Saya ke Dar al-Maliki malam Jumaat lepas untuk menghadiri majlis ilmu yang disampaikan oleh Tuan Guru Yang Mulia, Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Dalam majlis tersebut, selain menyampaikan syarahan, Syeikh turut mengijazahkan kitab "Melihat Nabi saw dan 100 Kaedahnya" kepada para ikhwan. Dalam majlis malam itu, Syeikh telah menitipkan beberapa pesanan berharga kepada para ikhwan. Antaranya Syeikh memetik kata-kata Imam Ibnu Arabi dengan katanya, “Kegagalan utama seorang murid ialah apabila ia terpesona dengan masyaikh lain”. Kata syeikh, “Murid itu seumpama isteri kepada suami. Kalau ada keinginan pada yang lain maka itu adalah khianat”. Murid yang tidak mantap ilmunya tidak diizinkan menziarahi masyaikh lain kerana ia masih berada dalam ‘rawatan’ masyaikhnya itu. Dalam pesanan lain, Syeikh teringat kata-kata masyaikhnya iaitu dengan tidak menjadikan kitab sebagai hadiah. Ini adalah kerana kitab yang dijadikan ‘hadiah’ seringkali tidak dihargai. Sebaliknya kalau kitab itu dibeli maka kitab itu lebih dihargai dan sentiasa dibaca berulangkali. Sementara wang jualan kitab itu boleh digunakan untuk penuntut ilmu dan waqaf. Sebelum menutup majlis, Syeikh terkenang amalan gurunya iaitu Tuan Guru Muallim Abdul Wahid, ulama besar asal Melaka yang akan menjamu anak muridnya makan setiap kali selesai majlis. “Kalau tiada jamuan, Tuan Guru akan memberi duit kepada anak muridnya agar membeli makanan di tengah perjalanan”. Majlis selesai sekitar jam 10.30 malam. Sebelum melangkah pulang, para ikhwan menikmati hidangan nasi lemak bungkus.
Kitab Melihat Nabi saw dan 100 Kaedahnya cetakan terkiniKitab yang sama cetakan terdahulu
No comments:
Post a Comment