Bersempena dengan hari yang mulia, Hari Raya Aidil Adha, saya bersama-sama ayahanda saya mengambil kesempatan masa yang ada dengan menziarahi beberapa orang ustaz yang pernah berguru kepada tokoh-tokoh ulama di Perak satu masa dahulu dan juga waris tokoh ulama yang berjasa kepada perkembangan ilmu agama di Taiping. Salah seorang tokoh ulama yang pernah berjasa menabur ilmu di Taiping dan kawasan sekitarnya ialah Tuan Guru Haji Abdul Malek. Beliau meninggal dunia sekitar bulan Mei 2010 dalam usia lebih 90 tahun. Tuan Guru Haji Abdul Malek agak low-profile sikit berbanding dengan tokoh-tokoh ulama yang sezaman dengannya. Ini adalah kerana beliau banyak mengajar di rumah sahaja. Ketika hayatnya, beliau tinggal di Larut Tin. Namun bagi mereka yang suka menadah kitab-kitab Arab, Tuan Guru Haji Abdul Malek adalah tempat tumpuan mereka. Mengikut kata anak muridnya, Ustaz Jailani, yang saya ziarah pada petang itu, "Adakalanya kuliah sampai lewat malam tetapi disebabkan kupasannya sangat menarik maka masa dirasakan begitu singkat". Ustaz Jailani ketika saya temui berada dalam keadaan uzur di rumahnya. Dia menghidap penyakit saraf. Ustaz Jailani menimba ilmu kepada ramai tokoh-tokoh ulama Perak antaranya ialah seperti Tuan Guru Haji Mat Saman Kati, Tuan Guru Haji Nawawi (Pak Wi Janggut Merah) dan Tuan Guru Haji Ahmad Nahu, Selinsing.Tuan Guru Haji Abdul Malek diriwayatkan adalah antara tokoh terawal membuka kedai buku agama di bandar Taiping. Kedai tersebut namanya Toko Buku Sinar Bahgia. Ketika cuti Raya Aidil Adha yang lepas, saya sempat berkunjung ke kedai buku tersebut. Anaknya bernama Taufik kini mengambil alih urusan kedai. "Dahulu kedai ini tempat tumpuan orang mencari kitab Arab", katanya. Selanjutnya, beliau menyatakan bahawa kedai ini satu masa dahulu banyak diuruskan oleh bondanya. Apapun, kedai ini adalah antara kedai buku tertua di bandar Taiping.
Pandangan hadapan kedai
No comments:
Post a Comment