Sunday, October 10, 2010

Maulana Sayyid Salman al-Husaini al-Nadwi

Berikut saya nukilkan biodata Maulana yang saya kutip dari beberapa sumber yang saya nyatakan di akhir tulisan ini.


Maulana Sayyid Salman al-Husaini al-Nadwi

Maulana Sayyid Salman al-Husaini al-Nadwi merupakan seorang tokoh ulama dari keturunan Ahlul Bait yang menetap di India. Diriwayatkan bahawa jalur keturunan dari sebelah ayahandanya sampai kepada Imam Husain manakala jalur keturunan dari sebelah bondanya sampai kepada Imam Hasan, kedua-duanya merupakan cucunda Rasulullah saw. Beliau juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengan dua tokoh ulama terkemuka di India iaitu ‘Allamah Abu ‘l-Hasan ‘Ali al-Hasani al-Nadwi (wafat pada tahun 1420 Hijriyyah) dan Imam Ahmad ibn ‘Irfan al-Shahid (wafat pada tahun 1246 Hijriyyah). Maulana dilahirkan pada tahun 1954 di Lucknow. Beliau dibesarkan dalam suasana pendidikan agama memandangkan ahli keluarganya semuanya alim-alim belaka dalam bidang agama. Beliau mendapat pendidikan awal di Nadwat al-‘Ulama. Disitulah beliau mula menghafal al-Quran. Seterusnya menghabiskan pengajiannya di peringkat menengah dalam bidang pengajian Islam dan peringkat tinggi di Kolej Syariah dan Usuluddin di Dar al-‘Ulum Nadwat al-‘Ulama, Lucknow. Pada tahun 1974, beliau telah menubuhkan satu pertubuhan Islam yang diberi nama Jamiat-u-Shababil Islam (Angkatan Belia Muslim) bersama-sama dengan sahabatnya yang lain. Pertubuhan ini dianggap sebagai pertubuhan Islam yang terbesar dan paling aktif di India sehingga kini. Maulana kemudiannya menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Hadith (al-Hadith al-Sharif wa ‘Ulumuhu) di Nadwat al-‘Ulama’ pada tahun 1976. Setahun kemudian beliau memasuki Kolej Usuluddin Jami‘at al-Imam Muhammad ibn Sa‘ud al-Islamiyyah (Riyadh) untuk meneruskan pengajian dalam bidang hadith. Beliau menerima ijazah pada tahun 1980 dengan keputusan yang sangat membanggakan. Tesisnya yang berjuduk Jam‘ Alfaz al-Jarh wa ‘l-Ta‘dil wa Dirasatuha min Kitab Tahdhib al-Tahdhib li ‘l-Hafiz Ibn Hajar diselesaikan dibawah seliaan tokoh ulama yang sangat alim dalam bidang usul dan hadith iaitu ‘Allamah ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah. Maulana menjadi murid kesayangan gurunya itu memandangkan minat, kesungguhan dan kecintaan yang mendalam yang ditunjukkan oleh maulana dalam bidang hadith sepanjang berada di Jami‘at. Sekembalinya ke India, Maulana telah dilantik menjadi pensyarah dalam bidang hadith di Dar al-‘Ulum Nadwat al-‘Ulama’. Beliau kemudiannya dilantik menjadi professor penuh dalam bidang tersebut. Selanjutnya beliau dilantik menjadi pengarah bagi Fakulti Syari’ah dan Usuluddin. Maulana tidak sekadar mengajar di Dar al-‘Ulum Nadwat al-‘Ulama’ tetapi juga di merata-rata tempat di seluruh dunia. Beliau telah diundang menjadi pensyarah jemputan di universiti-universiti Islam dan bukan Islam di seluruh dunia. Beliau sangat gigih berdakwah dan menabur bakti dalam dunia Islam. Salah satu sumbangan besarnya ialah Madrasat al-Imam Ahmad ibn ‘Irfan al-Shahid al-Islamiyyah yang telah ditubuhkannya pada tahun 1975. Beliau turut terlibat secara aktif dalam penubuhan institusi-institusi pendidikan dan kemudahan hospital khususnya kepada golongan yang tidak berkemampuan. Jalan dakwah yang dilalui oleh Maulana dikatakan mirip seperti ahli keluarganya yang terdahulu seperti ‘Allamah Abu ‘l-Hasan ‘Ali al-Nadwi bahkan beliau dianggap sebagai penerus legasi usaha yang dilakukan oleh ‘Allamah Abu ‘l-Hasan ‘Ali al-Nadwi. Kesibukan dalam tugas mengajar dan dakwah tidak pernah membantutkan usaha beliau untuk memberi sumbangan dalam bidang penulisan. Beliau banyak menghasilkan penulisan dalam bahasa Arab dan Urdu. Antara hasil penulisannya ialah seperti

1. Jam‘ Alfaz al-Jarh wa ‘l-Ta‘dil wa Dirasatuha min Kitab Tahdhib al-Tahdhib li ‘l-Hafiz Ibn Hajar

2. Al-Amanah fi Daw’ al-Qur’an

3. Al-Ta‘rif al-Wajiz bi Kutub al-Hadith

4. Al-Imam al-Dihlawi wa Ara’uhu fi al-Tashri‘ al-Islami

5. Lamhah ‘an ‘Ilm al-Jarh wa ‘l-Ta‘dil

6. Muqaddimah fi Usul al-Hadith li ‘l-Muhaddith al-Shaykh ‘Abd al-Haqq al-Dihlawi

7. Al-Fawz al-Kabir fi Usul al-Tafsir li ‘l-Imam Shah Wali Allah al-Dihlawi (translasi dari bahasa Parsi ke Arab)

Beliau turut menterjemahkan hasil karya Allamah Abu ‘l-Hasan ‘Ali al-Nadwi’s ke dalam bahasa Arab. Antaranya ialah seperti:

8. Rijal al-Fikr wa ‘l-Da‘wah fi ‘l-Islam (Jilid Imam Sarhindi)

9. Rijal al-Fikr wa ‘l-Da‘wah fi ‘l-Islam (Jilid Imam Shah Wali Allah al-Dihlawi)

10. Fi Masirat al-Hayat (Jilid 1 dan 2)

Antara jawatan yang disandangnya pada masa ini ialah

1. Rektor Jamia Syed Ahmad Shaheed

2. Presiden Jamia-u-Shabab-il-Islam

3. Dekan dan Professor Fakulti Syariah dan Usuluddin di Dar al-‘Ulum Nadwat al-‘Ulama

4. Pengerusi Kolej Perubatan dan Hospital Dr. Abdul Ali Unani Medical College

5. Ahli Lembaga All India Muslim Personal Law Board

6. Ahli Lembaga Aligarh Muslim University

7. Ahli Penaung badan Amanah Ebrahim al-Khalil

Rujukan utama

  1. http://zakariyya.wordpress.com/2009/10/15/shaykh-salman-al-husayni-al-nadwi-may-allah-protect-him/. Dicapai pada 6 Oktober 2010
  2. http://www.ebrahimcollege.org.uk/pages/about/ulama.php#salman. Dicapai pada 6 Oktober 2010
  3. http://www.shababalislam.org/eng/an_almuassis.htm. Dicapai pada 6 Oktober 2010

No comments:

Post a Comment