Wednesday, October 27, 2010

Ratib al-Attas

Kata Habib Muhammad bin Soleh al-Attas, ratib al-Attas ini disusun oleh al-Imam Habib Umar bin Abdur Rahman al-Attas dengan susunan tertentu bertujuan untuk menghalau jin dan syaitan yang bermaharajalela di zaman itu. Apapun ratib ini amat sesuai diamalkan pada zaman ini tambahan pula pada zaman ini bukan sahaja jin dan syaitan bermaharajalela tetapi juga maksiat, sihir dan pelbagai macam perkara kejahatan dan kemungkaran. Untuk itu, kita perlu memohon kepada Allah yang Maha Melihat benda-benda yang ghaib yang kita tidak dapat melihatnya. Amalan membaca zikir dan wirid penting untuk memohon perlindungan dari Allah Ta’ala agar dijauhi dari gangguan jin dan syaitan, kemaksiatan dan perkara kejahatan yang lain. Kata Habib, ratib ini elok dibaca selepas solat Isyak kerana waktu itu adalah yang paling mujarab namun ia tetap boleh diamal pada bila-bila masa. Pada malam yang berbahagia itu, Habib mengijazahkan ratib al-Attas, Ratib al-Idrus, ratib al-Haddad dan semua zikir-zikir Ba 'Alawi kepada semua yang hadir pada malam itu.






Habib Muhammad bin Soleh al-Attas dari Huraidhah, Hadramaut, Yaman





Susunan ratib yang diijazahkan oleh Habib Muhammad bin Soleh al-Attas di Pusat Pengajian Ba 'Alawi pada 23 Oktober 2010

Thursday, October 21, 2010

Hol di USJ

Sama seperti tahun lepas, saya sampai masjid di perkarangan masjid ketika para petugas sedang bersiap sedia menyambut ketibaan tetamu kehormat majlis yang dijadualkan akan sampai tidak lama selepas itu. Tahun ini, tetamu kehormat yang dinantikan ialah Tuan Guru Yang Mulia Habib Umar. Saya pun mengambil kesempatan yang ada untuk melihat ketibaan Habib Umar. Sebaik sahaja sampai, para petugas mengawal Habib dengan cara mengelilinginya hinggalah Habib masuk ke dalam dewan solat utama masjid. Tidak lama selepas itu, azan maghrib berkumandang. Usai solat maghrib, majlis dimulakan dengan tausyiah diselang-selikan dengan qasidah. Jadual Habib agak ketat. Esoknya Habib akan berangkat ke Singapura. Kemudian ke Melaka sebelum berangkat pulang. Apapun ini adalah kali kedua Habib berkunjung ke Masjid al-Falah dalam tahun yang sama. Kali pertama ialah pada 10 Januari yang lepas.





Ketibaan Habib Umar

Gerai jualan


Habib Umar menyampaikan syarahan diterjemah oleh Habib Ali Zainal Abidin



Kitab yang diedarkan kepada hadirin

Hol di Masjid Shah Alam

Saya sampai lebih kurang jam 6.50 petang. Sebelum itu, terdapat kesesakan di Bulatan Shah Alam. Ada polis trafik mengawal lalu lintas. Nampaknya kenderaan banyak menghala ke Stadium. Agaknya malam ada perlawanan bola kut, saya tak pasti. Berbalik kepada majlis hol, saya tidak menghadapi masalah untuk meletakkan kereta. Ruang tempat letak kereta di Masjid Shah Alam sangat luas. Masih banyak tempat yang kosong pada waktu itu. Selesai parkir, saya berjalan menuju ke masjid. Di bahagian luar, ada ruang niaga disediakan di anjung masjid. Agak banyak juga kiosk atau gerai jualan pada hari itu. Disebabkan anjung masjid agak luas maka keadaan tidak menjadi sesak. Kedengaran dari corong speaker masjid, suara habib yang memberi tausyiah begitu jelas dan bersemangat. Saya segera naik ke atas. Ada laluan yang memisahkan jemaah muslimin dengan muslimat. Elok-elok sahaja saya sampai ke dewan solat utama, azan maghrib berkumandang. Para jemaah yang hadir pada hari itu agak ramai. Mungkin mencapai 5,000 orang kut. Apapun pada pandangan saya, ruang dewan solat utama masjid masih menampung jumlah jemaah lebih dari itu. Ini berdasarkan terdapat ruang-ruang kosong yang tidak diisi oleh para jemaah. Selesai solat maghrib, pembacaan ratib al-Haddad pun bermula. Selepas itu, Habib Soleh al-Jufri menyampaikan tausyiahnya diikuti dengan tausyiah yang disampaikan oleh Tuan Guru Yang Mulia, Al-Allamah Habib Umar al-Hafiz. Tuan Guru Yang Mulia juga telah mengijazahkan kepada semua hadirin yang hadir pada malam itu akan segala kitab dan zikir Imam al-Haddad yang diterimanya dari gurunya dengan ijazah am. Menurut Tuan Guru Yang Mulia, jarak beliau dengan Imam al-Haddad ialah hanya selang tiga periwayat dalam rantaian sanad tersebut walaupun tempohnya sudah melangkau 300 tahun. Tausyiah diselang-seli dengan alunan qasidah. Majlis berakhir lebih kurang jam 10 malam. Amat bagus majlis-majlis yang besar sebegini diadakan di masjid ini. Ini adalah kerana tempat parkirnya yang banyak dan dewan solat yang luas amat sesuai untuk menampung jumlah jemaah yang ramai. Dijangkakan majlis yang sama akan diadakan di masjid ini pada tahun hadapan, tentatifnya ialah pada 10 Dzulqaedah 1432 H seperti yang diumumkan pada malam itu.





Sampai di Masjid Shah Alam


Pancuran air di tengah dataran

Menuju ke dewan solat utama


Hadirin mendengar syarahan yang disampaikan




Ruang niaga di bahagian bawah

Cenderahati yang diedarkan kepada para hadirin


Kudapan untuk hadirin

Penawar Hati

Sabtu lepas saya ke Bandar Sri Damansara untuk mengikuti pengajian Syeikh Fahmi. Beliau mensyarah kitab yang disusunnya sendiri yang berjudul Penawar Hati. Kitab ini menghimpunkan 40 buah hadith yang mempunyai kaitan dengan judul kitab tersebut. Satu masa dahulu, seorang ulama besar Alam Melayu juga pernah menggunakan judul yang hampir sama bagi kitab yang disusunnya. Ulama yang dimaksudkan ialah Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Mutollib Al-Indonesi Al-Mandili. Kitab ini selesai ditulis pada 7 Rejab 1378 Hijriah ketika beliau berada di Makkah. Isi kandungan kitab ini adalah berkenaan tentang ilmu tasawwuf. Dalam versi jawi, kitab ini dijual dengan harga RM 3 (kalau tidak silap saya) manakala dalam versi rumi seperti yang telah diterjemahkan oleh Hidayah Publishers, ianya dijual dengan harga RM 14. Satu-satunya buku biografi tentang ulama ini yang berada dalam simpanan saya ialah buku yang ditulis oleh Dr Ramli Awang yang dikeluarkan oleh Penerbit UTM pada tahun 2008.



Kitab Empat Puhuh Hadis Penawar Hati yang disusun oleh Syeikh Fahmi ZamZam



Kitab Penawar Bagi Hati (versi jawi) yang dikarang oleh Syeikh Abdul Qadir al-Mandili


Terjemahan kitab Penawar Bagi Hati (Syeikh Abdul Qadir al-Mandili)

Sunday, October 10, 2010

Sanad

Saya ke Pusat Pengajian Ba 'Alawi bersama keluarga baru-baru ini untuk menghadiri majlis pengijazahan sanad kutub sittah oleh Syeikhul Hadith Nadwatul Ulama, India iaitu Maulana Sayyid Salman al-Husaini al-Nadwi. Turut bersama dalam majlis ialah Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam. Majlis bermula selepas maghrib. Jadual Maulana sangat padat. Sebelum berada di Ba 'Alawi, Maulana telah berada di Kedah di sebelah siangnya dan menyampaikan syarahannya di sana. Beberapa hari sebelum itu Maulana telah pun berada di Jakarta untuk membentangkan kertas kerja kemudiannya berangkat pula ke Kalimantan untuk bertemu dengan para ulama di sana. Dalam majlis yang penuh barokah pada malam itu, Maulana telah menyampaikan syarahannya diikuti dengan ulasan dan terjemahan ringkas oleh Syeikh Fahmi. Kata Syeikh Fahmi, benua India banyak melahirkan tokoh hadith terutamanya dalam dua kurun kebelakangan ini. Syeikh Fahmi pernah menghadiri satu majlis hadith ketika berada di India. Kata Syeikh Fahmi, ulama yang memimpin majlis itu sangat alim. Beliau menghafal sahih Bukhari termasuk sanad dan matan serta mampu menghuraikannya. Menurut Syeikh Fahmi, tokoh ulama itu masih hidup. Saya lupa nama syeikh tersebut. Syeikh Fahmi juga turut mengimbau kenangan semasa berada di Mukhtasar Imam Bukhari pada tahun 1993. Pada ketika itu, ramai ulama muhaddith berhimpun di tanah kelahiran Imam Bukhari. Ketika mengunjungi makam Imam Bukhari, semua tokoh ulama yang hadir memberi salam dan memuji-muji jasa Imam Bukhari yang sangat besar kepada umat Islam.



Syeikh Fahmi memulakan majlis




Sanad yang diijazahkan pada malam itu

Maulana Sayyid Salman al-Husaini al-Nadwi

Berikut saya nukilkan biodata Maulana yang saya kutip dari beberapa sumber yang saya nyatakan di akhir tulisan ini.


Maulana Sayyid Salman al-Husaini al-Nadwi

Maulana Sayyid Salman al-Husaini al-Nadwi merupakan seorang tokoh ulama dari keturunan Ahlul Bait yang menetap di India. Diriwayatkan bahawa jalur keturunan dari sebelah ayahandanya sampai kepada Imam Husain manakala jalur keturunan dari sebelah bondanya sampai kepada Imam Hasan, kedua-duanya merupakan cucunda Rasulullah saw. Beliau juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengan dua tokoh ulama terkemuka di India iaitu ‘Allamah Abu ‘l-Hasan ‘Ali al-Hasani al-Nadwi (wafat pada tahun 1420 Hijriyyah) dan Imam Ahmad ibn ‘Irfan al-Shahid (wafat pada tahun 1246 Hijriyyah). Maulana dilahirkan pada tahun 1954 di Lucknow. Beliau dibesarkan dalam suasana pendidikan agama memandangkan ahli keluarganya semuanya alim-alim belaka dalam bidang agama. Beliau mendapat pendidikan awal di Nadwat al-‘Ulama. Disitulah beliau mula menghafal al-Quran. Seterusnya menghabiskan pengajiannya di peringkat menengah dalam bidang pengajian Islam dan peringkat tinggi di Kolej Syariah dan Usuluddin di Dar al-‘Ulum Nadwat al-‘Ulama, Lucknow. Pada tahun 1974, beliau telah menubuhkan satu pertubuhan Islam yang diberi nama Jamiat-u-Shababil Islam (Angkatan Belia Muslim) bersama-sama dengan sahabatnya yang lain. Pertubuhan ini dianggap sebagai pertubuhan Islam yang terbesar dan paling aktif di India sehingga kini. Maulana kemudiannya menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Hadith (al-Hadith al-Sharif wa ‘Ulumuhu) di Nadwat al-‘Ulama’ pada tahun 1976. Setahun kemudian beliau memasuki Kolej Usuluddin Jami‘at al-Imam Muhammad ibn Sa‘ud al-Islamiyyah (Riyadh) untuk meneruskan pengajian dalam bidang hadith. Beliau menerima ijazah pada tahun 1980 dengan keputusan yang sangat membanggakan. Tesisnya yang berjuduk Jam‘ Alfaz al-Jarh wa ‘l-Ta‘dil wa Dirasatuha min Kitab Tahdhib al-Tahdhib li ‘l-Hafiz Ibn Hajar diselesaikan dibawah seliaan tokoh ulama yang sangat alim dalam bidang usul dan hadith iaitu ‘Allamah ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah. Maulana menjadi murid kesayangan gurunya itu memandangkan minat, kesungguhan dan kecintaan yang mendalam yang ditunjukkan oleh maulana dalam bidang hadith sepanjang berada di Jami‘at. Sekembalinya ke India, Maulana telah dilantik menjadi pensyarah dalam bidang hadith di Dar al-‘Ulum Nadwat al-‘Ulama’. Beliau kemudiannya dilantik menjadi professor penuh dalam bidang tersebut. Selanjutnya beliau dilantik menjadi pengarah bagi Fakulti Syari’ah dan Usuluddin. Maulana tidak sekadar mengajar di Dar al-‘Ulum Nadwat al-‘Ulama’ tetapi juga di merata-rata tempat di seluruh dunia. Beliau telah diundang menjadi pensyarah jemputan di universiti-universiti Islam dan bukan Islam di seluruh dunia. Beliau sangat gigih berdakwah dan menabur bakti dalam dunia Islam. Salah satu sumbangan besarnya ialah Madrasat al-Imam Ahmad ibn ‘Irfan al-Shahid al-Islamiyyah yang telah ditubuhkannya pada tahun 1975. Beliau turut terlibat secara aktif dalam penubuhan institusi-institusi pendidikan dan kemudahan hospital khususnya kepada golongan yang tidak berkemampuan. Jalan dakwah yang dilalui oleh Maulana dikatakan mirip seperti ahli keluarganya yang terdahulu seperti ‘Allamah Abu ‘l-Hasan ‘Ali al-Nadwi bahkan beliau dianggap sebagai penerus legasi usaha yang dilakukan oleh ‘Allamah Abu ‘l-Hasan ‘Ali al-Nadwi. Kesibukan dalam tugas mengajar dan dakwah tidak pernah membantutkan usaha beliau untuk memberi sumbangan dalam bidang penulisan. Beliau banyak menghasilkan penulisan dalam bahasa Arab dan Urdu. Antara hasil penulisannya ialah seperti

1. Jam‘ Alfaz al-Jarh wa ‘l-Ta‘dil wa Dirasatuha min Kitab Tahdhib al-Tahdhib li ‘l-Hafiz Ibn Hajar

2. Al-Amanah fi Daw’ al-Qur’an

3. Al-Ta‘rif al-Wajiz bi Kutub al-Hadith

4. Al-Imam al-Dihlawi wa Ara’uhu fi al-Tashri‘ al-Islami

5. Lamhah ‘an ‘Ilm al-Jarh wa ‘l-Ta‘dil

6. Muqaddimah fi Usul al-Hadith li ‘l-Muhaddith al-Shaykh ‘Abd al-Haqq al-Dihlawi

7. Al-Fawz al-Kabir fi Usul al-Tafsir li ‘l-Imam Shah Wali Allah al-Dihlawi (translasi dari bahasa Parsi ke Arab)

Beliau turut menterjemahkan hasil karya Allamah Abu ‘l-Hasan ‘Ali al-Nadwi’s ke dalam bahasa Arab. Antaranya ialah seperti:

8. Rijal al-Fikr wa ‘l-Da‘wah fi ‘l-Islam (Jilid Imam Sarhindi)

9. Rijal al-Fikr wa ‘l-Da‘wah fi ‘l-Islam (Jilid Imam Shah Wali Allah al-Dihlawi)

10. Fi Masirat al-Hayat (Jilid 1 dan 2)

Antara jawatan yang disandangnya pada masa ini ialah

1. Rektor Jamia Syed Ahmad Shaheed

2. Presiden Jamia-u-Shabab-il-Islam

3. Dekan dan Professor Fakulti Syariah dan Usuluddin di Dar al-‘Ulum Nadwat al-‘Ulama

4. Pengerusi Kolej Perubatan dan Hospital Dr. Abdul Ali Unani Medical College

5. Ahli Lembaga All India Muslim Personal Law Board

6. Ahli Lembaga Aligarh Muslim University

7. Ahli Penaung badan Amanah Ebrahim al-Khalil

Rujukan utama

  1. http://zakariyya.wordpress.com/2009/10/15/shaykh-salman-al-husayni-al-nadwi-may-allah-protect-him/. Dicapai pada 6 Oktober 2010
  2. http://www.ebrahimcollege.org.uk/pages/about/ulama.php#salman. Dicapai pada 6 Oktober 2010
  3. http://www.shababalislam.org/eng/an_almuassis.htm. Dicapai pada 6 Oktober 2010