikan jubah anugerah



Friday, June 10, 2011

Gula

"Nah cuba rasa daun nih", kata adik bongsu saya, Imran sambil menyuakan sehelai daun yang baru dipetiknya. "Daun apa nih?" Saya teragak-agak hendak mengambilnya. "Rasa le dulu. Daun nih manis", kata adik saya lagi. "Manis?" Saya pun memasukkannya ke dalam mulut. "Ha'ah. Manis. Daun apa nih?" Sedap juga rasa daun nih. "Manis kan. Ni namanya daun stevia. Elok untuk orang kencing manis", kata Imran. "Daun nih tak hasilkan glukos. Glukos diambil dari sumber makanan lain", jelas adik saya yang seorang lagi, Azri. Saya tak berapa pandai sangat dalam bab ni. Tapi kata mereka daun ini elok untuk orang yang menghidap kencing manis. Harga sepokok RM 12. Itu harga yang dijual di sekitar Taiping. Pokoknya boleh naik setinggi 2 meter. Wallahualam.


Pokok Stevia (masih kecil lagi)



Tanam dalam pasu je



Semangat

Hujan mulanya rintik-rintik kemudian menjadi semakin berat sebaik saya sampai di Taman TAR. Perut mula berkeroncong tanda perlu diisi. Usai cari parking, saya meninjau gerai makan. Ada gerai rojak dan cendol. Tanpa fikir panjang, saya pesan satu. Hujan makin lebat. Saya cari tempat. Sebelah saya ada seorang pemuda atau mungkin remaja. Berbaju t-shirt gelap dan berseluar jeans. Nampak macam basah sikit pakaiannya, mungkin sebab redah hujan. Dia baru selesai menghabiskan rojaknya sedang saya baru nak mula. Selesai makan, tergerak hati nak sembang. “Dari mana?” Jawab remaja itu sambil mula mengeluar kotak rokoknya, “Dari UK Heights”. “Dengan siapa?” “Sorang. Naik motor”, jawabnya. “Selalu Jumaat kat sini ke?” Tanya saya lagi. “Selalu juga. Saya suka datang sini terutama bila imam yang semangat tu baca khutbah”, jawabnya. Imam semangat baca khutbah? Saya cuba mengingat yang mana satu. “Ooh itu Syeikh Fuad. Kebetulan hari ini, syeikh akan khutbah”, kata saya kepadanya. “Ooh baru saya tahu namanya Syeikh Fuad. Saya suka khutbah yang disampaikannya. Penuh perasaan”, jawabnya juga dengan penuh perasaan. “Pernah datang pengajiannya?” Tanya saya kembali. “Tak…saya tak pandai mengaji”, jawabnya sangkut-sangkut. “Adik datang je, duduk dan dengar”, kata saya balik. Saya berfikir seketika. Saya dapati semangat remaja ini cukup kuat. Sanggup meredah hujan semata-mata kerana nak dengar khutbah yang disampaikan oleh Syeikh. Remaja-remaja seperti ini wajar didekati, diberi perangsang dan ditunjukkan jalan. Raut wajahnya membayangkan ia dahagakan sesuatu, ilmu! Azan berkemundang dan saya mohon diri. Dalam hati saya, mudah-mudahan remaja tersebut dan juga remaja-remaja lain akan terbuka hati untuk menghadiri majlis ilmu. Amin.

Wednesday, June 8, 2011

Dari Lubuk Ke Pendang Siri 3

Setelah membeli ubatan, kami berlegar-legar di sekitar pekan Pendang. Hajat hendak mencari kopiah kerana khabarnya Pendang terkenal sebagai pusat pengeluaran kopiah. Kami cuba meninjau manalah tahu kut ada kilang atau kedai besar menjual kopiah tapi tak bertemu pula. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk pulang semula ke Lubuk Merbau. Jalan yang diambil ialah menghala ke Sungai Tiang sama macam laluan masa datang tadi. Oh ya, kalau tak silap saya, tokoh yang mengeluarkan idea untuk membina laluan dari Pendang ke Sungai Tiang ialah Tuan Guru Haji Ahmad Rubat. Besar sungguh jasanya. Kira-kira beberapa km dari pekan Pendang, terjumpa masjid yang mempunyai senibina yang menarik. Masjid ini terletak di tepi jalan dan sebelahnya mengalir Sungai Pendang.





Serambi utama masjid




Pintu masuk ke ruang solat




Mimbar masjid




Ruang solat yang lebih besar dari ruang sebelumnya




Tabuh atau beduk (?)




Sisi hadapan




Kolah wuduk dengan kubahnya yang besar




Dari papan kenyataan, terpapar nama masjid iaitu Masjid Jamek al-Lutfi, Batu Hampar




Jam masjid yang letaknya di luar serambi utama


Serambi yang menghadap jalan besar




Serambi utama

Pemandangan dua serambi

Peringatan untuk yang masih hidup





Dari Lubuk Ke Pendang Siri 2

Dalam perjalanan menuju ke Pendang, kami singgah di Masjid Lama Gajah Mati untuk menziarahi makam almarhum Tuan Guru Tok Ayah Doi, Tuan Guru Pak Chu Him dan Tuan Guru Haji Wan Mohd Saghir. Ketiga-tiga makam ini terletak tidak jauh antara satu sama lain. Lokasi masjid ini adalah bertentangan dengan sebuah madrasah, kalau tak silap namanya Madrasah Nurul Islamiyah. Dari simpang utama ke Pondok Gajah Mati, rasanya tak sampai 1 km kut. Selesai ziarah, kami ke Pendang untuk mencari kedai farmasi.


Makam Tuan Guru Tok Ayah Doi


Makam almarhum Tuan Guru Haji Wan Mohd Saghir


Makam Tuan Guru Tok Ayah Doi dan Pak Chu Him dalam satu kawasan


Sisi lain makam


Kawasan perkuburan di Masjid Lama Gajah Mati


Masjid Lama Gajah Mati


Sisi lain masjid

Dari Lubuk Ke Pendang Siri 1

Saya berkesempatan menziarahi Pondok Gajah Mati ketika pulang bercuti di kampung sebelah isteri saya di Lubuk Merbau pada 3 Rajab yang lepas. Hajat untuk menziarahi pondok ini telah lama terpendam sejak saya mula mengadakan kajian lapangan tentang Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Petai pada akhir tahun lepas. Disebabkan tidak mempunyai kelapangan saya tangguhkan hajat tersebut hinggalah pada 3 Rajab yang lepas ianya berjaya direalisasikan. Pagi-pagi lagi saya bersama isteri dan anak lelaki saya telah bergerak keluar dari Felda Lubuk Merbau menuju ke Pendang. Pondok Gajah Mati ini terletak kira-kira 2 atau 3 km menuju ke Pendang. Lagipun memang kami nak ke Pendang kerana hendak membeli ubatan untuk ayahanda mertua saya yang sering uzur belakangan ini. Kami tiba di Pondok Gajah Mati lebih kurang setengah jam kemudian. Perjalanan agak santai kerana kenderaan tidak banyak di sebelah pagi.
Saya mencari rumah Tuan Guru Haji Wan Izzudin kerana saya difahamkan bahawa dialah yang kini menguruskan pondok peninggalan almarhum ayahandanya iaitu Pak Chu Him. Setibanya di perkarangan kawasan pondok, kami disapa oleh seorang lelaki dewasa. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Nasruddin. Saya membahasakan dirinya sebagai Abang Nasruddin kerana usianya jauh lebih tua dari saya. Menurutnya, Tuan Guru Haji Wan Izzudin tidak ada di rumah kerana beliau berada di KL. Kami di jemput masuk oleh Abang Nasruddin ke dalam rumahnya yang letaknya bersebelahan dengan rumah Tuan Guru Haji Wan Izzudin. Beliau menyatakan bahawa beliau adalah anak saudara kepada Tuan Guru Haji Wan Izzudin. Tinggal bersamanya pada waktu itu ialah bondanya yang bernama Hajjah Wan Nafisah yang merupakan kakak kepada Tuan Guru Haji Wan Izzudin. Isteri dan anak Abang Nasrudin pada ketika itu tidak ada di rumah, kalau tak silap saya mereka pulang ke kampung sebelah isterinya. Ayahanda Abang Nasrudin ialah almarhum Tuan Guru Haji Mahmud. Ayahandanya pernah memondok di Pondok Bermin satu masa dahulu.
Abang Nasrudin menunjukkan kepada saya lokasi pondok dan surau yang masih lagi digunakan hingga ke hari ini. Begitu juga dengan lokasi anak tangga yang menuju ke Sungai Pendang. Agaknya inilah laluan para penuntut ilmu satu masa dahulu turun ke sungai untuk membasuh pakaian dan mandi. Surau baru dan asrama baru untuk penuntut ilmu masih dalam pembinaan. Pondok Gajah Mati yang diasaskan oleh Tok Ayah Doi, ayahanda mertua Pak Chu Him adalah sebuah institusi pengajian yang sangat penting di kawasan sebelah utara satu masa dahulu. Ada saya terbaca dalam buku “Ulama Besar Patani” yang menyatakan bahawa Pondok Gajah Mati ini satu masa dahulu adalah sangat masyhur dan merupakan pondok kedua besar selepas Pondok Titi Gajah yang dipimpin oleh Tuan Hussain Kedah. Sementara dalam satu buku yang lain kalau tak silap saya buku “Biografi Ulama Kedah” ada menyatakan bahawa bilangan pondok di Pondok Gajah Mati ketika zaman kemuncaknya mencapai 400 buah. Ketika berada di lokasi, saya cuba membayangkannya. Agaknya pada masa itu seluruh kampung tersebut di kelilingi dengan pondok-pondok. Pernah saya bertanyakan kepada Dato Haji Saleh tentang keluasan pondok itu kerana beliau juga pernah menimba ilmu di situ dan katanya memang besar kawasan pondok pada masa itu.
Tidak jauh dari Pondok Gajah Mati ada satu lagi pondok yang tidak kurang masyhurnya. Pondok yang dimaksudkan ialah Pondok Chegar yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Rubat. Kata Abang Nasrudin, kini yang tinggal di Pondok Chegar ialah pondok kelamin. Saya mendengar nama Tuan Guru Haji Ahmad Rubat ketika saya bertemu Ustaz Ibrahim. Ustaz Ibrahim adalah anakanda kepada Tuan Guru Haji Abdullah Perlis. Katanya, Tuan Guru Haji Ahmad Rubat adalah rakan sepermainan ayahandanya ketika mereka masih kecil dan menimba ilmu di Kedah satu masa dahulu. Tuan Guru Haji Abdullah Perlis adalah merupakan guru kepada Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Petai. Saya tidak berkesempatan untuk mengunjungi Pondok Chegar pada hari itu kerana perlu ke Pendang untuk menyelesaikan urusan lain. Dan selepas itu, kami perlu pulang semula ke Kuala Lumpur.
Teringat pesan ibu mertua saya yang memesan ulam raja, isteri saya meminta izin untuk mengambil sedikit ulam raja yang berkebetulan ada di hadapan rumah Hajjah Wan Nafisah. Selepas itu kami pun bergerak menuju ke Pendang.







Sebahagian dari kitab-kitab peninggalan Tuan Guru Haji Mahmud yang telah rosak. Kata Abang Nasrudin, sebelum itu beliau telah berusaha untuk memuliharanya tetapi setelah menggunakan peralatan yang kononnnya boleh memuliharanya, ia menjadi semakin teruk pula




Asrama pelajar sedang dalam pembinaan


Surau baru dalam pembinaan

Tempat mengambil wuduk dan tandas di luar surau lama

Bahagian hadapan surau asal

Sebahagian kitab yang ada di dalam surau

Sisi lain surau di sebelah dalam

Pondok yang berjasa







Pintu masuk surau

Kediaman Tuan Guru Haji Wan Izzudin

Salah satu tangga menuju ke sungai

Tangga ini lebih mudah menuju ke sungai. Kedudukan tangga ini adalah berdekatan dengan pondok pelajar


Pemandangan sungai dari tangga kedua

Sisi lain pemandangan sungai

Pemandangan atas dari tangga kedua

Sisi lain pemandangan sungai

Dari lokasi tangga kedua ini, boleh kelihatan jalan kampung yang menghubungkan Pondok Gajah Mati ke Pondok Chegar