"Tuan ada info tentang makam ini?" tanya saya. "Saya pun tak tahu apa-apa. Yang saya tahu inilah makam yang paling awal di kawasan ini", kata si penjaga makam. Saya berpeluang menziarahi makam ini Jumaat lepas. Tidak berapa lama dahulu, saya ada mendapat maklumat tentang kewujudan makam nisan Aceh di dalam kawasan Puchong tetapi disebabkan terlalu sibuk saya akhirnya terlupa. Hinggalah baru-baru ini apabila seorang sahabat terdekat saya memberitahu saya tentang kewujudan makam nisan Aceh yang dikatakan telah ada sebelum zaman Jepun telah membuatkan saya teringat semula maklumat yang pernah saya terima tidak lama dahulu. Saya menziarahi makam ini bersama seorang sahabat. Dia pun teruja juga hendak melihat makam yang dimaksudkan. Batu nisan Aceh sentiasa menjadi tumpuan pengkaji sejarah. Ini adalah kerana ia dianggap sebagai sumber sejarah Malaysia yang sangat penting dan berkait rapat dengan sejarah Islam di Nusantara. Berdasarkan pemerhatian saya, nisan Aceh yang terdapat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohol ini adalah dari jenis N jika mengikut pengelasan yang diberikan oleh Dr Othman Yatim (rujuk buku/tesisnya yang bertajuk Batu Aceh Early Islamic Gravestones in Peninsular Malaysia) atau dari jenis H jika mengikut pengelasan yang terdapat dalam buku Batu Aceh dalam Perbandingan tulisan Daniel Perret dan Kamarudin Ab Razak (terbitan Yayasan Warisan Johor). Bentuk nisan Aceh ini adalah seperti makam Panglima Hitam (rujuk buku Sejarah Kuala Selangor tulisan Dato Dr Haji Yusoff bin Hassan). Ada dua pasang nisan Aceh di kawasan ini. Kedua-duanya masih berkeadaan baik. Ketika saya menziarahi makam ini, ia belum diwartakan sebagai warisan sejarah. Usia makam ini mungkin sekitar 200 hingga 300 tahun atau mungkin lebih lagi, agaknya le kerana saya sendiri pun tak pasti.
Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohol
Dua pasang nisan Aceh. Kata penjaga makam, makam ini adalah makam sepasang suami isteri
Makam dari sisi lain
Kata penjaga makam, kawasan perkuburan ini kini terbahagi dua iaitu satu bahagian yang diselia oleh jabatan agama manakala satu lagi wakaf. Makam nisan Aceh itu terletak di kawasan wakaf
Dua pokok besar yang kelihatan seperti pintu gerbang
Kawasan tanah perkuburan dilihat dari luar
No comments:
Post a Comment