Sunday, December 13, 2009

Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas: Syarahan Perdana 13 Disember 2009

Awal-awal lagi saya sudah bertekad tidak mahu membeli apa-apa buku hari ini. Tujuan utama saya ialah untuk mendengar syarahan semata-mata. Tapi nampaknya tekad hanya tinggal harapan. Asalnya saya dapat bertahan sehinggalah last minute, hati saya cair, terpaksa juga beli satu. Hati mana yang tahan bila melihat orang ramai berpusu-pusu mengerumuni Prof Syed Muhammad Naquib untuk mendapatkan tandatangan dari beliau. Akhirnya saya mengalah. Saya keluar dari dewan, membeli satu buku untuk mendapatkan tandatangan dari beliau (plus bonus tandatangan orang paling kanan beliau iaitu Prof Wan Mohd Nor Wan Daud). Sesi syarahan Prof Syed Muhammad Naquib adalah kemuncak program Open Day ISTAC yang berlangsung selama seminggu dari 7 hingga 13 Disember 2009. Prof Syed Muhammad Naquib adalah pengasas dan pengarah pertama ISTAC (kini beliau tidak lagi memegang apa-apa jawatan di ISTAC). Ironinya majlis kemuncak itu tidak diadakan di ISTAC sebaliknya di Institut Integriti Malaysia (IIM) yang letaknya beberapa ratus ela dari bangunan ISTAC. Syarahan Prof Syed Muhammad Naquib dijadualkan bermula pada pukul 9 malam tetapi majlis tersebut bermula lebih awal. Seingat saya majlis bermula ketika saya naik ke tingkat empat untuk menunaikan solat isyak di surau IIM. Pada ketika itu, baru sahaja masuk waktu Isyak dan sangka saya majlis akan bermula tepat seperti yang dijadualkan. Rupanya majlis bermula lebih awal dari itu. Ketika saya masuk kedalam dewan yang terletak di tingkat dua, orang ramai sudah pun memenuhi tempat duduk sementara di pentas hadapan Prof Syed Muhammad Naquib sedang memberi syarahan dengan gaya yang sungguh bersahaja sambil Prof Wan Mohd Nor Wan Daud duduk disebelahnya menjadi moderator. Memang syarahan ini ditunggu-tunggu oleh ramai pihak khususnya mereka yang meminati bidang pemikiran Islam dan mengikuti konsep Islamisasi Ilmu yang digagaskan oleh Prof Syed Muhammad Naquib. Kata Prof Wan Mohd Nor, telah 3 tahun Prof (Syed Muhammad Naquib) tidak bercakap di khalayak ramai dan mungkin majlis malam ini adalah satu permulaan. Kemungkinan besar selepas ini akan ada lagi siri-siri syarahan dari Prof, Insyallah.
Saya sebelum ini pun hanya berpeluang membaca tulisan Prof Syed Muhammad Naquib menerusi buku-buku yang ditulisnya. Tentang peribadi dan ketokohan Prof Syed Muhammad Naquib, saya mendengarnya secara langsung dari guru-guru saya seperti Dato Dr Siddiq Fadzil dan Dr Mohd Nur Manuty. Dato Dr Siddiq adalah anak murid Prof Syed Muhamad Naquib manakala Dr Mohd Nur Manuty mengenali Prof Syed Muhammad Naquib secara dekat ketika Prof Syed Muhammad Naquib menjadi prof pelawat disebuah universiti di Amerika Syarikat. Banyak kisah menarik diceritakan oleh kedua-dua guru saya ini tentang Prof Syed Muhammad Naquib apatah lagi Prof Syed Muhammad Naquib pernah tinggal di rumah Dr Mohd Nur Manuty ketika menjadi prof pelawat di Amerika Syarikat. Pada ketika itu, Dr Mohd Nur Manuty sedang menyelesaikan pengajian PhDnya di sana. Hari ini saya berpeluang untuk melihat dan mendengar sendiri syarahan yang disampaikan oleh Prof Syed Muhammad Naquib. Hari sebelumnya saya telah mengunjungi ISTAC untuk melihat jualan buku sambil melihat sendiri senibina ISTAC yang sungguh mengagumkan hasil cetusan idea Prof Syed Muhammad Naquib. Hari ini, saya hendak mendengar pula cetusan idea yang keluar dari tutur katanya. Kalau tak silap saya, Prof Seyyed Hossein Nasr pernah berkata, senibina ISTAC yang dibangunkannya itu adalah seindah setiap susunan patah perkataan yang dibicarakan olehnya. Jelas dan tepat.
Ternyata apa yang dikatakan oleh Prof Seyyed Hossein Nasr adalah benar. Tutur katanya sejernih kristal. Saya boleh dengar satu per satu setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya dengan jelas. Bicaranya lancar, langsung tidak ada sangkut-sangkut. Tidak cepat dan tidak lambat. Sangat santai tetapi penuh berisi. Beliau menghuraikan pembicaraannya seperti yang termaktub pada tema syarahannya iaitu Reviving the Worldview of Islamic Internal and External Challenges. Kata Prof, semua yang diucapkan olehnya pada hari ini ada termuat dalam karya-karyanya. Beliau memohon maaf kerana tidak menyediakan teks syarahan dan hanya memberi ucapan secara impromptu. Kata beliau lagi apa yang disampaikannya itu hanyalah ringkasan sahaja dan jika hendak tahu secara terperinci maka perlulah baca buku-buku yang ditulisnya dengan teliti. Menurutnya, kesemua tema yang digagasnya itu telah pun diutarakannya kira-kira 30-40 tahun yang lalu (Prof kini telah pun berusia 78 tahun). Apapun bagi saya, ucapan yang disampaikan oleh Prof Syed Muhammad Naquib adalah sangat baik dan mudah lekat dalam kepala saya. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, syarahan Prof malam itu lebih mudah dihadam berbanding dengan tulisan dalam bukunya. Prof menggunakan bahasa yang mudah dicerna ketika menyampaikan syarahan. Kalau dalam tulisannya, beliau menggunakan istilah-istilah yang agak tinggi. Ada juga soalan nakal ditujukan kepada Prof ketika di akhir sesi misalnya ada yang bertanya kenapa buku Prof susah nak faham. Prof menjawabnya dengan ringkas tetapi penuh makna. Kata Prof, beliau menulis buku itu untuk dibaca oleh orang-orang yang terpilih iaitu orang-orang yang mempunyai daya intelek. Beliau menulisnya dengan teliti. Setiap perkataan yang hendak ditulis dicermati sehabis mungkin agar tidak terpesong makna yang hendak disampaikan. Sebab itu katanya, bukan semua orang boleh menghadap bukunya sehingga habis hatta ada orang yang bergelar Profesor pun belum tentu dapat memahaminya walaupun setelah berpuluh kali membacanya. Boleh kata banyak juga soalan-soalan yang agak nakal dan berbentuk seperti menguji diajukan kepada Prof tetapi semuanya dijawab dengan penuh hikmah. Kagum sungguh saya melihat cara Prof menjawab setiap soalah yang diajukan kepadanya. Bayangkanlah soalan seperti sifat 20 pun ada ditanya kepada Prof dan ianya dapat dijawab dengan Prof dengan penuh kebijaksanaan. Saya tak pasti kenapa soalan itu ditanya, adakah ianya ada kaitan dengan isu Wahhabi atau Ahbash yang sedang hebat melanda pada masa ini, Wallahualam.
Dalam tempoh dua jam syarahan itu, Prof Syed Muhammad Naquib telah menyentuh hampir kesemua gagasan yang pernah dituangkannya kedalam karya-karya besarnya. Antaranya ialah isu seperti faham ilmu, kedudukan al-Quran, kemuliaan Nabi Muhammad saw, faham keadilan, faham kebebasan, kekeliruan umat, amanah dan adab. Melihatkan kepada jumlah khalayak yang hadir pada malam itu, dapatlah saya rumuskan bahawa program ini sangat berjaya. Khalayak yang hadir pula terdiri dari berbilang bangsa. Ada yang berbangsa Afrika, Pakistan, India, Timur Tengah dan tidak kurang juga dari Asia Tenggara. Sebenarnya program ini telah bermula dari sebelah pagi hingga ke petang, dimana ia telah didahulukan dengan pembentangan kertas kerja yang dipersembahkan oleh beberapa orang anak murid Prof Syed Muhammad Naquib. Saya tidak berkesempatan hadir kerana menghadiri majlis lain. Majlis berakhir sekitar jam 11 malam. Kepala saya pun dah terasa sarat dengan idea-idea yang dituangkan oleh Prof Syed Muhammad Naquib. Apapun saya berasa amat puas kerana dapat mendengar secara langsung dari mulut beliau tentang gagasan-gagasan yang dilontarkannya kerana sebelum ini saya hanya berpeluang membaca tulisannya sahaja. Tak sabar pula menunggu siri-siri syarahannya di masa akan datang. Semoga Allah Ta’ala mengurniakan kesihatan tubuh badan dan kekuatan kepada Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas untuk terus menyampaikan ilmu kepada kami yang sentiasa dahagakan ilmu ini.





Penunjuk arah ke lokasi Syarahan Perdana Prof Syed Muhammad Naquib. Lokasinya ialah di Dewan IIM, Tingkat 2

Hadirin sedang menumpukan perhatian kepada syarahan yang disampaikan oleh Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas

Orang pertama yang meluru ke pentas untuk mendapatkan tandatangan Prof Syed Muhammad Naquib. Rasanya pelajar Pakistan atau India

Selepas itu, semakin ramai yang berpusu-pusu datang ke pentas utama untuk mendapatkan tandatangan dan bergambar bersama Prof Syed Muhammad Naquib dan Prof Wan Mohd Nor

Ruang pentas menjadi sesak. Agak kelam-kabut seketika sehingga Prof Wan Mohd Nor pada satu ketika terpaksa menenangkan keadaan.

Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas, tumpuan utama malam itu


Prof sedang khusyuk menurunkan tandatangan


Di bahagian luar dewan, orang ramai sedang melihat buku-buku yang dijual. Tidak kurang juga ada yang membeli buku tulisan Prof dan buku yang berkenaan dengan Prof semata-mata kerana hendak mendapatkan tandatangan Prof (termasukle saya).

Orang ramai sedang menunggu peluang samada hendak mendapatkan tandatangan atau bergambar bersama Prof pada malam itu

Prof Syed Muhammad Naquib tidak henti-henti menurunkan tandatangan. Pada awalnya, Prof Wan Mohd Nor agak risau juga memandangkan usia Prof Syed Muhammad Naquib yang agak lanjut. Terdengar Prof Wan Mohd Nor bertanya kepada Prof Syed Muhammad Naquib, Are you ok Prof? Prof Syed Muhammad Naquib tidak menjawab sebaliknya terus menurunkan tandatangan.

Berbilang bangsa hadirin yang datang malam itu. Semuanya tidak melepaskan peluang mendapatkan tandatangan dari Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas

Buku baru yang diterbit dan dijual malam itu bagi memperingati jasa dan sumbangan Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas


Tandatangan Prof Syed Muhammad Naquib disebelah atas manakala tandatangan Prof Wan Mohd Nor disebelah bawah

First time saya mendengar syarahan dengan dikenakan bayaran. Apapun, apalah sangat nilai bayaran itu jika dibandingkan dengan ilmu yang disampaikan oleh tokoh besar seperti Prof Syed Muhammad Naquib. Memang layak sangatlah Prof Syed Muhammad Naquib mendapat penghormatan sedemikian rupa atas jasa dan sumbangannya yang begitu besar di peringkat tempatan dan antarabangsa. Beruntunglah kita kerana tokoh besar ini tinggal di sini.

5 comments:

  1. Salam saudara,izin saya share dalam blog saya,boleh?Nampak sangat menarik artikel ini..

    ReplyDelete
  2. Replies
    1. Tuan nama Fbnya apa ya dan bolehkah komunikasi via whatsapp?

      Delete
  3. saya orang kedua yang meluru ke pentas...kelihatan saya di gambar nombor 2, berbaju biru. Terima kasih

    ReplyDelete