Sunday, October 10, 2010

Salak Tinggi

Saya sering ke Bandar Baru Salak Tinggi tetapi tidak Salak Tinggi. Rasanya, ini adalah kali keempat saya ke Salak Tinggi. Kali pertama dan ketiga, saya ke Bagan Lalang, itupun saya tidak singgah di Salak Tinggi. Manakala kali kedua ketika majlis pertunangan adinda saya, kira-kira 5 atau 6 tahun yang lepas. Majlis tersebut diadakan di rumah ayahanda mertua adinda saya. Letaknya hanya beberapa meter sahaja dari simpang masuk ke Salak Tinggi di bawah Lebuhraya Nilai-Banting. Kini, rumah tersebut dilatari di bahagian depannya dengan sebuah restoran ikan bakar, kalau tak silap saya diusahakan oleh keluarga ayahanda mertua adinda saya. Untuk yang kali keempat ini, saya ke sana untuk menghadiri satu majlis ilmu bersempena dengan kunjungan seorang tokoh muhaddith. dari India iaitu Maulana Syeikh Sayyid Salman al-Husaini al-Nadwi. Disebabkan saya kurang mahir dengan selok-belok kawasan di situ maka saya sering sahaja memperlahankan kenderaan untuk melihat nama taman dan jalan. Landmark yang diberikan kepada saya ialah Taman Desa Baiduri. Saya cuba mengesan tetapi gagal. Yang saya jumpa ialah Taman Salak Baiduri. Saya kemudiannya terlajak sampai ke Pekan Salak Tinggi. Saya berpatah balik dan berhenti di Taman Salak Baiduri. Saya melihat landmark kedua iaitu sebuah rumah yang mempunyai pagar kayu. Ternyata memang ada sebuah rumah dengan pagar kayu bertentangan dengan taman tersebut. Landmark ketiga ialah nama jalan. Nama jalan yang diberitahu sebelum ini ialah Jalan Haji Manap. Saya melihat nama jalan, nampaknya sama seperti apa yang dimaklumkan kepada saya. Saya kemudiannya masuk ke dalam dan akhirnya sampai ke tempat yang ditujui. Alhamdulillah. Saya parking dalam keadaan reverse agar senang untuk keluar. Di sebelah kenderaan saya, ada seorang wanita separuh umur masih duduk dalam kereta sambil memandang saya. “Adik boleh tolong tengok jalan tak, makcik nak reverse kereta ni macam kereta adik”, kata wanita tersebut. “Kalau macam tu, biar saya yang reverse makcik”, balas saya. Saya pun masuk ke dalam kereta dan memarkir kenderaan tersebut dengan posisi yang sama seperti kenderaan saya. “Makcik datang dari mana?” Tanya saya setelah keluar dari kenderaan. “Makcik dari Perlis”, beritahu wanita tersebut. “Makcik datang dari Perlis?” tanya saya memohon kepastian. “Makcik asal Perlis tetapi duduk dengan anak makcik di Salak Tinggi. Makcik selalu ikut pengajian ni”, jelas wanita tersebut. “Oh, begitu”, kata saya. Kami ke atas. Surau Sirajul Munir masih belum siap sepenuhnya. Kelihatan jemaah wanita lebih ramai dari lelaki. Mungkin hari kerja agaknya. Ketika kami berada di surau, Maulana masih belum sampai. Hanya setelah kami selesai solat zohor, barulah Maulana sampai. Bersama-sama dengan maulana ialah dua orang pengiring dan Syeikh Fahmi ZamZam. Kalau tak silap saya, ustaz dari UIA juga turut berada di situ. Khabarnya maulana ada program di UIA pada malam itu. Dalam kesempatan yang ada, Maulana telah menyampaikan syarahannya yang walaupun ringkas tetapi penuh berisi. Selesai majlis, para jemaah dan tetamu menikmati hidangan tengahari.




Nama jalan


Jalan menuju ke surau


Surau masih belum siap sepenuhnya


Menanti masuknya waktu zohor




Kawasan sekitar



Maulana Sayyid Salman sedang bertanyakan sesuatu



Majlis bermula








No comments:

Post a Comment