Tuesday, September 17, 2013

Masjid Tinggi

Saya ke Parit Buntar bersama keluarga untuk beraya di rumah saudara sebelah isteri. Kawasan rumahnya adalah sempadan tiga negeri iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang. Rumahnya beralamat Pulau Pinang. Mereka suami isteri bekerja sebagai guru di Kedah. Namun, bila ditanya di mana mereka membeli barang keperluan. Jawabnya, di Parit Buntar Perak. Untuk ke Parit Buntar, saya ambil jalan lama. Saja nak tengok bandar Bagan Serai. Masa kecil saya banyak dihabiskan di sini satu ketika dulu. Sebelum sampai Bagan Serai, kami melalui sebuah pekan kecil, namanya Masjid Tinggi. Namanya mungkin diambil sempena nama masjid yang menjadi mercu tanda di pekan itu. Masjid itu mempunyai menara yang agak tinggi. Ada dua masjid yang berdekatan. Satu masjid lama dan satu lagi masjid baru. Masjid lama nampaknya telah dibaikpulih. Masjid tersebut mempunyai senibina yang agak indah. Masjid Tinggi mempunyai sejarah pendidikan yang agak masyhur. Di kawasan tersebut, lahir satu institusi pendidikan yang terkenal satu masa dahulu dan rasanya masih lagi wujud hingga kini. Institusi yang dimaksudkan ialah Madrasah al-Akhlaq al-Islamiah. Madrasah ini telah diasaskan oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Arshad. Ia mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Tuan Guru Haji Arshad bin Muhammad Salleh yang merupakan pengasas Madrasah al-Ulum al-Syariah yang sangat terkenal di Bagan Datoh. Anaknya, (Dato') Haji Hassan Adli pernah menimba ilmu di madrasah tersebut sekitar tahun 1940-an. Haji Hassan Adli merupakan pengasas Persatuan Guru-Guru Agama Rakyat Perak bersama-sama dengan Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh. Seorang lagi tokoh penting yang dikaitkan dengan madrasah ini ialah Syeikh Zubir al-Filfulani. Sekembalinya dari Makkah, Syeikh Zubir pernah mengajar di madrasah ini selama dua tahun iaitu dari tahun 1946-1948. Atas kewibawaannya, Syeikh Zubir telah ditawar menjadi mudir di Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar, Perak. Agak menarik juga tentang hubungan Syeikh Zubir dengan Madrasah al-Ulum al-Syariah. Ini adalah kerana beliau menjadi pengerusi bagi jawatankuasa penubuhan madrasah tersebut pada tahun 1937.
 
 
Menara masjid lama
 
Masjid baru
 
Menara dari jarak dekat
 
 
Sisi lain masjid lama
 
 
Keseluruhan bangunan masjid lama

No comments:

Post a Comment