Monday, March 29, 2010

Adab-adab Salik


Ahad lepas saya menghadiri majlis ilmu Syeikh Fuad di Taman TAR, Ampang. Syeikh mensyarahkan dua buah kitab iaitu Kanzul Minan Hikam Abi Madyan (edisi jawi) yang diterjemah dan disusun oleh ulama besar Alam Melayu abad ke-18 Masehi iaitu Syeikh Wan Daud bin Wan Abdullah al-Fathani dan Adab-adab Salikin yang ditulis oleh al-Allamah Syeikh Mahmud Muhammad Khattab al-Subki. Majlis bermula sekitar jam 10 pagi dan berakhir lebih kurang jam 12.15 tengah hari.

Syeikh Wan Daud al-Fathani Bahjatuddin al-Arif ar-Rabbani
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
SEJAK kisah karamah Tok Kenali, diperkenalkan Isnin, 2 Oktober lalu, ramai menghubungi saya melalui telefon dan e-mel. Saya cuba membuat analisis perbandingan secara keseluruhan kegemaran pembaca dari pelbagai golongan tentang isu-isu yang pernah disentuh dalam siri ulama seperti pendidikan, politik, ekonomi, sejarah, manuskrip, bahasa, sastera, asal usul keturunan jihad dan lain-lain serta yang terakhir sekali isu karamah. Ternyata pengikut isu karamah adalah yang paling ramai menghubungi saya.Mereka bukan menolaknya, tetapi rasa ingin tahu tentang ulama dunia Melayu yang mempunyai karamah. Agak berat saya menulis perkara tersebut, bukan kerana kekurangan bahan, tetapi pada pandangan saya, para ulama yang masih belum begitu diketahui oleh orang ramai perlu dapat dibuktikan dengan hasil-hasil peninggalannya, seperti kitab karangan, institusi pendidikan, dan lain-lain seumpamanya. Ada pun kisah mengenai Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani telah saya terbitkan dalam bentuk buku (Malaysia dan Indonesia) dan dalam kertas-kertas kerja yang dibentang dalam beberapa seminar. Oleh itu sudah sampai gilirannya, kerana memenuhi permintaan pihak-pihak tertentu, minta supaya karamah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga ditempatkan dalam ruangan bicara ulama Nusantara ini. Pada judul digunakan istilah-istilah, iaitu Bahjatuddin dan Al-Arif Ar-Rabbani. Perkataan Arab Bahjatuddin jika diterjemah ke dalam bahasa Melayu bererti Keelokan Agama, iaitu salah satu nama gelar yang diberikan orang kepada Syeikh Daud Abdullah al-Fathani yang pernah terdapat dalam sebuah kitab karangan beliau. Perkataan Al-Arif Ar-Rabbani juga diberikan oleh beberapa ulama kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sejak zaman beliau dan gelaran itu kekal digunakan pada beberapa kitab karangan beliau hingga sekarang ini. Menurut tradisi keilmuan Islam, khususnya ilmu tasawuf, hanya ulama-ulama yang sampai kepada peringkat Haal dan Maqam para Wali Allah saja yang layak diberikan gelar Al-Arif Ar-Rabbani atau Al-Arif Billah. Tidak ramai ulama dunia Melayu memperoleh gelaran demikian. Di antara yang tidak ramai itu termasuk juga Al-Alim Al-Allamah Al-Arif Ar-Rabbani Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Dari julukan nama yang demikian agung, ramai orang tidak ragu-ragu tentang cerita-cerita karamah yang pernah berlaku terhadap ulama besar, Wali Allah, yang banyak menghasilkan kitab karangan, yang berasal dari Patani itu.
Rumah Kerisik
Ketika saya berumur antara empat dan lima tahun, belum bersekolah, cerita tentang karamah seorang Wali Allah yang pertama sekali saya dengar ialah Karamah Syeikh Daud al-Fathani. Sewaktu ibu saya, Hajah Wan Zainab Syeikh Ahmad al-Fathani, mengajar golongan hawa, beliau menggunakan salah sebuah kitab Syeikh Daud Abdullah al-Fathani. Beliau meriwayatkan, “Pada satu ketika sewaktu Syeikh Daud al-Fathani mengajar di rumahnya di Kerisik, Patani tiba-tiba beliau berhenti mengajar.”Lalu digerak-gerakannya tangannya.Lengan bajunya basah. Ada muridnya bertanya, kenapa Tok Syeikh itu berkelakuan demikian. Tok Syeikh Daud menjawab, “Aku menolong orang karam!” Sejurus kemudian orang karam itu datang menemui Tok Syeikh Daud kerana membayar nazar. Setelah orang-orang yang mengikuti pengajian kepada ibu saya tersebut pulang, saya bertanya kepada ibu saya, bagaimanakah caranya orang yang diam di atas darat boleh menolong orang karam di laut? Ibu saya menjawab, “Belajar rajin-rajin. Mengaji Quran banyak-banyak. Berdoa banyak-banyak. Nanti di kemudian hari kamu ketahui.”Saya tidak perlu memaksa diri sendiri atau orang lain percaya atau pun menolak riwayat di atas, tetapi setelah saya membanding pelbagai perubahan zaman dapatlah saya fahami maksud perkataan ibu saya itu. Bererti beliau faham ilmu psikologi pendidikan kanak-kanak pada zaman itu (tahun 1950). Kenapa kita menolak cerita karamah para Wali Allah ? Sedangkan zaman kita sekarang cerita yang bercorak robot yang direka oleh manusia moden, seperti ultraman, doraemon, power rangers, termasuk juga pendidikan seks yang diketahui oleh kanak-kanak yang masih di bawah umur apakah kita tidak terfikirkan dampak negatifnya terhadap remaja Islam dan bangsa Melayu untuk masa-masa yang akan datang ?Oleh itu kisah mukjizat para Nabi dan karamah para Wali Allah adalah patut diperkenalkan. Di dalamnya banyak peroleh petunjuk dan keberkatan bukannya membawa kejumudan seperti pendapat pihak-pihak tertentu yang selalu sinis dari sesuatu yang bersumberkan daripada tradisi Islam. Kisah di atas juga saya dengar di Kerisik, Patani, tahun 1970 di rumah tempat kejadian (rumah yang dibina oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani). Rumah tersebut runtuh (terpetak di atas tanah) pada 1989, kebetulan ketika kejadian itu saya berada di Patani. Saya menyaksikan sendiri, bahawa ada bahagian penting tempat sebuah peti manuskrip atau naskhah-naskhah tulisan tangan tidak mengalami kerosakan. Berhari-hari khazanah ilmu itu tidak dipedulikan orang, terbiar begitu saja sehinggalah saya datang ke tempat itu.Saya memang mempunyai hak atas pemilikan naskhah-naskhah itu, oleh itu telah saya selamatkan dengan apa yang ada dalam koleksi saya. Dari peristiwa tersebut dan perbandingan lainnya, saya dapat mengambil iktibar bahawa keghairahan kebanyakan orang selalu berusaha memperoleh harta pusaka yang bercorak kebendaan, tetapi sangat jarang atau sedikit sekali orang yang mengutamakan khazanah ilmu yang dipusakai oleh datuk neneknya.Setelah saya kaji peri kehidupan Syeikh Daud Abdullah al-Fathani, bahawa beliau lebih mengutamakan pusaka khazanah ilmu dari kebendaan lainnya, barangkali kerana itulah sebahagian ilmu-ilmu yang berasal dari beliau masih selamat sampai sekarang. Hasil-hasil karangan beliau masih banyak diajarkan orang di pelbagai tempat di dunia Melayu. Namanya tetap harum semerbak di sepanjang zaman.
Keberangkatan ke Mekah
Peristiwa karamah Syeikh Daud Abdullah al-Fathani sewaktu beliau akan ke Mekah yang pertama kali diriwayatkan sebagai berikut, “Tok Syeikh Daud adalah seorang suka berusaha sendiri, beliau tidak suka membebankan urusannya kepada orang lain termasuk terhadap kedua orang tuanya. Pada satu ketika, beliau ingin menunaikan haji ke Mekah sekali gus untuk belajar ke sana.”Sejak kecil yang diusahakannya hanyalah menuntut ilmu, tidak pernah menghiraukan sesuatu pekerjaan lainnya. Walau pun beliau tahu bahawa kedua orang tuanya mampu mengirimnya ke Mekah, namun beliau tidak pernah menceritakan hasratnya itu. Sebagai seorang yang terpelajar dalam pelbagai ilmu, salah satu kaedah dalam ilmu tasawuf mempedoman bahawa hakikat pentadbiran, sama ada diri peribadi atau dari sekecil-kecil alam semesta hingga yang sebesar-besarnya adalah mutlak milik Allah s.w.t.. Tasawuf juga mengajar bahawa doa adalah senjata yang paling ampuh untuk mengatasi segala persoalan. Oleh itu Tok Syeikh Daud lebih mengutamakan berdoa daripada terlalu bersibuk-sibuk mencari wang. Kerana Tok Syeikh Daud berdoa dengan keseluruhan dirinya, diri yang zahir dan diri yang batin, tiada bahagian tubuh zahir dan batin, yang tidak ikut serta dalam munajat kepada Allah, maka doanya sentiasa dikabulkan Allah. Kabul itu pula ada kelainan daripada biasa.Bahawa pada suatu hari Tok Syeikh Daud melihat seekor lembu menanduk busut. Tok Syeikh Daud berfikir mengapakah lembu itu berbuat demikian? Beliau munajat, mohon petunjuk kemungkinan ada rahsia yang tersembunyi pada kelakuan binatang itu.Pada malam hari, Tok Syeikh Daud bermimpi bahawa di dalam busut itu tersimpan emas supaya beliau mengambilnya untuk belanja berangkat ke Mekah dan keperluan selama beliau belajar di sana. Emas itu pula supaya disedekahkan kepada semua orang miskin yang berada di Kerisik. Cara bersedekah pula hendaklah dengan rahsia, iaitu emas itu diletakkan di bendul pintu setiap rumah. Semua petunjuk dalam mimpi itu telah beliau kerjakan.Sungguh ajaib, semua rumah yang diletakkan emas itu, pemiliknya bermimpi pula bahawa mereka menerima sedekah dari Tok Syeikh Daud.Diriwayatkan, bahawa beliau seorang yang qana'ah (cukup seadanya saja), oleh itu amanah itu dilaksanakan dengan sejujur-jujurnya. Dengan demikian hidup beliau penuh berkat dan rahmat hinggalah ke akhir hayatnya.Orang-orang yang menerima sedekah daripada Tok Syeikh Daud juga demikian adanya. (Sumber cerita diperoleh di Kerisik daripada beberapa orang tua-tua kewarisan Syeikh Daud Abdullah al-Fathani, tahun 1970).
Jin di alam manusia
Selalu kita mendengar ada orang mencari ilmu untuk menguasai jin atau pun makhluk halus. Mereka bermaksud dengan jenis ilmu yang demikian dapat mengatasi keperluan atau menyampaikan sesuatu hajat. Ini berbeza dengan para Wali Allah. Mereka tidak memerlukan ilmu seperti itu kerana mereka selalu berpegang kepada akidah yang betul. Sungguh pun begitu, ada beberapa orang ulama dunia Melayu termasuk Syeikh Daud Abdullah al-Fathani yang pernah menjadi guru kepada jin yang beragama Islam.Diriwayatkan: “Ada satu jin yang menyamar bersama-sama dengan jenis manusia belajar kepada Tok Syeikh Daud di Masjid al-Haram, Mekah. Jin itu menyangka bahawa Tok Syeikh Daud tidak tahu bahawa dia adalah bangsa jin. Sebenarnya Tok Syeikh Daud bukannya tidak tahu perkara itu, bagi seorang Wali Allah sesuatu rahsia yang belum diketahui oleh orang ramai beliau tidak akan menceritakannya selagi perkara itu tidak merosakkan pihak lainnya.Pada satu malam, jin itu menjemput Tok Syeikh Daud dan gurunya yang berbangsa jin datang ke rumahnya kerana mengadakan kenduri. Semua yang hadir adalah bangsa jin dan mereka merendahkan diri kepada Tok Syeikh Daud.Alam itu sebenarnya adalah alam jin, tetapi mereka cuba hadir kepada alam manusia. Maksud mereka bukan untuk menipu Tok Syeikh Daud tetapi mereka ingin mengambil berkat atas ketinggian martabat Wali Allah bangsa manusia itu.Mereka menyangka bahawa Tok Syeikh Daud tidak mengetahui perkara itu, sebenarnya sebelum datang ke tempat itu beliau telah maklum bahawa jemaah yang hadir di tempat itu bukan bangsa manusia tetapi adalah jemaah jin.Setelah selesai upacara, jin tuan rumah bersedekah kepada Tok Syeikh Daud satu bungkusan yang di dalamnya terdapat ketulan-ketulan emas dan pelbagai jenis permata yang mahal-mahal harga. Tok Syeikh Daud menolak sedekah itu dengan secara halus, dibahagi-bahagikan kepada semua bangsa jin yang hadir di tempat itu sehingga tidak ada sesuatu pun yang tinggal pada beliau.Cerita di atas dapat menjadi pengajaran, bahawa pada zaman moden sekarang masih ada orang yang ingin mendapatkan harta kekayaan melalui jin. Tetapi berbeza dengan ulama seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, beliau tidak memerlukan barangan yang bukan dari alam kita sendiri.Tidaklah berlebihan, saya kemukakan sedikit pengalaman bahawa saya pernah menyaksikan ada orang dapat mengambil jongkong emas, keris, dan permata dari alam ghaib. Tetapi ternyata emas di alam jin tidak menjadi emas di alam kita. Emas di alam jin hanyalah tembaga apabila masuk ke alam kita.
Sumber dari Utusan Malaysia. Terbit pada 23 Oktober 2006


Kitab Adab-adab Salikin yang disyarah oleh Syeikh Fuad

Kitab Kanzul Minan yang disyarah oleh Syeikh Fuad

Catatan Sehari Perjalanan - Pantai Barat Johor Siri 6

Kami sampai di Kukup lebih kurang jam 3 petang, seperti yang direncanakan. Jarak antara Kukup dengan Pontian sekitar 15-20 km. Suasana di Jeti Kukup lebih kurang suasana di Jeti Kuala Kedah atau Kuala Perlis. Bezanya, jeti Kukup menjadi terminal kepada mereka yang ingin keluar-masuk ke/dari Tanjung Balai, Pulau Karimun, Indonesia manakala jeti Kuala Kedah dan Kuala Perlis adalah terminal keluar-masuk ke/dari Pulau Langkawi, Kedah. Menurut Nas, perjalanan ke Tanjung Balai mengambil masa lebih kurang 55 minit. Di kiri dan kanan jeti ada gerai makan seafood Cina. Perut saya pun terasa lapar. Saya mencari gerai makan didalam jeti. Ada satu gerai menjual waffle dan roti bun. Terus saya order. Selesai sahaja urusan lebih kurang jam 4.15 petang, kami meneruskan perjalanan untuk pulang semula ke KL. Perjalanan memakan masa lebih kurang 3 jam lebih. Apabila melihat meter perjalanan pada dashboard kereta, barulah kami tahu bahawa kami sebenarnya telah bermusafir sejauh 800 km pada hari itu.


Jeti Antarabangsa Kukup

Suasana di jeti

Catatan Sehari Perjalanan - Pantai Barat Johor Siri 5

Untuk ke Kukup, kami perlu mengambil susur keluar Simpang Renggam. Dari Simpang Renggam, kami perlu melalui bandar Pontian sebelum sampai ke Kukup. Seingat saya, saya pernah sampai di Pontian kira-kira 13 tahun yang lalu. Sudah pasti bandarnya banyak berubah. Ada 2 pemandangan yang hampir sama sepanjang perjalanan saya dari Simpang Renggam menuju ke Pontian. 2 pemandangan yang saya maksudkan ialah ladang nanas dan kelapa sawit. Nanas dijual dengan banyaknya di gerai jualan. Ada yang dijual RM 1 untuk 3 biji dan macam-macam lagi promosi. Ada juga niat nak berhenti tapi Nas kata ada banyak lagi gerai di hadapan. Last-last satu pun kami tak berhenti. Apabila sampai di pekan Pontian, kelihatan perahu-perahu nelayan berbaris di muara sungai. Pekan Pontian juga sudah banyak berubah. Sudah ada pasaraya Giant dan hotel besar disebelahnya. Agak jauh juga perjalanan dari Simpang Renggam ke Pontian, apatah lagi ia menjadi laluan utama (satu-satunya laluan utama) kenderaan berat seperti lori dan trailer. Kami terpaksa mengharung perjalanan hampir satu jam untuk sampai ke Pontian dari Simpang Renggam. Jaraknya mungkin sekitar 50 hingga 60 km. Di Pontian, papan tanda ke Muzium Bugis semakin banyak kelihatan. "Kita kesana", kata saya kepada Nas. Sebetulnya saya ingin melihat salasilah masyarakat Bugis yang mungkin ada disimpan disitu, mana tahu mungkin ada kaitan dengan moyang saya, Daeng Selili. Agak mengelirukan juga papan tanda yang terdapat di bahu jalan terutamanya apabila sampai di Pantai Rambah. Papan tanda di Pantai Rambah menunjukkan arah ke kanan untuk sampai ke muzium dengan jarak kira-kira 500 meter. Lalu saya terus masuk ke sebelah kanan dan mencari lokasi muzium. Akhirnya saya bertemu dengan sebuah rumah yang mempunyai papan tanda "Muzium Bugis". Mungkin ini kut muzium yang dimaksudkan, kata saya dalam hati. Malangnya pintu rumah atau muzium itu berkunci. Saya memberi salam tetapi tidak berjawab. Akhirnya kami meneruskan perjalanan ke Kukup. Dalam perjalanan ke Kukup kami bertemu lagi dengan sebuah bangunan yang mempunyai papan tanda Muzium Bugis. Bangunan tersebut terletak betul-betul di tepi jalan. Dihadapannya ada seorang perempuan sedang menjual makanan manakala masjid terletak disebelah kanan. Lokasinya ialah di Kampung Teluk Kerang. Kami masuk ke dalam muzium tersebut untuk melihat artifak yang ada. Tidak begitu banyak barang atau artifak yang dipamerkan, maksud saya yang ada kaitan dengan Bugis. Saya mengharapkan ada salasilah tentang keturunan Bugis dipamerkan disitu tapi nampaknya tidak ada. Yang ada hanyalah salasilah Dato' Onn bin Jaafar yang bertemu salasilahnya dengan Bendahara Tepok. Setelah hampir 15 hingga 20 minit kami berada disitu, kami pun meneruskan perjalanan menuju ke Kukup.


Muzium Bugis di Pantai Rambah


Sisi lain perkarangan muzium Bugis di Pantai Rambah. Muzium tutup ketika kami sampai

Salasilah Dato Onn bin Jaafar yang dipamerkan di Muzium Bugis, Kampung Teluk Kerang

Senjata yang dipakai oleh hulubalang Bugis

Penerangan senjata

Basikal yang digunakan oleh Dato' Onn bin Jaafar

Penerangan tentang basikal Dato' Onn

Pemandangan dalam Muzium Bugis di Kampung Teluk Kerang

Pemandangan hadapan Muzium Bugis Kampung Teluk Kerang

Catatan Sehari Perjalanan - Pantai Barat Johor Siri 4

"Adik, Kampung Brohol kat mana?" Tanya saya kepada penjaga kaunter stesen minyak Petronas yang terletak tidak jauh dari simpang masuk ke Kampung Raja. "Kalau abang nak pergi ke Kampung Brohol, abang kena ikut jalan Kampung Raja, kemudian tegak je sampai jumpa simpang ke Kampung Brohol, ada lebih kurang 15 minit kut nak sampai situ", beritahu si penjaga kaunter. "Ok, terima kasih." Nas beli paper dan keropok. "Bila mengunyah boleh hilang ngantuk bang", beritahu Nas sebab-musabab dia membeli keropok. Kami masuk kembali ke Kampung Raja. Untuk sampai ke Kampung Brohol, ada beberapa kampung lain yang perlu kami lalui termasuklah kampung Olak Sepam yang mempunyai beberapa binaan menarik yang telah diwartakan sebagai khazanah sejarah negara. Dari Kampung Raja, perjalanan ke Kampung Brohol tidaklah begitu jauh. Ada lebih kurang 5 hingga 10 minit sahaja. Pemandangan kampung biasa sahaja sehinggalah kami masuk ke simpang Kampung Brohol, apabila pemandangan ditebing-tebing sungai menjadi sangat indah. Air sungai begitu jernih. Warnanya hijau mengingatkan saya warna air laut di Pulau Langkawi. Saya berhajat hendak menziarahi kampung ini setelah membaca buku Kejatuhan Kota Pagoh. Di Kampung Brohol, terdapat satu maqam yang menggunakan batu nisan Aceh. Pemiliknya adalah seorang tokoh penting yang terlibat dengan perjuangan menentang penjajah Portugis kira-kira 500 tahun yang lalu. Beliau adalah Panglima Mat Berani. Maqam beliau terletak beberapa ratus meter sahaja dari batu peringatan Pagoh sebagai kota bersejarah. Batu peringatan ini telah dirasmikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin pada tahun 1988 (sempena 500 tahun ulangtahun Kota Pagoh). Tan Sri Muhyuddin pada ketika itu adalah Menteri Besar Johor. Selesai menziarahi maqam Panglima Mat Berani, kami ke gerai makan yang berdekatan. Hajat hendak mengalas perut. Ada bubur lambuk. Nampak menyelerakan, terus Nas order. Saya pun sama. "Kalau le bubur lambuk ni panas-panas mesti sedap", beritahu Nas pada saya sambil baca paper. Saya mengangguk. Bubur lambuk terasa sejuk. Nasib baiklah pemandangan sungai hari itu cukup indah. Gerai makan yang kami singgah betul-betul terletak di tebing sungai. "Jernih betul air sungai sini bang", sapa saya kepada seorang lelaki yang duduk bersebelahan kami. Dia memakai baju kemeja Petronas, rasa saya dia seorang staf di stesen minyak berdekatan. "Selalunya air sungai keruh je, mungkin sebab hujan malam tadi. Bila hujan, asid banyak dalam air, sebab tu air sungai jadi jernih", lelaki itu berteori. "Selalunya diorang mancing udang tapi sebab air jernih, harini diorang mancing ikan", beritahu seorang akak yang turut berada di gerai itu. Memang ramai penduduk setempat yang turun ke sungai hari itu. Tidak kira tua atau muda masing-masing membawa batang joran sendiri. Ada juga yang menaiki bot dan sampan untuk pergi ke tengah sungai, mungkin mencari lubuk ikan. Tidak kurang juga yang memerhati di tebing-tebing sungai. Cuaca pada waktu itu tidak begitu panas. Angin terasa dingin apabila menyentuh kulit. Selesai makan, kami mengambil jalan keluar ikut arah Panchor. Dari Panchor kami masuk semula ke tol Pagoh menuju ke Kukup.


Maqam Panglima Mat Berani

Maqam ini berbatukan nisan Aceh

Pandangan maqam dari jarak dekat


Pondok waqaf di sisi maqam, ada tempat barbecue disediakan disini


Kolam ikan bersebelahan dengan maqam dan tebing sungai

Pandangan maqam dari pondok waqaf

Pandangan sungai dari pondok waqaf. Air sungai jernih kehijauan

Batu peringatan Pagoh sebagai Kota Bersejarah

Pandangan lain Sungai Muar, sangat indah

Catatan Sehari Perjalanan - Pantai Barat Johor Siri 3

Kami sampai di susur keluar Pagoh lebih kurang 30 minit dari susur masuk Alor Gajah. Kami ke Kampung Raja menziarahi maqam sultan yang sangat alim di zamannya, Sultan Alauddin Riayat Syah. Kisah tentang sultan ini adalah seperti dibawah ini,
Selepas kemangkatan Sultan Mansur Syah, anakandanya Raja Hussain telah ditabalkan sebagai pemerintah ketujuh Melaka, menggunakan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah. Baginda masih muda ketika ditabalkan dan cukup terkenal dengan kekuatan dan keberaniannya. Pada awal pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah, banyak kejadian rompakan dan kecurian telah berlaku di Melaka sehinggakan laporan tentang kejadian sedemikian diterima pada setiap malam. Apabila Sultan dimaklumkan tentang perkara tersebut, baginda bertekad untuk menghapuskan ancaman ini dengan menangkap dan menghukum mereka yang bersalah agar rakyatnya dapat hidup dengan aman. Semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah, beberapa pemerintah asing termasuklah seorang pemimpin dari Maluku yang telah tewas di tangan musuhnya, seorang pemimpin dari Rokan serta seorang pemimpin dari Terengganu yang bernama Telanai Terengganu, telah datang ke Melaka untuk memberi penghormatan kepada Sultan. Kedatangan mereka telah disambut baik oleh Sultan. Sultan sangat berbesar hati menerima pemerintah dari Maluku itu kerana kemahirannya yang cukup hebat dalam permainan sepak raga. Pada tahun 1488, setelah memerintah Melaka selama sebelas tahun, Sultan Alauddin Riayat Syah mangkat pada usia tiga puluh tahun. Baginda kemudiannya turut dikenali sebagai Marhum Berdarah Putih dan dimakamkan di Pagoh, berdekatan dengan Muar. Namun, tiada penjelasan mengapa Sultan Alauddin dimakamkan di Pagoh, yang terletak agak jauh dari Melaka. Ini mungkin kerana Pagoh sudah lama mempunyai kaitan dengan pemerintah Melayu di Melaka. Beberapa makam pemerintah Melayu yang lain juga terletak di Pagoh. (Sumber dari sini)
Sultan Alauddin adalah sultan ketujuh dalam sejarah kerajaan Melayu Melaka. Terdapat dua pasang maqam yang menggunakan batu nisan Aceh di kompleks maqam ini. Kawasan maqam ini dijaga dengan baik. Letaknya dalam kawasan masjid yang mengambil nama sempena nama Sultan Alauddin sendiri iaitu Masjid Sultan Alauddin Riayat Syah. Walaupun cuaca agak terik tetapi alhamdulillah, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa pada waktu itu. Saya meninjau keadaan sekeliling sementara Nas begitu tekun membaca maklumat yang terpapar pada plak penerangan. Lebih kurang 15 minit kami berada disitu, kami pun bergerak menuju ke stesen minyak berdekatan.


Batu penerangan maqam

Kompleks maqam Sultan Alauddin Riayat Syah

Kedua-dua maqam menggunakan batu nisan Aceh. Kelihatan ada pinggan berisi limau di sisi salah satu batu nisan. Entah siapa pula yang meletakkannya, saya tak tahu sebab pinggan itu telah sedia ada disitu ketika kami mula sampai di kawasan pemakaman ini

Dari jauh, kedua-dua batu nisan ini seakan-akan sama bentuk dan ukirannya tetapi sebenarnya tidak. Perbezaannya boleh dilihat seperti dalam gambar dibawah









Kompleks maqam ini bersih terjaga

Masjid Sultan Alauddin Riayat Syah hanya beberapa ela sahaja dari maqam

Plak penerangan sejarah

Maklumat tentang maqam tertera pada plak ini

Sisi lain pandangan masjid

Catatan Sehari Perjalanan - Pantai Barat Johor Siri 2

Sebetulnya kami mencari susur masuk ke lebuhraya. Susur masuk yang terdekat ialah Alor Gajah. Dalam perjalanan, kami melewati beberapa kampung. Antaranya ialah Kampung Cherana Putih. Ada signboard kolam air panas di kampung ini. Kalau tak silap saya di kampung ini ada terdapat kompleks maqam purba yang dikenali dengan nama Megalith Tua dan juga maqam yang menggunakan batu nisan Aceh. Saya tidak mempunyai apa-apa maklumat tentang lokasi maqam-maqam tersebut. Sebelum sampai ke susur masuk highway, kami melintasi sebuah masjid yang agak terkenal dalam lipatan sejarah. Masjid tersebut ialah Masjid Taboh Naning. Didalam kawasan masjid ini, terdapat sebuah maqam tokoh penting yang pernah melawan penjajah pada abad ke-19 Masehi. Tokoh yang dimaksudkan ialah Dol Said atau nama sebenarnya Abdul Sayid. Destinasi seterusnya ialah masuk semula ke highway dan bergerak menuju ke Pagoh.



Masjid Taboh Naning, letaknya betul-betul di tepi jalan dari arah Rembau menuju ke susur highway Alor Gajah

Sebuah takungan atau kolam di tepi sebelah kanan masjid, saya tidak tahu apa fungsinya

Batu peringatan maqam Dol Said

Maqam Dol Said

Maqam Dol Said berlatarbelakangkan masjid


Cuaca agak terik


Sebuah bukit kelihatan di seberang masjid

Ruang mimbar dan mihrab masjid

Tiang seri masjid, betul-betul di tengah dewan solat utama

Ruang solat masjid, rasanya ini ruang tambahan yang baru dibina

Pandangan dewan solat utama dari ruang solat tambahan

Papan penerangan tentang kisah Dol Said

Pemandangan masjid dari luar kawasan masjid

Taboh besar yang diletak diatas satu ruang khas di sebelah kiri masjid

Sisi lain pandangan masjid

Agaknya dari taboh ini, masjid ini mendapat nama

Sunday, March 28, 2010

Catatan Sehari Perjalanan - Pantai Barat Johor Siri 1

Janji dengan saudara saya, Nas pukul 8 pagi. Entah macam mana saya tersilap masuk jalan. Jalan yang saya masuk 'jam'. Jalan ini merupakan jalan pintas di Puchong Perdana. Sampai di rumah Nas yang letaknya di Bandar Saujana Putra lebih kurang jam 8. 10 pagi, lewat 10 minit. Nas pun dah ready nampaknya. "Kemana kita pagi ni bang?" Tanya Nas. "Kita ke Rembau dulu." Sebenarnya kami perlu ke Kukup hari itu. Ada urusan disana. Kukup merupakan sebuah pekan kecil yang letaknya dihujung negeri Johor disebelah pantai Barat. Kami mempunyai banyak masa kerana kami hanya perlu sampai Kukup sebelum jam 3 petang. Jadi saya mengatur jadual perjalanan sebaik mungkin agar setiap masa perjalanan dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Destinasi pertama ialah Rembau. Lokasinya ialah Madrasah Islamiah Tuan Guru Haji Ibrahim di Bongek Aceh, Rembau. Malam sebelumnya, saya telah menghubungi Ustaz Khairuddin, mudir madrasah untuk mendapatkan dua buah kitab tulisan almarhum Tuan Guru. Ustaz Khairuddin memaklumkan kepada saya bahawa dia berada di Segamat pada keesokan harinya dan tidak dapat bertemu dengan saya. Kami sampai di madrasah lebih kurang jam 9 pagi. Sunyi sepi, berbeza suasananya ketika madrasah mengadakan pengajian. Pintu madrasah terbuka sedikit seperti ada penghuni didalamnya. Saya memberi salam dan salam bersambut. Saya memperkenalkan diri dan meminta izin untuk mendapatkan naskhah kitab. Kitab tersebut iaitu Nurul Aulad dan Silahul Ghilman telah diedarkan secara percuma kepada hadirin yang hadir pada hari sambutan 70 tahun usia penubuhan madrasah. Selesai mengambil kitab, kami meneruskan destinasi ke Tampin. Lebih kurang 5 minit selepas keluar dari perkarangan madrasah, Ustaz Khairuddin call saya. Macam tahu-tahu je saya dah singgah disitu. "Ana ada sediakan satu lagi kertas yang ana susun untuk kitab Silahul Ghilman", kata Ustaz Khairuddin. "Oh ye ke? Tak tahu pula saya sebab saya hanya diberikan kitab ini sahaja" kata saya. "Tak mengapa ustaz, Insya Allah nanti saya datang lagi ambil kertas tu pula", kata saya mengakhiri perbualan. Kitab Silahul Ghilman itu agak istimewa kerana selain mengandungi doa dan wirid, ia juga ada mengandungi taqwim atau jadual waktu sembahyang yang disusun sendiri oleh almarhum Tuan Guru. Kami meneruskan perjalanan ke Tampin. Jam baru menunjukkan hampir pukul 9.30 pagi tapi cuaca semakin terik seakan-akan seperti sudah masuk jam 11 pagi.



Dewan kuliah madrasah


Ruang menunggu depan pintu masuk dewan kuliah. Poster ijtimak pondok se-Malaysia yang diadakan di sini kira-kira 3 tahun lepas masih terpampang menghiasi dinding madrasah

Sekolah Agama Rakyat yang letaknya beberapa ela sahaja dari bangunan Madrasah

Bangunan madrasah dari luar perkarangan

Rumah almarhum Tuan Guru Haji Ibrahim

Kitab Nurul Aulad tulisan almarhum Tuan Guru Haji Ibrahim

Kitab Silahul Ghilman bersaiz poket yang disusun oleh almarhum Tuan Guru Haji Ibrahim