Setelah pekena roti canai di sebuah restoran di Shah Alam, saya bergerak menuju ke sebuah gerai mamak yang menjual majalah. Hajat hendak membeli paper. Tiba-tiba mata saya tertangkap pada dua buah buku yang mempunyai tajuk yang sungguh menarik iaitu Allah memuliakan Rasulullah saw dan Biografi Sayyid Ahmad al-Badawi. Kedua-dua buku ini ditulis oleh Ustaz Ahmad Lutfi Abdul Wahab al-Linggi, salah seorang anak didik Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki yang kemudiannya menimba ilmu di bumi Mesir dengan alim-ulama terkemuka di sana. Sebenarnya sebelum ini pun saya pernah melihat buku yang sama di jual di kiosk-kiosk majalah dalam pasaraya besar seperti Giant dan Tesco tetapi belum tergerak untuk membelinya. Bukannya saya tak mahu beli tetapi hati kecil selalu berkata, “Banyak lagi buku tu, nanti beli le”. Kali ini tak boleh jadi, saya kena beli. Lagipun saya tengok kuantiti yang dijual pun dah semakin susut takut-takut nanti habis pula. Sekalung tahniah kepada penerbitan Mawleed kerana mengedarkan buku-buku sebegini di gerai-gerai majalah. Lazimnya gerai majalah jarang menjual buku sebegini kerana mereka lebih tertumpu kepada penjualan komik dan majalah tempatan dan antarabangsa yang lebih bercorak hiburan. Mudah-mudahan, di masa akan datang, lebih banyak buku-buku yang bercorak biografi atau manaqib dijual di gerai-gerai majalah. Memang sepatutnya buku-buku inilah yang dibeli oleh khalayak pembaca. Dengan membaca sejarah atau biografi orang-orang sholeh, jiwa kita akan dituntun untuk senantiasa meneladani mereka malah meningkatkan semangat kita untuk mencintai kebaikan dan ibadah seperti mereka. Kata ulama, apabila disebut tentang orang-orang solihin maka akan turun rahmat Allah. Produksi yang kemas dari segi kulit buku, typesetting, font dan gambar-gambar yang disertakan adalah satu lagi daya tarikan yang ada pada buku-buku keluaran Mawleed. Senang cerita, mata tidak letih membaca manakala isinya pula sesuai dibaca oleh semua golongan.
Salah satu buku keluaran Mawleed Publishing
No comments:
Post a Comment