Sunday, August 9, 2009

Kg Dato Ahmad Razali, Masjid Asy-Sharif

Semalam saya ke kampung ini kerana membawa pelajar MAPTAM menghadiri seminar PSRA. Ini adalah kali kedua saya sampai di kampung ini. Kali pertama ialah ketika program KAMIL peringkat daerah yang diadakan pada bulan 4 yang lalu. Masuk sahaja waktu zohor, saya pun bergerak menuju ke masjid yang berdekatan. Masjid ini sebenarnya jelas kelihatan dari SRA Dato' Ahmad Razali. Sekolah dan masjid dipisahkan oleh satu padang bola. Berdekatan dengan masjid dan sekolah ini ialah balai raya dan dewan manakala rumah-rumah penduduk tempatan mengelilingi kawasan sekolah dan masjid ini. Rasanya inilah masjid utama Kg. Dato' Ahmad Razali dengan keadaan persekitarannya yang begitu hampir dengan rumah penduduk dan kemudahan prasarana yang lain.


Masjid Asy-Sharif, masjid utama di Kg. Dato' Ahmad Razali. Terletak di tengah-tengah kampung dan sangat dekat dengan sekolah , balai raya, dewan dan rumah penduduk.



Menara masjid. Ketinggiannya mungkin dalam 15-20 meter.



Tangki ini menarik minat saya. Tertulis pada tangki tersebut "Tangki Air Galian". Saya rasa sumber airnya adalah dari bawah tanah lalu disalurkan terus ke punca air masjid.



Kubah masjid termasuk menaranya


SRA Dato Ahmad Razali dalam gambar yang dirakam, terletak lebih kurang 50-100 meter sahaja dari masjid. Hanya dipisah oleh satu padang bola yang besar.

Ruang solat utama masjid.

Seperti yang tercatat dalam kitab Salawat Pilihan yang dikeluarkan oleh Syeikh Muhammad Fuad menerusi Sofa Production, apabila kita melintas, melihat, keluar dan masuk masjid, maka sunat bagi kita membaca salawat. Kata Syeikh, dengan melazimkan diri membaca salawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad saw, mudah-mudahan kita dikurniakan imdadaat, futuhaat, nafahaat dan waridaat dalam perjalanan kita kepada Allah dan Rasul-Nya.

Thursday, August 6, 2009

Tazkirah Jumaat

Ketika mata hampir nak terlelap, tiba-tiba ada satu poin yang agak menarik yang disampaikan dalam tazkirah Jumaat, sekaligus menyegarkan balik mata saya. Kata Ustaz Nazmi (nama ustaz yang sampaikan tazkirah tadi kalau tak silap saya le), Mungkin ada orang bertanya kenapa perempuan yang datang haid tidak perlu mengqadha’kan solatnya tetapi dalam ibadah puasa perlu mengqadha’kan puasanya. Lalu jawabnya, solat itu adalah satu ibadah dimana kita berhubung terus dengan Tuhan. Jadi dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Tuhan, maka solat tidak perlu diqadha’kan bagi perempuan yang datang haid. Sebaliknya dalam ibadah puasa, selain berhubung terus dengan Tuhan, kita juga sebenarnya berhubung dengan orang miskin. Ada bahagian orang miskin dalam ibadah puasa ini. Hikmahnya ialah supaya kita merasai apa yang dirasa oleh orang miskin. Jika mereka pernah merasai erti lapar, maka kita juga akan merasainya dengan berpuasa. Sebab itulah puasa perlu diqadha’ (diganti)[1]. Begitu juga dengan fidyah puasa yang diberikan kepada orang miskin kerana ada bahagian mereka itu disitu.

Lebih kurang macam tu le poin yang disampaikan. Tazkirah yang disampaikan pun agak ringkas sebab start agak lewat.



[1] Dalam konteks ini merujuk kepada perempuan yang datang haid

Wednesday, August 5, 2009

Sambutan Malam Nisfu Sya'aban, Talqin Hadith




Terasa puas. Badan pun macam dah recharge balik walaupun sampai rumah dekat pukul 12 malam. Memang sangat menyeronokkan apabila menyambut Nisfu Sya'aban secara berjemaah. Kalau seorang diri belum tentu kita akan menyambutnya. Di Masjid Darul Ehsan malam tadi, sambutan Malam Nisfu Sya'aban berlangsung dalam suasana yang sangat meriah. Meriah dalam ertikata perjalanan programnya yang sangat padat dengan makanan-makanan rohani. Kata Syeikh, makanan rohani ini yang susah nak cari, kalau setakat makanan jasad, pergi je mana-mana kedai kat luar sana. Selepas solat maghrib, semua jemaah kemudiannya menunaikan solat sunat tasbih dengan 4 rakaat dan dua salam. Allah, seperti kata Syeikh, memang indah sekali apabila dapat mengerjakan solat sunat tasbih ini bersama-sama. Sebab bukannya mudah untuk melakukannya jika seorang diri. Bahkan kata Syeikh sambil bergurau, mungkin ada dikalangan jemaah yang baru pertama kali menunaikan solat sunat tasbih pada malam ini. Selepas solat sunat tasbih, bacaan Yassin bermula diikuti dengan Doa. Kemudian Syeikh memulakan syarahan sempena Malam Nisfu Sya'aban. Selepas syarahan, bermulalah satu lagi sesi penting iaitu sesi pengijazahan hadith musalsal dan kitab Pancaran Nur Do'a dan Zikir Ahli Akhyar. Kata Syeikh, kalaulah orang tahu betapa bernilainya perkara mentalqinkan hadith ni, sudah tentu masjid malam ini melimpah bahkan mungkin ada yang datang dengan merangkak ke sini. Manakan tidak, dengan mentalqinkan hadith bererti kita menyambungkan diri kita dengan rantaian sanad yang didalamnya berhimpun nama-nama Wali Allah lalu sampai kepada para tabi'in, sahabat dan seterusnya baginda Rasulullah saw. Dengan adanya nama kita dalam rantaian itu maka mudah-mudahan dapatlah kita berhimpun bersama-sama dengan orang-orang yang sentiasa dekat dengan Allah. Kata Syeikh, kalau didunia, kita berbinkan ayah itu adalah secara lahiriah yakni secara jasadnya tetapi nasab kita yakni bin kita di alam roh melalui rantaian seperti inilah. Para wali Allah itu seperti ayah dalam rantaian ini yang menyambungkan kita dengan Junjungan Besar Baginda saw. Dengan bersambungnya rantaian itu, ilmu dari nur nabawiyyah itu tidak terputus lalu sampai kepada kita. Kata Syeikh, beliau lazimnya mentalqinkan hadith setahun sekali iaitu hanya pada Malam Nisfu Sya'aban. Pada malam ini, hadith yang hendak ditalqinkan ialah tentang kalimah La Ilaha Illallah. Hadithnya berbunyi begini,
Saiyidina Ali ra berkata: Aku bertanya kepada Nabi saw, Wahai Rasulullah! Tunjukkanlah kepada saya jalan yang paling dekat kepada Allah dan yang paling mudah bagi hambanya untuk sampai kepadanya serta yang paling afdhal disisi Allah Taala. Maka baginda saw bersabda: Wahai Ali! Hendaklah kamu sentiasa berzikir mengingati Allah ditempat yang sunyi. Ali ra berkata: Itu adalah kelebihan dan semua manusia berzikir. Sabda Rasulullah saw: Wahai Ali! Tidak akan berlaku kiamat ketika masih ada diatas muka bumi ini orang yang mengucapkan Allah, Allah. Maka Ali ra berkata: Bagaimanakah cara saya hendak berzikir, wahai Rasulullah? Maka jawab baginda saw: Pejamkanlah kedua belah matamu dan dengarilah daripada saya sebanyak tiga kali, setelah itu kamu sebutlah pula sebanyak tiga kali dan saya mendengarnya. Rasulullah saw menyebut: La Ilaha Illallah, sambil memejamkan matanya dan mengangkat suaranya, manakala Saiyidina Ali ra mendengarnya, kemudian Saiyidina Ali ra pula mengucapkannya: La Ilaha Illallah, sebanyak tiga kali sambil memejamkan matanya dan mengangkat suaranya, manakala Nabi saw mendengarnya.
Taraf hadith ini adalah hasan. Syeikh menerima hadith ini dengan ditalqinkan kalimah La Ilaha Illallah oleh gurunya, As-Saiyyid Muhammad bin Alawi al-Maliki sehinggalah sampai kepada Junjungan Besar Rasulullah saw. Selepas pengijazahan hadith, Syeikh juga mengijazahkan kitab Pancaran Nur Do'a dan Zikir Ahli Akhyar yang ditulis oleh gurunya, As-Saiyid Muhammad bin Alawi al-Maliki.


Papan tanda Masjid Darul Ehsan Taman TAR. Masjid sedang dalam proses naik taraf.

Disebelah kanan masjid, saya lihat ramai pelajar tahfiz sedang berhimpun seperti melihat sesuatu. Rupanya ada anak sungai disitu. Sebelum ini saya tak perasan langsung. Jernih air pada hari itu.

Cuba tinjau ke permukaan air, mana tahu kot ada ikan. Hmm, tak nampak pulak.


Saya tak pasti dimana punca aliran air ini. Entah-entah ada air terjun menarik kat bahagian atas, Wallahualam.




Pemandangan masjid dari kawasan anak sungai

Para pelajar tahfiz sedang menikmati keindahan alam


Suasana masjid ini sangat damai, apatah lagi bila bersempadan dengan hutan semulajadi. Nyaman je rasa.



Syeikh memulakan syarahan pada malam itu


Sesi makanan jasad bermula setelah selesai makanan rohani.


Hadith yang ditalqinkan malam itu, ada cop Syeikh Fuad dibahagian atas sebelah kanan


Sambungan sanad dan matan hadith yang ditalqinkan.



Kitab yang diijazahkan oleh Syeikh. Merupakan cetakan kelima iaitu yang paling baru. tebalnya 616 mukasurat. Harga malam tadi, RM 30.

Tuesday, August 4, 2009

Kemensah, Kitab Kelebihan Malam Nisfu Sya'aban



Petang Rabu, saya ke Surau Kemensah di Hulu Klang untuk mengikuti majlis pengajian Syeikh Fuad. Majlis bermula selepas solat maghrib dan selesai lebih kurang jam 9.45 malam. Syeikh mengkhatamkan kitab Kelebihan Malam Nisfu Sya'ban kerana esoknya adalah Malam Nisfu Sya'aban. Sambutan Malam Nisfu Sya'aban akan diadakan di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang. Program sambutan ialah bacaan Yasin, Solat Sunat Tasbih dan pengijazahan kitab Pancaran Nur dan Doa Ahli Akhyar. Majlis bermula selepas solat maghrib.

Monday, August 3, 2009

Ahad, Sairus Salikin



Masjid al-Falah USJ

Hari Ahad, saya ke majlis ilmu Syeikh Fahmi. Syeikh mensyarah kitab Sairus Salikin. Masih lagi dalam Jilid 1. Berkenaan syarahan Syeikh, saya ada membuat sedikit catatan bebas yang boleh dicapai disini. Kuliah Syeikh akan bersambung pada 15 Ogos 2009. Kalau tak silap saya, Syeikh akan mensyarah bab Rahsia Puasa pada tarikh tersebut.

Sunday, August 2, 2009

Desa Vista, Generasi Salahuddin


Cuaca mendung pagi Sabtu. Saya berkira-kira hendak ke Desa Vista. Hari ini ada pengajian Syeikh Fahmi di Desa Vista. Dari Puchong, saya mengambil jalan susur lebuh raya Putrajaya-Cyberjaya dan mengambil jalan keluar menghala ke Bangi/Kajang. Saya mengambil jalan potong dengan melalui jalan menghala ke al-Jenderami. Sebenarnya, pada masa yang sama juga satu majlis besar-besaran sedang diadakan di Yayasan al-Jenderami. Majlis yang dimaksudkan ialah sambutan Hari Hol Saiyidatina Siti Khadijah. Di Shah Alam pula, muktamar ABIM yang melibatkan pembentangan kertas kerja sarjana-sarjana terkenal sedang berlangsung. Tetapi hati saya nampaknya lebih kuat ke Desa Vista. Tempat majlis ilmu Syeikh Fahmi ini berlangsung di surau yang baru dibina. Surau ini pun masih belum siap sepenuhnya. Surau ini terletak betul-betul diatas bukit. Dari surau, boleh nampak hampir keseluruhan kawasan taman dan hutan-hutan yang menghijau. Satu pemandangan yang sangat indah. Surau ini nampak gayanya masih belum diberi nama. Kata Syeikh Fahmi sewaktu hendak memulakan majlis, elok bagi nama surau ini cepat-cepat. Kuliah selesai lebih kurang jam 12.30 tengah hari. Syeikh Fahmi selepas itu terpaksa bergegas ke Shah Alam kerana membentangkan kertas kerja di Muktamar ABIM. Disebelah malamnya pula, saya menghadiri Pidato Perdana yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki di Masjid Negeri Shah Alam. Isteri dan anak-anak saya ikut sekali. Di masjid, saya berjumpa Ustaz Nasir (Kolej Dar al-Hikmah) dan sahabat sekuliah saya, Azlan yang turut hadir mengikuti Pidato Perdana yang bakal disampaikan oleh Syeikh Fuad. Lebih kurang pukul 10.00 malam barulah Syeikh Fuad memulakan syarahnya dengan temanya Generasi Salahuddin. Seperti biasa, syarahan Syeikh jelas, padat dan sangat bertenaga. Diakhir syarahnya, Syeikh bergurau, sepatutnya beliau diberi masa 5 jam untuk menyampaikan syarahan, barulah lengkap isi syarahannya. Lebih kurang pukul 11.00 malam majlis selesai. Dari segi sambutan terhadap majlis, walaupun yang hadir agak ramai tetapi sebenarnya masih banyak lagi ruang kosong dalam dewan utama. Sepatutnya persatuan pelajar samada di IPTA atau IPTS berhimpun disini memenuhi setiap ruang kosong kerana mesej yang hendak disampaikan oleh Syeikh adalah sangat besar dan berkaitan dengan generasi yang bakal menerajui kepimpinan negara. Mungkin mereka ada agaknya cuma saya tak perasan tapi melihatkan kepada ruang kosong yang agak banyak, saya mengandaikan ramai yang tidak hadir. Rugilah anak-anak muda jika mereka tidak hadir dalam majlis sebegini kerana banyak manfaat yang boleh dikutip di sini.




Pintu masuk Surau Baru Desa Vista. Dahulu, surau lamanya adalah bangunan rumah yang paling tepi. Saya pernah bersolat disitu.

Surau baru ini belum siap sepenuhnya. Masih beralas tikar plastik. Kelihatan Syeikh Fahmi sedang bersiap-siap hendak memulakan syarahan. Walaupun surau masih belum siap sepenuhnya, namun semangat hendak menuntut ilmu dan bergotong-royong menjayakan majlis ini jelas kelihatan disetiap wajah warga Desa Vista yang hadir pada hari itu. Seronok saya melihat suasana sebegini.


Syeikh Fahmi memulakan syarahnya

Inilah kitab yang disyarah oleh Syeikh Fahmi pada hari itu. Tajuknya ialah Kiamat Hampir Tiba


Syarahan Syeikh Fahmi bermula seawal jam 9 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengah hari. Ketika syarahan berlangsung, hujan turun renyai-renyai. Sejuk dan nyaman waktu itu.

Hadirin sedang menjamu selera makan tengah hari

Pemandangan surau dari sisi sebelah kanan

Pidato Perdana "Generasi Salahuddin" yang disampaikan oleh Syeikh Fuad di Masjid Negeri Shah Alam disebelah malam Ahad

Tarjuman al-Mustafid


Saya ke Bangi lebih kurang dalam pukul 12.30 tengah hari. Disebelah paginya, saya sibuk menguruskan pelajar KAFA dan tadika. Tujuan saya ke Bangi ialah untuk ke UKM. Hajat hendak berjumpa Ustaz Wan Nasyrudin (Dr.). Hajat yang dah lama tertangguh. Kali pertama saya nak jumpa tak jadi sebab ada urusan lain. Harap-harap kali ni jadi. Cuaca sangat panas. Setelah parker berdekatan dengan DECTAR (dewan besar UKM), saya pun berjalan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Khutbah bertenaga yang disampaikan oleh Ustaz Farhan menyegarkan saya bahkan mungkin keseluruhan jemaah yang lain. Selesai solat, saya ke kafetaria yang terletak bertentangan dengan kedai Penerbit UKM. Lebih kurang pukul 2.30 petang, saya bergerak menuju ke bilik Ustaz Wan di Fakulti Pengajian Islam. Fakulti ini bersebelahan dengan blok kafetaria, tempat saya makan tadi. Biliknya terletak separas dengan Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah. Saya ketuk pintu biliknya dan beri salam tetapi tidak berjawab. Rupanya Ustaz Wan berada dalam bilik rehat tidak jauh dari biliknya bersama rakan-rakan pensyarah yang lain. Ah, lega saya. Tercapai juga hajat hendak berjumpa beliau. Sebenarnya tujuan saya berjumpa dengannya ialah kerana hendak membeli buku yang ditulis olehnya yang berkenaan Tafsir Tarjuman al-Mustafid hasil karya ulama besar Aceh abad ke-17 iaitu Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fansuri. Saya menyampaikan hajat saya kepadanya. Saya memaklumkan kepada Ustaz Wan bahawa telah menjadi minat saya mengumpul apa sahaja dokumentasi yang berkaitan dengan ulama-ulama Alam Melayu termasuk Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fansuri ini. Sebaik mendengar kata saya, langsung Ustaz mengambil tesis PhDnya lalu diberikan kepada saya. Tesisnya adalah tentang kajian teks Tarjuman al-Mustafid setebal 600 mukasurat lebih. Beliau menyiapkan tesis tersebut dalam tahun 2007 di Universiti Malaya. Saya membelek-belek tesis beliau. Sambil itu, beliau bercerita tentang tesisnya. Katanya, rumusan yang dibuat olehnya tidaklah banyak berbeza dari rumusan sarjana lain seperti Peter Riddell dan Salman Harun yang juga mengkaji teks tersebut. Cuma dari segi metodologi, Ustaz Wan telah melihat dan mengupas kesemua 30 juzuk yang ada dalam tafsir tersebut bukannya sebahagian atau satu-dua juzuk sahaja. Itulah salah satu sebab mengapa tesisnya melangkau sehingga 600 mukasurat. Jadi menurut Ustaz Wan, tafsir ini adalah merupakan terjemahan kepada tafsir Jalalain bukannya terjemahan kepad tafsir Baidhawi. Beliau berminat membuat kajian tentang tafsir ini kerana salah satu sebabnya ialah kitab ini telah dipelajarinya semenjak dari kecil lagi. Setelah itu, saya bertanya pula tentang buku yang ditulisnya itu. Kata Ustaz Wan, buku yang diterbit oleh fakulti itu hanya mengambil dua bab sahaja dari tesisnya yang tebal itu. Apabila melihat tesisnya yang tebal itu, minat saya beralih kepada tesisnya pula. Saya bertanya Ustaz Wan, takde plan ke nak terbitkan tesis ni. Jawab Ustaz Wan, memang ada dan masih dalam perbincangan. Tak sabar rasanya menantikan kemunculan buku lengkap Ustaz Wan ini. Selain tentang tesis, ada jugalah diselit tentang perkara-perkara lain seperti bab hadith, tokoh hadith dan sebagainya kerana Ustaz Wan juga ahli dalam bidang hadith. Sebelum pulang, saya membeli beberapa buku dari Ustaz Wan termasuklah buku Tarjuman al-Mustafid yang merupakan ringkasan dua bab dari tesisnya yang tebal itu.



Fakulti Pengajian Islam UKM. Kalau ikut pintu masuk utama, fakulti ini adalah yang paling depan

Buku ini dihadiah oleh Ustaz Dr. Wan kepada saya. Kata Ustaz Wan, Ustaz Asmadi sedang menyelesaikan tesis PhD tentang Maulana Zakaria al-Kandahlawi dibawah seliaan Prof Dr Fauzi Deraman di Universiti Malaya. Tak sabar rasanya nak tengok hasil kajian Ustaz Asmadi.

Asalnya buku inilah yang saya cari tetapi setelah melihat tesis Ustaz Wan, terus mengidam tesis tersebut. tak sabar nak melihat tesis tersebut dibukukan dengan lengkap.

Beberapa artikel tentang isu-isu masalah tafsir dan qiraat yang disunting oleh Ustaz Asmadi dan Ustaz Wan

Beberapa artikel tentang isu permasalahan hadith dan al-kutub al-Sittah yang disunting oleh Ustaz Asmadi dan Ustaz Wan.