Keesokan harinya, saya menziarahi Ustaz Yusuf bin Din, setelah mendapat tahu bahawa beliau adalah salah seorang anak murid Tuan Guru Haji Ahmad, Kampung Sungai Petai. Ayahanda saya tidak ikut serta kerana ada urusan lain. Untuk mengetahui lokasi rumah Ustaz Yusuf, saya menghubungi Pakcik Hashifuddin. Beliau adalah ayahanda kepada sahabat saya, Sarizein. Saya menghubunginya kerana beliau mengenali ramai ustaz di sekitar bandar Taiping. "Rumahnya tak jauh dari Sekolah Agama Batu 8, Trong sebelum simpang masuk ke Changkat Ibol", kata Pakcik Hashifuddin ketika saya menghubunginya. Setelah boleh mengagak lokasi tersebut, saya bergegas ke sana. Ketika sampai di tempat yang dikatakan, saya pun memberhentikan kereta dan melihat dari luar mana satu rumahnya kerana terdapat beberapa rumah di kawasan itu. Saya bertanyakan kepada seorang penduduk tempatan yang kebetulan berada di situ. "Ustaz Yusuf yang berumur tu ke? Rumahnya masuk dalam sikit", kata wanita separuh usia kepada saya. Saya pun masuk ke satu lorong dan pergi ke sebuah rumah. Hati saya kuat mengatakan bahawa ini rumah Ustaz Yusuf. Saya memberi salam, tidak berjawab. Saya ke belakang rumah dan memberi salam. Ada seorang lelaki separuh umur sedang sibuk membasuh periuk. Dia membalas salam saya. "Ustaz Yusuf ke ni?", tanya saya. "Ya", jawabnya. Lalu kami pun berbual mesra seperti telah lama mengenali antara satu sama lain. Dari Ustaz Yusuf, saya mengenali beberapa lagi nama tokoh ulama, antaranya seperti Tuan Guru Haji Mahmud, Kampung Cheh dan Lebai Taib, Air Kuning yang dikatakan pernah menadah kitab kepada Tok Kenali, tokoh ulama terkemuka satu masa dahulu. Perbualan memakan masa lebih dua jam. Sebelum pulang, Ustaz Yusuf menghadiahkan saya sebuah kitab lama dan meminjamkan sebuah lagi kitab lama untuk rujukan. Terima kasih Ustaz.
Simpang masuk ke rumah Ustaz Yusuf
No comments:
Post a Comment