Sunday, January 24, 2010

Wisdom Media

Ahad lepas, saya ke Masjid al-Falah USJ 9 bersama isteri saya untuk menghadiri majlis ilmu Syeikh Fahmi. Beliau menyambung syarahan Rahsia Haji dalam kitab Salikin dan kemudiannya masuk ke bab Rahsia Zakat. Majlis bermula pukul 9.00 pagi dan berakhir sekitar jam 12.30 tengah hari. Seperti biasa, diruang legar masjid, ada beberapa gerai jualan kitab, buku dan peralatan lain dibuka pada hari itu. Antara bahan jualan yang menjadi tumpuan jemaah ialah DVD lawatan Habib Umar tempoh hari. DVD tersebut memuatkan siri lawatan Habib Umar ke empat lokasi utama iaitu UIA, Pantai Dalam, USJ dan Melaka. DVD tersebut telah diterbitkan oleh Wisdom Media. Laman webnya boleh dicapai disini. DVD ini amat berbaloi untuk dimiliki.

DVD Habib Umar 2010 Malaysia Tour

Monday, January 18, 2010

Musalsal Salawat


Saya menghadiri majlis ini pada hari Sabtu lepas. Majlis ini diadakan serentak dengan sesi khatam kitab Hadith 40 Mutiara Nabawi. Syeikh meriwayatkan hadith ini dari gurunya, al-Muhaddith al-Doktor Abu Sulaiman Mahmud asy-Syafi'i. Hadith ini dinamakan musalsal mengira salawat di tangan kerana penyampai hadith akan mengira salawat ditangan penerima hadith. Ada lima salawat yang perlu dibaca dalam periwayatan hadith ini. Majlis ini berakhir sekitar jam 10 malam selepas diserikan dengan alunan beberapa qasidah dan bacaan maulid.


Halaman 1 (sanad hadith)


Halaman 2 (sambungan sanad dan matan hadith)

Mutiara Nabawi


Sabtu lepas, saya menghadiri majlis ilmu Syeikh Fuad di Masjid Darul Ehsan Taman TAR, Ampang. Syeikh mensyarahkan kitab 40 Hadith Mutiara Nabawi yang ditulis oleh al-Musnid al-Doktor Muhammad Mutiq al-Hafiz. Syarahan terbahagi kepada dua sesi iaitu waktu dhuha dan kemudian disambung ke sebelah petang sehingga khatam. Disebelah pagi, saya hadir ke majlis ini dengan salah seorang pengajar MAPTAM, Ustaz Muhammad Sukri Supi. Disebelah petang, saya hadir bersama dengan keluarga saya. Ustaz Sukri juga turut mengikuti kami. Sesi khatam kemudiannya disambung dengan sesi pengijazahan musalsal mengira salawat dengan jari.
Sebelum itu, pada hari Ahad lepas (seminggu sebelumnya), saya telah menghadiri syarah hikam Abi Madyan juga di Taman TAR di sebelah pagi. Syarah ini disampaikan oleh Syeikh Fuad.

Kitab yang dikhatam Sabtu lepas

Wednesday, January 13, 2010

Kunjungan Habib Umar bin Hafiz

Habib Umar datang lagi ke bumi bertuah ini. Kali terakhir ulama besar ini datang ke Malaysia ialah pada tahun 2008. Ketika saya melihat poster besar beliau di masjid berdekatan rumah saya, hati saya mula berkata, Tahun ini pasti ramai yang akan datang memandangkan tahun lepas beliau tidak dapat datang. Berdasarkan kepada jadual rangka lawatan habib, sepatutnya habib singgah di sini tahun lepas tetapi disebabkan ada urusan penting di Yaman maka beliau terpaksa membatalkan lawatannya. Tepat telahan saya. Masjid sudah mula penuh sesak terutamanya selepas Asar. Saya sampai di USJ sekitar jam 6.30 petang. Ketika sampai, kedengaran qasidah Ya Sayyidi sedang dialunkan. Kunjungan saya kali ini agak istimewa kerana selain membawa keluarga, saya juga turut membawa guru-guru madrasah saya bersama. Walaupun hujan turut agak lebat namun itu tidak menghalang ribuan para jemaah datang mengunjungi masjid ini. Bertemu dan duduk bersama-sama dengan ulama besar seperti Habib Umar adalah sesuatu perkara yang tidak boleh dilepaskan begitu saja. Alhamdulillah, tempat parkir agak mudah. Walaupun kereta pengunjung agak banyak tetapi dengan bantuan anggota Rela yang bertugas masalah kesesakan dan tempat meletak kenderaan dapat diatasi dengan baik. Saya memarkir kereta di bahagian bawah bangunan yang bersebelahan dengan masjid. Saya tidak pasti bangunan apa. Asalnya, saya berniat hendak memarkir kereta dihadapan rumah adinda saya yang letaknya tidak jauhnya dari masjid tetapi adinda saya terlebih dahulu menghubungi saya dan memaklumkan bahawa kawasan rumahnya telah penuh dengan kenderaan jemaah.
Sebelum maghrib, kalau tak silap saya ada dua orang tokoh telah memberikan sedikit tazkirah kepada jemaah yang hadir. Dua tokoh tersebut ialah Habib Hassan dari Singapura dan Habib Soleh al-Jufri dari Indonesia. Sebaik azan maghrib selesai dilaungkan, dewan solat utama masjid tiba-tiba sahaja black-out. Rupanya black-out tersebut adalah disebabkan oleh alat perakam video yang dicucuk oleh jemaah pada salah satu soket yang ada didalam masjid. Mungkin disebabkan terlalu banyak alat perakam video dicucuk pada soket maka beban elektrik tidak dapat tertampung lalu mencetuskan ‘trip’ pada ketika itu. Mujurlah masalah itu dapat diatasi beberapa minit selepas itu. Sebaik lampu kembali pulih, kedengaran pengumuman dari jawatankuasa pengelola memaklumkan tentang ketibaan Habib. Langsung Habib diminta menjadi imam solat maghrib pada hari itu. Selesai solat maghrib, majlis disambung dengan bacaan maulid Dhiaul Lami’ yang disusun sendiri oleh Habib Umar. Telah lama saya menunggu saat ini. Hati mula bergetar-getar bila intro maulid bermula. Bacaan maulid ini sangat istimewa bagi saya kerana ia menimbulkan getaran didalam diri saya yang saya sendiri tidak dapat mengungkapkannya dengan kata-kata setiap kali apabila saya membacanya terutamanya apabila sampai pada part mahallul qiyam. Satu perasaan yang sangat indah apatah lagi apabila dibaca dalam majlis yang sebegini besar. Selesai maulid, majlis disambung dengan tazkirah oleh Syeikh Abdul Karim yang berasal dari Australia dan Syeikh Abdul Fattah. Selepas itu barulah Habib Umar naik kepentas utama bersama-sama dengan Habib Ali Zainal Abidin al-Hamid selaku penterjemah malam itu. Inilah acara yang ditunggu-tunggu. Ribuan jemaah seperti sudah tidak sabar lagi hendak mendengar mutiara kata yang keluar dari mulut habib. Dalam tazkirah yang disampaikannya, habib menekankan tentang anjuran mengasihi dan mencontohi ahlul bait dan para sahabat. Hampir sejam habib berbicara tentangnya dan sebelum mengakhirinya, habib membaca doa munajat seperti lazimnya. Inilah kemuncak majlis pada malam itu. Saat Habib memulakan doa munajat, air mata dan esak tangis dengan mudahnya keluar tanpa tertahan-tahan lagi oleh kebanyakan para jemaah. Begitu terkesan sekali para jemaah apabila mendengar habib berdoa. Majlis berakhir sekitar jam 10.30 malam. Saya menganggarkan hampir 10,000 orang hadir pada malam itu. Rasanya bilangan hadirin kali ini lebih ramai dari bilangan yang hadir di masjid yang sama pada tahun 2008. Pada wajah setiap jemaah, terpancar kepuasan yang amat sangat setelah dapat duduk bersama-sama dalam majlis yang penuh barokah itu. Apapun para jemaah tidak dibenarkan bersalaman dengan habib diakhir sesi untuk memberi ruang kepada habib berehat memandangkan jadual habib sangat padat. Selesai majlis, kami bergerak menuju ke sebuah restoran di Puchong Perdana. Isteri saya berhajat nak makan roti nan. Melihat roti nan yang dipesan isteri saya, terliur pulak saya. Apa lagi, order satu roti nan beserta dengan kuah kambing.




Jemaah memberi perhatian kepada tazkirah yang disampaikan oleh tokoh sebelum solat maghrib

Rasanya sekitar 10,000 orang hadir pada petang itu

Syeikkh Abdul Fattah sedang memberi tazkirah kepada jemaah. Menyusul selepas Syeikh Abdul Fattah ialah Habib Umar bin Hafiz

Majlis selesai sekitar jam 10.30 malam

Booklet yang berisi qasidah, wirid, hizb dan maulid. Booklet ini diedarkan kepada jemaah yang hadir pada hari itu

Tuesday, January 12, 2010

Syamail Muhammadiyah


Malam Sabtu yang lepas, saya ke Masjid Darul Ehsan, Taman TAR bersama-sama dengan seorang tenaga pengajar MAPTAM iaitu Ustaz Sukri untuk menghadiri kuliah Syeikh Fuad. Kami sampai agak lewat kerana disebelah petangnya kami terpaksa menyelesaikan urusan madrasah terlebih dahulu. Selesai solat maghrib di sebuah masjid di Pulau Meranti, kami bergerak menuju ke Taman TAR dengan menggunakan laluan Maju Expressway. Agar cepat sampai, saya ambil pula laluan DUKE. Hujan lebat sepanjang perjalanan. Kami sampai di Taman TAR lebih kurang jam 8.10 malam. Syeikh mensyarahkan dua kitab pada malam itu iaitu Tafsir Surah Yaasiin dan Syamail Muhammadiyah. Majlis berakhir lebih kurang jam 10 malam. Selesai majlis, kami ke restoran berdekatan untuk mengalas perut.



Kitab Syamail Muhammadiyah yang disyarah oleh Syeikh selepas solat Isyak. Kitab ini asalnya ditulis oleh al-Hafiz Muhammad ibn Isa ibn Saurah al-Tirmizi kemudiannya diringkaskan oleh Abdul Majid al-Syarnubi al-Azhari

Thursday, January 7, 2010

Al-Kisah

Saya ke Shah Alam bersama isteri saya tengah hari tadi. Tujuan ke sana atas urusan madrasah iaitu mengambil buku teks bagi sesi pengajian 2010. Lokasi setiap pembekal ini sebenarnya agak jauh antara satu sama lain. Sebagai contoh, di Shah Alam ada du a syarikatpembekal buku teks. Satu di Seksyen 27 dan satu lagi di Taman Teknologi Subang. Sebahagian pembekal lain pula bertaburan di serata tempat di sekitar Lembah Kelang misalnya di Batu Caves, Balakong, Cheras dan sebagainya. Kami ke Seksyen 27 terlebih dahulu untuk mengambil buku teks Jawi. Kami ke Taman Teknologi Subang lebih kurang pukul 2 petang setelah menikmati hidangan tengah hari di Seksyen 13. Kami menjamu selera di Agora. Menu yang dijamah ialah nasi ayam. Selepas makan, saya singgah sekejap di sebuah kedai buku milik rakan saya, Anwar yang hanya beberapa pintu sahaja dari Agora. Kedainya terletak di bawah Persidam, pusat pengajian ilmu-ilmu Islam yang dikendali oleh Ustaz Aleh. Anwar menguruskan kedainya secara sepenuh masa. Boleh tahan juga kedai sahabat saya ini. Banyak juga buku-buku yang sukar didapati ditempat lain ada dijual disini. Jika ada yang berhajat hendak memiliki koleksi al-Kisah keluaran terdahulu, maka bolehlah datang berkunjung ke kedai sahabat saya ini. Selain majalah al-Kisah dan beberapa buku terjemahan dari kitab-kitab jawi lama, saya turut membeli buku yang ditulis oleh Oman Faturrahman yang berhubung dengan Tarekat Syatariyah di Minangkabau. saya belum meneliti habis isi kandungan buku ini. Kalau tak silap saya isi kandungan buku ini adalah merupakan kajian PhD beliau.

Kedai buku milik sahabat saya, Anwar. Nama kedai ini ialah al-Sunnah