Monday, December 13, 2010

Menaiki beca bahagian 4

Macam-macam usul yang diberikan oleh si penarik beca dalam usaha untuk mengisi masa yang hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi. "Nak tengok pertunjukan ular sawa?" Dia memberikan cadangan. Kami pun menuruti cadangannya. Sehinggalah pada 5 minit yang terakhir, dia memberi cadangan agar kami menjamah cendol yang dikatakannya antara yang paling sedap di Bandar Melaka. Selepas makan, kami pun dihantar pulang di hadapan kota A Famosa tempat di mana kami mula-mula naik tadi. Apa pun kredit harus diberikan kepada si penarik beca yang membawa kami kerana banyak juga sejarah-sejarah silam dikisahkan kepada kami tatkala kami singgah di satu-satu tempat atau melewati satu-satu kawasan. Boleh dikatakan mereka ini ibarat duta kecil di bandar Melaka.


Menara jam di tengah bandar


Replika kincir angin



Gerai cendol di tepi sungai


Bandar Melaka yang semakin sibuk di tengah hari


Gerai-gerai cenderamata berhampiran dengan muzium


Sungai Melaka dilihat dari gerai cendol


Dataran Pahlawan

Menaiki beca bahagian 3

"Tinggal 20 minit lagi bang", si penarik beca mengingatkan saya. Inilah perkara yang melecehkan bila ambil pilihan ikut masa. Si penarik beca membawa saya ke Muzium Kesenian Islam. Di muzium ini pun, saya tidak masuk ke dalam. Saya hanya melihat kawasan sekitar luarnya sahaja. Saya bertanya kepada penjaga kaunter, "Ada tak buku sejarah dijual di sini?" Kata penjaga kaunter, " Tak ada. Buku sejarah rasanya ada dijual di muzium sejarah, dekat dengan jam besar tu". Muzium sejarah yang dinyatakan oleh penjaga kaunter itu adalah merujuk kepada Bangunan Stadthuys. Saya dah pergi tadi bertanyakan kepada penjaga kaunter di situ. Malangnya staf yang menjual buku bercuti pula pada hari itu.


Muzium Kesenian Islam. Warna bangunan-bangunan muzium di bandar Melaka hampir sama kesemuanya


Bertentangan dengan muzium tersebut, satu kawasan sedang digali. Kata si penarik beca, "Berkemungkinan bekas tinggalan kota Melaka satu masa dahulu"


Replika nisan Sultan Malikul Saleh yang ada di luar muzium


Replika batu Tarsilah Brunei


Replika Batu Bersurat Terengganu


Kelihatan Bukit St Paul dari celah-celah bangunan muzium

Menaiki beca bahagian 2

Kami tak masuk pun dalam bangunan Stadthuys. Anak perempuan saya lebih berminat dengan cenderamata yang dijual di bahagian bawah, berhampiran tangga Bangunan Stadthuys. Kami kemudiannya dicadangkan melawat muzium maritim. Kata penarik beca, "Kalau abang pergi situ, abang boleh melawat tiga muzium sekaligus". Kami bersetuju dan terus ke sana. Kami perlu membeli tiket sebelum dibenarkan masuk. Harganya RM 2 untuk dewasa dan RM 1 untuk kanak-kanak. Kami masuk ke salah satu muzium yang bentuknya seperti sebuah kapal perang lama. Di situ sahaja, kami menghabiskan masa selama setengah jam. Apa pun kami hanya melawat satu muzium sahaja. Dua lagi kami tak pergi.


Salah satu muzium maritim yang menggunakan replika kapal perang lama


Cenderahati yang dijual di pintu masuk (kapal)



Diorama Panglima Awang





Penerangan tentang Panglima Awang


Matawang Empayar Melaka


Senjata lama angkatan perang Portugis



Replika bahtera


Peti besi Belanda


Perkakasan yang ada kaitan dengan maritim


Pemandangan di bahagian anjung kapal


Replika sauh kapal

Menaiki beca bahagian 1

Urusan kami di Melaka kalau ikut jadual telah selesai di sebelah malamnya. Maka di sebelah siang esok harinya, kami bercadang untuk melihat-lihat pemandangan di sekitar bandar Melaka. Isteri saya awal-awal lagi dah berpesan, "Esok pagi kita naik beca, pusing bandar Melaka". Esok paginya, selepas sarapan, kami pun bergerak keluar ke Bandar Melaka. saya meletakkan kereta berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Bandar Hilir. Dari situ kami berjalan menuju ke kota A Famosa. Di situ ramai penarik beca sedang berhimpun. "Abang nak pusing bandar atau nak singgah tengok muzium?", tanya penarik beca kepada saya. Saya pun tak berapa pasti. Cuma dalam kepala saya, bagus juga kalau pergi tengok muzium. "Macam mana kira?" tanya saya. "Kalau pusing bandar, bayarannya RM 20 untuk satu beca, kalau berhenti-henti tengok muzium, bayarannya ikut jam. Satu jam RM 40 untuk satu beca", terang penarik beca. Saya pun tanpa fikir panjang, terus ambil yang tengok muzium. Tak terfikir pula saya bahawa jarak antara satu muzium dengan muzium yang lain tidaklah terlalu jauh. Lagi satu, pilihan yang saya ambil itu mengikut masa. Jika kami melawat satu muzium dalam tempoh 1/2 jam maka masa yang kami ada hanya tinggal 1/2 jam sahaja lagi. Rugi sebenarnya ambil pilihan yang itu. Sepatutnya ambil pilihan untuk pusing bandar.



Antara beca yang terdapat di bandar Melaka


Sekolah Kebangsaan Bandar Hilir


Bangunan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan - tidak jauh dari kota A Famosa


Kota A Famosa yang terkenal itu, di hadapannya ramai penarik beca sedang berhimpun menanti pelancong


Bangunan Stadthuys yang kini menjadi muzium sejarah Melaka. Kata si penarik beca, "Ada 29 buah muzium di sekitar kawasan ini"


Bangunan Stadthuys diiktiraf sebagai warisan kebangsaan

Sampai di Melaka

Kami sampai di bandar Melaka lebih kurang jam 6 petang. Dalam perjalanan menuju ke tempat menginap, isteri saya terlihat bangunan CIMB seperti dalam gambar di bawah ini, langsung dirakamnya gambar ini. Nampaknya sebuah bangunan lama yang sangat cantik telah diubahsuai menjadi cawangan bank CIMB. Semakin masuk ke dalam kawasan bandar, jalan semakin mengecil dan kereta semakin sesak.


Cawangan bank CIMB di Bandar Melaka

Ampangan Bahagian 2

Dari Plaza Ampangan, tergerak pula hati saya untuk menziarahi makam Syeikh Said al-Linggi. Kebetulan pula saya baru-baru ini banyak menghimpunkan maklumat tentang tokoh-tokoh ulama khususnya Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Petai, maka salah seorang rakan seangkatannya ialah anakanda kepada Syeikh Said al-Linggi iaitu Syeikh Ahmad bin Said. Untuk sampai ke makam ini, tidaklah begitu sukar kerana terdapat papan tanda dan penunjuk arah. Letaknya kawasan makam ini ialah di atas bukit.


Papan tanda dan penunjuk arah ke makam




Kompleks makam Syeikh Said al-Linggi







Ampangan Bahagian 1

Beberapa minggu lepas saya bersama keluarga ke Melaka. Kami bertolak dari rumah lebih kurang jam 3.00 petang. Dalam perjalanan ke Melaka, kami mengambil susur keluar ke Seremban. Ini adalah kerana saya berhajat hendak singgah di Plaza Ampangan. Apabila masuk waktu Asar, kami singgah solat di surau yang berhampiran. Apapun, pintu utama surau berkunci. Kami solat di bahagian anjung surau. Kata beberapa orang kanak-kanak yang turut solat bersama kami, surau itu hanya digunakan pada waktu maghrib. Lazimnya, penduduk di situ akan solat berjemaah di surau yang satu lagi atau mungkin juga di masjid yang berdekatan.



Beberapa ela dari surau ini ialah kompleks Balai Undang Luak Sungei Ujong


Surau tempat kami menunaikan solat asar