Showing posts with label ulama perak. Show all posts
Showing posts with label ulama perak. Show all posts

Monday, January 3, 2011

PUM

PUM adalah singkatan bagi Persatuan Ulama Malaysia. Lebih kurang dua minggu lepas, saya ke peabat PUM berjumpa dengan 'orang kuat' PUM iaitu Tuan Haji Baharum. Tujuan ke sana adalah untuk menyerahkan draf kajian lapangan saya tentang seorang tokoh ulama Perak. Pejabat PUM yang letaknya di Seksyen 7 Shah Alam ini baharu sahaja beroperasi di sini. Kalau tak silap saya, pejabat PUM sebelum ini terletak di Petaling Jaya. Saya berkesempatan untuk melihat keadaan pejabat dan pada satu ketika, terpegun juga saya apabila melihat suasana dalaman pejabat tersebut yang begitu damai dan selesa.


Logo Persatuan Ulama Malaysia

Bilik mesyuarat

Sunday, December 19, 2010

Sungai Petai Bahagian 2

Saya hanya mempunyai masa beberapa jam sahaja sebelum pulang semula ke ibukota. Masa yang agak suntuk itu saya manfaatkan untuk menziarahi beberapa lokasi yang ada kaitan dengan Tuan Guru Haji Ahmad. Salah satu darinya ialah Masjid al-Ahmadi yang terletak di Changkat Ibol. Changkat Ibol ini letaknya lebih kurang 2-3 km dari Kampung Sungai Petai. Masjid ini diasaskan oleh Tuan Guru Haji Ahmad sekitar tahun 1960-an. Nama masjid ini diambil bersempena nama Tuan Guru Haji Ahmad. Saya ada melihat gambar asal masjid ini dan saya dapati masjid ini telah mengalami beberapa pengubahsuaian khususnya dari segi pembesaran ruang.



Papan tanda Masjid al-Ahmadi


Masjid al-Ahmadi Changkat Ibol

Kolah wuduk


Ruang luar


Dewan solat utama


Kubah masjid dari dalam


Mimbar baru

Wednesday, December 15, 2010

Sungai Petai Bahagian 1

Lebih kurang dua minggu lepas, saya ke Sungai Petai, Perak. Sungai Petai ini sebenarnya nama sebuah kampung yang letaknya dalam mukim Bukit Gantang. Tujuan saya ke sana ialah untuk menyudahkan kajian lapangan saya di sana. Ianya berkaitan dengan seorang tokoh ulama negeri Perak iaitu almarhum Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Petai. Berkebetulan semasa saya ke sana, majlis ijtimak bulanan sedang berlangsung jadi dapatlah saya bertemu dengan beberapa orang anaknya. Saya juga diberi izin untuk melihat koleksi kitab Tuan Guru Haji Ahmad. Kata salah seorang anakandanya iaitu Ustaz Haji Husin, "Kitab ayah ana sebenarnya banyak tetapi dia dah jual sebahagian kitabnya di Makkah masa dia nak balik ke Tanah Melayu".


Sungai Petai, dari nama sungai inilah kampung Sungai Petai mendapat nama


Surau Ahmadiah mengambil nama sempena nama almarhum Tuan Guru Haji Ahmad. Surau ini sentiasa dimanfaatkan oleh masyarakat setempat untuk pengajian ilmu dan merupakan lokasi utama majlis ijtimak bulanan


Antara koleksi kitab Tuan Guru Haji Ahmad

Tuesday, November 30, 2010

AIKOL

Isnin pertama selepas cuti Aidil Adha, saya menziarahi Dato Hj Md Saleh di biliknya di Jabatan Undang-Undang Islam di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim atau ringkasnya AIKOL di UIA. Hasil pertemuan dengan Dato' yang berlangsung lebih kurang sejam lebih, dapatlah saya menambah beberapa maklumat seperti yang telah diberikan oleh adindanya sebelum ini iaitu Ustaz Zakaria berkenaan dengan riwayat hidup ayahanda mereka iaitu Tuan Guru Haji Ahmad. Dari cerita Dato' barulah saya tahu bahawa Tuan Guru Haji Ahmad bersahabat baik dengan Tuan Guru Haji Ahmad Badawi dan Tuan Guru Haji Ahmad al-Fusani (Patani). Di akhir pertemuan, Dato' menghadiahkan buku tulisannya kepada saya.


AIKOL


Jabatan Undang-Undang Islam, AIKOL


Buku yang dihadiahkan kepada saya. Buku ini asalnya ditulis oleh Prof Dr Abdul Karim Zaidan, kemudiannya diterjemahkan oleh Dato' Haji Md. Saleh Haji Ahmad. Buku ini pernah diterbitkan sekitar tahun 1990-an tetapi ianya dikeluarkan dalam tiga jilid (kalau tak silap saya). Buku yang terbaru ini menghimpunkan ketiga-tiga jilid tersebut.

Trong

Keesokan harinya, saya menziarahi Ustaz Yusuf bin Din, setelah mendapat tahu bahawa beliau adalah salah seorang anak murid Tuan Guru Haji Ahmad, Kampung Sungai Petai. Ayahanda saya tidak ikut serta kerana ada urusan lain. Untuk mengetahui lokasi rumah Ustaz Yusuf, saya menghubungi Pakcik Hashifuddin. Beliau adalah ayahanda kepada sahabat saya, Sarizein. Saya menghubunginya kerana beliau mengenali ramai ustaz di sekitar bandar Taiping. "Rumahnya tak jauh dari Sekolah Agama Batu 8, Trong sebelum simpang masuk ke Changkat Ibol", kata Pakcik Hashifuddin ketika saya menghubunginya. Setelah boleh mengagak lokasi tersebut, saya bergegas ke sana. Ketika sampai di tempat yang dikatakan, saya pun memberhentikan kereta dan melihat dari luar mana satu rumahnya kerana terdapat beberapa rumah di kawasan itu. Saya bertanyakan kepada seorang penduduk tempatan yang kebetulan berada di situ. "Ustaz Yusuf yang berumur tu ke? Rumahnya masuk dalam sikit", kata wanita separuh usia kepada saya. Saya pun masuk ke satu lorong dan pergi ke sebuah rumah. Hati saya kuat mengatakan bahawa ini rumah Ustaz Yusuf. Saya memberi salam, tidak berjawab. Saya ke belakang rumah dan memberi salam. Ada seorang lelaki separuh umur sedang sibuk membasuh periuk. Dia membalas salam saya. "Ustaz Yusuf ke ni?", tanya saya. "Ya", jawabnya. Lalu kami pun berbual mesra seperti telah lama mengenali antara satu sama lain. Dari Ustaz Yusuf, saya mengenali beberapa lagi nama tokoh ulama, antaranya seperti Tuan Guru Haji Mahmud, Kampung Cheh dan Lebai Taib, Air Kuning yang dikatakan pernah menadah kitab kepada Tok Kenali, tokoh ulama terkemuka satu masa dahulu. Perbualan memakan masa lebih dua jam. Sebelum pulang, Ustaz Yusuf menghadiahkan saya sebuah kitab lama dan meminjamkan sebuah lagi kitab lama untuk rujukan. Terima kasih Ustaz.



Masjid al-Wusta, Batu 8, Trong tidak jauh dari rumah Ustaz Yusuf


Simpang masuk ke rumah Ustaz Yusuf

Pondok Kampung Berchat

Kami bertemu dengan Ustaz Ibrahim, anakanda Tuan Guru Haji Abdullah Perlis yang paling tua di sebelah petang. Rumahnya terletak di Changkat Jering. Menerusi maklumat yang disampaikan oleh Ustaz Ibrahim, dapatlah diketahui sedikit sebanyak tentang riwayat hidup Tuan Guru Haji Abdullah Perlis. Tuan Guru Haji Abdullah Perlis diriwayatkan alim dalam bidang tasawwuf. Beliau mendirikan pondok di Kampung Berchat. Pondoknya merupakan antara pondok terawal di kampung itu. Di pondok itu, beliau turut mengajar Al-Quran, fiqh, tauhid dan ilmu alat seperti nahu dan sorof. Dari Ustaz Ibrahim juga kami mendapat maklumat tentang seorang lagi tokoh ulama yang alim dalam bidang tasawwuf iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Chengal Jantan. Gelaran Chengal Jantan adalah kerana tokoh ini tinggal di Kampung Chengal Jantan tidak jauh dari Kampung Sungai Petai dan Kampung Berchat.



Jalan masuk menuju ke rumah Ustaz Ibrahim

Tuan Guru Haji Abdullah Perlis

Salah seorang tokoh ulama yang sangat berjasa di mukim Bukit Gantang ialah Tuan Guru Haji Abdullah Perlis. Ramai anak muridnya menjadi tokoh ulama dan pemimpin masyarakat. Salah seorang darinya ialah Tuan Guru Haji Ahmad, Kampung Sungai Petai. Saya menziarahinya warisnya iaitu anakandanya, Ustaz Ghazali dan Ustaz Ibrahim. Saya bersama ayahanda saya menziarahi Ustaz Ghazali terlebih dahulu. Sebenarnya Ustaz Zakaria, anakanda Tuan Guru Haji Ahmad yang saya temui terlebih dahulu di awal pagi mencadangkan kepada saya agar bertemu dengan Ustaz Ghazali jika ingin mendapatkan maklumat tentang Tuan Guru Haji Abdullah Perlis. Kata Ustaz Zakaria, "landmark rumahnya ada kedai jual handphone dan tong gas". Dari Toko Buku Sinar Bahagia, kami terus bergerak menuju ke Kampung Sungai Petai. Rumahnya betul-betul di tepi jalan. Betullah kata Ustaz Zakaria, di sebelah rumahnya ada sebuah kedai handphone. Di belakang kedai, ada lambakan tong gas masakan. Kami masuk ke dalam kedai. Hanya ada seorang remaja yang sedang menjaga kedai. "Kamu ini anak Ustaz Ghazali ke?" Tanya saya. "Ya", jawabnya. Menurutnya, ayahnya tiada di rumah. Dia keluar tapi tidak diberitahu ke mana. Kami mengambil keputusan untuk menunggu. Setengah jam kemudian, isterinya muncul di kedai. Rupanya dia juga tidak tahu ke mana suaminya pergi. Lalu saya mengambil keputusan untuk mendapatkan maklumat tentang Tuan Guru Haji Abdullah Perlis dari isterinya. Isterinya, Hajjah Aisyah mencadangkan kepada kami agar berjumpa dengan abang kepada Ustaz Ghazali iaitu Ustaz Ibrahim jika hendak tahu lebih lanjut tentang Tuan Guru Haji Abdullah Perlis. Lebih kurang 15 minit selepas itu, setelah mengucapkan terima kasih atas maklumat yang diberikan kami pun berangkat pulang.


Kedai milik keluarga Ustaz Ghazali


Pemandangan jalan menuju ke Kampung Sungai Petai dari bangunan kedai


Pemandangan jalan menuju ke Jelutong dari bangunan kedai


Pandangan kedai di sisi hadapan

Toko Buku Sinar Bahgia

Bersempena dengan hari yang mulia, Hari Raya Aidil Adha, saya bersama-sama ayahanda saya mengambil kesempatan masa yang ada dengan menziarahi beberapa orang ustaz yang pernah berguru kepada tokoh-tokoh ulama di Perak satu masa dahulu dan juga waris tokoh ulama yang berjasa kepada perkembangan ilmu agama di Taiping. Salah seorang tokoh ulama yang pernah berjasa menabur ilmu di Taiping dan kawasan sekitarnya ialah Tuan Guru Haji Abdul Malek. Beliau meninggal dunia sekitar bulan Mei 2010 dalam usia lebih 90 tahun. Tuan Guru Haji Abdul Malek agak low-profile sikit berbanding dengan tokoh-tokoh ulama yang sezaman dengannya. Ini adalah kerana beliau banyak mengajar di rumah sahaja. Ketika hayatnya, beliau tinggal di Larut Tin. Namun bagi mereka yang suka menadah kitab-kitab Arab, Tuan Guru Haji Abdul Malek adalah tempat tumpuan mereka. Mengikut kata anak muridnya, Ustaz Jailani, yang saya ziarah pada petang itu, "Adakalanya kuliah sampai lewat malam tetapi disebabkan kupasannya sangat menarik maka masa dirasakan begitu singkat". Ustaz Jailani ketika saya temui berada dalam keadaan uzur di rumahnya. Dia menghidap penyakit saraf. Ustaz Jailani menimba ilmu kepada ramai tokoh-tokoh ulama Perak antaranya ialah seperti Tuan Guru Haji Mat Saman Kati, Tuan Guru Haji Nawawi (Pak Wi Janggut Merah) dan Tuan Guru Haji Ahmad Nahu, Selinsing.Tuan Guru Haji Abdul Malek diriwayatkan adalah antara tokoh terawal membuka kedai buku agama di bandar Taiping. Kedai tersebut namanya Toko Buku Sinar Bahgia. Ketika cuti Raya Aidil Adha yang lepas, saya sempat berkunjung ke kedai buku tersebut. Anaknya bernama Taufik kini mengambil alih urusan kedai. "Dahulu kedai ini tempat tumpuan orang mencari kitab Arab", katanya. Selanjutnya, beliau menyatakan bahawa kedai ini satu masa dahulu banyak diuruskan oleh bondanya. Apapun, kedai ini adalah antara kedai buku tertua di bandar Taiping.



Toko Buku Sinar Bahagia di Bangunan Sri Larut


Antara buku dan kitab yang dijual di kedai ini


Sisi lain kedai


Anakanda Tuan Guru Haji Abdul Malek, Taufik (baju hijau) sedang melayan pelanggan


Pandangan hadapan kedai