Showing posts with label majlis ilmu. Show all posts
Showing posts with label majlis ilmu. Show all posts

Sunday, November 17, 2013

Salawat al-Fatih

Inilah salawat yang diijazah oleh Sayyidi Shaykh Ahmad al-Hadi al-Hasani di Surau Sakinah pada 12 Muharram 1435 H bersamaan 16 November 2013 selepas solat Isyak
 

Ertinya;

Ya Allah curahkanlah rahmat atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW yang dapat membuka sesuatu yang terkunci, penutup dari semua yang terdahulu, penolong kebenaran dengan jalan yang benar, dan petunjuk kepada jalan-Mu yang lurus. Semoga Allah mencurahkan rahmat kepada Baginda SAW, kepada keluarganya dan kepada semua sahabatnya dengan sebenar-benar kekuasaan-Nya yang Maha Agung.

Wednesday, November 6, 2013

1435 H

1 Muharram 1435 H (bersamaan dengan 5 November 2013), sambutan Maal Hijrah di Masjid Darul Ehsan Taman TAR dipimpin oleh al Musnid Dato Shaykh Muhammad Fuad bin Kamaludin dengan dihadiri oleh tetamu kehormat yang merupakan ulama besar dari Maghribi, Al Allamah Al Muhaddith Shaykh Dr Abdul Mun'im ibn Abdul Aziz al Siddiq al Ghumari al Hasani. Selain beberapa ijazah kitab, tetamu kehormat iaitu Shaykh Dr Abdul Mun'im ada menyampaikan tausyiah yang menyentuh tentang Maal Hijrah. Antara yang dapat diingati ialah tentang Bab Niat dalam kitab Sahih Bukhari. Niat berkait rapat dengan Hijrah. Dan penuntut ilmu berkait rapat tentang kedua-duanya. Niat perlu diluruskan. Menuntut ilmu pula memerlukan pengorbanan. Antaranya ialah perlu berhijrah dari satu tempat ke satu tempat dalam usaha menimba ilmu. 
 
 

Masjid Darul Ehsan
 

Saya tertarik dengan kayu yang dijual di luar perkarangan masjid. Langsung saya membelinya. Kata si penjual, kayu ini sesuai dijadikan tongkat. Kata si penjual lagi, kayu ini asalnya dari Sarawak.

Monday, December 26, 2011

Kolej Islam as-Sofa

Persitiwa penting suku terakhir 2011 yang patut dicatatkan ialah perasmian Kolej Islam as-Sofa di Ampang pada 18 September 2011 bersamaan 20 Syawal 1432. Perasmian telah disempurnakan oleh Al-’Allamah Sayyid Ahmad ibn Muhammad ibn Alawi Al-Maliki. Al-'Allamah turut menyampaikan ucapan pada malam itu. Antara isi kandungan dalam ucapannya ialah tentang enam perkara yang menjadi kunci kepada kejayaan sebuah gedung ilmu iaitu sanad, toleransi, nilai, mahabbah, taqwa dan warisan. Al-'Allamah menganjurkan para hadirin agar memperbanyakkan bacaan salawat antaranya ialah seperti Salawat Fath yang didalamnya terkandung rahsia kebijaksanaan. Selain itu, beliau juga menganjurkan hadirin agar mempelajari ilmu tasawwuf yang sangat penting untuk menjernihkan hati.



Ketibaab tetamu kehormat al-'Allamah Sayyid Ahmad ibn Muhammad ibn Alawi al-Maliki


Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki bersama al-'Allamah Sayyid Ahmad ibn Muhammad ibn Alawi al-Maliki


Berdiri mengalunkan maulid

Fakta dan Fiksyen

Tahun 2011 semakin hampir melabuhkan tirai. Walaupun acara ini telah berlangsung kira-kira 3 bulan yang lalu, saya kira saya patut mencatatkannya dalam ruangan ini. Tambahan pula, ia dianggap satu acara penting yang berlaku pada tahun ini. Acara yang dimaksudkan adalah berkaitan dengan pelancaran sebuah buku yang ditulis oleh seorang pemikir besar iaitu Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas. Acara ini telah berlangsung di UTM, KL pada 9 September 2011 bersamaan 11 Syawal 1432 H. Pelancaran telah dilakukan oleh Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofiah. Tan Sri Prof turut menyampaikan ucapan dimana isi kandungan ucapannya adalah berkisar kepada isi kandungan buku tersebut. Secara peribadi, ini adalah kali kedua saya mendengar ucapan Tan Sri Prof dalam tempoh 2 tahun. Kali pertama ialah pada 13 Disember 2009. Acara tersebut sebetulnya bermula dengan ucapan alu-aluan Prof Dato' Ir Dr Zaini bin Ujang. Antara bait ucapan beliau yang masih segar dalam ingatan kepala saya ialah tentang perlunya kita mencari makna dalam sejarah. Isi ucapannya ringkas tapi padat. Antara kata-kata beliau jika ingatan saya tidak salah, "Jika ditanya apa kaitan UTM dengan buku sejarah maka jawabnya ialah kita berada dalam zaman sejarah".
Highlight pada hari itu sudah tentulah ucapan penulis buku itu sendiri. Antara isi penting ucapan Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas ialah tentang kedatangan dan penyebaran Islam di Alam Melayu. Islam dibawa ke Alam Melayu oleh orang-orang Arab yang bukan sekadar pedagang biasa tetapi mempunyai salasilah yang sampai kepada baginda Rasulullah saw. Keturunan Saiyidina Husain as misalnya datang dari Selatan Arab (Hadramaut, Yaman). Mereka belayar ke utara India (Sind, Karachi) kemudian ke Gujerat, kemudian ke Ceylon, kemudian ke Nicobar, kemudian ke Pulau Andaman, lalu masuk ke Alam Melayu melalui Sumatera dan seterusnya ke Selat Sunda, Kemboja, Canton, Solo, Borneo dan Jawa. Selain dari itu, dari aspek bahasa dan tulisan di Alam Melayu, hakikatnya ia lebih condong kepada pengaruh Arab-Hadrami bukannya Melayu-Parsi atau India. Sebagai contoh penggunaan hari seperti Isnin, Selasa, Rabu dan seterusnya menunjukkan bahawa ia adalah berasal dari Arab (Hadramaut) bukannya dari India. Begitu juga dengan tulisan Jawi yang jelas menunjukkan pengaruh Arab di Alam Melayu.







Saya sampai di perkarangan UTM KL lebih kurang jam 9 pagi








Bunting acara dipasang pada tiang





Banner acara yang dipasang di satu blok bangunan UTM





Buku terbaru tulisan Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dijual dengan harga promosi pada hari tersebut





Naib Canselor menyampaikan ucapan alu-aluan











Pelancaran buku disempurnakan oleh Canselor UTM







Ucapan Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas





Majlis bersurai





Plak pelancaran





Banner pelancaran dalam dewan





Buku aturcara majlis

Saturday, September 3, 2011

Aidilfitri 1 Syawal 1432 (30 Ogos 2011)

Kata Tuan Guru Yang Mulia, "Para ulama di Yaman akan menghidupkan malam raya hingga selesai khutbah raya". Ini adalah kerana malam raya adalah malam penentu samada puasa seseorang itu diterima atau tidak. Kata Hasan al-Basri ketika mendengar penduduk Basra bergelak ketawa pada malam raya berkata, “Adakah mereka yakin bahawa puasa mereka telah diterima Allah Ta’ala sehingga mereka gelak sedemikian rupa?” Maka atas sebab itu kita mesti kena ada perasaan khauf dan raja’ di hadapan Allah. Khauf (takut) kerana bimbang seandainya kita tidak layak tergolong dalam orang-orang yang menerima anugerah Allah tetapi pada masa yang sama raja' (harap) agar Allah menggolongkan kita dalam kelompok orang-orang yang menerima anugerah-Nya.
Pada hari kita membesarkan Allah maka hendaklah kita merendahkan diri kita di hadapan Allah ta'ala. Faham dan hayatilah maksud takbir. Ia bukan setakat lisan atau ucapan di mulut semata-mata tetapi juga di benak hati. Takbir bererti membesarkan Allah. Kalau kita bertakbir hanya dengan lisan maka hakikatnya kita tidak menghayatinya. Takbir yang benar ialah dengan membesarkan Allah dan menyingkirkan rasa takabbur dalam hati.



Solat raya di Ampang


Takbir raya


Jamuan raya di kediaman Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki


Tuan Guru Yang Mulia sedang mengagihkan sampul raya kepada kanak-kanak


Tuan Guru Yang Mulia membaca hadith musalsal Hari Raya

Takrim Huffaz

Tahun ini Masjid Darul Ehsan menjadi tuan rumah Takrim Huffaz. Majlis ini diadakan pada malam 27 Ramadhan 1432 (26 Ogos 2011). Kata Tuan Guru Yang Mulia, "Ahli al-Quran adalah kekasih Allah". Mengasihi mereka akan menyebabkan kita dikasihi Allah. Manakala membenci mereka akan menyebabkan seseorang itu akan diperangi Allah. Ada dua golongan yang diperangi Allah iaitu orang yang memakan riba secara berterusan dan orang yang mencela Kekasih Allah. Kata Imam Abbas al-Mursi, “Orang yang membenci Kekasih Allah maka bersedialah untuk mati dalam keadaan Su’ul Khatimah”.


Majlis Takrim Huffaz di Masjid Darul Ehsan

Nuzul al-Quran dan Ahli Badar

Ada dua peristiwa besar yang perlu dikenang dan dihayati pada malam 17 Ramadhan iaitu peristiwa Nuzul al-Quran dan Perang Badar al-Kubra. Kedua-duanya adalah lambang kemuliaan. Al-Quran adalah lambang kemuliaan ilmu manakala Ahli Badar adalah lambang kemuliaan para Kekasih Allah dimana para sahabat yang menyertai perang ini terdiri dari semulia-mulia manusia. Ibnu Hajar al-Asqalani menggalakkan umat Islam membaca asma’ Ahli Badar. Ini adalah kerana nama-nama itu mempunyai rahsia kemuliaan.



Kitab Jaliatul Kadar yang mengandungi nama ahli-ahli Badar. Kitab ini ditulis oleh Al-Allamah Sayyid Jaafar bin Hasan bin Abdul Karim al-Barzanji, Mufti Syafi'iyah di Madinah al-Munawwarah. Sanad kitab ini telah diijazah oleh Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki pada 15 Ramadhan 1432 bersamaan 15 Ogos 2011



Doa ini telah diijazah oleh Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki di Masjid Darul Ehsan pada 17 Ramadhan 1432 bersamaan dengan 17 Ogos 2011

Takrim Ahli Ilmu

Salah satu acara besar yang dianjurkan Yayasan Sofa dalam bulan yang penuh kemuliaan ini ialah Takrim Ahli Ilmu. Acara ini adalah yang julung-julung kali diadakan. Acara ini telah diadakan di Bukit Sembilan, Rembau pada 13 Ramadhan 1432 bersamaan dengan 13 Ramadhan 2011. Memuliakan ahli ilmu adalah perintah Allah. Kata Tuan Guru Yang Mulia, "Allah tidak menyuruh Nabi saw duduk dan memandang ahli dunia kerana ia boleh mengganggu hati baginda saw dalam perjalanan menuju kepada Allah Ta'ala. Tetapi Allah menyuruh Nabi saw duduk bersama-sama ahli ilmu kerana merekalah yang menjaga dan memelihara agama dan umat".
Salah seorang tokoh ilmu yang perlu dikenang sumbangannya dan diteladani kehidupannya ialah almarhum al-Muhaddith Prof Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki. Berkebetulan pula hari wafatnya jatuh pada 15 Ramadhan 1425 H. Jadi dalam acara tersebut, pembacaan manaqib almarhum turut dibacakan dengan tujuan untuk mengenang kembali pengorbanannya dalam dakwah Islam khususnya dalam arena keilmuan.
Almarhum al-Muhaddith Prof Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki sangat komited dalam menyampaikan ilmu. Dalam buku Manaqib Tiga Permata yang disusun oleh Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, dinyatakan bahawa almarhum al-Muhaddith Prof Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki tetap keluar untuk mengajar sekalipun dalam keadaan tidak sihat. Kerehatan dan ketenangan baginya ialah apabila memenuhi waktunya dengan ilmu. Setiap hari beliau akan mengajar lebih daripada 15 subjek. Kesungguhannya dalam bidang ilmu sangat luar biasa sehinggakan anak muridnya pernah berkata, "Ustaz (yakni Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki) lebih tekun daripada anak muridnya sendiri". Beliau memuliakan ilmu, memuliakan guru dan sangat mengasihi penuntut ilmu. Hidupnya sentiasa bergelumang dengan ilmu. Kata Tuan Guru Yang Mulia, almarhum ketika hayatnya pernah mengkhatam kitab Sahih Bukhari ketika hari Tasyriq yakni dalam tempoh 3 hari sahaja.

Takrim Ahli Ilmu pada hari itu telah menyaksikan satu lagi buku dilancarkan bersempena dengan acara tersebut. Buku tersebut berjudul Adab dan Doa Penuntut Ilmu: Hadiah dan Nasihat buat Pencari Ilmu. Buku ini dikarang oleh Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Bagi ahli ilmu, adab adalah sangat penting. Seperti kata Ibnu al-Mubarak, "Adab walaupun sedikit lebih kami perlukan daripada ilmu yang banyak" (Adab dan Doa Penuntut Ilmu, halaman 3). Imam Syafi'i juga ada menukilkan tentang adab. Katanya, "Imam Malik pernah berkata kepadaku, Wahai Muhammad! Jadikanlah ilmumu seperti garam dan adabmu seperti tepung" (Adab dan Doa Penuntut Ilmu, halaman 4). Sementara itu kata Abu Yazid al-Bistami, "Orang yang tidak dapat memelihara adab syariat, sudah pasti tidak dapat menjaga rahsia-rahsia Allah" (Adab dan Doa Penuntut Ilmu, halaman 6)




Ijazah sanad Asma al-Husna sempena Takrim Ilmu




Buku Adab dan Doa Penuntut Ilmu

Sambutan Hol Sayyidah Khadijah

Sambutan Hol Sayyidah Khadijah al-Kubra anjuran Yayasan Sofa pada tahun ini diadakan selama 3 hari bermula dari 5 Ramadhan (5 Ogos 2011) dan berakhir pada 7 Ramadhan (7 Ogos 2011). Sambutan ini diadakan bagi mengenang hari kewafatan Sayyidah Khadijah pada 11 Ramadhan. Kemuncak sambutan diadakan di Pejabat Gerbang Perdana di Bangunan IBEX, Petaling Jaya. Antara tetamu kehormat yang hadir semasa kemuncak sambutan ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Mengingati Sayyidah Khadijah adalah satu keperluan kerana pengorbanannya dalam dakwah Nabi saw adalah sangat besar. Dengan membaca manaqibnya, mudah-mudahan umat Islam bukan sahaja mengenang pengorbanannya tetapi juga mendatangkan rasa kasih terhadap insan yang sangat dikasihi baginda saw dan menuruti jejak langkahnya dalam dakwah Islam.



Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki sedang menyampaikan syarahan pada kemuncak sambutan

Manaqib Sayyidah Khadijah al-Kubra

Qasidah Memuji Sayyidah Khadijah al-Kubra





Graha

Berdasarkan catatan ujung dalam satu makalah tulisan Prof Shaharir Mohd Zain, graha bermakna planet dalam istilah Melayu lama. Istilah-istilah Melayu lama sememangnya sangat menarik dan wajar diketengahkan. Bayt al-Hikmah, sebuah pusat ilmu mutakhir yang dilancarkan oleh Yayasan Sofa pada 23 Syaaban 1432 H bersamaan dengan 24 Julai 2011 telah menggunakan istilah graha ini sebagai tagline nya. Tagline penuhnya, "Graha Kajian dan Keilmuan Islam. Sedap bukan?

Bayt al-Hikmah merupakan satu lagi mercu tanda yang wajar diberi perhatian dan diberi sokongan oleh umat Islam khususnya di negara ini. Ini adalah kerana ia menempatkan pusat penyelidikan dan pendidikan, kolej, perpustakaan, pusat bahasa, madrasah pengajian dewasa dan banyak lagi yang berkaitan dengan perkembangan ilmu dan ma'rifah dalam dunia Islam. Penubuhan pusat ilmu ini adalah diinspirasikan dari pusat intelektual dan keilmuan zaman kerajaan Abbasiyah yang juga memakai nama Bayt al-Hikmah. Cetusan idea untuk menghidupkan semula sejarah Bayt al-Hikmah yang sangat unggul satu ketika dahulu telah digerakkan oleh Penaung Yayasan Sofa iaitu Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki.

Pada hari perasmian pusat ilmu tersebut, sebuah buku yang bertajuk 40 Hadith Fadhilat Ilmu telah dilancarkan bersempena dengan majlis berkenaan. Isi kandungan buku tersebut telah dipetik dati kitab yang berjudul al-Durar al-Munif fi Talabi al-Ilm al-Syarif al-Musil ila Ridha al-Malik al-Latif karangan muhaddith yang alim lagi wara' di Maghribi iaitu al-Allamah al-Muhaddith Abu al-Jamal Muhammad al-Tahir ibn al-Hasan al-Kattani.


Majlis bermula


Antara koleksi kitab yang ditempatkan di tingkat atas


Lagi koleksi kitab


Buku yang dilancarkan pada hari itu


Penerangan tentang Bayt al-Hikmah di bahagian belakang buku

Friday, July 29, 2011

Puasa

Puasa dan Al-Quran akan memberi syafaat kepada kita kelak seandainya kita menyempurnakan haknya. Justeru dalam bulan Ramadhan yang bakal menjelang tiba ini, berazamlah untuk membaca dan mengkhatam al-Quran dan peliharalah kesucian ibadah puasa kita. Puasa adalah perisai dari api neraka. Perisai ini perlu dipelihara. Biar kukuh. Kata Habib Kazim dalam syarahannya di Masjid al-Falah USJ 9 pada 23 Julai 2011 (bersamaan 21 Syaaban 1432 H), “Jagalah lisan dan elaklah dari mengumpat dan berkata dusta kerana jika tidak dijaga maka robohlah perisai itu”. Kata Habib lagi, “Yang paling penting ialah jaga lisan ketika waktu tengah hari”. Memang betul pun, sebab waktu tengah hari kita banyak luangkan masa untuk bersembang. Justeru, kena jaga betul-betul lisan kita time tu takut gugur pahala puasa kita.




Di Masjid Al-Falah



Maulid



Habib Kazim al-Saqqaf dan Habib Ali Zainal Abidin

Tarbiah



Cantik kulit kitab ini. Isinya pun cantik. Pelbagai. Tentang tarbiah. Ada juga syarah tentang Hizib Bahr dan salawat Masyis. Kitab Durar ar-Rasail lil Murid as-Sail adalah buah tangan Al-Mukarram Syeikh Sa’duddin Murad. Beliau adalah khalifah utama Syeikh Abdul Qadir Isa dan merupakan salah seorang guru kepada Syeikhna Sidi Yusuf al-Hasani. Pada 14 Julai 2011 2011 bersamaan 12 Syaaban 1432 H, kitab ini telah diijazah oleh Syeikhna Sidi Yusuf kepada pencinta ilmu yang hadir pada hari itu setelah mensyarahnya beberapa hari sebelum itu. Tarbiah bukan sekadar teori tetapi juga praktik. Praktik melibatkan amalan yang berterusan dan adakalanya perlu dilakukan serta-merta. Bila perlu serta-merta? Bila melihat perkara-perkara yang tak sepatutnya berlaku. Syeikhna Sidi Yusuf apabila melihat perkara-perkara sedemikian akan segera mengarahkan anak muridnya untuk memperbetulkan keadaan. “Mana boleh kasut letak kat atas dinding”, spontan Syeikhna Sidi Yusuf mengarahkan anak muridnya meletakkan kasut di bawah tatkala beliau terlihat ada beberapa kasut diletakkan di atas dinding padahal pada ketika itu ia sedang mensyarah. Dalam satu masa yang lain, Syeikhna Sidi Yusuf mengarahkan anak muridnya agar segera membetulkan parkir kenderaan masing-masing agar tidak mengganggu jiran dan lalulintas. Tarbiah tidak mengira masa dan ketika. Itulah guru yang sejati.




Kitab yang disyarah



Syeikh Yusuf Bakhour al-Hasani

Friday, July 22, 2011

Syaaban 1432 H

Alhamdulillah pada 14 Julai 2011 bersamaan dengan 12 Syaaban 1432 H, saya berkesempatan menghadiri majlis maulid dan qasidah di Masjid Taman Putra Perdana. Majlis maulid dan qasidah pada malam itu dipimpin oleh Ustaz Fadzli al-Yamani bersama-sama dengan pelajarnya dari Madrasah al-Yamani, Kampung Baru. Tambah menyerikan majlis ialah kehadiran guru kepada Ustaz Fadzli iaitu Syeikh Haidar Hassan Salim al-Waqidi dalam majlis pada malam itu. Menurut Ustaz Fadzli, gurunya itu baru sahaja tiba dari KLIA dari Yaman lebih kurang jam 6.30 petang, langsung dibawa rombongan terus ke Masjid Taman Putra Perdana untuk bersama-sama mengikuti majlis. Maka pada malam, Syeikh Haidar telah menyampaikan tausyiah kepada hadirin dengan kupasan yang sangat menarik. Antara isinya ialah tentang penghayatan dalam bulan Sya'aban. Bulan Sya'aban adalah bulan Nabi saw di mana umat Islam dianjurkan untuk memperbanyakkan puasa dan membaca salawat. Berbalik cerita tentang Syeikh Haidar, beliau merupakan penasihat Madrasah al-Yamani. Menurut Ustaz Fadzli, ini adalah tahun kelapan Syeikh Haidar datang ke sini dengan tujuan untuk memimpin majlis daurah kitab-kitab fiqh. Daurah tersebut lazimnya dihadiri oleh ustaz-ustaz kebanyakannya dari negara-negara di Asia Tenggara. Daurah ini diadakan dalam bulan Ramadhan.



Pengerusi majlis sedang memberi ucapan aluan



Ustaz Fadzli al-Yamani menjadi penterjemah kepada gurunya, Syeikh Haidar Hasan Salim al-Waqidi. Gurunya berada di sebelah kiri beliau





Pamplet Madrasah al-Yamani yang diedarkan pada malam itu