Monday, December 13, 2010

Menaiki beca bahagian 2

Kami tak masuk pun dalam bangunan Stadthuys. Anak perempuan saya lebih berminat dengan cenderamata yang dijual di bahagian bawah, berhampiran tangga Bangunan Stadthuys. Kami kemudiannya dicadangkan melawat muzium maritim. Kata penarik beca, "Kalau abang pergi situ, abang boleh melawat tiga muzium sekaligus". Kami bersetuju dan terus ke sana. Kami perlu membeli tiket sebelum dibenarkan masuk. Harganya RM 2 untuk dewasa dan RM 1 untuk kanak-kanak. Kami masuk ke salah satu muzium yang bentuknya seperti sebuah kapal perang lama. Di situ sahaja, kami menghabiskan masa selama setengah jam. Apa pun kami hanya melawat satu muzium sahaja. Dua lagi kami tak pergi.


Salah satu muzium maritim yang menggunakan replika kapal perang lama


Cenderahati yang dijual di pintu masuk (kapal)



Diorama Panglima Awang





Penerangan tentang Panglima Awang


Matawang Empayar Melaka


Senjata lama angkatan perang Portugis



Replika bahtera


Peti besi Belanda


Perkakasan yang ada kaitan dengan maritim


Pemandangan di bahagian anjung kapal


Replika sauh kapal

Menaiki beca bahagian 1

Urusan kami di Melaka kalau ikut jadual telah selesai di sebelah malamnya. Maka di sebelah siang esok harinya, kami bercadang untuk melihat-lihat pemandangan di sekitar bandar Melaka. Isteri saya awal-awal lagi dah berpesan, "Esok pagi kita naik beca, pusing bandar Melaka". Esok paginya, selepas sarapan, kami pun bergerak keluar ke Bandar Melaka. saya meletakkan kereta berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Bandar Hilir. Dari situ kami berjalan menuju ke kota A Famosa. Di situ ramai penarik beca sedang berhimpun. "Abang nak pusing bandar atau nak singgah tengok muzium?", tanya penarik beca kepada saya. Saya pun tak berapa pasti. Cuma dalam kepala saya, bagus juga kalau pergi tengok muzium. "Macam mana kira?" tanya saya. "Kalau pusing bandar, bayarannya RM 20 untuk satu beca, kalau berhenti-henti tengok muzium, bayarannya ikut jam. Satu jam RM 40 untuk satu beca", terang penarik beca. Saya pun tanpa fikir panjang, terus ambil yang tengok muzium. Tak terfikir pula saya bahawa jarak antara satu muzium dengan muzium yang lain tidaklah terlalu jauh. Lagi satu, pilihan yang saya ambil itu mengikut masa. Jika kami melawat satu muzium dalam tempoh 1/2 jam maka masa yang kami ada hanya tinggal 1/2 jam sahaja lagi. Rugi sebenarnya ambil pilihan yang itu. Sepatutnya ambil pilihan untuk pusing bandar.



Antara beca yang terdapat di bandar Melaka


Sekolah Kebangsaan Bandar Hilir


Bangunan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan - tidak jauh dari kota A Famosa


Kota A Famosa yang terkenal itu, di hadapannya ramai penarik beca sedang berhimpun menanti pelancong


Bangunan Stadthuys yang kini menjadi muzium sejarah Melaka. Kata si penarik beca, "Ada 29 buah muzium di sekitar kawasan ini"


Bangunan Stadthuys diiktiraf sebagai warisan kebangsaan

Sampai di Melaka

Kami sampai di bandar Melaka lebih kurang jam 6 petang. Dalam perjalanan menuju ke tempat menginap, isteri saya terlihat bangunan CIMB seperti dalam gambar di bawah ini, langsung dirakamnya gambar ini. Nampaknya sebuah bangunan lama yang sangat cantik telah diubahsuai menjadi cawangan bank CIMB. Semakin masuk ke dalam kawasan bandar, jalan semakin mengecil dan kereta semakin sesak.


Cawangan bank CIMB di Bandar Melaka

Ampangan Bahagian 2

Dari Plaza Ampangan, tergerak pula hati saya untuk menziarahi makam Syeikh Said al-Linggi. Kebetulan pula saya baru-baru ini banyak menghimpunkan maklumat tentang tokoh-tokoh ulama khususnya Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Petai, maka salah seorang rakan seangkatannya ialah anakanda kepada Syeikh Said al-Linggi iaitu Syeikh Ahmad bin Said. Untuk sampai ke makam ini, tidaklah begitu sukar kerana terdapat papan tanda dan penunjuk arah. Letaknya kawasan makam ini ialah di atas bukit.


Papan tanda dan penunjuk arah ke makam




Kompleks makam Syeikh Said al-Linggi







Ampangan Bahagian 1

Beberapa minggu lepas saya bersama keluarga ke Melaka. Kami bertolak dari rumah lebih kurang jam 3.00 petang. Dalam perjalanan ke Melaka, kami mengambil susur keluar ke Seremban. Ini adalah kerana saya berhajat hendak singgah di Plaza Ampangan. Apabila masuk waktu Asar, kami singgah solat di surau yang berhampiran. Apapun, pintu utama surau berkunci. Kami solat di bahagian anjung surau. Kata beberapa orang kanak-kanak yang turut solat bersama kami, surau itu hanya digunakan pada waktu maghrib. Lazimnya, penduduk di situ akan solat berjemaah di surau yang satu lagi atau mungkin juga di masjid yang berdekatan.



Beberapa ela dari surau ini ialah kompleks Balai Undang Luak Sungei Ujong


Surau tempat kami menunaikan solat asar

Tuesday, November 30, 2010

AIKOL

Isnin pertama selepas cuti Aidil Adha, saya menziarahi Dato Hj Md Saleh di biliknya di Jabatan Undang-Undang Islam di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim atau ringkasnya AIKOL di UIA. Hasil pertemuan dengan Dato' yang berlangsung lebih kurang sejam lebih, dapatlah saya menambah beberapa maklumat seperti yang telah diberikan oleh adindanya sebelum ini iaitu Ustaz Zakaria berkenaan dengan riwayat hidup ayahanda mereka iaitu Tuan Guru Haji Ahmad. Dari cerita Dato' barulah saya tahu bahawa Tuan Guru Haji Ahmad bersahabat baik dengan Tuan Guru Haji Ahmad Badawi dan Tuan Guru Haji Ahmad al-Fusani (Patani). Di akhir pertemuan, Dato' menghadiahkan buku tulisannya kepada saya.


AIKOL


Jabatan Undang-Undang Islam, AIKOL


Buku yang dihadiahkan kepada saya. Buku ini asalnya ditulis oleh Prof Dr Abdul Karim Zaidan, kemudiannya diterjemahkan oleh Dato' Haji Md. Saleh Haji Ahmad. Buku ini pernah diterbitkan sekitar tahun 1990-an tetapi ianya dikeluarkan dalam tiga jilid (kalau tak silap saya). Buku yang terbaru ini menghimpunkan ketiga-tiga jilid tersebut.

Trong

Keesokan harinya, saya menziarahi Ustaz Yusuf bin Din, setelah mendapat tahu bahawa beliau adalah salah seorang anak murid Tuan Guru Haji Ahmad, Kampung Sungai Petai. Ayahanda saya tidak ikut serta kerana ada urusan lain. Untuk mengetahui lokasi rumah Ustaz Yusuf, saya menghubungi Pakcik Hashifuddin. Beliau adalah ayahanda kepada sahabat saya, Sarizein. Saya menghubunginya kerana beliau mengenali ramai ustaz di sekitar bandar Taiping. "Rumahnya tak jauh dari Sekolah Agama Batu 8, Trong sebelum simpang masuk ke Changkat Ibol", kata Pakcik Hashifuddin ketika saya menghubunginya. Setelah boleh mengagak lokasi tersebut, saya bergegas ke sana. Ketika sampai di tempat yang dikatakan, saya pun memberhentikan kereta dan melihat dari luar mana satu rumahnya kerana terdapat beberapa rumah di kawasan itu. Saya bertanyakan kepada seorang penduduk tempatan yang kebetulan berada di situ. "Ustaz Yusuf yang berumur tu ke? Rumahnya masuk dalam sikit", kata wanita separuh usia kepada saya. Saya pun masuk ke satu lorong dan pergi ke sebuah rumah. Hati saya kuat mengatakan bahawa ini rumah Ustaz Yusuf. Saya memberi salam, tidak berjawab. Saya ke belakang rumah dan memberi salam. Ada seorang lelaki separuh umur sedang sibuk membasuh periuk. Dia membalas salam saya. "Ustaz Yusuf ke ni?", tanya saya. "Ya", jawabnya. Lalu kami pun berbual mesra seperti telah lama mengenali antara satu sama lain. Dari Ustaz Yusuf, saya mengenali beberapa lagi nama tokoh ulama, antaranya seperti Tuan Guru Haji Mahmud, Kampung Cheh dan Lebai Taib, Air Kuning yang dikatakan pernah menadah kitab kepada Tok Kenali, tokoh ulama terkemuka satu masa dahulu. Perbualan memakan masa lebih dua jam. Sebelum pulang, Ustaz Yusuf menghadiahkan saya sebuah kitab lama dan meminjamkan sebuah lagi kitab lama untuk rujukan. Terima kasih Ustaz.



Masjid al-Wusta, Batu 8, Trong tidak jauh dari rumah Ustaz Yusuf


Simpang masuk ke rumah Ustaz Yusuf