Sunday, August 22, 2010

Pelepah Betik

Selain karot, kangkung, sengkuang dan palet dedak (gandum), arnab peliharaan saya juga suka memakan pelepah betik kering. Ada satu pokok betik dalam kandang arnab ini. Setiap kali pelepah yang telah kering jatuh, arnab-arnab ini akan segera mendapatkannya. Di rumah saya ada beberapa pokok betik yang lain. Setelah menyedari bahawa pelepah betik merupakan kesukaannya maka setiap kali ada pelepah yang jatuh, saya akan segera mengumpulnya dan memberikannya kepada arnab saya untuk menjadi habuannya.

Aali Bait

Sabtu lepas saya ke Taman TAR untuk menghadiri sambutan Hari Hol Sayyidah Khadijah dan kupasan kitab 60 Hadith Kelebihan Aali Bait. Majlis bermula sekitar jam 5.30 petang dengan bacaan tahlil dan Surah Yaasiin. Pengisian majlis berikutnya ialah huraian kitab 60 Hadith Kelebihan Aali Bait. Kitab ini adalah terjemahan kitab yang dikarang oleh al-Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti di mana tajuk asalnya ialah Ihya' al-Mayyit Bifadhail Aali al-Bait. Seperti yang dinyatakan didalam muqadimmah penterjemah, tuntutan mencintai ahli bait bukanlah resapan daripada ajaran syi'ah rafidhah tetapi merupakan salah satu daripada pegangan Ahli Sunnah wal Jama'ah. Ramai alim-ulama terutamanya Imam Hadith yang enam (al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa'ie dan Ibnu Majah) meletakkan bab keutamaan Ahli Nabi ini secara umum atau terperinci di dalam kitab hadith mereka. Begitu juga dengan Imam Nawawi, Syeikh Qadhi Iyadh dan Ibnu Hajar al-Haithami yang menulisnya di dalam kitab mereka. Seperti yang dinyatakan di dalam muqadimah tersebut, Ahli Sunnah wal Jama'ah menuntut pengikutnya mengasihi Ahli Bait kerana kecintaan terhadap Rasulullah saw. Selanjutnya dalam muqaddimah tersebut dinyatakan bahawa, "Sesungguhnya tidak akan sempurna kasih kepada keluarga Nabi saw sekiranya tidak disertai dengan kasih kepada para Sahabat ra. Begitu juga tidak akan sempurna kasih kepada para Sahabat ra sekiranya tidak disertai dengan perasaan kasih kepada keluarga Nabi saw".



Masjid Darul Ehsan

Kitab ini telah dicetak sebanyak 3 kali. Cetakan pertama ialah pada tahun 2001 manakala cetakan kedua ialah pada tahun 2004. Gambar di atas adalah merupakan cetakan yang terkini

Sunday, August 8, 2010

Doa

Dibawah ini adalah catatan ringkas saya tentang tazkirah yang disampaikan oleh seorang ustaz yang berkaitan dengan doa. Katanya,
Doa adalah lambang kehambaan, pengharapan dan penyerahan diri kita sebagai hamba kepada Allah Ta'ala. Doa hendaklah dilakukan secara berterusan di sepanjang kehidupan. Kasih Allah kepada hamba-Nya melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya. Adakalanya doa kita terhijab, oleh itu kita memerlukan doa orang lain kerana berkemungkinan besar doa orang lain itu lebih ikhlas dari kita. Hubungan kita dengan orang lain sangat penting kerana kita memerlukan doanya dan nasihatnya. Pernah seorang ulama ditanya tentang jarak langit dan bumi lalu dijawabnya, "Jarak langit dan bumi itu adalah sedetik doa yang dimustajabkan Allah Ta'ala".

Sambutan Hari Hol Sayyidah Khadijah al-Jenderami

Ah, lapang rasanya kepala bila selesai sesi munaqasyah. Petang itu saya plan hendak membawa keluarga saya ke al-Jenderami. “Macam mana, nak pegi tak?” Tanya saya kepada isteri saya. “Kita pergi lepas maghrib ok tak?” Pinta isteri saya. “Ok”, balas saya. Selesai mengemas rumah, kami menunaikan solat maghrib di masjid yang berdekatan rumah. Selesai solat, kami bergerak menuju ke al-Jenderami. Alhamdulillah kami dapat memarkir kereta tidak jauh dari kawasan perkarangan kompleks. Alunan Maulid Simtud Durar begitu jelas kedengaran. Selesai Maulid, Habib Hassan bin Muhammad Salim al-Attas menyampaikan tausyiahnya. Asyik sungguh kami mendengar tausyiahnya yang bertemakan cinta Sayyidah Khadijah dengan Rasulullah saw. Habib mengakhiri tausyiahnya dengan meminta semua jemaah mengalunkan qasidah Ya Allahu biha Ya Allahu biha. Qasidah ini disusun oleh al-Habib Ahmad bin Muhammad al-Muhdhor ra. Akhir majlis para jemaah dijamu dengan nasi gulai kambing.

Suasana di luar

Suasana di dalam masjid ketika maulid sedang dialunkan


Habib Hassan sedang membuat persediaan untuk menyampaikan tausyiah pada malam itu

Ikhwan mengambil kesempatan bersalaman dengan para tetamu dan habaib di akhir majlis

Makan berdulang

Suasana ketika menjamu selera

Ada gerai jualan (tidak begitu kelihatan di dalam gambar)

Munaqasyah

Tidak ada kata-kata yang dapat diucapkan melainkan lafaz syukur ke hadrat Allah Ta’ala sebaik sahaja ketua sidang mengumumkan kalimah keramat, “Tahniah anda lulus”. Pada hari itu (tanggal 31 Julai 2010), saya perlu membentangkan tesis saya di hadapan empat orang penguji termasuk seorang ketua sidang. Empat orang penguji tersebut ialah Prof Dr. H. Makmur Syarif, Prof Dr. H Sirajuddin Zar, Prof Dr. Duski Samad dan Dr Saifullah. Prof Dr H. Makmur Syarif adalah merupakan ketua sidang bagi sesi pembentangan saya. Sedar-sedar, sesi pembentangan dan soalan dari penguji telah berlanjutan lebih kurang sejam setengah lamanya. Pembentangan selesai tepat jam 16:57 petang, kebetulan waktu itu saya melihat jam. Misi seterusnya ialah untuk membuat pembetulan tesis. Perlu disiapkan dalam tempoh 20 hari.

Cabut gigi

Ini first time saya bawak anak perempuan saya pergi cabut gigi. Gigi kekal dah mula tumbuh, oleh itu beberapa gigi susunya perlu dicabut. Kami sekeluarga pergi ke klinik gigi pada hari itu. Saya tunggu di luar bersama anak lelaki saya manakala isteri saya menemani anak perempuan saya di dalam. Teknologi sekarang makin canggih. Tak perlu pakai suntikan lagi sebelum gigi dicabut sebaliknya memadai dengan menyapu sejenis jel khas yang mempunyai tujuan yang sama iaitu supaya gigi tidak terasa sakit ketika dicabut. Ketika saya kecil dahulu, saya cukup takut bila hendak disuntik. Tusukan jarum itu sebenarnya lebih menyakitkan berbanding ketika gigi dicabut. Dalam beberapa minit sahaja, dua batang gigi anak saya telah pun dicabut. Alhamdulillah.

Malam Nisfu Sya'ban

“Camana malam ni pergi ke tak?” Saya menghubungi adik saya. “Mungkin tak dapat pergi malam ni”, kata adik saya. Saya sebenarnya memang kepingin nak pergi tapi perut tak berapa sedap masa tu. Dalam keadaan sedemikian, saya berasa lebih selesa jika mempunyai teman. Saya memaklumkan hajat saya kepada isteri saya, “Malam ini sebenornya ada majlis di Rembau”. Sebetulnya saya tidak mahu memberatkan isteri saya kerana isteri saya berpuasa pada hari itu. Tapi jawapan isteri saya benar-benar menggembirakan saya. “Jom kita pergi semua”, kata isteri saya bersungguh-sungguh. “Nanti nak berbuka?” Saya memandang isteri saya. “Singgah kat kedai, beli siap-siap. Lepas tu buka kat tengah jalan”. Hati saya berbunga-bunga bila mendengar kata-kata isteri saya. Terima kasih wahai isteri yang memahami isi hati saya. Kami bertolak ke Rembau lebih kurang jam 7 malam. Beg sekolah anak saya pun saya bawak sekali sebab kata anak saya dia ada kerja rumah. Kami berhenti di Hentian Senawang untuk menunaikan solat maghrib. Isteri saya sebelum itu telah berbuka di tengah jalan. Lebih kurang jam 8 malam, kami bertolak semula menuju ke Rembau. Kami sampai di Rembau lebih kurang jam 8.30 malam. Bulan penuh malam itu. Tidak banyak awan malam itu menyebabkan sinaran bulan begitu jelas kelihatan pada malam yang penuh berkat itu. Kedengaran qasidah sedang dialunkan dari dalam Madrasah al-Hasaniyah ketika kami sampai di situ. Teringat kata-kata syeikh ketika beliau menyampaikan syarahannya pada malam itu. Katanya,
“Para ulama berasa hairan apabila melihat Syeikh Abbas al-Mursi memuliakan orang yang berbuat maksiat berbanding dengan orang yang taat apabila mereka datang kepadanya. Kata Syeikh Abbas al-Mursi, “Orang taat datang dengan keadaan mereka merasakan diri mereka mulia. Adapun orang maksiat datang dengan keadaan mereka merasakan diri mereka hina. Ketahuilah bahawa sifat mulia itu adalah milik Tuhan sedang hina itu adalah sifat hamba. Orang yang hina itu adalah orang yang mulia kerana ia tidak mengambil sifat Tuhan”.
Majlis selesai lebih kurang jam 10.30 malam. “Kalau ngantuk tido le dulu, nanti sampai baba kejutkan”, kata saya kepada anak perempuan saya mengenangkan besok dia akan ke sekolah. Kami sampai di rumah hampir jam 12 malam dengan perasaan yang amat puas. Alhamdulillah, perut yang tak berapa sedap pun dah rasa lega.



Singgah di Hentian Senawang untuk menunaikan solat

Pemandangan wakaf tempat kami sekeluarga menunaikan solat

Cadangnya nak ambil gambar bulan penuh tapi pantulan cahaya menyebabkan gambar tak jadi

Madrasah al-Hasaniyah tempat berlangsungnya majlis