Sunday, October 3, 2010

Pertemuan

Benarlah kata orang setiap pertemuan itu pasti ada hikmahnya. Ketika berbicara dengan rakan isteri saya yang berkunjung ke rumah kami baru-baru ini barulah saya tahu bahawa almarhum ayahandanya pernah mendapat pendidikan di Makkah sekitar tahun 1930-1940-an. “Apa nama ayah Kakak?” Tanya saya pada rakan isteri saya yang mengenalkan dirinya sebagai Kak Ratna. “Abdul Malik bin Arshad”. Menurut suami kakak itu, bapa mertuanya itu pernah membuka sebuah toko buku di Taiping. Diriwayatkan bahawa beliau adalah antara orang terawal yang membuka kedai buku yang menjual kitab-kitab agama di Taiping. “Dahulu sayalah yang bantu jaga kedai tu”, kata suaminya. Menurutnya lagi, kedai itu masih lagi beroperasi dan kini diuruskan oleh abang kepada isterinya. Menurut mereka berdua, ayahandanya ketika tinggal di Taiping, kalau tak silap saya di Kampung Larut Tin, sering berulang-alik ke Bagan Serai untuk mengajar agama. “Mengajar kat Masjid Tinggi ke?” Tanya saya untuk mendapat kepastian. “Rasanya, iyalah kot”. Saya langsung teringat sebuah sekolah agama yang agak terkenal satu masa dahulu iaitu Madrasah Makarimul Akhlak. Kalau tak silap saya, mereka mempunyai ramai saudara mara di Bagan Datok. Apabila saya menyebutkan nama Tuan Guru Haji Muhammad Arshad yang pernah memimpin Madrasah Ulum al-Syariah satu masa dahulu kepada Kak Ratna, beliau tidak begitu pasti tetapi apabila saya menyebutkan nama anaknya iaitu Ustaz Hassan Adli, Kak Ratna berkata bahawa ayahandanya ada menyebut nama itu. Kalau tak silap saya mereka mempunyai perhubungan persaudaraan. Apabila melihat kepada nama ayahanda Kak Ratna iaitu Abdul Malik bin Arshad, saya mengagak bahawa ia mungkin mempunyai hubungan persaudaraan dengan pengasas Madrasah Makarimul Akhlak dimana namanya kalau tak silap saya ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Arshad. Lupa saya hendak bertanya kepada Kak Ratna samada mereka berdua ini adalah adik-beradik ataupun tidak. Apapun kalau tak silap saya Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Arshad mempunyai hubungan sepupu dengan Tuan Guru Haji Muhammad Arshad bin Muhammad Salleh (berdasarkan kepada catatan dalam sebuah buku yang mengkaji sejarah penubuhan Madrasah al-Ulum al-Syariah yang diterbitkan oleh DBP satu masa dahulu). Satu masa dahulu, Tuan Guru Haji Muhammad Arshad sering berulang-alik dari Bagan Datuk ke Bagan Serai. Ayahanda Kak Ratna meninggal dunia beberapa bulan yang lepas dalam usia 93 tahun dan dikebumikan di Bukit Kiara. Berdasarkan kepada usianya, saya mengandaikan beliau dilahirkan pada tahun 1917. Ini bermakna beliau adalah sezaman dengan tokoh-tokoh ulama Perak yang sangat terkenal satu masa dahulu seperti Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Noh dan Tuan Guru Haji Mat Saman Kati.

No comments:

Post a Comment