Wednesday, June 9, 2010

Catatan tiga hari dua malam perjalanan – Gopeng

Jenuh juga memikirkan apa makanan terbaik yang hendak ditinggalkan pada sang arnab. Arnab ni sangat kuat makan. Nak tinggalkan dedak banyak-banyak pun takut nanti habis pula ditumpahkannya. Last-last saya ikhtiar cari sengkuang dan karot. Puas saya cari di merata kedai dekat dengan rumah saya tapi takde yang jual sengkuang. Yang ada hanyalah karot. Saya beli karot dan juga kangkong buat habuan arnab. Rasanya boleh tahan 3 hari kut. Selepas selesai memasukkan semua barang dan kelengkapan, kami pun bertolak ke Perak. Rasanya dah hampir lapan atau sembilan bulan saya tak balik Taiping. Boleh tahan juga jumlah kenderaan di atas lebuhraya. Di beberapa lokasi, kenderaan terpaksa bergerak perlahan. Perjalanan kali ini agak lama. Selalunya saya boleh sampai Taiping lebih kurang dalam 3.5 atau 4 jam sahaja tapi kali ini lebih 4 jam. Pukul 10 pagi bertolak dari rumah, dekat pukul 2.30 petang baru sampai Taiping. Apapun ia mungkin ada kaitan dengan tindakan saya yang mengambil susur keluar di Gopeng. Saya ambil susur keluar tersebut kerana hendak mengisi minyak. Gopeng sebenarnya mempunyai beberapa lokasi bersejarah. Yang berhampiran dengannya ialah di Kuala Teja, tidak jauh dari pekan kecil Kota Baru yang letaknya kira-kira 12 km dari pekan Gopeng. Di situ terdapat makam Raja Bendahara Alang Iskandar yang merupakan ayahanda kepada Sultan Idris Murshidul Azam Shah (1887-1916). Tidak jauh dari situ, ada sebuah lagi kompleks makam yang menempatkan makam Sayyid Jaafar Sayyid Yunus, Orang Kaya-Kaya Besar yang juga merupakan penyusun undang-undang 99 negeri Perak. Ayahandanya, Sayyid Yunus adalah merupakan Penghulu di kawasan Teja. Di Pauh Lima, iaitu sekitar beberapa km sahaja dari pekan Gopeng dalam perjalanan menghala ke Kota Baru, ada sebuah lagi makam bersejarah iaitu makam Sayyid Usman yang pernah bergelar Menteri Paduka Tuan. Kalau tak silap saya, kesemua tokoh ini bersambungan nasabnya kepada Sayyid Hussein al-Faradz, ulama besar yang datang dari Hadramaut ke negeri Perak dalam abad ke-16 Masehi. Makam Sayyid Hussein al-Faradz dikatakan terletak di Kampung Pasir Bijih, satu kilometer dari Makam Marhum Teja ke hilir. Tentang sejarah pekan Gopeng, dikatakan bahawa nama pekan ini diambil bersempena dengan nama timangan seorang rakyat Cina yang berhijrah ke Malaysia pada penghujung kurun ke 19, yang bernama `MO PENG'. Nama itu dikatakan ada kaitan dengan mukanya yang dipenuhi dengan jerawat. Beliau juga merupakan orang pertama mengasaskan perlombongan bijih timah di Gopeng. Gopeng merupakan pekan yang tertua di Negeri Perak. Ketua kampung yang pertama dilantik pada tahun 1950 bernama Encik YOONG FU. Pada suatu ketika dahulu, kawasan Lawan Kuda di Gopeng adalah merupakan tempat perlumbaan kuda. Apabila Jepun menguasai Tanah Melayu, kawasan Lawan Kuda ini telah dijadikan lapangan terbang untuk mendaratkan kapal-kapal terbang perang. Setelah tamat perang, penduduk tempatan mula menduduki tempat tersebut. Kini, Gopeng merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di bahagian selatan Negeri Perak dan kedudukannya berada di dalam Lembah Kinta. Satu masa dahulu, ia merupakan sebuah kawasan perlombongan bijih timah yang terkaya di Malaysia. Penduduk Gopeng dianggarkan berjumlah lebih kurang 41,000 orang dan luas kawasannya lebih kurang 179 km persegi (122 batu persegi). (Sumber sejarah Gopeng di rujuk dari http://polisperak.rmp.gov.my/polisperak/IPDKampar/BPGOPENG/ImfoBPGopeng/BalaiGopeng.html. Dicapai pada 9 Jun 2010). Khabarnya di pekan Gopeng terdapat sebuah rumah kedai yang telah diubahsuai menjadi sebuah muzium yang dikenali dengan nama Muzium Gopeng (http://www.muziumgopeng.org/). Muzium Gopeng ini menghimpunkan pelbagai maklumat tentang sejarah Gopeng, aktiviti perlombongan biji timah dan asal usul serta adat istiadat penduduk di sana. Apapun saya belum berkesempatan melawat tempat-tempat bersejarah yang dinyatakan di atas. Selesai isi minyak, saya masuk semula ke highway dan bergerak menuju ke utara.


Sebatang jalan di Pekan Gopeng



Kemuliaan Ahli Hadith

Jumaat lepas saya ke Dar al-Maliki untuk menghadiri majlis ilmu Syeikh Muhammad Fuad. Dalam majlis itu, Syeikh mengupas isi kandungan kitab yang baru sahaja dikarangnya iaitu Kemuliaan Ahli Hadith. Syeikh turut menitipkan pesanan berharga kepada ikhwan tentang kepentingan majlis pembacaan hadith dalam usaha menghidupkan ilmu Islam dan Sunnah Rasulullah saw. Menurut Syeikh, isi kandungan kitab ini adalah berdasarkan mutiara-mutiara kata yang terkandung di dalam kitab Syaraf Ashab al-Hadith yang dikarang oleh al-Hafiz Abi Bakar Ahmad ibn Ali ibn Thabit al-Khatib al-Baghdadi (392-463 H).


Kitab Kemuliaan Ahli Hadith

Tuesday, June 1, 2010

Lubuk Manggis

"Esok kalau nak pergi berkelah, kena bangun awal", beritahu saya kepada anak-anak saya. Terus anak-anak saya masuk tidur. Esoknya pukul 9.30 pagi kami bertolak dari rumah menuju ke Hulu Langat. Cuaca agak mendung pada hari itu. Dari Puchong, saya mengambil jalan Bandar Tasik Selatan dan kemudian melewati Plaza Phoenix. Selepas itu saya mengambil susur keluar Batu 9, Kajang. Dari situ, perjalanan merentasi kampung-kampung yang mempunyai pemandangan yang menarik bermula. Lebih kurang sejam selepas itu kami sampai di Lubuk Manggis. Beberapa km ke hadapan ialah Gunung Nuang. Khabarnya ada tempat rekreasi di situ tapi kami belum pernah sampai ke situ. Awan tebal masih menyelubungi kawasan gunung. Nampak macam nak hujan tapi tak hujan. Lebih kurang pukul 12.30 tengahari matahari mula memancar terik. Tidak begitu ramai orang pada pagi itu. Agaknya mungkin mereka mengandaikan cuaca hujan pada pagi itu. Alhamdulillah, cuaca sangat baik. Di Lubuk Manggis, ada disediakan pondok yang terdiri dari pelbagai jenis. Ada yang hargnya RM 15, RM 20, RM 30 dan sebagainya. Rasanya yang paling mahal ialah pondok yang mempunyai dinding dan tingkap yang bertutup. Lebih kurang pukul 1 tengah hari, kami mengemaskan barang-barang untuk berangkat pulang. Pengunjung dah semakin ramai waktu itu. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Masjid Kampung Hulu Perdik untuk menunaikan solat zohor. Apabila bercerita tentang berkelah ini, ulama besar asal Kelantan yang dikenali dengan nama Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang gemar membawa anak-anak muridnya berkelah. Diriwayatkan ketika beliau tinggal di Kota Bharu, beliau kerap membawa anak-anak muridnya berkelah di Hujung Pasir Pekan di kawasan berpasir yang luas di pinggir Sungai Kelantan. Beliau lazimnya akan bermalam di situ bersama-sama dengan anak muridnya. Menurutnya ini adalah satu cara untuk merehatkan fikiran dari penat dan menambahkan kemesraan dengan anak muridnya. Tuan Guru Haji Ali (nama sebenarnya ialah Haji Muhammad Ali Salahuddin bin Awang) adalah seorang ulama Kelantan yang sangat ahli dalam bidang nahwu dan sorof. Beliau dianggap orang yang mewarisi ilmu nahwu Tok Kenali. Ini adalah kerana Tok Kenali pernah berkata kepada anak-anak muridnya, "Kalau hendak belajar nahwu pergilah belajar kepada Haji Ali". Beliau mempunyai kebolehan yang luar biasa dalam ilmu nahwu sehingga diriwayatkan bahawa kitab Alfiah iaitu kitab nahwu yang sangat masyhur yang mempunyai seribu rangkap syair tentang kaedah ilmu nahwu itu berada di dalam ingatannya ibarat membaca sifir dua sahaja. Tuan Guru Haji Ali meninggal dunia dalam usia 69 tahun pada 3 Oktober 1968 di Kampung Telok Katak, Pulau Pisang. Anak-anak muridnya ramai yang menjadi ulama terkemuka antaranya ialah seperti al-Fadhil Dato Haji Ismail Yusuf, al-Ustaz Yusuf Zaki bin Yaakub, Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution dan Tuan Guru Haji Abdul Wahid Sungai Udang Melaka.

Rujukan
Ismail Awang. Haji Ali Pulau Pisang (1899-1968) dalam Ismail Che Daud (Editor). 1996. Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Melayu Jilid 2. Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Kota Bharu. Hlm.167-177



Kawasan perkelahan Lubuk Manggis. Kelihatan jambatan gantung dalam gambar diatas

Madrasah ini letaknya antara Pekan Bt 14 dengan Pekan Bt 16. Namanya ialah Madrasah Ehsaniah. Nama yang sama seperti madrasah yang pernah diasaskan oleh Syeikh Muhammad Saleh al-Minangkabawi di Teluk Intan, Perak. Syeikh Muhammad Saleh adalah Syeikhul Islam Perak ketika Sultan Iskandar Shah memerintah negeri Perak. Apakah mungkin madrasah ini juga diasaskan oleh Syeikh Muhammad Saleh? Ini adalah kerana Syeikh Muhammad Saleh sering turun ke Kuala Lumpur dan Selangor khususnya kawasan Hulu Langat untuk mengajar ilmu agama. Saya tak sempat singgah madrasah tersebut untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut kerana ada urusan lain yang perlu diselesaikan.

Monday, May 31, 2010

Masjid Kampung Pasir Salak


Ini adalah gambar lama Masjid Kampung Pasir Salak, Kampung Gajah Perak. Saya pernah sampai ke sini tahun lepas. Gambar ini saya ambil dari sebuah majalah lama yang bernama Suara Majlis yang diterbitkan sekitar tahun 1980-an. Majalah ini diterbitkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Perak. Berdekatanan dengan masjid itu ialah tugu peringatan Pasir Salak. Kini masjid tersebut terletak bersebelahan dengan Kompleks Sejarah Pasir Salak.

Syeikhuna Sidi Yusuf Bakhur al-Hasani

Dua minggu lepas saya ke Dar al-Maliki untuk menghadiri majlis ilmu Syeikhuna Sidi Yusuf Bakhur al-Hasani. Sebelum beliau memulakan majlis, tuan guru yang mulia Syeikh Fuad al-Maliki terlebih dahulu mensyarahkan kitab Kanzul Minan. Syeikh As-Syarif al Imam Yusuf Muhyiddin Riq El-Bakhur Al-Hasani berketurunan Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husein r.a. yang merupakan kedua-dua cucu kesayangan Rasulullah s.a.w. Syeikhuna Sidi Yusuf dilahirkan di Aka, Lubnan pada tahun 1948. Kini, beliau tinggal di Lubnan dan Kanada. Pada peringkat awal, Syeikhuna Sidi Yusuf menuntut di Lubnan. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajiannya di Institut Fiqh (Islamic Study) pada tahun 1974 dalam bidang Ijazah Sarjana Muda. Beliau juga turut mengambil pengajian Sarjana Muda di Al-Azhar dan tamat pada tahun yang sama, dalam bidang Al-Syariah wa Al-Qonun. Beliau melanjutkan Ijazah Sarjana di Al-Azhar dalam bidang Al-Syariah wa Al-Qonun dan tamat pada tahun 1989. Dua tahun kemudian, beliau telah dianugerahkan ijazah Kedoktoran (Ph.D) Kehormat daripada Universiti Islam Lubnan. Syeikhuna Sidi Yusuf mengambil tarbiah sufiyah secara khusus dari As-Syeikh Al-Mursyid Sidi Abdul Qadir Isa r.a. yang merupakan mursyid bagi Tarikat As-Syazuliyah Ad-Darqowiyah. Sidi Syeikh Abdul Qadir Isa r.a. kemudiannya memberi izin wirid 'am dan khas tarikat As-Syazuliyah dan izin irsyad dan tarbiah kepadanya. Syeikhuna Sidi Yusuf merupakan khalifah Syeikh Abdul Qadir Isa r.a. yang termuda dari kalangan keempat-empat khalifah beliau. Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani pernah dibawa oleh Syeikh Abdul Qadir Isa r.a. untuk bertemu dengan guru beliau sendiri iaitu Syeikh Muhammad Al-Hasyimi. Syeikh Muhammad Al-Hasyimi turut memberi izin wirid am dan khas tarikat As-Syazuliyah kepada Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani, Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mendampingi gurunya, Syeikh Abdul Qadir Isa sehinggalah ke hujung hayat Syeikh Abdul Qadir Isa r.a.. Setelah kewafatan Syeikh Abdul Qadir Isa r.a., Syeikhuna Sidi Yusuf mencari mursyid lain sebagai tabarruk kerana merasakan dirinya masih lagi memerlukan tarbiah dari seorang mursyid, walaupun pada ketika itu, beliau sudahpun mendapat izin sebagai seorang mursyid. Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mengambil bai'ah tabarruk dari Syeikh Sa'duddin Murod, yang merupakan khalifah utama Sheikh Abdul Qadir Isa r.a.. Syeikh Sa'duddin Murod turut memberikan izin tarbiah khalwah dan izin wirid am dan khas tarikat As-Syazuliyah kepada Syeikh Yusuf. Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani turut menemui Syeikh Al-Habib Abdul Qadir As-Saggaf untuk mengambil bai'ah tarikat daripada beliau seterusnya menjadi murid beliau. Syeikh Abdul Qadir As-Saggaf kemudiannya memberi izin irsyad tarikat As-Syazuliyah kepada Syeikhuna Sidi Yusuf al-Hasani setelah melihat keahlian yang dimiliki oleh Sheikhuna Sidi Yusuf. Di samping itu juga, Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mengambil bai'ah tarikat daripada beberapa mursyid tarikat berlainan serta menerima izin irsyad dari mursyid-mursyid tarikat tersebut seperti Syeikh Soleh Farfur (tarikat As-Syazuliyah juga), Syeikh Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi Al-Maliki (tarikat Alawiyah), Syeikh Uthman Sirajuddin An-Naqsyabandi (tarikat An-Naqsyabandiyah), Syeikh Muhammad Na'im Al-Jailani Al-Asyarafi (tarikat Al-Qadiriyah) dan Syeikh Muhammad Zaki Ad-Din Ibrahim (tarikat Asyirah Muhammadyah). Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani juga meriwayatkan hadith-hadith musalsal dan sanad-sanad hadith dan ilmu agama secara umum dari Syeikh Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki r.a. dan Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim. Syeikhuna Sidi Yusuf pada ketika ini memegang beberapa jawatan seperti Pengarah Yayasan Islam Kanada, di Hamilton, Kanada bermula dari tahun 1981 sehingga hari ini, Pensyarah di Universiti Islam Lubnan, Ahli JawatanKuasa Majlis Fatwa Lubnan dan Anggota Majlis Ulama' di Syria. Beliau adalah seorang pendakwah peringkat antarabangsa (Syam, Kanada, Mesir, Jepun dan AsiaTenggara) dan merupakan Mursyid atau Syeikh Tarikat Al-Asyirah Al-Muhammadiyah di Hamiton, Kanada. Beliau adalah Murobbi Tasawwuf khususnya dalam Tarikat Syazuliyah, Qadiriyah, Naqsyabandiyah, Darqowiyah, Alawiyah dan sebagainya. Beliau turut menjadi Pengasas Dar El-Hasani Center, iaitu tempat perhimpunan anak-anak murid beliau di Mesir, Penasihat Kehormat Institut Pengajian Ar-Razi, Pulau Pinang, Malaysia dan Penaung dan Penasihat kepada Markaz Darul Hasani Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.
*Biografi Syeikhuna Sidi Yusuf al-Hasani diolah dari sumbernya di sini


Syeikhuna Sidi Yusuf bersama-sama dengan Tuan Guru Yang Mulia Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

Syeikhuna Sidi Yusuf sedang menyampaikan syarahan

Wednesday, May 19, 2010

Nanas

Ayahanda mertua saya seorang yang amat gemar bercucuk-tanam. Boleh dikatakan pantang ada kawasan kosong sikit, pasti akan ditanamnya samada dengan pokok buah atau apa-apa jenis pokok kampung yang boleh dimakan seperti ulam dan sebagainya. Menariknya, kebanyakan pokok yang ditanam oleh ayah ‘menjadi’. Pokok buah seperti dokong, rambutan gading, mempelam, manggis, buah naga, nanas dan macam-macam lagi 'menjadi' belaka hasil usaha tulang empat kerat ayah. Ramai yang minat dengan nanas ayah. Malah nanas ayah juga turut menjadi tumpuan pencuri. Kalau rumah ditinggal dua tiga hari semasa musim pokok berbuah maka putih mata la jawabnye kerana buah dikebas orang. Nanas ayah sangat special. Ayah menanam pelbagai spesis nanas tetapi tidaklah saya pasti samada ianya dari jenis morris atau nanas Sarawak seperti yang terdapat di pasar-pasar besar seperti Tesco atau Mydin. Ada yang jenis daunnya berduri dan ada yang tidak. Buah yang terhasil juga bermacam jenis, ada yang besar dan ada yang kecil. Namun kesemuanya mempunyai satu persamaan iaitu SANGAT MANIS. Selain manis, nanas yang ditanam ayah juga tidak meninggalkan kesan ‘gatal’ atau ‘kesat’ pada lidah dan lelangit mulut setelah memakannya. Inilah kelebihan nanas yang ditanam ayah. Apabila saya kaji dan teliti balik, ada dua perkara yang menyebabkan nanas ayah ini menjadi sangat manis dan mempunyai keistimewaan sebegitu rupa. Pertama, ayah tidak kedekut menyiram pokok. Setiap hari, sekurang-kurangnya dua kali sehari ayah pasti akan menyiram pokok-pokoknya iaitu di sebelah pagi dan petang. Kedua, ayah sentiasa membaja pokok-pokoknya. Pokok-pokok yang ditanam tidak dibiar begitu sahaja. Beliau sentiasa melihat perkembangan pokok-pokoknya dan memastikan pokok-pokoknya sentiasa sihat. Apapun, kata kuncinya ialah disiplin. Bercucuk-tanam ni memerlukan disiplin yang tinggi. Tanpa disiplin, tanam apa pun tak menjadi.


Buah nanas dari pokok yang ditanam ayah

Kuasa elektrik

Baru-baru ini saya ke pejabat pengurusan taman perumahan saya untuk menyelesaikan beberapa urusan. Tatkala melangkah masuk ke dalam pejabat, saya terpandang kenderaan ini. Selama ini saya ingat buggy ini menggunakan minyak tetapi sebenarnya ia mengunakan kuasa elektrik. Buggy ini digunakan oleh pengawal keselamatan di taman perumahan saya untuk aktiviti rondaan. Nampak gaya kaedah mengecasnya mirip seperti telefon bimbit. Tetapi tidak pulalah diketahui berapa lama ia perlu dicas dan berapa lama pula ia tahan sebelum perlu dicas semula. Terpikir juga saya, kalaulah kenderaan biasa juga menggunakan elektrik kan ke mudah. Malam-malam boleh cas kereta, tak perlu susah-susah pergi stesen minyak. Lagipun kuasa elektrik ni nampak macam lebih mesra alam berbanding dengan minyak. Wallahualam.


Kereta sedang dicas

Tempat cas

Tak pasti berapa lama perlu dicas sebelum boleh digunakan