Tuesday, August 4, 2009

Kemensah, Kitab Kelebihan Malam Nisfu Sya'aban



Petang Rabu, saya ke Surau Kemensah di Hulu Klang untuk mengikuti majlis pengajian Syeikh Fuad. Majlis bermula selepas solat maghrib dan selesai lebih kurang jam 9.45 malam. Syeikh mengkhatamkan kitab Kelebihan Malam Nisfu Sya'ban kerana esoknya adalah Malam Nisfu Sya'aban. Sambutan Malam Nisfu Sya'aban akan diadakan di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang. Program sambutan ialah bacaan Yasin, Solat Sunat Tasbih dan pengijazahan kitab Pancaran Nur dan Doa Ahli Akhyar. Majlis bermula selepas solat maghrib.

Monday, August 3, 2009

Ahad, Sairus Salikin



Masjid al-Falah USJ

Hari Ahad, saya ke majlis ilmu Syeikh Fahmi. Syeikh mensyarah kitab Sairus Salikin. Masih lagi dalam Jilid 1. Berkenaan syarahan Syeikh, saya ada membuat sedikit catatan bebas yang boleh dicapai disini. Kuliah Syeikh akan bersambung pada 15 Ogos 2009. Kalau tak silap saya, Syeikh akan mensyarah bab Rahsia Puasa pada tarikh tersebut.

Sunday, August 2, 2009

Desa Vista, Generasi Salahuddin


Cuaca mendung pagi Sabtu. Saya berkira-kira hendak ke Desa Vista. Hari ini ada pengajian Syeikh Fahmi di Desa Vista. Dari Puchong, saya mengambil jalan susur lebuh raya Putrajaya-Cyberjaya dan mengambil jalan keluar menghala ke Bangi/Kajang. Saya mengambil jalan potong dengan melalui jalan menghala ke al-Jenderami. Sebenarnya, pada masa yang sama juga satu majlis besar-besaran sedang diadakan di Yayasan al-Jenderami. Majlis yang dimaksudkan ialah sambutan Hari Hol Saiyidatina Siti Khadijah. Di Shah Alam pula, muktamar ABIM yang melibatkan pembentangan kertas kerja sarjana-sarjana terkenal sedang berlangsung. Tetapi hati saya nampaknya lebih kuat ke Desa Vista. Tempat majlis ilmu Syeikh Fahmi ini berlangsung di surau yang baru dibina. Surau ini pun masih belum siap sepenuhnya. Surau ini terletak betul-betul diatas bukit. Dari surau, boleh nampak hampir keseluruhan kawasan taman dan hutan-hutan yang menghijau. Satu pemandangan yang sangat indah. Surau ini nampak gayanya masih belum diberi nama. Kata Syeikh Fahmi sewaktu hendak memulakan majlis, elok bagi nama surau ini cepat-cepat. Kuliah selesai lebih kurang jam 12.30 tengah hari. Syeikh Fahmi selepas itu terpaksa bergegas ke Shah Alam kerana membentangkan kertas kerja di Muktamar ABIM. Disebelah malamnya pula, saya menghadiri Pidato Perdana yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki di Masjid Negeri Shah Alam. Isteri dan anak-anak saya ikut sekali. Di masjid, saya berjumpa Ustaz Nasir (Kolej Dar al-Hikmah) dan sahabat sekuliah saya, Azlan yang turut hadir mengikuti Pidato Perdana yang bakal disampaikan oleh Syeikh Fuad. Lebih kurang pukul 10.00 malam barulah Syeikh Fuad memulakan syarahnya dengan temanya Generasi Salahuddin. Seperti biasa, syarahan Syeikh jelas, padat dan sangat bertenaga. Diakhir syarahnya, Syeikh bergurau, sepatutnya beliau diberi masa 5 jam untuk menyampaikan syarahan, barulah lengkap isi syarahannya. Lebih kurang pukul 11.00 malam majlis selesai. Dari segi sambutan terhadap majlis, walaupun yang hadir agak ramai tetapi sebenarnya masih banyak lagi ruang kosong dalam dewan utama. Sepatutnya persatuan pelajar samada di IPTA atau IPTS berhimpun disini memenuhi setiap ruang kosong kerana mesej yang hendak disampaikan oleh Syeikh adalah sangat besar dan berkaitan dengan generasi yang bakal menerajui kepimpinan negara. Mungkin mereka ada agaknya cuma saya tak perasan tapi melihatkan kepada ruang kosong yang agak banyak, saya mengandaikan ramai yang tidak hadir. Rugilah anak-anak muda jika mereka tidak hadir dalam majlis sebegini kerana banyak manfaat yang boleh dikutip di sini.




Pintu masuk Surau Baru Desa Vista. Dahulu, surau lamanya adalah bangunan rumah yang paling tepi. Saya pernah bersolat disitu.

Surau baru ini belum siap sepenuhnya. Masih beralas tikar plastik. Kelihatan Syeikh Fahmi sedang bersiap-siap hendak memulakan syarahan. Walaupun surau masih belum siap sepenuhnya, namun semangat hendak menuntut ilmu dan bergotong-royong menjayakan majlis ini jelas kelihatan disetiap wajah warga Desa Vista yang hadir pada hari itu. Seronok saya melihat suasana sebegini.


Syeikh Fahmi memulakan syarahnya

Inilah kitab yang disyarah oleh Syeikh Fahmi pada hari itu. Tajuknya ialah Kiamat Hampir Tiba


Syarahan Syeikh Fahmi bermula seawal jam 9 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengah hari. Ketika syarahan berlangsung, hujan turun renyai-renyai. Sejuk dan nyaman waktu itu.

Hadirin sedang menjamu selera makan tengah hari

Pemandangan surau dari sisi sebelah kanan

Pidato Perdana "Generasi Salahuddin" yang disampaikan oleh Syeikh Fuad di Masjid Negeri Shah Alam disebelah malam Ahad

Tarjuman al-Mustafid


Saya ke Bangi lebih kurang dalam pukul 12.30 tengah hari. Disebelah paginya, saya sibuk menguruskan pelajar KAFA dan tadika. Tujuan saya ke Bangi ialah untuk ke UKM. Hajat hendak berjumpa Ustaz Wan Nasyrudin (Dr.). Hajat yang dah lama tertangguh. Kali pertama saya nak jumpa tak jadi sebab ada urusan lain. Harap-harap kali ni jadi. Cuaca sangat panas. Setelah parker berdekatan dengan DECTAR (dewan besar UKM), saya pun berjalan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Khutbah bertenaga yang disampaikan oleh Ustaz Farhan menyegarkan saya bahkan mungkin keseluruhan jemaah yang lain. Selesai solat, saya ke kafetaria yang terletak bertentangan dengan kedai Penerbit UKM. Lebih kurang pukul 2.30 petang, saya bergerak menuju ke bilik Ustaz Wan di Fakulti Pengajian Islam. Fakulti ini bersebelahan dengan blok kafetaria, tempat saya makan tadi. Biliknya terletak separas dengan Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah. Saya ketuk pintu biliknya dan beri salam tetapi tidak berjawab. Rupanya Ustaz Wan berada dalam bilik rehat tidak jauh dari biliknya bersama rakan-rakan pensyarah yang lain. Ah, lega saya. Tercapai juga hajat hendak berjumpa beliau. Sebenarnya tujuan saya berjumpa dengannya ialah kerana hendak membeli buku yang ditulis olehnya yang berkenaan Tafsir Tarjuman al-Mustafid hasil karya ulama besar Aceh abad ke-17 iaitu Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fansuri. Saya menyampaikan hajat saya kepadanya. Saya memaklumkan kepada Ustaz Wan bahawa telah menjadi minat saya mengumpul apa sahaja dokumentasi yang berkaitan dengan ulama-ulama Alam Melayu termasuk Syeikh Abdur Rauf Ali al-Fansuri ini. Sebaik mendengar kata saya, langsung Ustaz mengambil tesis PhDnya lalu diberikan kepada saya. Tesisnya adalah tentang kajian teks Tarjuman al-Mustafid setebal 600 mukasurat lebih. Beliau menyiapkan tesis tersebut dalam tahun 2007 di Universiti Malaya. Saya membelek-belek tesis beliau. Sambil itu, beliau bercerita tentang tesisnya. Katanya, rumusan yang dibuat olehnya tidaklah banyak berbeza dari rumusan sarjana lain seperti Peter Riddell dan Salman Harun yang juga mengkaji teks tersebut. Cuma dari segi metodologi, Ustaz Wan telah melihat dan mengupas kesemua 30 juzuk yang ada dalam tafsir tersebut bukannya sebahagian atau satu-dua juzuk sahaja. Itulah salah satu sebab mengapa tesisnya melangkau sehingga 600 mukasurat. Jadi menurut Ustaz Wan, tafsir ini adalah merupakan terjemahan kepada tafsir Jalalain bukannya terjemahan kepad tafsir Baidhawi. Beliau berminat membuat kajian tentang tafsir ini kerana salah satu sebabnya ialah kitab ini telah dipelajarinya semenjak dari kecil lagi. Setelah itu, saya bertanya pula tentang buku yang ditulisnya itu. Kata Ustaz Wan, buku yang diterbit oleh fakulti itu hanya mengambil dua bab sahaja dari tesisnya yang tebal itu. Apabila melihat tesisnya yang tebal itu, minat saya beralih kepada tesisnya pula. Saya bertanya Ustaz Wan, takde plan ke nak terbitkan tesis ni. Jawab Ustaz Wan, memang ada dan masih dalam perbincangan. Tak sabar rasanya menantikan kemunculan buku lengkap Ustaz Wan ini. Selain tentang tesis, ada jugalah diselit tentang perkara-perkara lain seperti bab hadith, tokoh hadith dan sebagainya kerana Ustaz Wan juga ahli dalam bidang hadith. Sebelum pulang, saya membeli beberapa buku dari Ustaz Wan termasuklah buku Tarjuman al-Mustafid yang merupakan ringkasan dua bab dari tesisnya yang tebal itu.



Fakulti Pengajian Islam UKM. Kalau ikut pintu masuk utama, fakulti ini adalah yang paling depan

Buku ini dihadiah oleh Ustaz Dr. Wan kepada saya. Kata Ustaz Wan, Ustaz Asmadi sedang menyelesaikan tesis PhD tentang Maulana Zakaria al-Kandahlawi dibawah seliaan Prof Dr Fauzi Deraman di Universiti Malaya. Tak sabar rasanya nak tengok hasil kajian Ustaz Asmadi.

Asalnya buku inilah yang saya cari tetapi setelah melihat tesis Ustaz Wan, terus mengidam tesis tersebut. tak sabar nak melihat tesis tersebut dibukukan dengan lengkap.

Beberapa artikel tentang isu-isu masalah tafsir dan qiraat yang disunting oleh Ustaz Asmadi dan Ustaz Wan

Beberapa artikel tentang isu permasalahan hadith dan al-kutub al-Sittah yang disunting oleh Ustaz Asmadi dan Ustaz Wan.

Wednesday, July 29, 2009

Blog baru - Resensi buku

Alhamdulillah tercapai juga hajat saya untuk membina blog ini. Blog ini saya didedikasikan kepada ayahanda saya yang sangat saya muliakan, Ayahanda Tuan Haji Zainal Badri bin Ahmad Rafaai. Blog ini boleh dicapai di alamat berikut, http://ikantongkol09-buku.blogspot.com. Blog ini menghimpunkan usaha peribadi saya memperkenalkan buku-buku yang berada dalam koleksi saya samada yang baru dan lama. Mudah-mudahan usaha kecil ini dapat memberi manfaat kepada tetamu yang datang berkunjung ke laman blog ini. Insyallah.

Tuesday, July 28, 2009

Ahad yang Dingin, Pesta Buku Selangor 2009

Hujan lebat dari sebelah malam berlanjutan hingga ke pagi Ahad. sengaja saya letakkan timba di tepi longkang untuk melihat tinggi mana takungan air didalamnya. Ternyata, hujan malam tu memang lebat. Penuh satu baldi. Air hujan tu saya gunakan buat menyiram anak-anak pokok buah-buahan di laman rumah. Hujan adalah rahmat. Sebenarnya dah lama tak hujan. Pokok saya banyak yang dah layu sebab cuaca semenjak dua menjak ni panas sangat. Agaknya bulatan elips kita mengelilingi matahari dah makin mengecil kut dan matahari menjadi semakin dekat dengan kita, Wallahualam. Apapun lebih kurang pukul 9.00 pagi, saya bertolak ke al-Jazari. Disebabkan jalan agak lengang, saya sampai 1/2 jam kemudian. Sempatlah saya pergi membeli suratkhabar di kedai yang berdekatan dan baca dua tiga topik penting yang terpampang di dada akhbar hari itu. Syeikh memulakan syarahan lebih kurang jam 10 pagi. Syarahan ditamatkan agak awal kerana Syeikh ada urusan. Saya kemudiannya bergerak menuju ke kedai Pak Jawahir kerana menurutnya kedai buka pukul 11 pagi. Tapi bila saya sampai, kedai belum dibuka lalu saya ke Perpustakaan Negara Malaysia. Khabarnya ada jualan buku stail car boot sale. Jenuh saya mencari tempat parkir. Akhirnya saya mengalah apabila tiada tempat kosong dan saya terus pulang. Petangnya, saya bersama keluarga pergi ke Pesta Buku Selangor 2009 yang diadakan di Kompleks PKNS. Saya mengharapkan sesuatu di Pesta Buku ini maksudnya yang lebih baik dari Pesta Buku sebelumnya tetapi gagal. Pesta Buku kali ini tidak banyak bezanya dengan tahun lepas. Skala saiz Pesta Buku terlalu kecil bagi saya walaupun dinyatakan bahawa ia adalah sambutan peringkat negeri. Bagi saya, pesta buku seharusnya berskala besar. Selain daripada itu, harga buku yang dijual juga memainkan peranan. Seharusnya dalam pesta buku, harga buku yang ditawarkan mestilah jauh lebih rendah dari pasaran biasa. Bagi saya kalau setakat diskaun 5% atau 10%, itu bukanlah pesta buku namanya. Pengalaman saya bersembang dengan beberapa rakan yang pernah berkunjung ke Pesta Buku di Indonesia misalnya di Jogjakarta atau di Jakarta sangat jauh bezanya dengan Pesta Buku di tempat kita. Disana, lambakan buku dijual oleh pelbagai penerbit dengan harga yang ditawarkan berkali-kali ganda lebih murah dari harga pasaran biasa. Namun, ini hanyalah pandangan peribadi saya. Apapun dari pulang tangan kosong, saya beli dua buah buku. Satu buku yang ditulis oleh Tuan Guru Dato Haji Saleh bertajuk Risalah al-Ahkam. Memang dah lama saya nak beli buku ni tapi asyik tertunda saja. Dan satu lagi ialah buku biografi tentang almarhum Ustaz Niamat Yusoff. Rasanya buku ni agak rare juga kerana saya belum lagi terjumpa buku ini dipasaran buku biasa. Insyallah, kedua-dua buku akan saya perkenalkan diruangan blog resensi kemudian nanti. Saya sebenarnya tengah plan nak established satu lagi blog yang menghimpunkan buku-buku yang pernah saya baca/miliki/telaah/kaji yang saya rasa wajar dikongsi dengan pembaca lain.




Ruang pameran buku di ruang legar Kompleks PKNS (bahagian luar)

Pameran buku di bahagian dalam Kompleks PKNS. Rasanya tak sampai 50 penerbit mengambil bahagian dalam pesta ini

Kitab Risalah al-Ahkam karangan Tuan Guru Dato Haji Saleh. Harga asal RM 40

Buku biografi tentang almarhum al-Ustaz Niamat Yusoff dengan tajuknya Ulama Arkitek Kemanusiaan. Saya beli dengan harga RM 10. Dapat hadiah buku nota satu, pen dan sebuah buku antologi puisi.

Tuesday, July 21, 2009

Ahad, Sambutan Isra' dan Mikraj

Saya memang ternanti-nanti majlis ini. Sejak dari pagi lagi, saya asyik melihat jam, Allah, rasa lambat betul masa berjalan. Sebelum asar, saya bersiap-siap untuk ke Taman TAR. Dalam masa bersiap-siap tu, kepala saya terantuk kat tangga, berdenyut-denyut kepala. Kepala bengkak dan berdarah sikit. Agaknya dosa saya banyak sangat sampai terantuk kepala kat tangga. Ya Allah, ampunkanlah dosaku. Lepas isteri saya menyapu minyak angin kat kepala, saya pun bergerak ke Taman TAR. Sampai di Taman TAR lebih kurang pukul 5.50 ptg. Orang pun dah ramai. Petugas RELA dah mula mengawal lalu-lintas. Saya parkir kereta lebih kurang 200 meter dari masjid. Kereta-kereta pun dah mula penuh dikiri kanan bahu jalan. Sebaik masuk ke perkarangan masjid, saya melihat ramai jemaah di gerai jualan As-Sofa. Rupanya buku terbaru Syeikh Fuad yang bertajuk Siyadah sudah mula dijual. Saya pun terus beli buku tu. Selain buku Siyadah, saya juga turut membeli buku Kelebihan Malam Nisfu Syaaban dan Doa Malam Nisfu Syaaban memandangkan Nisfu Syaaban pun akan menjelang tiba tidak lama lagi. Selepas itu, saya ambil kesempatan menjamah makanan yang terhidang di ruang makan. Seperti yang dijadualkan, majlis bermula sekitar jam 6 petang. Apabila Syeikh Fuad mengambil tempat, jemaah segera merapatkan kedudukan didalam ruang solat utama. Syeikh memulakan syarah dari kitab Mukjizat Isra' dan Mi'raj. Syeikh menamatkan syarahan lebih kurang jam 7 petang untuk memberi masa kepada jemaah mengambil wudhu' dan menanti waktu maghrib masuk. Selesai solat maghrib, kami diberikan beberapa helaian kertas yang mengandungi qasidah untuk dialunkan bersama-sama. Lebih kurang jam 8.15 malam, tetamu istimewa malam itu iaitu Habib Umar A Rahman al-Jifri dari Ribath Madinah menyampaikan syarah khas sempena Isra' dan Mi'raj. Kemudian disusuli dengan syarah khas Syeikh Fuad. Syeikh Fuad turut mengijazahkan kepada ikhwan yang hadir malam itu, sebuah hadtih yang bersambung sanadnya dengan Nabi Ibrahim as. Selepas selesai syarahan Syeikh Fuad, jemaah kembali mengalunkan qasidah. Jemaah kemudiannya solat Isyak berjemaah dan majlis bersurai sekitar jam 10.30 malam.



Saya parkir lebih kurang 200 meter dari masjid. Dibahagian depan masjid sudah agak sesak. Kenderaan dah mula berbaris di bahu-bahu jalan.

Dicelah-celah jemaah yang hadir mengikuti pengajian Syeikh pada petang itu.

Gerai jualan kitab-kitab As-Sofa

Antara kitab dan CD yang dijual oleh As-Sofa

Khemah makanan dan minuman yang disediakan untuk jemaah yang hadir

Tandas bergerak. Jemaah lelaki menggunakan tandas ini. Manakala jemaah wanita menggunakan tandas masjid. Ada dua tandas bergerak disediakan. Bila masuk tandas ni, rasa macam dalam koc keretapi. Tapi tandas ni lengkap dengan kemudahan air dan sebagainya macam tandas biasa.


Jemaah mengambil kesempatan bersalaman dengan al-Habib Umar A Rahman al-Jifri selepas selesai majlis




Jumlah jemaah yang hadir agak ramai. Mungkin 2000 orang kot, entah saya tak pasti tapi sambutan sangat menggalakkan.

Antara qasidah yang dialunkan pada malam itu



Lagi bacaan qasidah

Lagi qasidah



Hadith yang diijazahkan oleh Syeikh Fuad kepada jemaah yang hadir malam itu. Hadith tersebut dengan maksudnya begini, Telah bersabda Rasulullah saw; Aku menemui Nabi Ibrahim as pada malam aku diisra'kan (ke langit), dia bersabda kepadaku,"Wahai Muhammad! Sampaikanlah salam daripadaku kepada umatmu, dan beritahulah mereka bahawasanya syurga itu subur tanahnya, enak airnya dan ia merata, dan tumbuh-tumbuhannya ialah: Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar"






Sambungan helaian sanad dan hadith tadi.


Lagi qasidah yang dialunkan pada malam itu.

Kitab Kelebihan Malam Nisfu Syaaban yang dijual oleh Koperasi As-Sofa. Dijual pada pada malam itu dengan harga RM 8.

Kitab terbaru Syeikh Fuad, bertajuk Siyadah, baru sahaja dicetak dalam bulan Julai 2009. Dijual pada malam itu dengan harga RM 10



Kitab Doa Malam Nisfu Syaaban, dijual oleh Koperasi As-Sofa. Dijual pada malam itu dengan harga RM 5

Syeikh Fuad bersama tetamu istimewa malam itu, Habib Umar A Rahman al-Jifri