Kesempatan yang terluang ketika pulang ke kampung di sebelah isteri di Felda Lubuk Merbau sempena sambutan Aidilfitri baru-baru saya manfaatkan untuk menziarahi Pondok Gajah Mati. Saya, isteri dan anak lelaki saya yang berusia 3 tahun bertolak dari Lubuk Merbau menuju ke Pendang lebih kurang jam 10 pagi. Kami sampai di lokasi lebih kurang jam 10.30 pagi. Kami disambut oleh Tuan Guru Haji Wan Izzudin atau lebih mesra disapa sebagai Pak Anjang yang berkebetulan ada di luar rumah pada waktu itu. Saya di pelawa Tuan Guru untuk naik ke atas rumah manakala isteri saya berbual dengan isteri dan anak perempuan Tuan Guru di bahagian bawah. Selain berhari raya, saya turut mengumpul maklumat tentang Pondok Gajah Mati terutamanya tentang riwayat hidup Pak Chu Him. Antara maklumat penting yang dapat saya catat dalam pertemuan tersebut ialah hubungan baik Pak Chu Him dengan ulama besar Perak pada waktu itu iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Perlis. Menurut Tuan Guru Haji Wan Izzudin, ketika kecil beliau pernah dibawa ayahnya ke Perak untuk menziarahi Tuan Guru Haji Abdullah Perlis di Kampung Berchat. Sementara itu, Pondok Gajah Mati yang diterajui oleh Pak Chu Him berjaya melahirkan ramai ulama terkenal di Alam Melayu. Salah seorang ulama besar Alam Melayu yang pernah menimba ilmu di situ ialah Syeikh Abdul Qadir al-Mandili. Menurut Tuan Guru, beliau menimba ilmu di situ selama 11 tahun. Di masa cuti, beliau akan mengambil upah mengerjakan padi di Kobah.
Kami berada di rumah Tuan Guru lebih kurang sejam sebelum meminta diri. Selepas itu, kami menziarahi rumah Hajjah Wan Nafisah yang hanya selang sebuah rumah sahaja dari rumah Tuan Guru. Saya berkesempatan berbual dengan menantu Hajjah Wan Nafisah yang saya panggil sebagai Abang Zul. Beliau bertugas sebagai seorang guru dan pernah mengajar di Sabah lebih kurang 13 tahun. Ketika di sana, dia pernah menimba ilmu kepada seorang tuan guru yang berasal dari Kelantan. Katanya, tuan guru itu pernah menghasilkan penulisan kitab tetapi ia belum pernah dicetak. Malangnya saya terlupa nama tuan guru itu kerana kelemahan saya tidak mencatat namanya sepanjang saya berbual dengannya. Kata Abang Zul lagi, dia pernah belajar kitab al-Iqna' dan al-Durr al-Nafis dengan tuan guru itu. Khabarnya tuan guru itu telah pulang ke negeri asalnya.
Kitab yang dihadiahkan oleh Syeikh Abdul Qadir al-Mandili kepada Pak Chu Him. Di dalamnya ada tulisan tangan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili
Sabun pencuci yang diusahakan oleh
Mak Anjang, isteri Tuan Guru Haji Wan Izzudin. Kata isteri saya, Mak Anjang sangat rajin orangnya. Beliau banyak mengusahakan pembuatan makanan seperti kerepek dan roti dan juga penghasilan sabun pencuci.
No comments:
Post a Comment