Thursday, September 26, 2013

Sudut Sejarah TNB Bahagian Luar

TNB Taiping juga ada sudut sejarahnya sendiri. Kalau di bahagian luar, pengunjung boleh melihat jenis lampu-lampu jalan dan alatubah yang digunakan satu masa dahulu
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Tuesday, September 17, 2013

Masjid Tinggi

Saya ke Parit Buntar bersama keluarga untuk beraya di rumah saudara sebelah isteri. Kawasan rumahnya adalah sempadan tiga negeri iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang. Rumahnya beralamat Pulau Pinang. Mereka suami isteri bekerja sebagai guru di Kedah. Namun, bila ditanya di mana mereka membeli barang keperluan. Jawabnya, di Parit Buntar Perak. Untuk ke Parit Buntar, saya ambil jalan lama. Saja nak tengok bandar Bagan Serai. Masa kecil saya banyak dihabiskan di sini satu ketika dulu. Sebelum sampai Bagan Serai, kami melalui sebuah pekan kecil, namanya Masjid Tinggi. Namanya mungkin diambil sempena nama masjid yang menjadi mercu tanda di pekan itu. Masjid itu mempunyai menara yang agak tinggi. Ada dua masjid yang berdekatan. Satu masjid lama dan satu lagi masjid baru. Masjid lama nampaknya telah dibaikpulih. Masjid tersebut mempunyai senibina yang agak indah. Masjid Tinggi mempunyai sejarah pendidikan yang agak masyhur. Di kawasan tersebut, lahir satu institusi pendidikan yang terkenal satu masa dahulu dan rasanya masih lagi wujud hingga kini. Institusi yang dimaksudkan ialah Madrasah al-Akhlaq al-Islamiah. Madrasah ini telah diasaskan oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Arshad. Ia mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Tuan Guru Haji Arshad bin Muhammad Salleh yang merupakan pengasas Madrasah al-Ulum al-Syariah yang sangat terkenal di Bagan Datoh. Anaknya, (Dato') Haji Hassan Adli pernah menimba ilmu di madrasah tersebut sekitar tahun 1940-an. Haji Hassan Adli merupakan pengasas Persatuan Guru-Guru Agama Rakyat Perak bersama-sama dengan Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh. Seorang lagi tokoh penting yang dikaitkan dengan madrasah ini ialah Syeikh Zubir al-Filfulani. Sekembalinya dari Makkah, Syeikh Zubir pernah mengajar di madrasah ini selama dua tahun iaitu dari tahun 1946-1948. Atas kewibawaannya, Syeikh Zubir telah ditawar menjadi mudir di Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar, Perak. Agak menarik juga tentang hubungan Syeikh Zubir dengan Madrasah al-Ulum al-Syariah. Ini adalah kerana beliau menjadi pengerusi bagi jawatankuasa penubuhan madrasah tersebut pada tahun 1937.
 
 
Menara masjid lama
 
Masjid baru
 
Menara dari jarak dekat
 
 
Sisi lain masjid lama
 
 
Keseluruhan bangunan masjid lama

Thursday, September 12, 2013

Kota Lama Kanan

Selepas majlis perhimpunan keluarga sebelah bapa saya di Bukit Chandan, kami pergi ke Kota Lama Kanan untuk menziarahi makam-makam moyang sebelah bapa saya. Letaknya ialah di Masjid Kota Lama Kanan. Kami solat zohor di masjid tersebut. Pada plak masjid tertera sejarah ringkas masjid. Salah seorang penyumbangnya ialah Tengku Permaisuri Cik Uteh Mariah. Kalau tak silap saya, Tengku Permaisuri Cik Uteh Mariah turut memberi sumbangan terhadap pembangunan prasarana Madrasah Idrisiah. Tengku Permaisuri Cik Uteh Mariah mempunyai hubungan kekeluargaan dengan keluarga saya. Beliau merupakan saudara kandung moyang saya, Khairudin. Selesai solat dan ziarah, kami bergerak menuju ke Kuala Kangsar semula tetapi mengikut jalan kampung di tepi sungai. Mengikut laluan tersebut, terdapat satu makam yang sentiasa menjadi tumpuan pengkaji sejarah. Makam tersebut ialah Makam Tok Subang. Makam ini menggunakan batu nisan Aceh. Landmark untuk sampai ke kawasan makam ini ialah Surau Tok Subang yang terletak di tepi jalan.
 
 
 
 Plak sejarah ringkas penubuhan Masjid
 
 
Makam Tok Subang
 
 
Makam Tok Subang
 
 
 
Surau Tok Subang
 
 
Sungai Perak dan jambatan baru

Air

 
Masalah yang paling ketara bila tiba musim perayaan di Felda Lubok Merbau ialah air. Saban tahun masalah ini berlaku. Nampak macam belum jumpa jalan penyelesaian. Tahun ini lagi teruk. Air takde lebih kurang seminggu lamanya. Kalau tahun sebelumnya, air ada juga masuk sebelah malam. Kali ini langsung kering. Selain, hujan dan air dari anak sungai yang berdekatan, penduduk menunggu kedatangan lori air untuk mendapatkan air bersih. Kata biras saya, "Pelik juga, kawasan dikelilingi dengan empangan dengan sungai tapi air takde". Memang betul katanya. Empangan Pedu dan Beris taklah terlalu jauh dari kawasan Felda. Malah ada juga sungai-sungai besar yang berdekatan. Harap-harap masalah sebegini tidaklah berlarutan setiap tahun. Jenuh juga orang nak berkenduri-kendara dan sebagainya.



Tadah air hujan


 
Ketibaan lori air



Beris

Sehari sebelum raya, kami sekeluarga bergerak dari Taiping (rumah orang tua saya) menuju ke Felda Lubok Merbau (kampong sebelah isteri saya). Cuaca sangat baik. Redup sepanjang perjalanan. Setelah exit Gurun, saya ambil keputusan mencuba laluan Sik ke Felda Lubok Merbau. Dari Gurun ke Sik takde masalah cuma dari Sik ke Felda Lubok Merbau saya ingat-ingat lupa jalan dia. Seingat saya, pernah satu masa dahulu saya sampai di Sik dari Felda Lubok Merbau dengan dipandu jalan oleh almarhum bapa mertua saya beberapa tahun sebelum itu. Kalau ikut jalan itu, takde pun lalu kawasan empangan. Tapi kali ini, jalan yang saya ambil telah melalui sebuah kawasan empangan yang agak besar juga. Namanya empangan Beris. Empangan ini rasa saya bukan takungan tasik tapi dari sebuah sungai yang bernama Beris. Saya rasa, jalan yang saya lalui sebelum ini adalah melalui Jeneri bukannya melalui Beris - Gulau. Walaupun laluan agak jauh, namun pemandangan sangat cantik. Ada kawasan ladang anggur dan ladang ternak burung unta. Saya tak sempat nak berhenti kerana kesuntukan masa. Maklumlah masa tu pun jam dah hampir 6 petang. Laluan juga agak sunyi. Tak banyak kenderaan lalu-lalang. Kalau tak siap saya ada resort di empangan tersebut. Oh ya, dalam perjalanan dari Gurun ke Sik, banyak gerai menjual cempedak. Harga sangat murah. Saya rasa ramai yang beli borong untuk dijual di Lembah Kelang.
 
   
 
 Satu pemandangan di Empangan Beris
 
 
Sisi lain Beris