Saturday, September 3, 2011

Haji Sulaiman

Saya dan keluarga ke Kuala Kangsar pada hari raya keempat. Kami menziarahi bapa saudara yang mesra kami panggil sebagai Ayah Shid. Beliau adalah adik kepada bapa saya. Saya berpeluang melihat satu salasilah yang berkaitan dengan keluarga temenggong Perak yang berada dalam simpanannya. Apapun dalam salasilah itu, hanya nama moyang saya yang bernama Hamam (ayah kepada opah saya) dan Wan Rogayah (bonda kepada datuk saya yang bernama Ahmad Rafaai) sahaja ada tercatat. Manakala nama Haji Sulaiman yang merupakan ayah kepada moyang saya iaitu Khairudin tidak tercatat dalam salasilah itu. Ayah Shid kemudiannya mengajak kami bertemu dengan kenalannya yang kalau tak silap saya juga ada mempunyai hubungan persaudaraan. Kenalan Ayah Shid itu mempunyai salasilah keluarga yang agak lengkap tetapi masih tidak mempunyai catatan tentang Haji Sulaiman. Salasilah keluarganya kalau tak silap saya bersambungan dengan Arung Bone di Sulawesi. Apapun saya tetap mengumpul kesemua salasilah yang kami perolehi pada hari itu dan membuat salinannya. Kata ayah saya, memang agak susah nak cari maklumat tentang Haji Sulaiman kerana Haji Sulaiman orang perantau. Lagipun seingat ayah saya, nendanya iaitu Wan Rogayah tidak pernah sekalipun bercerita tentang bapa mertuanya yang bernama Haji Sulaiman itu. Sekadar info, Haji Sulaiman adalah ayahanda kepada Permaisuri Uteh Mariah yang berkahwin dengan Sultan Idris I. Permaisuri Uteh Mariah dengan moyang saya yang bernama Khairudin adalah adik beradik.



Membuat salinan salasilah di bandar Kuala Kangsar

Isteri saya sempat snap gambar pokok getah tertua di Malaysia

Gajah Mati

Kesempatan yang terluang ketika pulang ke kampung di sebelah isteri di Felda Lubuk Merbau sempena sambutan Aidilfitri baru-baru saya manfaatkan untuk menziarahi Pondok Gajah Mati. Saya, isteri dan anak lelaki saya yang berusia 3 tahun bertolak dari Lubuk Merbau menuju ke Pendang lebih kurang jam 10 pagi. Kami sampai di lokasi lebih kurang jam 10.30 pagi. Kami disambut oleh Tuan Guru Haji Wan Izzudin atau lebih mesra disapa sebagai Pak Anjang yang berkebetulan ada di luar rumah pada waktu itu. Saya di pelawa Tuan Guru untuk naik ke atas rumah manakala isteri saya berbual dengan isteri dan anak perempuan Tuan Guru di bahagian bawah. Selain berhari raya, saya turut mengumpul maklumat tentang Pondok Gajah Mati terutamanya tentang riwayat hidup Pak Chu Him. Antara maklumat penting yang dapat saya catat dalam pertemuan tersebut ialah hubungan baik Pak Chu Him dengan ulama besar Perak pada waktu itu iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Perlis. Menurut Tuan Guru Haji Wan Izzudin, ketika kecil beliau pernah dibawa ayahnya ke Perak untuk menziarahi Tuan Guru Haji Abdullah Perlis di Kampung Berchat. Sementara itu, Pondok Gajah Mati yang diterajui oleh Pak Chu Him berjaya melahirkan ramai ulama terkenal di Alam Melayu. Salah seorang ulama besar Alam Melayu yang pernah menimba ilmu di situ ialah Syeikh Abdul Qadir al-Mandili. Menurut Tuan Guru, beliau menimba ilmu di situ selama 11 tahun. Di masa cuti, beliau akan mengambil upah mengerjakan padi di Kobah.

Kami berada di rumah Tuan Guru lebih kurang sejam sebelum meminta diri. Selepas itu, kami menziarahi rumah Hajjah Wan Nafisah yang hanya selang sebuah rumah sahaja dari rumah Tuan Guru. Saya berkesempatan berbual dengan menantu Hajjah Wan Nafisah yang saya panggil sebagai Abang Zul. Beliau bertugas sebagai seorang guru dan pernah mengajar di Sabah lebih kurang 13 tahun. Ketika di sana, dia pernah menimba ilmu kepada seorang tuan guru yang berasal dari Kelantan. Katanya, tuan guru itu pernah menghasilkan penulisan kitab tetapi ia belum pernah dicetak. Malangnya saya terlupa nama tuan guru itu kerana kelemahan saya tidak mencatat namanya sepanjang saya berbual dengannya. Kata Abang Zul lagi, dia pernah belajar kitab al-Iqna' dan al-Durr al-Nafis dengan tuan guru itu. Khabarnya tuan guru itu telah pulang ke negeri asalnya.



Kitab yang dihadiahkan oleh Syeikh Abdul Qadir al-Mandili kepada Pak Chu Him. Di dalamnya ada tulisan tangan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili


Sabun pencuci yang diusahakan oleh
Mak Anjang, isteri Tuan Guru Haji Wan Izzudin. Kata isteri saya, Mak Anjang sangat rajin orangnya. Beliau banyak mengusahakan pembuatan makanan seperti kerepek dan roti dan juga penghasilan sabun pencuci.

Aidilfitri 1 Syawal 1432 (30 Ogos 2011)

Kata Tuan Guru Yang Mulia, "Para ulama di Yaman akan menghidupkan malam raya hingga selesai khutbah raya". Ini adalah kerana malam raya adalah malam penentu samada puasa seseorang itu diterima atau tidak. Kata Hasan al-Basri ketika mendengar penduduk Basra bergelak ketawa pada malam raya berkata, “Adakah mereka yakin bahawa puasa mereka telah diterima Allah Ta’ala sehingga mereka gelak sedemikian rupa?” Maka atas sebab itu kita mesti kena ada perasaan khauf dan raja’ di hadapan Allah. Khauf (takut) kerana bimbang seandainya kita tidak layak tergolong dalam orang-orang yang menerima anugerah Allah tetapi pada masa yang sama raja' (harap) agar Allah menggolongkan kita dalam kelompok orang-orang yang menerima anugerah-Nya.
Pada hari kita membesarkan Allah maka hendaklah kita merendahkan diri kita di hadapan Allah ta'ala. Faham dan hayatilah maksud takbir. Ia bukan setakat lisan atau ucapan di mulut semata-mata tetapi juga di benak hati. Takbir bererti membesarkan Allah. Kalau kita bertakbir hanya dengan lisan maka hakikatnya kita tidak menghayatinya. Takbir yang benar ialah dengan membesarkan Allah dan menyingkirkan rasa takabbur dalam hati.



Solat raya di Ampang


Takbir raya


Jamuan raya di kediaman Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki


Tuan Guru Yang Mulia sedang mengagihkan sampul raya kepada kanak-kanak


Tuan Guru Yang Mulia membaca hadith musalsal Hari Raya

Takrim Huffaz

Tahun ini Masjid Darul Ehsan menjadi tuan rumah Takrim Huffaz. Majlis ini diadakan pada malam 27 Ramadhan 1432 (26 Ogos 2011). Kata Tuan Guru Yang Mulia, "Ahli al-Quran adalah kekasih Allah". Mengasihi mereka akan menyebabkan kita dikasihi Allah. Manakala membenci mereka akan menyebabkan seseorang itu akan diperangi Allah. Ada dua golongan yang diperangi Allah iaitu orang yang memakan riba secara berterusan dan orang yang mencela Kekasih Allah. Kata Imam Abbas al-Mursi, “Orang yang membenci Kekasih Allah maka bersedialah untuk mati dalam keadaan Su’ul Khatimah”.


Majlis Takrim Huffaz di Masjid Darul Ehsan

Nuzul al-Quran dan Ahli Badar

Ada dua peristiwa besar yang perlu dikenang dan dihayati pada malam 17 Ramadhan iaitu peristiwa Nuzul al-Quran dan Perang Badar al-Kubra. Kedua-duanya adalah lambang kemuliaan. Al-Quran adalah lambang kemuliaan ilmu manakala Ahli Badar adalah lambang kemuliaan para Kekasih Allah dimana para sahabat yang menyertai perang ini terdiri dari semulia-mulia manusia. Ibnu Hajar al-Asqalani menggalakkan umat Islam membaca asma’ Ahli Badar. Ini adalah kerana nama-nama itu mempunyai rahsia kemuliaan.



Kitab Jaliatul Kadar yang mengandungi nama ahli-ahli Badar. Kitab ini ditulis oleh Al-Allamah Sayyid Jaafar bin Hasan bin Abdul Karim al-Barzanji, Mufti Syafi'iyah di Madinah al-Munawwarah. Sanad kitab ini telah diijazah oleh Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki pada 15 Ramadhan 1432 bersamaan 15 Ogos 2011



Doa ini telah diijazah oleh Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki di Masjid Darul Ehsan pada 17 Ramadhan 1432 bersamaan dengan 17 Ogos 2011

Takrim Ahli Ilmu

Salah satu acara besar yang dianjurkan Yayasan Sofa dalam bulan yang penuh kemuliaan ini ialah Takrim Ahli Ilmu. Acara ini adalah yang julung-julung kali diadakan. Acara ini telah diadakan di Bukit Sembilan, Rembau pada 13 Ramadhan 1432 bersamaan dengan 13 Ramadhan 2011. Memuliakan ahli ilmu adalah perintah Allah. Kata Tuan Guru Yang Mulia, "Allah tidak menyuruh Nabi saw duduk dan memandang ahli dunia kerana ia boleh mengganggu hati baginda saw dalam perjalanan menuju kepada Allah Ta'ala. Tetapi Allah menyuruh Nabi saw duduk bersama-sama ahli ilmu kerana merekalah yang menjaga dan memelihara agama dan umat".
Salah seorang tokoh ilmu yang perlu dikenang sumbangannya dan diteladani kehidupannya ialah almarhum al-Muhaddith Prof Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki. Berkebetulan pula hari wafatnya jatuh pada 15 Ramadhan 1425 H. Jadi dalam acara tersebut, pembacaan manaqib almarhum turut dibacakan dengan tujuan untuk mengenang kembali pengorbanannya dalam dakwah Islam khususnya dalam arena keilmuan.
Almarhum al-Muhaddith Prof Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki sangat komited dalam menyampaikan ilmu. Dalam buku Manaqib Tiga Permata yang disusun oleh Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, dinyatakan bahawa almarhum al-Muhaddith Prof Dr Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki tetap keluar untuk mengajar sekalipun dalam keadaan tidak sihat. Kerehatan dan ketenangan baginya ialah apabila memenuhi waktunya dengan ilmu. Setiap hari beliau akan mengajar lebih daripada 15 subjek. Kesungguhannya dalam bidang ilmu sangat luar biasa sehinggakan anak muridnya pernah berkata, "Ustaz (yakni Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki) lebih tekun daripada anak muridnya sendiri". Beliau memuliakan ilmu, memuliakan guru dan sangat mengasihi penuntut ilmu. Hidupnya sentiasa bergelumang dengan ilmu. Kata Tuan Guru Yang Mulia, almarhum ketika hayatnya pernah mengkhatam kitab Sahih Bukhari ketika hari Tasyriq yakni dalam tempoh 3 hari sahaja.

Takrim Ahli Ilmu pada hari itu telah menyaksikan satu lagi buku dilancarkan bersempena dengan acara tersebut. Buku tersebut berjudul Adab dan Doa Penuntut Ilmu: Hadiah dan Nasihat buat Pencari Ilmu. Buku ini dikarang oleh Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Bagi ahli ilmu, adab adalah sangat penting. Seperti kata Ibnu al-Mubarak, "Adab walaupun sedikit lebih kami perlukan daripada ilmu yang banyak" (Adab dan Doa Penuntut Ilmu, halaman 3). Imam Syafi'i juga ada menukilkan tentang adab. Katanya, "Imam Malik pernah berkata kepadaku, Wahai Muhammad! Jadikanlah ilmumu seperti garam dan adabmu seperti tepung" (Adab dan Doa Penuntut Ilmu, halaman 4). Sementara itu kata Abu Yazid al-Bistami, "Orang yang tidak dapat memelihara adab syariat, sudah pasti tidak dapat menjaga rahsia-rahsia Allah" (Adab dan Doa Penuntut Ilmu, halaman 6)




Ijazah sanad Asma al-Husna sempena Takrim Ilmu




Buku Adab dan Doa Penuntut Ilmu

Sambutan Hol Sayyidah Khadijah

Sambutan Hol Sayyidah Khadijah al-Kubra anjuran Yayasan Sofa pada tahun ini diadakan selama 3 hari bermula dari 5 Ramadhan (5 Ogos 2011) dan berakhir pada 7 Ramadhan (7 Ogos 2011). Sambutan ini diadakan bagi mengenang hari kewafatan Sayyidah Khadijah pada 11 Ramadhan. Kemuncak sambutan diadakan di Pejabat Gerbang Perdana di Bangunan IBEX, Petaling Jaya. Antara tetamu kehormat yang hadir semasa kemuncak sambutan ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Mengingati Sayyidah Khadijah adalah satu keperluan kerana pengorbanannya dalam dakwah Nabi saw adalah sangat besar. Dengan membaca manaqibnya, mudah-mudahan umat Islam bukan sahaja mengenang pengorbanannya tetapi juga mendatangkan rasa kasih terhadap insan yang sangat dikasihi baginda saw dan menuruti jejak langkahnya dalam dakwah Islam.



Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki sedang menyampaikan syarahan pada kemuncak sambutan

Manaqib Sayyidah Khadijah al-Kubra

Qasidah Memuji Sayyidah Khadijah al-Kubra





Graha

Berdasarkan catatan ujung dalam satu makalah tulisan Prof Shaharir Mohd Zain, graha bermakna planet dalam istilah Melayu lama. Istilah-istilah Melayu lama sememangnya sangat menarik dan wajar diketengahkan. Bayt al-Hikmah, sebuah pusat ilmu mutakhir yang dilancarkan oleh Yayasan Sofa pada 23 Syaaban 1432 H bersamaan dengan 24 Julai 2011 telah menggunakan istilah graha ini sebagai tagline nya. Tagline penuhnya, "Graha Kajian dan Keilmuan Islam. Sedap bukan?

Bayt al-Hikmah merupakan satu lagi mercu tanda yang wajar diberi perhatian dan diberi sokongan oleh umat Islam khususnya di negara ini. Ini adalah kerana ia menempatkan pusat penyelidikan dan pendidikan, kolej, perpustakaan, pusat bahasa, madrasah pengajian dewasa dan banyak lagi yang berkaitan dengan perkembangan ilmu dan ma'rifah dalam dunia Islam. Penubuhan pusat ilmu ini adalah diinspirasikan dari pusat intelektual dan keilmuan zaman kerajaan Abbasiyah yang juga memakai nama Bayt al-Hikmah. Cetusan idea untuk menghidupkan semula sejarah Bayt al-Hikmah yang sangat unggul satu ketika dahulu telah digerakkan oleh Penaung Yayasan Sofa iaitu Tuan Guru Yang Mulia al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki.

Pada hari perasmian pusat ilmu tersebut, sebuah buku yang bertajuk 40 Hadith Fadhilat Ilmu telah dilancarkan bersempena dengan majlis berkenaan. Isi kandungan buku tersebut telah dipetik dati kitab yang berjudul al-Durar al-Munif fi Talabi al-Ilm al-Syarif al-Musil ila Ridha al-Malik al-Latif karangan muhaddith yang alim lagi wara' di Maghribi iaitu al-Allamah al-Muhaddith Abu al-Jamal Muhammad al-Tahir ibn al-Hasan al-Kattani.


Majlis bermula


Antara koleksi kitab yang ditempatkan di tingkat atas


Lagi koleksi kitab


Buku yang dilancarkan pada hari itu


Penerangan tentang Bayt al-Hikmah di bahagian belakang buku