Monday, February 8, 2010

Penawar Hati

Sabtu lepas, saya ke Masjid al-Mukarramah di Bandar Sri Damansara untuk menghadiri majlis ilmu Syeikh Fahmi. Syeikh mensyarahkan kitab 40 Hadith Penawar Hati. Majlis bermula pukul 9 pagi dan berakhir sekitar jam 12.30 tengah hari. Syeikh turut mengijazahkan amalan doa memohon kebersihan hati kepada jemaah yang hadir pada hari itu.


Kitab yang disyarah oleh Syeikh Fahmi

Amalan doa yang diijazah oleh Syeikh

Gerai jualan Khazanah Fathaniyah termasuk skim wakaf kitab di perkarangan masjid

Himpunan Ayat-ayat Penjaga

Pada hari Ahad 31 Januari 2010 yang lepas, para ikhwan telah diijazahkan oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki amalan ayat-ayat penjaga. Kandungan ayat-ayat ini telah dibukukan didalam sebuah kitab bersaiz poket yang dinamakan sebagai Himpunan Ayat-ayat Penjaga. Syeikh menghimpunkan amalan ini yang disedut dari Kitab Duru' al-Wiqayah bi Ahzab al Himayah karangan gurunya yang dikasihi, al-Muhaddith Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki al Hasani ra. Kitab ini mengandungi tiga ayat iaitu ayat al Hifz (ayat penjaga), ayat al Hars (ayat pengawal) dan ayat al Syifa' (ayat penyembuh) dan satu lagi ayat yang disertakan bersama iaitu ayat al Kifayah (ayat pelindung). Dalam muqadimah kitab ini, syeikh menyebut bahawa amalan ini elok dijadikan amalan harian pada waktu pagi dan petang.



Kitab Himpunan Ayat-Ayat Penjaga

Ayat Kifayah yang disertakan bersama

Sambungan Ayat Kifayah

Catatan bebas pengajian

Saya ada membuat catatan dalam majlis ilmu dalam tempoh dua minggu ini. Untuk pengajian Hikam Abi Madyan, boleh rujuk di sini (31 Januari 2010) dan sini (7 Februari 2010). Sementara untuk Tafsir Surah Yaasiin, boleh rujuk di sini (31 Januari 2010) dan sini (6 Februari 2010).

Imtiyaaz

Baru-baru ini saya ke Pusat Dokumentasi DBP untuk memulangkan buku yang telah saya pinjam tempoh hari. Selepas itu saya ke Kedai Koperasi DBP. Terpandang satu jenama alat penapis. Namanya Imtiyaaz. Rupanya seperti yang ada kat bawah ini. Nampak gaya macam ada promosi menarik. Harga asal RM 1788 jadi RM 598. Boleh juga check di laman sesawang rasminya iaitu disini.











Sunday, January 31, 2010

Hikam Ibn Atoillah

Kitab Syarah Hikam yang disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad pada malam Jumaat yang lepas

Malam Jumaat lepas, saya menghadiri majlis ilmu Syeikh Fuad di al-Jazari. Syeikh mensyarahkan kitab Hikam Ibn Atoillah. Nama penuh pengarang kitab Hikam ini ialah Syeikh Abul Fadhl Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin Abdul Karim bin Abdur Rahman bin Abdullah bin Ahmad bin Isa bin al-Husain 'Atoillah al-Jizami ra. Beliau lahir di Kota Iskandariah, Mesir. Pada mulanya beliau hanya mendalami ilmu fiqh dan tidak begitu gemar dengan ahli-ahli tasawwuf dan tariqat sehinggalah beliau berjumpa dengan Syeikh Abul Abbas al-Mursi, syeikh tarikat asy-Syadzaliyyah, yang merupakan murid dan khalifah Syeikh Abul Hasan 'Ali asy-Syadzali. Akhirnya beliau menjadi murid kepada Syeikh Abul Abbas al-Mursi dan menjadi khalifahnya setelah kewafatan gurunya tersebut. Beliau wafat pada 16 Jamadil Akhir 709H ketika masih mengabdikan dirinya mengajar di Madrasah al-Manshuriyyah. Jenazahnya disemadikan di Qarafah dan sehingga ke hari ini, maqamnya sentiasa menjadi tumpuan ziarah orang yang ingin menuruti sunnah Junjungan s.a.w. dan mencari keredhaan Ilahi.

Maqam Ibn Atoillah as-Sakandari yang tidak putus-putus dikunjungi orang (gambar dipetik dari sini)


As-Salam

Masjid as-Salam Puchong Perdana

Jumaat lepas, saya menunaikan solat Jumaat di Masjid as-Salam, satu-satunya masjid terapung di kawasan Puchong. Letaknya masjid ini ialah di Puchong Perdana. Di perkarangan masjid, kelihatan seperti ada karnival jualan. Usai solat, saya meninjau gerai jualan. Kebanyakannya adalah gerai menjual ubat tradisional. Dah lama saya tak melihat gelagat orang menjual ubat. Ada satu gerai menjual dengan aksi yang agak menarik. Si penjualnya menggunakan teknik silap mata. Dari 'kotak silap matanya', dia mengeluarkan ular, labah-labah dan arnab. Saya hanya sempat melihat dia 'keluarkan' ular dan labah-labah. Selepas itu, dia banyak berceloteh sambil menjual ubatnya. Tak sempat saya lihat dia keluarkan arnab. Oh lupa pula, ular dan labah-labah tersebut bukan ular dan labah-labah 'betul' sebaliknya mainan sahaja. Gerai lain ada yang jual minyak belacak, minyak angin dan sebagainya. Ada satu gerai menjual barangan lama dan mistik termasuk cincin dengan pelbagai jenis batu. Lain-lain gerai jualan adalah gerai makanan dan minuman. Laman blog masjid ini boleh dilawati disini.

Tuesday, January 26, 2010

Sa-petang di Putrajaya


Petang Ahad, saya bersama keluarga ke Putrajaya. Isteri saya minta saya tunjukkan jalan ke sebuah hotel di Putrajaya sebab esoknya isteri saya ada diseminar di hotel tersebut. Sampai di Putrajaya, kami langsung ke perkarangan Masjid Putrajaya. Berhenti seketika disitu. Elok-elok berhenti je, anak-anak saya dah tak sabar-sabar nak keluar dari kereta apatah lagi bila melihat ramai anak-anak kecil sebaya mereka bermain di sekitar dataran depan masjid itu. Agak ramai juga pengunjung pada hari itu samada pengunjung tempatan mahupun pengunjung asing. Kami tidak lama disitu. Apabila terasa beberapa titik hujan mula singgah diatas kepala, kami segera berangkat pulang.



Menara dan kubah masjid Putrajaya kelihatan dari dataran

Sebuah kompleks kerajaan kelihatan dari dataran

Jalan dari dataran menghala ke Presint 2. Kenderaan berbaris di kiri kanan jalan. Pengunjung bersiar-siar dan menikmati pemandangan tasik di kiri dan kanan jalan


Awan semakin berat



Masjid Putrajaya atau lebih dikenali dengan nama Masjid Putra dibina pada Jun 1997