Saturday, September 3, 2011

Takrim Ahli Ilmu

Salah satu acara besar yang dianjurkan Yayasan Sofa dalam bulan yang penuh kemuliaan ini ialah Takrim Ahli Ilmu. Acara ini adalah yang julung-julung kali diadakan. Acara ini telah diadakan di Bukit Sembilan, Rembau pada 13 Ramadhan 1432 bersamaan dengan 13 Ramadhan 2011. Memuliakan ahli ilmu adalah perintah Allah. Kata Tuan Guru Yang Mulia, "Allah tidak menyuruh Nabi saw duduk dan memandang ahli dunia kerana ia boleh mengganggu hati baginda saw dalam perjalanan menuju kepada Allah Ta'ala. Tetapi Allah menyuruh Nabi saw duduk bersama-sama ahli ilmu kerana merekalah yang menjaga dan memelihara agama dan umat".
Salah seorang tokoh ilmu yang perlu dikenang sumbangannya dan diteladani kehidupannya ialah almarhum al-Muhaddith Prof Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki. Berkebetulan pula hari wafatnya jatuh pada 15 Ramadhan 1425 H. Jadi dalam acara tersebut, pembacaan manaqib almarhum turut dibacakan dengan tujuan untuk mengenang kembali pengorbanannya dalam dakwah Islam khususnya dalam arena keilmuan.
Almarhum al-Muhaddith Prof Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki sangat komited dalam menyampaikan ilmu. Dalam buku Manaqib Tiga Permata yang disusun oleh Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, dinyatakan bahawa almarhum al-Muhaddith Prof Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki tetap keluar untuk mengajar sekalipun dalam keadaan tidak sihat. Kerehatan dan ketenangan baginya ialah apabila memenuhi waktunya dengan ilmu. Setiap hari beliau akan mengajar lebih daripada 15 subjek. Kesungguhannya dalam bidang ilmu sangat luar biasa sehinggakan anak muridnya pernah berkata, "Ustaz (yakni Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki) lebih tekun daripada anak muridnya sendiri". Beliau memuliakan ilmu, memuliakan guru dan sangat mengasihi penuntut ilmu. Hidupnya sentiasa bergelumang dengan ilmu. Kata Tuan Guru Yang Mulia, almarhum ketika hayatnya pernah mengkhatam kitab Sahih Bukhari ketika hari Tasyriq yakni dalam tempoh 3 hari sahaja.

Takrim Ahli Ilmu pada hari itu telah menyaksikan satu lagi buku dilancarkan bersempena dengan acara tersebut. Buku tersebut berjudul Adab dan Doa Penuntut Ilmu: Hadiah dan Nasihat buat Pencari Ilmu. Buku ini dikarang oleh Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Bagi ahli ilmu, adab adalah sangat penting. Seperti kata Ibnu al-Mubarak, "Adab walaupun sedikit lebih kami perlukan daripada ilmu yang banyak" (Adab dan Doa Penuntut Ilmu, halaman 3). Imam Syafi'i juga ada menukilkan tentang adab. Katanya, "Imam Malik pernah berkata kepadaku, Wahai Muhammad! Jadikanlah ilmumu seperti garam dan adabmu seperti tepung" (Adab dan Doa Penuntut Ilmu, halaman 4). Sementara itu kata Abu Yazid al-Bistami, "Orang yang tidak dapat memelihara adab syariat, sudah pasti tidak dapat menjaga rahsia-rahsia Allah" (Adab dan Doa Penuntut Ilmu, halaman 6)




Ijazah sanad Asma al-Husna sempena Takrim Ilmu




Buku Adab dan Doa Penuntut Ilmu

No comments:

Post a Comment