Sunday, November 24, 2013

Pondok Wakaf Kompleks Makam Bukit Beruang

Pondok wakaf yang berdekatan dengan Kompleks Makam Bukit Beruang 1 dan 2 ada memaparkan beberapa info yang berguna tentang Kapitan Melayu Melaka. Salinan wasiat Datuk Shamsudin turut dipapar di situ.
 
Kisah Kapitan Melayu Melaka ada dimuatkan dalam Berita Harian edisi Sentral
 
 Sesi Sembang Sejarah "Kapitan Melayu Melaka" pernah diadakan di Wisma Sejarah beberapa tahun lalu namun saya tidak berkesempatan menghadirkan diri

Surat wasiat Datuk Shamsudin bin Datuk Aroom
 
 Pelan lakaran pembinaan pondok wakaf
 Frame Khutbah Rasulullah saw diletak bersebelah dengan wasiat Datuk Shamsudin


Peta Melaka sekitar tahun 1963
Nama syarikat pelukis peta

Bukit Beruang 2

Kira-kira 100 meter dari Kompleks 1, ada susur jalan batuan menuju ke pondok wakaf yang agak terjaga sekitarnya. Tidak jauh dari pondok itu, ada satu lagi kompleks makam yang dikenali dengan nama Kompleks Makam Bukit Beruang 2. Menurut buku Batu Aceh Johor dalam Perbandingan, terdapat empat pasang nisan Aceh dalam kompleks tersebut. Jenis nisan yang terdapat di kompleks tersebut ialah P, M dan H1. Yang paling menonjol ialah P. Terdapat sekurang-kurangnya 4 pasang makam jenis P. Tiga di Johor, satu di Melaka. Yang di Melaka iaitu di Bukit Beruang dikatakan adalah yang paling cantik. Nisan makam itulah yang menghiasi kulit depan buku Batu Aceh Johor dalam Perbandingan. Nisan P di Kompleks 2 bukan sahaja sangat cantik tetapi paling tinggi. Ketinggiannya adalah sekitar 152 cm. Makam ini dipercayai makam Datuk Shamsudin bin Datuk Aroom, Kapitan Melayu Melaka yang sangat berpengaruh selepas ayahandanya, Datuk Aroom.
 

Laluan ke pondok wakaf
 

 Sebelah kanan pondok wakaf kelihatan Kompleks 2


Nisan Aceh yang paling menyerlah
Penerangan maqam dan amaran dari PERZIM agar tidak melakukan kegiatan yang bercanggah di sisi agama

Penerangan tentang Makam Datuk Shamsudin bin Datuk Aroom

Nisan Aceh jenis H1

 
Sepasang nisan jenis P




Turut kelihatan ialah nisan jenis M

Bukit Beruang 1

Ketika kami sampai di Kompleks Makam 1, ada dua orang lelaki berketurunan Bangladesh menyapa kami. Seorang darinya sedang bersiap-siap hendak memotong rumput di kawasan makam itu. Selain makam nisan Aceh, makam nisan biasa dengan saiz yang agak besar juga boleh didapati disitu. Bentuk nisannya adalah mirip seperti nisan-nisan yang terdapat di masjid-masjid lama dalam bandar Melaka seperti Masjid Kampung Kling dan Masjid Kampung Hulu. Di luar kawasan Kompleks 1, ada satu kepuk yang mengandungi nisan-nisan yang tidak menggunakan batu Aceh. Menurut buku Batu Aceh Johor dalam Perbandingan, terdapat sekurang-kurangnya 17 pasang nisan Aceh di Kompleks 1. Nisan-nisan yang terdapat di sini ialah nisan jenis H1, H2 E2, M, N dan J atau K. Dalam buku Batu Aceh Johor dalam Perbandingan, ada disebut bahawa terdapat nisan Aceh yang telah dipindahkan ke tempat lain disebabkan ada tempat makam yang telah dipasang dengan batu nisan yang berbeza (rujuk halaman 38). Menurut buku itu lagi, makam ini terletak dalam Taman Kerjasama Bukit Beruang. Nama asal kompleks makam ini ialah Kompleks Makam Datuk Aroom. Datuk Aroom dipercayai tokoh Melayu yang sangat berpengaruh di Melaka sekitar abad ke-17 dan 18 M. Beliau memegang jawatan Kapitan Melayu Melaka. Dikatakan beliau adalah salah seorang tokoh terpenting yang terlibat dalam usaha dan perang menjatuhkan kerajaan Portugis di Melaka. Selain makam Datuk Aroom, kawasan ini turut menempatkan beberapa makam lain yang dipercayai tokoh-tokoh penting yang mempunyai pertalian dengan Datuk Aroom.


Papan tanda makam di Kompleks 1. Pintu utama berkunci. Untuk masuk, kena ikut jalan belakang dan masuk melalui pintu satu lagi yang setentang dengan pintu utama
Tertulis pada papan tanda satu lagi "Tapak Sejarah Nisan Acheh"


Kepuk nisan di luar Kompleks 1

Satu lagi kepuk nisan berdekatan dengan pagar Kompleks 1
 
Makam jenis H1 dan H2
Makam jenis H1 dan H2

Makam jenis N

Penerangan kawasan makam

 
Makam jenis E2


Makam yang tidak menggunakan nisan Aceh
Sisi lain makam jenis E2


 
 
Makam ini agak sedikit menonjol di Kompleks 1

Sisi lain makam


Papan penerangan makam di kawasan makam yang menggunakan kepuk batu
 

Sungai Putat

Semalam (Sabtu) 23 November 2013, saya ke Melaka bersama-sama dengan dua orang adik saya, Khairul Azri dan Muhammad Khairul Imran. Tujuan ke sana ialah untuk mengambil buku Maulid ad-Daiba'i di sebuah syarikat yang terletak di Sungai Putat, Melaka. Syarikat ini bukanlah sebuah syarikat percetakan namun ia ada mengeluarkan buku maulid untuk tujuan wakaf dan sumbangan. Saya mengambil buku ini untuk keperluan madrasah saya. Perancangan madrasah tahun depan (2014) ialah untuk menjadikan bacaan maulid ini sebagai bacaan tambahan kepada pelajar. Mudah-mudahan ia akan dapat memupuk rasa cinta yang lebih mendalam kepada Baginda saw di kalangan warga madrasah. Kami sampai di Ayer Keroh sekitar jam 8.30 pagi. Dari situ kami bergerak menghala ke Sungai Putat yang dikatakan satu hala ke Bukit Berendam. Sungai Putat letaknya bersempadan dengan Bukit Beruang. Beberapa tahun lalu, saya ada memiliki buku Batu Aceh Johor dalam Perbandingan terbitan Yayasan Warisan Johor. Buku ini dihadiah oleh ayahanda saya. Yang menarik tentang buku ini ialah gambar batu nisan Aceh yang menghiasi kulit depan buku ini. Dikatakan ia adalah batu nisan Aceh yang paling cantik di Malaysia. Batu nisan ini letaknya di Bukit Beruang. Menyedari akan Sungai Putat letaknya tidak jauh dari Bukit Beruang, saya pun mengajak adik-adik saya menziarahi makam-makam nisan Aceh di kawasan tersebut. Selesai urusan pengambilan buku, kami pun bergerak menuju ke Bukit Beruang. Malangnya saya lupa lokasi sebenar kawasan makam tersebut. Kami singgah di sebuah surau, kalau tak silap namanya Surau Qomar, letaknya dalam kawasan Taman Dahlia. Ada seorang lelaki separuh umur sedang asyik menyapu dan mengumpul daun-daun kering. Kami menyapa dan bertanya kepadanya tentang lokasi makam kalau-kalau ia tahu. "Oh, saya selalu pergi situ. Jumpa kawan saya", kata lelaki separuh umur agak ramah. "Dah tak jauh, masuk dalam kawasan taman. Makamnya dekat-dekat dengan kawasan hutan", sambungnya lagi. Kami pun masuk ikut Taman Bukit Melaka. Tidak ada penunjuk arah. Sehingga sampai ke satu simpang, kami ternampak penunjuk arah tapak sejarah nisan Acheh. Dari situ, kami bergerak perlahan-lahan sehingga sampai ke satu jalan yang agak hujung. Nama jalan itu ialah Jalan Perak. Disitulah letaknya beberapa makam yang menggunakan nisan Aceh yang berlainan jenis bentuknya. Kawasan makam itu diwarta oleh Jabatan Muzium sebagai Kompleks Makam Bukit Beruang 1 dan 2.
 
 
Kitab Maulid Daibai yang diambil di Sungai Putat
Buku Batu Aceh Johor yang dihadiah oleh ayahanda saya beberapa tahun lalu. Kulit bukunya memaparkan nisan Aceh yang paling cantik di Malaysia yang letaknya di Bukit Beruang Melaka
 
 
Penunjuk arah nisan Aceh di Taman Bukit Melaka
 Sebatang jalan menuju ke kawasan nisan Aceh
 
Ada papan tunjuk arah yang kecil. Tertulis "Makam Dato Aroom"
 
Jalan Perak - lokasi Kompleks Makam Bukit Beruang 1 dan 2. Betul-betul di pinggir kawasan taman perumahan

Sunday, November 17, 2013

Salawat al-Fatih

Inilah salawat yang diijazah oleh Sayyidi Shaykh Ahmad al-Hadi al-Hasani di Surau Sakinah pada 12 Muharram 1435 H bersamaan 16 November 2013 selepas solat Isyak
 

Ertinya;

Ya Allah curahkanlah rahmat atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW yang dapat membuka sesuatu yang terkunci, penutup dari semua yang terdahulu, penolong kebenaran dengan jalan yang benar, dan petunjuk kepada jalan-Mu yang lurus. Semoga Allah mencurahkan rahmat kepada Baginda SAW, kepada keluarganya dan kepada semua sahabatnya dengan sebenar-benar kekuasaan-Nya yang Maha Agung.

Hijrah dan Sakinah

Semalam, 12 Muharram 1435 H bersamaan 16 November 2013, Surau as-Sakinah, Taman Putra Perdana dibanjiri oleh jemaah yang ingin mendengar tausyiah yang disampaikan oleh Sayyidi Shaykh Ahmad al-Hadi al-Hasani, ulama besar yang berasal dari Maghribi yang pernah menimba ilmu kepada ulama tersohor di negara tersebut iaitu Al-Habib Maula Sayyidi Thuhami al-Idrisi al-Hasani (berusia 130 tahun pada ketika itu). Tema tausyiah pada malam itu berkisar tentang Ma'al Hijrah. Namun kupasan Sayyidi Shaykh sangat menarik kerana ia menyentuh tentang kisah-kisah binatang yang telah berkhidmat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw dalam peristiwa Hijrah. Walaupun kisah-kisah binatang ini selalu disampaikan dalam ceramah Ma'al Hijrah namun cara penyampaian Sayyidi Shaykh agak berbeza, agak halus dan berjaya merungkai beberapa persoalan yang tidak pernah terfikir sebelum ini (saya le yang tak pernah terfikir hendak mencari maklumat tentangnya). Kata Sayyidi Shaykh, kisah-kisah tersebut bukanlah kisah-kisah yang tidak mempunyai sandaran tetapi telah dicatat oleh ulama-ulama muktabar khususnya dalam mazhab Syafi'i seperti Imam Qastallani yang mensyarah kitab Shamail Tirmizi karya Imam Tirmizi, Imam Nawawi, Imam al-Haithami dan ramai lagi. Antara kisah yang disampaikan ialah saat Abu Bakar dipatuk ular dalam gua ketika bersama Baginda saw dalam peristiwa Hijrah. Kata Sayyidi Shaykh, tahukah anda mengapa ular tersebut mematuk Abu Bakar? Jemaah diam. Saya pula tidak sabar hendak mengetahui jawapannya. Kata Sayyidi Shaykh, ular itu telah tinggal di dalam gua tersebut selama 70 tahun dan ternanti-nanti kedatangan Baginda saw. Ular tersebut rindu hendak melihat wajah Baginda saw yang mulia. Namun tatkala Baginda saw berada di dalam gua, pandangannya terjejas disebabkan dihadang oleh Abu Bakar. Ini menyebabkan ia berang lalu mencederakan Abu Bakar. Dalam gua itu pula, ada labah-labah dan burung merpati. Labah-labah dengan serta-merta membina sarang yang besar manakala burung merpati itu pula bertelur. Kaum kafir Quraisy akhirnya sampai ke pintu gua berdasarkan pengamatan jejak yang dilakukan oleh ahli jejak kafir Quraisy. Kata Sayyidi Shaykh, ahli jejak kafir Quraisy mempunyai kebolehan yang sangat luar biasa. Mereka mampu mengenalpasti jantina seseorang hanya dengan berdasarkan pengamatan ke atas jejak. Kaum kafir Quraisy diketuai oleh Abu Jahal ketika sampai di gua. Abu Jahal menolak pandangan ahli jejak kaumnya sendiri sebaliknya berpegang kepada akalnya yang terhad itu yang menyatakan mana mungkin Baginda saw dan Abu Bakar berada dalam gua sedangkan sarang labah-labah yang terdapat di pintu gua itu sangat besar yang mungkin berusia puluhan tahun manakala ada pula burung merpati dalam gua seolah-olah tempat itu tidak pernah ada kehidupan manusia sebelum ini. Sebab itu kata Sayyidi Shaykh, jangan suka terpengaruh dengan akal yang akhirnya mungkin boleh menyebabkan kebinasaan. Berbalik kepada cerita labah-labah dan burung merpati, menurut Sayyidi Shaykh, peristiwa Hijrah telah mengangkat darjat labah-labah. Baginda saw mengiktiraf labah-labah yang telah berkhidmat kepadanya namun Baginda saw berpesan kepada umatnya agar sentiasa membersihkan rumah agar tidak terdapat sarang labah-labah kerana ia mewarisi kefakiran. Manakala darjat burung merpati juga diangkat berikutan peristiwa tersebut. Burung merpati itulah yang menurunkan zuriat yang tinggal di sekeliling Kaabah hingga ke hari ini. Dalam peristiwa yang lain, Sayyidi Shaykh ada menceritakan tentang kisah kaldai yang mengadu nasibnya kepada Baginda saw. Kata kaldai itu, moyangnya pernah berkhidmat kepada Nabi Musa as. Begitu juga dengan 70 moyang-moyangnya yang lain yang masing-masing berkhidmat kepada Nabi-Nabi di zamannya. Adapun ia telah ditaqdirkan untuk berkhidmat kepada Baginda saw. Atas sebab itu, sebelum ia berjumpa Baginda saw, ia telah didera oleh seorang Yahudi kerana ia tidak mahu berkhidmat kepadanya. Yahudi itu mahu menunggangnya tetapi ia enggan menyebabkan Yahudi itu marah kepadanya. Disebabkan kasihnya yang terlalu mendalam kepada Baginda saw, kaldai tersebut apabila mendengar berita kewafatan Baginda saw akhirnya tidak dapat mengawal dirinya lalu terjatuh ke dalam telaga milik Sahabat Ansar.  Kata Sayyidi Shaykh, jika binatang amat kasih kepada Baginda saw maka kita selaku umatnya hendaklah lebih lagi mengasihi Baginda saw. Anehnya, ada pula golongan-golongan yang tergamak menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Ada yang berani mengandaikan ibubapa Baginda saw begitu dan begini tanpa berasa bimbang ia akan menyakiti hati Baginda saw. Tidakkah mereka tahu bahawa barangsiapa yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya maka adalah laknat ke atas mereka? Telah tercatat dalam kitab-kitab yang ditulis oleh ulama-ulama Melayu bahawa barangsiapa yang menyakiti ibubapa Baginda saw maka adalah laknat ke atas mereka. Siapa dan layakkah kita hendak menolak pandangan ulama-ulama ini sedangkan mereka sendiri adalah ulama besar di Makkah malah ada di kalangan mereka yang menjadi mufti. Kata Sayyidi Shaykh, ulama-ulama besarMelayu seperti Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani, Shaykh Daud Fathani adalah antara sebahagian ulama yang membahaskan perkara ini dalam kitab mereka.
 
*Nota - sebarang kesalahan dalam catatan ini adalah kelemahan saya sendiri dalam mengingati baris-baris tausyiah yang disampaikan oleh Sayyidi Shaykh. Mohon kemaafan
 
Sayyidi Shaykh berkenan mengijazah Salawat al-Fatih kepada Jemaah di akhir majlis

Wednesday, November 6, 2013

1435 H

1 Muharram 1435 H (bersamaan dengan 5 November 2013), sambutan Maal Hijrah di Masjid Darul Ehsan Taman TAR dipimpin oleh al Musnid Dato Shaykh Muhammad Fuad bin Kamaludin dengan dihadiri oleh tetamu kehormat yang merupakan ulama besar dari Maghribi, Al Allamah Al Muhaddith Shaykh Dr Abdul Mun'im ibn Abdul Aziz al Siddiq al Ghumari al Hasani. Selain beberapa ijazah kitab, tetamu kehormat iaitu Shaykh Dr Abdul Mun'im ada menyampaikan tausyiah yang menyentuh tentang Maal Hijrah. Antara yang dapat diingati ialah tentang Bab Niat dalam kitab Sahih Bukhari. Niat berkait rapat dengan Hijrah. Dan penuntut ilmu berkait rapat tentang kedua-duanya. Niat perlu diluruskan. Menuntut ilmu pula memerlukan pengorbanan. Antaranya ialah perlu berhijrah dari satu tempat ke satu tempat dalam usaha menimba ilmu. 
 
 

Masjid Darul Ehsan
 

Saya tertarik dengan kayu yang dijual di luar perkarangan masjid. Langsung saya membelinya. Kata si penjual, kayu ini sesuai dijadikan tongkat. Kata si penjual lagi, kayu ini asalnya dari Sarawak.