Monday, April 19, 2010

Subang

Sabtu lepas saya ke Subang bersama keluarga. Kami keluar awal-awal pagi. Selepas mengisi perut di Syed Bistro kami terus menuju ke Subang. Tujuan ke sana adalah untuk menghantar pembantu rumah saya pulang ke tanah asalnya. Destinasi penerbangan adalah ke Batam. Ikut jadual, penerbangannya tepat jam 10 pagi. Kami sampai di Lapangan Terbang sekitar jam 9.15 pagi. Suasana di sini tidaklah sesibuk 13-15 tahun dahulu. Sebelum KLIA dibuka pada tahun 1999, lapangan terbang ini adalah lapangan terbang utama negara. Saya pernah menaiki kapal terbang di sini pada tahun 1997. Semasa itu, saya ke Langkawi. Ikut sejarah, lapangan terbang ini dibuka secara rasmi untuk penerbangan pada 30 Ogos 1965, dan mempunyai landasan terpanjang (panjang 3.7 km, lebar 45 m) di Asia Tenggara ketika itu. Ia mempunyai 3 terminal - Terminal 1 untuk penerbangan antarabangsa, Terminal 2 khas untuk penerbangan Malaysia-Singapura dan Terminal 3 untuk penerbangan domestik. Selepas selesai urusan di Subang, kami ke Bandar Sri Damansara untuk mengikuti majlis ilmu Syeikh Fahmi. Beliau mensyarah kitab 40 Hadith Penawar Hati.




Pemandangan jalan raya sekitar Lapangan Terbang Subang dari jejantas

Kaunter check-in



Saya ke anjung tinjau untuk melihat pemandangan lapangan terbang tetapi telah terlindung dengan gudang-gudang besar. Rasanya tempat baik pulih pesawat kut

Lapangan Terbang Subang atau lebih dikenali dengan nama Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah

Pemandangan kawasan perumahan di Bandar Sri Damansara dari kawasan Masjid al-Mukarramah

Menara Masjid al-Mukarramah

Salah satu pintu masuk masjid

Masjid al-Mukarramah Bandar Sri Damansara

Sunday, April 11, 2010

Simtud Durar

Jumaat malam lepas, saya ke Dar al-Maliki Taman TAR. Saya bergerak dari Puchong. Jalan sesak teruk di beberapa tempat. Saya mengambil Jalan Tun Razak untuk kesana. Saya melewati kawasan itu sekitar jam 6.00 petang. Terperuk disitu lebih kurang 1/2 jam. Saya sampai di Dar al-Maliki sebelum maghrib. Majlis pada hari itu adalah berkenaan dengan pelancaran kitab maulid Simtud Durar yang dikarang oleh AL A’LAMAH AL HABIB ALI BIN MUHAMMAD AL HABSYI. Majlis bermula selepas isyak. Selain dari pelancaran kitab, syeikh turut mengijazahkan ikhwan musalsal minum air beserta memakan buah kurma. Majlis berakhir sekitar jam 10 malam. Ikhwan turut dijamu dengan nasi beriani kambing pada malam itu.

AL A’LAMAH AL HABIB ALI BIN MUHAMMAD AL HABSYI dilahirkan di Hadhramaut pada hari Jumaat 24 syawal 1259H. Beliau dibesarkan di bawah asuhan dan pengawasan kedua orang tuanya, ayahandanya, Al-Imam Al-Arif Billah Muhammad bin Husin bin Abdullah Al-Habsyi dan bondanya; As-Syarifah Alawiyyah binti Husain bin Ahmad Al-Hadi Al-Jufri, yang pada masa itu terkenal sebagai seorang wanita yang solehah yang amat bijaksana. Pada usia yang amat muda, Habib Ali Al-Habsyi telah mempelajari dan mengkhatamkan Al-Quran dan berhasil menguasai ilmu-ilmu zahir dan batin sebelum mencapai usia yang biasanya diperlukan untuk itu. Atas sebab itu, beliau diizinkan oleh para guru dan pendidiknya untuk memberikan ceramah-ceramah dan pengajian-pengajian di hadapan khalayak ramai, sehingga dengan cepat sekali, dia menjadi pusat perhatian dan kekaguman serta memperoleh tempat terhormat di hati setiap orang. Kepadanya diserahkan tampuk kepimpinan tiap majlis ilmu, lembaga pendidikan serta pertemuan-pertemuan besar yang diadakan pada masa itu. Masjid “Riyadh” di kota Seiwun, Hadhramaut dibangunkan untuk tujuan dakwah dan pengembangan ilmu. Begitu juga dengan pondok-pondok dan asrama-asrama yang diperlengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk memenuhi keperluan para penuntut ilmu, termasuk soal makan-minum, sehingga mereka dapat belajar dengan tenang dan tenteram, bebas dari segala fikiran yang mengganggu, khususnya yang bersangkutan dengan keperluan hidup sehari-hari. Bimbingan dan asuhan beliau yang penuh dengan kasih sayang terhadap anak-anak muridnya telah menyebabkan murid-muridnya mudah menghadam ilmu yang disampaikan dan menerusi anak-anak muridnya itulah ilmu-ilmu disebarkan ke luar daerah Hadramaut seperti di Afrika dan Asia. Di tempat-tempat itu, mereka mendirikan pula pusat-pusat dakwah dan penyiaran agama. Mereka sendiri menjadi perintis dan pejuang yang gigih, sehingga mendapat tempat terhormat dan disegani di kalangan masyarakat setempat. Lembaga-lembaga pendidikan dan majlis-majlis ilmu didirikan di banyak tempat, sehingga manfaatnya benar-benar dapat dirasakan dalam ruang lingkup yang luas sekali. Tokoh yang sangat berjasa ini wafat di kota Seiwun, Hadhramaut, pada hari Ahad 20 Rabi’ul Akhir 1333 H dan meninggalkan beberapa orang putera yang telah memperoleh pendidikan sebaik-baiknya dari beliau sendiri, yang meneruskan cita-cita beliau dalam berdakwah dan menyiarkan agama. Di antara putera-putera beliau yang dikenal di Indonesia ialah puteranya yang bongsu; Al-Habib Alwi bin Ali Al-Habsyi, pendiri Masjid “Riyadh” di kota Solo (Surakarta). Dia dikenal sebagai seorang yang berperibadi amat luhur budi pekertinya, lemah-lembut, sopan-santun, serta ramah-tamah terhadap siapa pun terutama kaum yang lemah, fakir miskin, yatim piatu dan sebagainya. Rumah kediamannya selalu terbuka bagi para tamu dari berbagai golongan dan tidak pernah sepi dari pengajian dan pertemuan-pertemuan keagamaan. Beliau meninggal dunia di kota Palembang pada tanggal 20 Rabi’ul Awal 1373 H dan dimakamkan di kota Surakarta. Diriwayatkan bahawa di wajah AL A’LAMAH AL HABIB ALI BIN MUHAMMAD AL HABSYI tepatnya dibawah mata ada garis hitam, garis hitam tersebut adalah bekas linangan air mata yang selalu mengalir saat dia mengenang dan mengingat baginda Rasulullah SAW. Kerana rasa sangat cintanya kepada Rasulullah SAW, beliau menyusun kitab SIMTUD DURAR dengan air mata darah, kerinduan yang begitu memuncak. Ya Allah jadikan hamba-hambamu ini pencinta Rasulullah SAW ...agar bisa memperoleh syafaat dari Rasulullah SAW...Amin (Diolah sumber dari sini)




Tuesday, April 6, 2010

Kanzul Minan

Ahad lepas saya menghadiri majlis ilmu Syeikh Fuad. Syeikh mensyarah kitab Kanzul Minan Hikam Abi Madyan pada waktu dhuha. Saya ada membuat sedikit catatan tentangnya.

Monday, April 5, 2010

Syeikh Salim Alwan al-Hasaniy

Sabtu malam yang lepas, saya dan keluarga ke Taman TAR untuk menghadiri satu majlis ilmu yang disampaikan oleh Dr Syeikh Salim Alwan al-Hasaniy. Beliau adalah Pengerusi Majlis Tertinggi Islam Australia. Kami sampai beberapa minit sebelum azan maghrib berkumandang. Selepas solat maghrib, Dr Syeikh Salim terus mengambil posisi dan menyampaikan syarahan. Syarahan selesai lebih kurang jam 9.15 malam. Selesai solat isyak, kami berangkat pulang. Kami singgah di Awan Besar untuk mengisi perut. Sampai di rumah lebih kurang jam 11 malam.




Syeikh Salim Alwan sedang menyampaikan syarahannya


Syeikh Salim Alwan al-Hasaniy dan tuan guru yang mulia, Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki