Monday, August 24, 2009

al-Anwar al-Nabawiyyah



Beza dengan hari sebelumnya cuaca pagi Ahad agak terik. Hari ini masuk 2 Ramadhan. Seperti semalam (Sabtu), saya ke Taman TAR untuk mengikuti pengajian periwayatan 40 hadith. Kata Syeikh semalam, kitabnya boleh didapati hari ini. Yup, kitab dah berada dipasaran dan dijual pada hari itu dengan harga RM 20. Kitab ini sangat istimewa kerana didalamnya ada disertakan salinan ijazah dari pengarang kitab kepada Syeikh Muhammad Fuad yang telah menterjemah kitab ini. Dibahagian belakang kitab juga ada disertakan salinan beberapa ijazah yang diterima oleh pengarang. Tambah istimewa tentang kitab ini ialah hadith-hadith yang dimuatkan diambil dari 40 kitab hadith yang berlainan. Syeikh memulakan pengajian pada hari itu dengan menghuraikan bab muqadimah pengarang. Nama pengarang kitab yang bertajuk al-Anwar al-Nabawiyyah ini ialah al-Musnid al-Doktor Muhammad Mutiq al-Hafiz, ulama besar dari Syam. Berdasarkan pada tarikh yang tertera pada teks ijazah, kitab ini telah diijazahkan oleh pengarang kepada Syeikh Muhammad Fuad pada tahun 1422 H bersamaan 2001 M. Majlis berlangsung lebih kurang sejam setengah.




Kitab al-Anwar al-Nabawiyyah yang dijadikan teks pengajian
hari itu


Karpet masjid pun dah baru :)


Kelihatan petugas sedang membersihkan kubah masjid

Bermulanya puasa, ijazah hadith al-Fatihah

Hari ini bermulalah 1 Ramadhan. Cuaca sejuk dan nyaman sahaja di sebelah pagi. Saya ke Taman TAR untuk menghadiri majlis ilmu Syeikh Fuad. Ikut jadual, pengajian tafsir surah al-Fatihah bermula pada hari ini tetapi kata Syeikh, kitab tersebut tak sempat untuk dicetak. Insyallah dalam pengajian minggu seterusnya, kitab tersebut akan digunakan. Jadi sebagai ganti, Syeikh memulakan mukadimah pengajian dengan sedikit tazkirah sempena masuknya bulan Ramadhan. Kata Syeikh, bulan Ramadhan tidak seharusnya menjadikan kita pasif. Sepatutya dalam bulan Ramadhan ini, otak kita kena lagi geliga. Banyak peristiwa penting yang berlaku dalam kalendar Islam berlaku dalam bulan Ramadhan. Selanjutnya, Syeikh mengijazahkan hadith musalsal surah al-Fatihah. Seperti yang beliau sebut dalam majlis-majlis sebelum ini, pengijazahan hadith ini sangat penting dan sangat istimewa. Ini adalah kerana ia meneruskan kesinambungan tradisi pengajian ilmu-ilmu Islam sejak dari zaman ulama khalaf iaitu ulama pada masa ini sehinggalah ke ulama salaf dan seterusnya sampai kepada junjungan baginda Rasulullah saw. Dengan bersambungnya sanad bererti ilmu yang sampai kepada kita adalah ilmu yang paling diyakini kerana adanya hubungan dengan baginda Rasulullah saw. Kata Syeikh, para ulama benar-benar menikmati tradisi ini terutamanya apabila berjaya menyempurnakan maksud hadith. Kata Syeikh, kami pada hari ini amat beruntung kerana tidak perlu bersusah-payah sepertinya yang terpaksa bermusafir seorang diri untuk meriwayat hadith ke serata negara khususnya di Tanah Arab. Kata Syeikh lagi, bukan beliau sahaja bahkan memang menjadi tradisi ulama-ulama dari dahulu lagi dimana mereka sanggup bersusah-payah walau hanya untuk meriwayat sepotong hadith. Apa yang penting kata Syeikh ialah untuk memastikan hadith itu disampaikan kepada yang lain kerana hanya dengan itu barulah maksud hadith tercapai. Oleh itu kata Syeikh, hargailah jasa-jasa ulama ini kerana tanpa adanya rantaian sanad ini maka umat Islam tidak akan mengecapi nikmat seperti apa yang ada pada masa ini. Terputusnya rantaian sanad bererti lenyaplah keberkatan ilmu lalu ilmu yang sampai kepada kita bukanlah ilmu yang paling diyakini. Silalah rujuk pada catatan bebas saya disini. Majlis berakhir lebih kurang sejam kemudian.


Masjid Taman TAR Ampang dari pintu masuk sebelah kiri masjid



Hadith musalsal surah al-Fatihah yang diijazah oleh Syeikh pada hari itu



Sambungan hadith musalsal yang diijazah oleh Syeikh (lengkap dengan sanad dan matannya)

Monday, August 17, 2009

Tuan Guru Haji Yunus Akib

Tuan Guru Haji Yunus Akib merupakan salah seorang ulama besar yang berasal dari Malim Nawar Perak pada abad ke 19 dan awal abad ke-20 Masehi. Beliau ada membina pondok Kampung Tualang Sekah tetapi kemudiannya tapak pondok itu telah digantikan dengan maahad tahfiz yang dibina sekitar tahun 1990-an. Murid-murid yang datang berguru dengannya datang dari seluruh pelusuk Tanah Melayu. Salah seorang anak muridnya ialah Tuan Guru Haji Muhammad bin Mustafa (1900-1950) yang berasal dari Kuala Jempol, Negeri Sembilan. Sama seperti gurunya, Tuan Guru Haji Muhammad turut membina pondok pengajian. Diriwayatkan ketika zaman kemuncak pondok tersebut, sebanyak 200 pondok telah didirikan oleh pelajar-pelajarnya yang datang dari seluruh pelusuk Alam Melayu termasuklah dari Jambi, Sumatera. Berbalik kepada Tuan Guru Haji Yunus Akib tadi, sebagai ulama besar beliau juga ada menghasilkan karya. Yang saya tahu cuma satu sahaja iaitu kalau tak silap saya, tajuknya ialah Masail Sibyan, rujuk gambar dibawah. Gambar ini pun saya perolehi dari laman web http://www.geocities.com/rie34/profail1.html. Sekiranya ada diantara pengunjung blog ini memiliki kitab ini, saya berminat untuk mendapatkan salinannya. Begitu juga sekiranya ada kitab-kitab lain yang dikarang oleh ulama ini, harap sudi maklumkan kepada saya.



Kitab Masail Sibyan yang membicarakan ilmu tauhid, sembahyang, puasa, zakat, haji dan sebagainya

Sunday, August 16, 2009

Kiamat Hampir Tiba, Bekal Akhirat


Ini adalah kali kedua saya ke Desa Vista untuk mengikuti majlis ilmu Syeikh Fahmi ZamZam. Kali pertama ialah pada 1 Ogos yang lepas. Pada ketika itu, majlis ilmu diadakan di surau baru tetapi kali ini majlis ilmu yang menggunakan kitab yang sama iaitu Kiamat Hampir Tiba yang dikarang oleh Syeikh sendiri diadakan di perkarangan rumah tidak jauh dari surau lama Desa Vista. Tak pasti pula kenapa ia diadakan di perkarangan rumah, agaknya surau baru itu sedang dalam pembinaan dibahagian dalamnya kut. Apapun tuan rumah telah berusaha memastikan majlis ilmu berjalan dengan lancar. Kanopi yang didirikan di perkarangan rumah itu tidak hanya dilengkapi dengan kipas tetapi juga air-cond. Kalau tak silap saya ada dua unit air-cond disediakan. Tetapi pada hari tersebut, air-cond tidak berfungsi dengan baik lalu sisi kanopi dibuka bagi membolehkan angin dari luar masuk kedalam. Sambutan sangat menggalakkan. Syeikh Fahmi mengkhatamkan kitab Kiamat Hampir Tiba pada sesi pertama yakni sebelum majlis berehat seketika. Dalam sesi kedua, Syeikh membahas tentang bab puasa yang dirujuk dari Kitab Sairus Salikin. Majlis selesai lebih kurang jam 1.00 tengahari. Sebelum balik, sempat juga saya mengalas perut dengan jamuan yang disediakan dalam majlis tersebut.



Wow! Sungai Palembang?? Sebenarnya sungai ini terletak di jalan pintu masuk ke Desa Vista bukannya di Palembang, Sumatera Selatan. Apapun nama Palembang ini mengingatkan saya kepada ulama besar Alam Melayu abad ke-18 yang sangat masyhur iaitu Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang berasal dari Palembang. Kitab yang dikarangnya iaitu kitab Sairus Salikin adalah kitab yang disyarah oleh Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam hampir setiap bulan di Masjid al-Falah USJ 9







Kanopi yang didirikan diperkarangan rumah, tempat dimana berlangsung majlis ilmu Syeikh Fahmi. Syeikh mensyarahkan kitab Kiamat Hamir Tiba. Kitab selesai dikhatam pada sesi pertama dan disambung dengan syarah khas tentang bab puasa dengan merujuk kitab Sairus Salikin pada sesi kedua



Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam, salah seorang ulama Alam Melayu yang sangat gigih mengembangkan ilmu-ilmu Islam pada masa ini. Selain menyampaikan syarahan, Syeikh juga turut menghasilkan beberapa karya dimana banyak karyanya telah dijadikan teks pengajian.




Ini adalah kitab berjudul Bekal Akhirat yang disusun oleh Syeikh. Di kesempatan yang ada dalam waktu rehat sebelum sesi kedua bermula, saya memohon perkenan Syeikh untuk mengijazahkan kitab ini kepada saya, Alhamdulillah Syeikh memperkenan hajat saya.

Pagi di al-Falah, Malam di Masjid Negara

Pagi Sabtu saya ke USJ 9 untuk menghadiri majlis ilmu Syeikh Fahmi ZamZam. Keluarga saya pun ikut sekali. Majlis bermula pukul 9.30 pagi dan berakhir lebih kurang jam 12.45 tengah hari. Memandangkan Ramadhan bakal menjelang tiba, Syeikh bersyarah pada hari itu di bab Rahsia Puasa yang terkandung dalam kitab Sairus Salikin. Kalau tak silap saya, skip sekejap satu bab iaitu Rahsia Zakat. Saya sebenarnya asyik bila Syeikh bercerita tentang pengalamannya dengan gurunya yang sangat terkenal dalam dunia Islam mutakhir ini iaitu almarhum As-Sayyid Abul Hasan Ali an-Nadwi. Gurunya itu terkenal dengan kealimannya, kewarakannya dan sangat mesra apabila bersama dengan anak muridnya. Karya-karyanya tersebar luas ke serata dunia. Karyanya yang paling mengesankan saya ialah Apa Deritanya Dunia apabila Islam Mundur. Saya mula kenal dengan karya ini semasa saya membuat kajian tentang tokoh ini ketika mengikuti pengajian pemikiran Islam di Dar al-Hikmah. Disebelah malamnya pula, saya menghadiri majlis ilmu Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari di Masjid Negara. Majlis Syeikh bermula agak lewat sedikit kerana flightnya delay. Syeikh Nuruddin turut membahas tentang bab puasa khususnya berkaitan persediaan dalam mengerjakan ibadah puasa. Pada masa yang sama, Syeikh sempat juga menyelit kisah wabak H1N1. Kata Syeikh, kalau solat hajat untuk menghindarkan wabak ini boleh dilakukan sepatutnya solat hajat yang sama juga boleh dilakukan untuk memohon kepada Allah swt agar umat Islam kembali menghayati ajaran Islam yang sebenar. Solat hajat wajar dilakukan untuk melenyapkan maksiat. Bahkan solat hajat perlu dilakukan untuk menyelamatkan umat dari arak, judi, rasuah, bahaya rokok dan bermacam-macam lagi gejala yang melanda umat Islam pada hari ini.




Muzium Negara sekitar jam 7.00 malam. Saya on the way ke Masjid Negara. Sebenarnya sebelum tu saya tersilap ambil jalan sampai terlajak ke Brickfields. Kemudian patah balik dan lalu depan muzium untuk sampai ke Masjid Negara.


Hari pun dah nak gelap. Mujur belum start solat Maghrib lagi.


Ikut tangga masjid yang sebelah dengan makam Pahlawan

Syeikh Nuruddin belum sampai lagi. Jemaah sabar menunggu. Pada masa yang sama, anak murid Syeikh memimpin bazaan zikir dan ratib al-Haddad



Elok-elok sampai je, Syeikh terus memulakan syarahnya. Syeikh bersyarah lebih kurang sejam tanpa henti. Lepas syarah langsung dibuka peluang kepada hadirin untuk mengajukan soalan pada Syeikh

Sesi makan bermula lebih kurang jam 10.30 malam. Lauk boleh tahan sedap. Kata Syeikh Fahmi sambil berseloroh (ketika pengajian disebelah siangnya), kalau orang Melayu kata makan paling sedap tu sebenarnya merujuk kepada makan tak bayar. Ehehe, memang sedap pun bila dapat makan free.

menara Masjid Negara tinggi menjulang ke awan.

Sehari di Arkib Negara




Rasanya hampir 9 atau 10 bulan, saya tidak menjejakkan kaki ke tempat ini. Kad penyelidik saya pun dah expired. Saya sampai disini lebih kurang pukul 9.00 pagi. Di kaunter masuk, saya memperbaharui kad penyelidik. Kad penyelidik ini perlu diperbaharui setiap tahun. Tujuan saya datang kesini ialah untuk mencari bahan yang berkaitan penulisan ulama-ulama terdahulu khususnya ulama Perak. Bahan yang paling saya cari ialah Seruan Majlis kerana didalamnya ada tulisan Tuan Haji Saaya, mufti Perak pada sekitar tahun 60-an (kalau tak silap saya). Saya juga sebenarnya turut mencari kitab yang dikarang oleh Tuan Guru Haji Yunus Akib, ulama besar Perak yang tinggal di Malim Nawar pada kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 tetapi sehingga kini tidak berhasil. Carian di arkib juga tidak berjaya menemui karya ulama ini. Saya suka datang ke sini. Pertama, saya tidak perlu membuang masa untuk pergi fotostat bahan. Disini setiap bahan yang hendak difotostat perlu diserahkan ke kaunter dimana pegawai arkib sendiri yang akan melakukannya. Cuma sediakan wang yang mencukupi sebab cajnya boleh tahan juga. Untuk bahan dalam simpanan arkib, kalau tak silap saya cajnya ialah 30 sen untuk setiap salinan (bagi saiz A4) manakala bahan di perpustakaan pula cajnya ialah 10 sen untuk setiap salinan. Tapi ia amat berbaloi dan menjimatkan masa. Bukan senang kita hendak mencari bahan-bahan tersebut apatah lagi jika bahan itu berusia puluhan tahun bahkan mungkin juga ratusan tahun. Kedua, membuat kajian disini agak selesa kerana selain pengunjungnya yang tidaklah begitu ramai seperti di perpustakaan tesis lama juga mudah didapati disini (terletak di tingkat satu). Saya habiskan satu hari berada disini. Saya cuma keluar sekejap dari arkib untuk menunaikan solat Jumaat dan kemudiannya kembali dengan tugasan saya di arkib sehinggalah pukul 4.00 petang. Selepas itu, saya bergerak pulang. Kalau nak tau lebih detail tentang perkhidmatan yang ditawarkan di Arkib Negara, boleh rujuk kat sini, http://www.arkib.gov.my/.






Bangunan Menara Ilmu Arkib Negara. Rasanya disinilah bahan seperti dokumen disimpan

Kafe dan kedai cenderamata Arkib Negara



Wisma Warisan, lokasi utama penyelidik membuat kajian

Wisma Warisan dari tempat parkir kereta.


Kaunter utama Dewan Penyelidikan (terletak dalam Wisma Warisan). Disinilah tempatnya saya memperbaharu kad penyelidik saya


Menara masjid Wilayah Persekutuan yang kelihatan dari laluan tempat parkir kereta menuju ke masjid. Saya bersolat Jumaat disini. Masjid ini tidak jauh dari Arkib, lebih kurang 2-3 km.



Menaiki anak tangga untuk berjalan sampai ke dewan solat utama.

Pintu masuk Masjid Wilayah Persekutuan. Orang ramai berpusu-pusu masuk ke dewan solat utama.



Kalau tak silap saya, dihadapan itu adalah Kompleks Mahkamah Persekutuan. Ianya terletak bersetentang dengan Masjid Wilayah.


Tuesday, August 11, 2009

Tazkirah Ramadhan

Bahang Ramadhan makin terasa setelah Syeikh Fuad memulakan syarah atas kitab Tazkirah Ramadhan malam tadi di Surau Kemensah Height. Walaupun hujan turun mencurah-curah petang tadi namun surau tetap penuh seperti biasa. Saya bertolak dari Puchong macam biasa lebih kurang pukul 5.30 petang. Sebelum ke surau, saya singgah d Restoran Haji Anuar di Taman Permata untuk mengalas perut. Pekena roti canai dan nasi lemak. Hujan sebenarnya mula turun sebaik sahaja saya memasuki area Hulu Kelang sebab ketika saya melewati kawasan Cheras, langit masih cerah. Lebih kurang pukul 10.00 malam, majlis selesai dan hujan pun dah seroyat (kata orang Perak maksudnya berhenti). Saya sebenarnya tertarik dengan kata Syeikh pada malam tadi. Katanya (lebih kurang maksudnya begini), Orang sekarang pelik. Yang wajib tak nak buat tapi yang sunat sibuk pula nak buat. Ada orang yang langsung tak solat Jumaat padahal solat Jumaat tu wajib tapi beria-ria pulak nak buat solat tarawih di bulan Ramadhan atau solat hari raya pada hal solat tarawih dan solat hari raya tu sunat sahaja. Tajam sungguh kata Syeikh tapi memang betul pun. Itulah hakikat yang berlaku sekarang ini. Mudah-mudahan kita semua melipat-gandakan amalan apatah lagi bulan Ramadhan bakal menjelang tiba, tinggal berapa hari je lagi ni.



Restoran Haji Anuar di Taman Permata. Dah jadi rutin pulak singgah kat sini. Boleh kata setiap Selasa saya datang sini pekena roti canai untuk mengisi perut sebelum ke Surau Kemensah. Kalau nak ke sini, dari traffic light Taman Permata selepas keluar dari highway MRR2, ambil jalan sebelah kanan menghala ke Giant dan terus sahaja sampai jumpa restoran ini. Rstoran ni betul kat hujung jalan. Rasanya kat restoran ni ada wifi sebab saya tengok ramai orang makan sambil bukak notebook.


Giant Taman Permata kelihatan dari Restoran Haji Anuar. Hujan turun dengan lebatnya pada waktu itu. Nikmat sungguh pekena teh tarik time tu, Alhamdulillah.


Perut dah kenyang, apalagi ke Surau Kemensah. Jam pun dah dekat nak pukul 7.00 malam. Hujan masih lagi lebat. Dari Taman Permata nak ke Kemensah tak begitu jauh. Dalam 2-3 km gitu je.

Ruang solat utama Surau Kemensah


Kitab yang disyarah oleh Syeikh Fuad malam tadi berjudul Tazkirah Ramadhan