Cuaca mendung pagi Sabtu. Saya berkira-kira hendak ke Desa Vista. Hari ini ada pengajian Syeikh Fahmi di Desa Vista. Dari Puchong, saya mengambil jalan susur lebuh raya Putrajaya-Cyberjaya dan mengambil jalan keluar menghala ke Bangi/Kajang. Saya mengambil jalan potong dengan melalui jalan menghala ke al-Jenderami. Sebenarnya, pada masa yang sama juga satu majlis besar-besaran sedang diadakan di Yayasan al-Jenderami. Majlis yang dimaksudkan ialah sambutan Hari Hol Saiyidatina Siti Khadijah. Di Shah Alam pula, muktamar ABIM yang melibatkan pembentangan kertas kerja sarjana-sarjana terkenal sedang berlangsung. Tetapi hati saya nampaknya lebih kuat ke Desa Vista. Tempat majlis ilmu Syeikh Fahmi ini berlangsung di surau yang baru dibina. Surau ini pun masih belum siap sepenuhnya. Surau ini terletak betul-betul diatas bukit. Dari surau, boleh nampak hampir keseluruhan kawasan taman dan hutan-hutan yang menghijau. Satu pemandangan yang sangat indah. Surau ini nampak gayanya masih belum diberi nama. Kata Syeikh Fahmi sewaktu hendak memulakan majlis, elok bagi nama surau ini cepat-cepat. Kuliah selesai lebih kurang jam 12.30 tengah hari. Syeikh Fahmi selepas itu terpaksa bergegas ke Shah Alam kerana membentangkan kertas kerja di Muktamar ABIM. Disebelah malamnya pula, saya menghadiri Pidato Perdana yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki di Masjid Negeri Shah Alam. Isteri dan anak-anak saya ikut sekali. Di masjid, saya berjumpa Ustaz Nasir (Kolej Dar al-Hikmah) dan sahabat sekuliah saya, Azlan yang turut hadir mengikuti Pidato Perdana yang bakal disampaikan oleh Syeikh Fuad. Lebih kurang pukul 10.00 malam barulah Syeikh Fuad memulakan syarahnya dengan temanya Generasi Salahuddin. Seperti biasa, syarahan Syeikh jelas, padat dan sangat bertenaga. Diakhir syarahnya, Syeikh bergurau, sepatutnya beliau diberi masa 5 jam untuk menyampaikan syarahan, barulah lengkap isi syarahannya. Lebih kurang pukul 11.00 malam majlis selesai. Dari segi sambutan terhadap majlis, walaupun yang hadir agak ramai tetapi sebenarnya masih banyak lagi ruang kosong dalam dewan utama. Sepatutnya persatuan pelajar samada di IPTA atau IPTS berhimpun disini memenuhi setiap ruang kosong kerana mesej yang hendak disampaikan oleh Syeikh adalah sangat besar dan berkaitan dengan generasi yang bakal menerajui kepimpinan negara. Mungkin mereka ada agaknya cuma saya tak perasan tapi melihatkan kepada ruang kosong yang agak banyak, saya mengandaikan ramai yang tidak hadir. Rugilah anak-anak muda jika mereka tidak hadir dalam majlis sebegini kerana banyak manfaat yang boleh dikutip di sini.
Surau baru ini belum siap sepenuhnya. Masih beralas tikar plastik. Kelihatan Syeikh Fahmi sedang bersiap-siap hendak memulakan syarahan. Walaupun surau masih belum siap sepenuhnya, namun semangat hendak menuntut ilmu dan bergotong-royong menjayakan majlis ini jelas kelihatan disetiap wajah warga Desa Vista yang hadir pada hari itu. Seronok saya melihat suasana sebegini.
Syeikh Fahmi memulakan syarahnya
Inilah kitab yang disyarah oleh Syeikh Fahmi pada hari itu. Tajuknya ialah Kiamat Hampir Tiba
Syarahan Syeikh Fahmi bermula seawal jam 9 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengah hari. Ketika syarahan berlangsung, hujan turun renyai-renyai. Sejuk dan nyaman waktu itu.
Hadirin sedang menjamu selera makan tengah hari
Pemandangan surau dari sisi sebelah kanan
Pidato Perdana "Generasi Salahuddin" yang disampaikan oleh Syeikh Fuad di Masjid Negeri Shah Alam disebelah malam Ahad
No comments:
Post a Comment