Masjid as-Salam Puchong Perdana
Jumaat lepas, saya menunaikan solat Jumaat di Masjid as-Salam, satu-satunya masjid terapung di kawasan Puchong. Letaknya masjid ini ialah di Puchong Perdana. Di perkarangan masjid, kelihatan seperti ada karnival jualan. Usai solat, saya meninjau gerai jualan. Kebanyakannya adalah gerai menjual ubat tradisional. Dah lama saya tak melihat gelagat orang menjual ubat. Ada satu gerai menjual dengan aksi yang agak menarik. Si penjualnya menggunakan teknik silap mata. Dari 'kotak silap matanya', dia mengeluarkan ular, labah-labah dan arnab. Saya hanya sempat melihat dia 'keluarkan' ular dan labah-labah. Selepas itu, dia banyak berceloteh sambil menjual ubatnya. Tak sempat saya lihat dia keluarkan arnab. Oh lupa pula, ular dan labah-labah tersebut bukan ular dan labah-labah 'betul' sebaliknya mainan sahaja. Gerai lain ada yang jual minyak belacak, minyak angin dan sebagainya. Ada satu gerai menjual barangan lama dan mistik termasuk cincin dengan pelbagai jenis batu. Lain-lain gerai jualan adalah gerai makanan dan minuman. Laman blog masjid ini boleh dilawati disini.
No comments:
Post a Comment