Pada 10 Julai yang lepas, kami bertolak dari Puchong menuju ke Rembau lebih kurang jam 5.30 petang. Di beberapa tempat, hujan turun dengan lebat. Kami sampai di Rembau kira-kira sejam setengah kemudian. Alhamdulillah, dapat parkir di dalam kawasan perkarangan Kompleks Yayasan Sofa. Jadi tidaklah begitu jauh untuk kami berjalan menuju ke lokasi utama. Usai solat maghrib, majlis pengkhataman kitab Mukjizat Isra’ dan Mi’raj diteruskan sambil diselang-seli dengan alunan qasidah. Kata syeikh, secara zahirnya memanglah Nabi Musa as meminta Nabi saw bertemu Allah dan memohon kepada Allah agar dikurangkan bilangan solat tetapi secara batinnya, Nabi Musa as sebenarnya ingin melihat kesan nur Allah terpancar atau terlimpah di wajah Nabi saw tatkala baginda saw berulang-alik bertemu Allah. Ini adalah kerana Nabi Musa as tidak berpeluang menatap Allah. Selain itu kata Syeikh, Nabi saw ada bersabda dengan maksudnya, “Jikalau syaitan tidak mengerumuni hati anak Adam maka pastilah mereka dapat melihat kerajaan Allah di langit”. Walaubagaimanapun, ada di kalangan para wali Allah yang dapat melihat kerajaan Allah di langit. Syeikh Bahauddin al-Naqsyabandi misalnya mengetahui masuknya waktu solat zohor setelah beliau melihat para malaikat sedang berbaris mengerjakan solat zohor di langit. Sementara seorang lagi wali Allah iaitu Syeikh Abbas al-Mursi mengetahui waktu solat berdasarkan azan yang dikumandang oleh pemikul Arasy. Para sahabat pernah mengalami peristiwa seumpama itu dan Nabi saw membenarkannya. Sahabat bernama Harithah bin Syuraqah berkata kepada Nabi saw, “Aku beriman hari ini dengan iman yang sempurna”. Lalu Nabi saw bertanya, “Apa buktinya?” Lalu dijawab Harithah, “Aku seolah-olah melihat Arasy Allah dengan terang dan nyata ya Rasulullah”. Syeikh turut berkenan mengijazahkan ikhwan kitab Mukjizat Isra’ dan Mi’raj. Selesai solat isyak, majlis tahnik bermula. Syeikh mentahnik dan memberi nama bayi perempuannya yang baru sahaja lahir beberapa hari yang lepas. Majlis ditutup dengan zikir khusus dan doa yang dipimpin oleh Syeikh.
Kitab yang dikhatam pada malam itu
Doa tahnik yang dibaca pada malam itu sempena majlis tahnik anakanda Syeikh
Sambungan doa tahnik
Qasidah yang dibaca pada malam itu
Lagi qasidah yang dialun pada malam itu
No comments:
Post a Comment