Showing posts with label peringatan untuk diri sendiri. Show all posts
Showing posts with label peringatan untuk diri sendiri. Show all posts

Thursday, December 16, 2010

Bersatu

Saya berkesempatan mendengar radio IKIM pagi tadi. Ada perbincangan menarik yang berkaitan dengan halal dan haram dalam pemakanan. Tetamu pada sesi itu ialah Ustaz Riduan. Beliau memberikan satu tips yang sangat baik untuk diamalkan semasa membasuh beras. Katanya, "Ketika basuh beras, genggamlah beras itu kuat-kuat dan bacalah permulaan ayat 103 dalam Surah Ali 'Imran seperti dibawah,
Mudah-mudahan jika si ibu yang membacanya maka seluruh anak-anak dan ahli keluarganya akan diperteguhkan dan disatukan hati mereka, jika dibaca untuk majlis kenduri-kendara maka akan dipertautkan dan disatukan hati masyarakat di situ dan jika di baca oleh si isteri maka akan disatukan dan dipereratkan lagi kasih suami isteri". Maksud ayat diatas ialah "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai".

Sunday, November 7, 2010

Zikir

Diriwayatkan daripada Juwairiyah Ummil Mukminin r.a., bahawasanya Nabi s.a.w keluar dari rumahnya pada suatu pagi setelah habis sembahyang subuh sedang Juwairiyah masih di tempat sembahyangnya (berzikir), apabila beliau kembali ke rumah setelah menunaikan shalat Dhuha, beliau dapati Juwairiyah masih di tempat sembahyangnya lagi, lalu beliau bertanya: Apakah engkau masih lagi berkeadaan seperti aku tinggalkanmu tadi? Maka berkata Nabi s.a.w.: Bila aku meninggalkanmu tadi aku telah mengucapkan empat kalimah sebanyak 3 kali, jika ditimbang dengan apa yang engkau ucapkan sejak awal hari tadi niscaya ia lebih daripada apa yang engkau ucapkan, iaitu wirid yang disambung dengan "sebanyak bilangan ......".

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِـهِ وَرِضَـى نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِداَدَ كَلِمَاتِهِ

Ertinya; Maha Suci Allah dan puji-pujian untukNya, sebanyak bilangan makhlukNya, sebanyak bilangan keridhaanNya, sebanyak timbangan ‘ArsyNya dan sebanyak tinta untuk menulis kalimatNya.

Amalan bulan Zulhijjah

Sunday, August 8, 2010

Doa

Dibawah ini adalah catatan ringkas saya tentang tazkirah yang disampaikan oleh seorang ustaz yang berkaitan dengan doa. Katanya,
Doa adalah lambang kehambaan, pengharapan dan penyerahan diri kita sebagai hamba kepada Allah Ta'ala. Doa hendaklah dilakukan secara berterusan di sepanjang kehidupan. Kasih Allah kepada hamba-Nya melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya. Adakalanya doa kita terhijab, oleh itu kita memerlukan doa orang lain kerana berkemungkinan besar doa orang lain itu lebih ikhlas dari kita. Hubungan kita dengan orang lain sangat penting kerana kita memerlukan doanya dan nasihatnya. Pernah seorang ulama ditanya tentang jarak langit dan bumi lalu dijawabnya, "Jarak langit dan bumi itu adalah sedetik doa yang dimustajabkan Allah Ta'ala".

Wednesday, May 19, 2010

Nanas

Ayahanda mertua saya seorang yang amat gemar bercucuk-tanam. Boleh dikatakan pantang ada kawasan kosong sikit, pasti akan ditanamnya samada dengan pokok buah atau apa-apa jenis pokok kampung yang boleh dimakan seperti ulam dan sebagainya. Menariknya, kebanyakan pokok yang ditanam oleh ayah ‘menjadi’. Pokok buah seperti dokong, rambutan gading, mempelam, manggis, buah naga, nanas dan macam-macam lagi 'menjadi' belaka hasil usaha tulang empat kerat ayah. Ramai yang minat dengan nanas ayah. Malah nanas ayah juga turut menjadi tumpuan pencuri. Kalau rumah ditinggal dua tiga hari semasa musim pokok berbuah maka putih mata la jawabnye kerana buah dikebas orang. Nanas ayah sangat special. Ayah menanam pelbagai spesis nanas tetapi tidaklah saya pasti samada ianya dari jenis morris atau nanas Sarawak seperti yang terdapat di pasar-pasar besar seperti Tesco atau Mydin. Ada yang jenis daunnya berduri dan ada yang tidak. Buah yang terhasil juga bermacam jenis, ada yang besar dan ada yang kecil. Namun kesemuanya mempunyai satu persamaan iaitu SANGAT MANIS. Selain manis, nanas yang ditanam ayah juga tidak meninggalkan kesan ‘gatal’ atau ‘kesat’ pada lidah dan lelangit mulut setelah memakannya. Inilah kelebihan nanas yang ditanam ayah. Apabila saya kaji dan teliti balik, ada dua perkara yang menyebabkan nanas ayah ini menjadi sangat manis dan mempunyai keistimewaan sebegitu rupa. Pertama, ayah tidak kedekut menyiram pokok. Setiap hari, sekurang-kurangnya dua kali sehari ayah pasti akan menyiram pokok-pokoknya iaitu di sebelah pagi dan petang. Kedua, ayah sentiasa membaja pokok-pokoknya. Pokok-pokok yang ditanam tidak dibiar begitu sahaja. Beliau sentiasa melihat perkembangan pokok-pokoknya dan memastikan pokok-pokoknya sentiasa sihat. Apapun, kata kuncinya ialah disiplin. Bercucuk-tanam ni memerlukan disiplin yang tinggi. Tanpa disiplin, tanam apa pun tak menjadi.


Buah nanas dari pokok yang ditanam ayah

Lima perkara

Minggu lepas saya ada mendengar kupasan al-Fadhil Ustaz Dr Zulkifli al-Bakri di corong radio IKIM. Ustaz memetik kata-kata al-Faqih Samarqandi seperti berikut, “Lima perkara untuk nak dapat syurga ialah
1. Jarakkan diri dari maksiat
2. Redha dengan sedikit dunia maksudnya tidak tamak dengan harta dunia
3. Loba akan mentaati ibadah
4. Kasih akan orang soleh
5. Banyakkan doa dan mohon redha Allah”
Sambung ustaz lagi, “Seorang sahabat pernah berkata, “Bila aku bersama Rasulullah saw, aku berasa syurga seperti dihadapanku. Akan tetapi apabila aku membuat kerja, aku lupa tentang itu”. Sabda Rasulullah saw, “Selagi mana engkau taat kepada Rasulullah saw maka engkau berada di landasan syurga”.

Sunday, December 20, 2009

Tafsir Surah Yaasiin

Pada hari Ahad, saya ke Taman TAR menghadiri majlis ilmu Syeikh Fuad. Ada dua sesi majlis diadakan pada hari tersebut. Pertama, syarahan kitab Titisan Hujan Lautan Sufi yang bermula selepas maghrib dan berakhir sebelum isyak dan kedua, syarahan kitab Tafsir Surah Yaasiin yang bermula selepas solat Isyak dan berakhir sekitar jam 9.40 malam. Kitab amalan Awal Muharram dan Hari Asyura juga turut dijual pada malam itu.



Kitab Tafsir Surah Yaasiin yang disusun dan disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Kitab ini dijual dengan harga RM 20




Kitab amalan Awal Muharram dan Hari Asyura ini dijual dengan harga RM 5





KELEBIHAN SURAH YAASIIN
Atho Bin Abi Rabaah 'Rahmatullah alaih' telah berkata bahawa beliau telah mendapati sebuah hadith menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda, " Sesiapa yang membaca Surah Yaasin di awal hari, maka hajatnya akan ditunaikan (oleh Allah s.w.t).
Sheikh Zakaria 'Rahmatullahi alaih' telah menjelaskan syarahan tentang hadith ini; "Berbagai-bagai kelebihan Yaasin telah disebutkan di dalam berbagai-bagai hadith, diantaranya ialah; Setiap sesuatu mempunyai hati, hati Al-Quran ialah Yaasin. Sesiapa yang membaca Yaasin, Allah akan menuliskan ganjaran baginya seolah-olah dia telah membaca sebanyak 10 kali khatam Al-Quran"
Dalam sebuah hadith lagi, menyatakan bahawa Allah s.w.t membacakan Surah Taha dan Surah Yaasin seribu tahun sebelum menciptakan langit dan bumi. Apabila para malaikat mendengar berita ini, mereka telah berkata, "Amat bertuahlah ummat yang akan menerima Nuzul Al-Quran, bertuahlah hati-hati mereka yang menghafaz Al-Quran dan bertuahlah lidah-lidah mereka yang membacakan Al-Quran."
Sebuah hadith lagi, "Sesiapa yang membaca Yaasin semata-mata kerana Allah s.w.t, segala dosanya yang terdahulu akan terampun, oleh itu bacalah Surah Yaasin ini untuk orang yang telah meninggal dunia."
Menurut sebuah hadith, di dalam kitab Taurah, Surah Yaasin dinamakan sebagai mun'imah (pemberi ni'mat) kerana surah ini membawa kebaikan kepada pembacanya di dunia dan akhirat, menghindarkan penderitaan di dunia dan akhirat serta menjauhkan kedahsyatan akhirat.
Surah Yaasin juga dikenali sebagai Rafi'ah Khafidhoh maknanya yang meninggikan darjah mu'min dan merendahkan darjah orang kafir.
Sebuah riwayat menyatakan, Rasulullah s.a.w bersabda, "Hatiku mahu supaya Surah Yaasin berada di dalam setiap hati ummatku.". Dalam hadith yang lain pula, jika seseorang itu membaca Surah Yaasin setiap malam, dan kemudiannya mati, kematiannya dikira sebagai syahid.
Suatu hadith mafhumnya, "Sesiapa yang membaca Surah Yaasin, dosanya akan diampunkan, jika dibaca ketika kelaparan, kelaparannya akan pergi. Jika dibaca ketika sesat jalan, dia akan kembali ke pangkal jalan, jika dibaca ketika hilang kenderaannya, kenderaannya akan ditemui kembali, jika dibaca kerana khuatirkan makanan tidak cukup, makanannya akan dicukupkan, jika dibaca kepada pesakit yang sedang nazak, kesakitan nazaknya akan dikurangkan, jika dibaca kepada wanita hamil yang sukar melahirkan anaknya, kelahirannya dipermudahkan, jika dibaca kerana takutkan pemerintah dan musuh yang kejam, ketakutannya akan dihilangkan."
Dalam sebuah hadith, jika seseorang itu membaca Surah Yaasin dan Shoffat pada hari Jumaat lantas dia berdoa, doanya akan dimaqbulkan.
(Penulisan di atas adalah petikan dari Kitab Fadhail Amal karangan Sheikh Maulana Zakaria Kandahlawi 'Rahmatullahi alaih' di dalam bab Fadhail Quran, Bahagian Kedua di Hadith Yang Kedua, Kitab Fadhail Amal dikarang di dalam bahasa asalnya iaitu bahasa Urdu dan telah diterjemahkan di dalam lebih daripada 20 bahasa termasuk bahasa Melayu dan Indonesia)
Artikel ini dipetik dari http://www.darul-huffaz.com/Kelebihan_Surah_Yaasin.html. Dicapai pada 21 Disember 2009

Thursday, December 3, 2009

Asrama

Selesai solat Jumaat di sebuah masjid di Puchong, saya berjalan kaki menuju ke gerai makan yang tidak jauh dari masjid itu. Hujan mula gerimis. Setelah mengambil nasi dan lauk, saya mencari lokasi yang sesuai. Sebolehnya tempat yang agak terlindung sedikit untuk elak dari terkena tempias hujan jika hujan mulai lebat. Ketika leka menikmati hidangan, datang dua orang lelaki usia sekitar pertengahan 20-an. Sambil makan, terdengar juga perbualan mereka. Kisah mereka bertemu dengan senior sekolah dan mengenang kembali kisah silam mereka ketika berada di alam sekolah. Mengingatkan hal sekolah, saya terkenang ketika saya berada di asrama satu masa dulu. Saya pernah tinggal di asrama sebanyak dua kali iaitu ketika di tingkatan satu dan ketika di tingkatan empat. Saya ditawarkan memasuki tingkatan satu di sebuah sekolah berasrama penuh di Ipoh. Saya hanya dapat bertahan selama setahun di sekolah itu. Saya tidak dapat menyesuaikan diri tinggal di dorm (bilik asrama yang memuatkan sekitar 20 orang) dan belajar didalam kelas prep (siapa yang tinggal di asrama mesti tahu istilah ini). Saya tidak tahu kenapa tetapi yang pasti saya tidak boleh menelaah buku dalam suasana sedemikian. Atas sebab itulah, saya mengambil keputusan keluar dari sekolah tersebut dan kembali mengaji di sekolah harian. Selepas peperiksaan SRP (kini PMR), saya mendapat keputusan yang agak baik dan ditawarkan ke sebuah sekolah berasrama penuh di utara Semenanjung. Asrama sekolah berkenaan bukan dalam bentuk dorm tapi kiub (maksudnya sebilik 4 orang). Suasana bilik yang agak privasi itu memberi keselesaan kepada saya. Entah kenapa, kelas prep adalah paling saya tidak gemari. Saya lebih suka menelaah didalam kiub berbanding ke kelas prep. Namun di asrama, menelaah di kiub pada waktu prep adalah satu kesalahan. Saya pergi juga ke kelas prep tetapi rasanya hanya 10-15% sahaja yang saya boleh manfaatkan. Agaknya mungkin saya ini jenis suka menelaah secara tidak tetap disatu-satu tempat adakalanya duduk adakalanya berbaring, membancuh minuman dan bebas memilih buku yang hendak dibaca. Kalau didalam kelas prep, semuanya duduk tegak didalam kelas membuat tugasan masing-masing dan ini agaknya tidak sesuai dengan jiwa saya. Walaubagaimanapun, saya bertahan sehingga selesai SPM. Tinggal di asrama meninggalkan banyak kenangan. Sudah tentu kenangan yang paling banyak ialah bersama kawan-kawan. Kawan-kawan dianggap seperti adik-beradik pengganti keluarga yang jauh di kampung halaman. Perkara yang paling tidak boleh saya lupakan ialah saat menjelangnya SPM. Semakin hampir peperiksaan SPM, semakin galak pula kami menghabiskan masa dengan bermain. Kami bermain takraw diselang-seli dengan bola (sepak) tanpa mengira masa. Pada ketika itu, silabus pelajaran telah habis dan kami bebas mengulangkaji. Ironinya kami bukan mengulangkaji sangat sebaliknya lebih banyak bermain. Bahkan boleh dikatakan setiap kali selesai satu-satu peperiksaan, kami terus sahaja meluru ke gelanggang atau padang bermain takraw atau bola. Tamat kertas terakhir bererti selesailah SPM. Penantian yang ditunggu-tunggu selama dua tahun (dari tingkatan empat sehingga tingkatan lima) telah berakhir. Masing-masing kemudiannya pulang ke kampung halaman. Dalam tempoh menunggu keputusan itu, saya ada juga berhubung dengan kawan-kawan terutamanya yang tinggal didalam negeri yang sama. Keputusan SPM keluar beberapa bulan berikutnya. Keputusan yang saya terima agak memuaskan. Dengan keputusan itu, saya memasuki matrikulasi dan seterusnya melanjutkan pengajian ke sebuah universiti di Lembah Kelang. Ramai juga kawan saya yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Pejam celik pejam celik rupanya telah hampir 20 tahun saya meninggalkan alam persekolahan. Cepat sungguh masa berjalan. Uban pun dah banyak tumbuh di kepala.

Sunday, November 22, 2009

Keistimewaan Hari Jumaat

Sila rujuk artikel yang disertakan. Klik pada imej untuk besarkan artikel


Muka 1

Muka 2

Wednesday, November 18, 2009

Dimana ada kemahuan

Saya terbaca beberapa entri yang sangat menarik tentang pengalaman menuntut ilmu. Entri tersebut ditulis oleh Ustaz Nik Muhammad Nasri (boleh dicapai disini, www. niknasri.com). Beliau asalnya dari jurusan Sains Tulen tetapi kemudiannya mendalami bidang agama setelah minatnya terarah ke situ. Pengalaman beliau yang sangat menarik ini elok dikongsi dan dijadikan inspirasi dalam usaha menuntut ilmu. Berikut saya petik sebahagian dari tulisan beliau,
Entri 1
.....Minat saya terhadap bahasa Arab berputik semenjak di tingkatan 4 Sekolah Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur.... Selepas SPM, sementara menunggu keputusan SPM, saya mengaji kitab dengan beberapa orang ustaz dan tuanguru. Kitab Faridah al-Faraid dalam bidang tauhid dari arwah seorang ustaz, kitab Kifayah al-Muhtadi karya Syeikh Muhammad Nur alFathani yang merangkumi tauhid, fiqh dan tasauf dari arwah datuk saya, Hj Wan Harun b Wan Husin, kitab syarah Hikam Ibn Ataillah dan Sair as-Salikin dalam tasauf, Bughyah ath Tullab dan Sabil al-Muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam bidang fiqh dari arwah Hj Wan Abdullah, bapa kepada mudir Pusat Pengajian Taman Islam, Kemaman, serta beberapa buah lagi. Ketika itu juga, setiap Jumaat akan berulang-alik ke Masjid Rusila mendengar kuliah Jumaat Tok Guru. Selepas itu saya memasuki matrikulasi sains UKM di Sekolah Sultan Mahmud, KT dan seterusnya di Fakulti Sains Fizis Gunaan, UKM, Bangi. Di UKM, saya dan beberapa teman dari Fakulti lain (selain Fakulti Pengajian Islam) sering menunggang motosikal bersama mencari ilmu. Kami ke Kajang, bertuangurukan arwah Ustaz Haji Hashim. Beliau lama belajar dan menetap di Mekah. Banyak kitab jawi yang kami ‘menadah’ dengannya. Ketika cuti semester panjang tahun 1, senior dan naqib saya, Ustaz Mohd Nor Omar (beliau juga dalam bidang sains asalnya seperti saya, bukan dari Fakulti Pengajian Islam, sekarang di Melaka) beritahu di Negeri Sembilan ada seorang tuanguru di sebuah pondok yang khusus mengajar Tatabahasa Arab. Beliau anjurkan kami ke situ. Bersama dengan sekitar berbelas sahabat dari UKM dari pelbagai Fakulti, kami belajar bahasa Arab (Nahu dan Saraf) dari arwah Hj Ali b Hj Musa di pondok Kg Siliau, Rantau, N.Sembilan.....
Artikel penuh tulisan ustaz boleh dirujuk disini
Entri 2 (sambungan entri 1)
Saya dan bersama beberapa orang sahabat dari UKM (sekitar 1988) belajar tatabahasa Arab (Nahu dan Saraf) di Pondok Tuan Hj Ali, Kg Siliau, Rantau, N.Sembilan. Ketika itu cuti semester panjang. Kebetulan bulan itu Ramadhan. Sebelum 1 Syawal, semua pelajar akan pulang, termasuk kami yang datang sementara waktu untuk belajar bahasa Arab di situ. Arwah Tok Guru Tuan Hj Ali pernah berkata ketika mengajar kami: ‘Kalau dapat seorang sahaja dari kamu ni untuk tinggal di sini, cukup dah’ Mungkin beliau melihat kami begitu cepat dan mudah memahami apa yang diajar. Dan memang saya sendiri cukup tertarik dengan kaedah pengajaran Tatabahasa Arab itu. Mudah difahami. Saya solat Istikharah. Akhirnya saya membuat keputusan untuk terus belajar di situ nanti dan meninggalkan Fakulti Sains Fizis Gunaan, UKM. IPU juga ditinggalkan.... Walaupun ibu pernah berkata: ‘Kalau habiskan dahulu pengajian di UKM tu lagi baik.’ Saya cuma berfikir kalau saya habiskan ijazah pertama di UKM, saya akan berfikir untuk bekerja pula, dan kemudian berkahwin. Peluang belajar seperti ini tidak selalu datang. Justru saya nekad dengan niat saya. Ada beberapa teman dari UKM yang mengajak saya kembali ke UKM. Saya tolak. Biarlah saya dengan keputusan saya. Bapa hanya berkata: ‘Buatlah, janji perkara itu baik.’ Selepas Syawal saya terus tinggal disitu. Bermula satu kehidupan yang berbeza dari kehidupan di kampus di UKM. Makan minum cukup sederhana. Suasana juga jauh dari hiruk-pikuk kampus. Dalam kawasan ladang getah, ditambah dengan kawasan ‘jin’ (?), saya melalui satu pengalaman baru. Tempoh keseluruhan belajar di Pondok Tuan Hj Ali yang dikenali sebagai Madrasah ad-Dhuafa’ wal-Masakin ialah mulai 20 Apr 1988 sehingga 2 Jan 1989. Kalau dipecah-pecahkan, maka 4 bulan pertama belajar ‘Undang-undang Nahu’ dan I’rab al-Quran. 2 buah kitab dihadam dan dilumatkan sungguh-sungguh iaitu yang dikenali di kalangan pelajar pondok ‘Syarah Mukhtasar Jiddan‘ yang dipelajari selama 3 bulan, termasuk kitab Matan Maqsud, imla’ serta insya’. Rutin seharian ialah solat subuh berjemaah. Awal pagi persiapan diri dan mengemas kawasan sekitar pondok. Jam 9 hingga 10 pembelajaran ‘Undang-undang Nahu’ dan I’rab al-Quran. Masa selepas itu untuk ulangkaji. Selepas Maghrib, meratib hingga ke Isya’. Tariqat Ahmadiah sangat terkenal di N.Sembilan. Kemuncak ‘Ya Latif‘ bergema di tengah kawasan ladang getah itu. Lepas Isyak, Tuan Hj Ali mengajar tasauf. Tanpa kitab, beliau hanya membuat lakaran (peta minda?) di papan hijau, lalu mensyarahkan apa yang dilakar. Sepanjang berada di pondok itu, beberapa kali peristiwa luarbiasa berlaku. Karamah kah? Wallahu a’lam. Kalau dikira, sebenarnya saya hanya mengambil 150 jam untuk mempelajari ‘Undang-undang Nahu’ itu, kemudian i’rab ayat-ayat al-Quran sehingga lancar. Tok Guru Tuan Hj Ali akhirnya menulis satu perenggan cerita atau hadis dalam bahasa Arab tanpa baris. Disuruhnya saya i’rab, baca dengan betul dan terjemah. Kata Tok Guru: ‘Haa tu dia. Kalau dah dapat baca dan buat macam tu, Nahu Saraf jalan lah tu. Nahu Saraf ni macam ayah dan ibu. kalau ada ayah dan ibu baru ada anak. Tak ada ayah dan ibu, mana boleh ada anak.’....
Artikel penuh tulisan ustaz boleh dirujuk disini
Entri 3 (sambungan Entri 2)
Pencarian ilmu diteruskan lagi. Selepas mendapat pengajian asas tatabahasa Arab di Pondok Siliau, Negeri Sembilan, saya mendengar khabar tentang sebuah pondok di Pengkalan Hulu, Perak. Dahulunya dikenali sebagai Keroh, Perak. Tuan gurunya ialah Ustaz Abdul Latif. Lebih dikenali dengan Pak Teh. Selepas solat istikharah, kecenderungannya ke sana.
Saya memasuki pondok itu pada 3 Jan 1989. Suasana jauh dari hingar bangar bandar, di Kampung Kuak Luar yang damai, penuh dengan bunyi cengkerik pada malamnya. Kabus malam dan awal pagi sangat menyejukkan. Mandi di tali air berdekatan. Tandas dari buluh cukup ringkas. Semua itu tidaklah menghalang dari memenuhkan masa sepanjang hari siang malam dengan ilmu. Tempoh 2 tahun (hingga bulan 11, 1990) di situ bukanlah lama. Ada yang sudah belajar, menetap dan berkahwin belasan dan puluhan tahun. Namun tempoh 2 tahun saya manfaatkan benar-benar. Untuk menjimatkan masa, saya bersarapan dengan nasi lemak yang dibeli. Tengahari hanya dengan segenggam beras yang ditanak, sebiji telur yang digoreng dan kicap sebagai kuah. Tak ada ikan yang disiang. Tak ada kelapa yang diperah. Ketika itu saya anggap semua itu membazir masa. Makan malam juga ringkas. Seawal lepas Subuh sehingga lewat malam, dalam tempoh itu, lebih 45 buah kitab dipelajari. Ini tidak bermakna kesemuanya dikhatamkan tetapi paling tidak ia dibuka, dibelek dan dipelajari. Saya senaraikan nama kitab-kitab tersebut (yang dipelajari teksnya dalam bahasa Arab dan jawi):
Tafsir: al-Jalalain, an-Nasafi, Taj at-Tafasir, al-Baidhawi (jawi)
Hadis: al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibn Majah, Bahr al-Mazi (jawi), Riadhus Salihin
Tauhid: Fath al-Majid, Tuhfah al-Murid, Aqidah an-Najin (jawi)
Fiqh: Fath al-Qarib, Fath al-Muin, I’anah at-Talibin, ‘Tahrir’, Mugni al-Muhtaj, Kifayah al-Akhyar, Mahalli, Fath al-Wahhab, Matla’ al-Badrain (jawi), Bughyah atTullab (jawi), Sabil al-Muhtadin (jawi), Kasyf al-Litham (jawi), Kifayah al-Muhtadi (jawi)
Usul fiqh: Al-Asybah wan Nazair, Jam’ al-Jawami’
Tasauf/ilmu akhlak: Minhaj al-Abidin, an-Nasaih adDiniyyah, Sair as-Salikin (jawi)
Sorof: ‘Kailani’, ‘al-Mirah’, Shazz al-Urf
Nahu: ‘Mutammimah’, ‘Sheikh Khalid’, ‘Ashmawi’, ‘Azhari’, Qatr anNada, syarah Ibn Aqil, ‘Taudhih’ (ada nama kitab yang dikenali dengan nama pengarang atau nama popular di samping nama asal)
Ulum Hadis: Mustalah al-Hadis karangan Sheikh Muhammad Alawi, Taqrirat asSaniyyah
Ilmu Tafsir: Atiyyah ar-Rahman
Mantiq: ‘Aisaghuji’
Waktu dan Bilangan kitab
Lepas solat Subuh (pukul 7-8 lebih) - 4 kitab
10-12 tengahari - 4 atau 5
Lepas solat Zohor (3-4 petang) - 3
Lepas solat Asar (5-6 petang) - 3
Lepas solat Maghrib - 3
Lepas solat Isyak - 2
10.30-12 malam - 2
Beginilah lebih kurang jadual pengajian sepanjang berada di Pondok Pak Teh. Hampir semua kitab dalam pelbagai disiplin ilmu dipelajari dalam bahasa Arab. Penguasaan Nahu Sorof ketika di pondok Tuan Guru Haji Ali Haji Musa di N.Sembilan cukup banyak membantu untuk menguasai dengan cepat kitab-kitab yang dipelajari di Pondok Pak Teh ini, Alhamdulillah....
Artikel penuh tulisan ustaz boleh dirujuk disini

Monday, November 16, 2009

Amanah dan Sabar

Tentang bab amanah dan sabar ini, saya telah melalui dan menghayatinya ketika terlibat dengan program lawatan pelajar baru-baru ini. Amanah yang dipikul terlalu berat sebaik sahaja ibubapa menyerahkan anak-anak mereka di bawah jagaan kami. Sepanjang rombongan, petugas termasuk saya perlu mengawal pergerakan anak-anak mereka agar sentiasa patuh pada arahan dan mengawasi mereka agar sentiasa berada dalam lingkungan kawalan kami. Mengawal anak-anak yang berusia semuda 5 tahun bukanlah satu kerja yang mudah. Ia menuntut kesabaran yang tinggi. Tidak hairanlah apabila bab sabar ini diletakkan selepas seseorang itu melepasi maqam taubat, zuhud dan faqir kerana ianya amat sukar hendak dilaksanakan. Jadi sepanjang tempoh lebih dari 8 jam (dari pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang), saya sebenarnya telah melalui satu 'kelas pengajian bergerak". Didalamnya terkandung matapelajaran amanah dan sabar. Matapelajaran begini tidak mungkin dapat dihayati secara teori melainkan melaluinya sendiri. Segala keletihan dan beban yang terpikul di pundak bahu berakhir sebaik sahaja bas melabuhkan destinasi dan anak-anak berjalan girang menuju ke pangkuan keluarga, pulang dengan selamatnya. Amanah ibubapa telah disempurnakan dengan sebaik-baiknya dan erti sabar dihayati sepenuhnya.