Sunday, April 11, 2010

Simtud Durar

Jumaat malam lepas, saya ke Dar al-Maliki Taman TAR. Saya bergerak dari Puchong. Jalan sesak teruk di beberapa tempat. Saya mengambil Jalan Tun Razak untuk kesana. Saya melewati kawasan itu sekitar jam 6.00 petang. Terperuk disitu lebih kurang 1/2 jam. Saya sampai di Dar al-Maliki sebelum maghrib. Majlis pada hari itu adalah berkenaan dengan pelancaran kitab maulid Simtud Durar yang dikarang oleh AL A’LAMAH AL HABIB ALI BIN MUHAMMAD AL HABSYI. Majlis bermula selepas isyak. Selain dari pelancaran kitab, syeikh turut mengijazahkan ikhwan musalsal minum air beserta memakan buah kurma. Majlis berakhir sekitar jam 10 malam. Ikhwan turut dijamu dengan nasi beriani kambing pada malam itu.

AL A’LAMAH AL HABIB ALI BIN MUHAMMAD AL HABSYI dilahirkan di Hadhramaut pada hari Jumaat 24 syawal 1259H. Beliau dibesarkan di bawah asuhan dan pengawasan kedua orang tuanya, ayahandanya, Al-Imam Al-Arif Billah Muhammad bin Husin bin Abdullah Al-Habsyi dan bondanya; As-Syarifah Alawiyyah binti Husain bin Ahmad Al-Hadi Al-Jufri, yang pada masa itu terkenal sebagai seorang wanita yang solehah yang amat bijaksana. Pada usia yang amat muda, Habib Ali Al-Habsyi telah mempelajari dan mengkhatamkan Al-Quran dan berhasil menguasai ilmu-ilmu zahir dan batin sebelum mencapai usia yang biasanya diperlukan untuk itu. Atas sebab itu, beliau diizinkan oleh para guru dan pendidiknya untuk memberikan ceramah-ceramah dan pengajian-pengajian di hadapan khalayak ramai, sehingga dengan cepat sekali, dia menjadi pusat perhatian dan kekaguman serta memperoleh tempat terhormat di hati setiap orang. Kepadanya diserahkan tampuk kepimpinan tiap majlis ilmu, lembaga pendidikan serta pertemuan-pertemuan besar yang diadakan pada masa itu. Masjid “Riyadh” di kota Seiwun, Hadhramaut dibangunkan untuk tujuan dakwah dan pengembangan ilmu. Begitu juga dengan pondok-pondok dan asrama-asrama yang diperlengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk memenuhi keperluan para penuntut ilmu, termasuk soal makan-minum, sehingga mereka dapat belajar dengan tenang dan tenteram, bebas dari segala fikiran yang mengganggu, khususnya yang bersangkutan dengan keperluan hidup sehari-hari. Bimbingan dan asuhan beliau yang penuh dengan kasih sayang terhadap anak-anak muridnya telah menyebabkan murid-muridnya mudah menghadam ilmu yang disampaikan dan menerusi anak-anak muridnya itulah ilmu-ilmu disebarkan ke luar daerah Hadramaut seperti di Afrika dan Asia. Di tempat-tempat itu, mereka mendirikan pula pusat-pusat dakwah dan penyiaran agama. Mereka sendiri menjadi perintis dan pejuang yang gigih, sehingga mendapat tempat terhormat dan disegani di kalangan masyarakat setempat. Lembaga-lembaga pendidikan dan majlis-majlis ilmu didirikan di banyak tempat, sehingga manfaatnya benar-benar dapat dirasakan dalam ruang lingkup yang luas sekali. Tokoh yang sangat berjasa ini wafat di kota Seiwun, Hadhramaut, pada hari Ahad 20 Rabi’ul Akhir 1333 H dan meninggalkan beberapa orang putera yang telah memperoleh pendidikan sebaik-baiknya dari beliau sendiri, yang meneruskan cita-cita beliau dalam berdakwah dan menyiarkan agama. Di antara putera-putera beliau yang dikenal di Indonesia ialah puteranya yang bongsu; Al-Habib Alwi bin Ali Al-Habsyi, pendiri Masjid “Riyadh” di kota Solo (Surakarta). Dia dikenal sebagai seorang yang berperibadi amat luhur budi pekertinya, lemah-lembut, sopan-santun, serta ramah-tamah terhadap siapa pun terutama kaum yang lemah, fakir miskin, yatim piatu dan sebagainya. Rumah kediamannya selalu terbuka bagi para tamu dari berbagai golongan dan tidak pernah sepi dari pengajian dan pertemuan-pertemuan keagamaan. Beliau meninggal dunia di kota Palembang pada tanggal 20 Rabi’ul Awal 1373 H dan dimakamkan di kota Surakarta. Diriwayatkan bahawa di wajah AL A’LAMAH AL HABIB ALI BIN MUHAMMAD AL HABSYI tepatnya dibawah mata ada garis hitam, garis hitam tersebut adalah bekas linangan air mata yang selalu mengalir saat dia mengenang dan mengingat baginda Rasulullah SAW. Kerana rasa sangat cintanya kepada Rasulullah SAW, beliau menyusun kitab SIMTUD DURAR dengan air mata darah, kerinduan yang begitu memuncak. Ya Allah jadikan hamba-hambamu ini pencinta Rasulullah SAW ...agar bisa memperoleh syafaat dari Rasulullah SAW...Amin (Diolah sumber dari sini)




1 comment:

  1. Assalamu'alaikum Ustaz, saya mohon izin dan halal muat turun dan kongsi gambar Syaikh Muhammad Fuad bersama Syaikh Salim Ulwan

    ReplyDelete