Pagi Ahad yang lepas, saya, isteri saya dan anak perempuan saya keluar menuju ke Pasar Borong Serdang. Jalan agak lengang, rasanya ramai warga kota pulang ke kampung sempena sambutan Tahun Baru Cina. Kami sampai di Pasar Borong lebih kurang jam 9 pagi. Pasar Borong tutup tetapi ada beberapa penjaja yang membuka gerai jualan di hadapan pintu masuk pasar borong. Pilihan tak banyak. Harga ikan agak mahal. Ikan tenggiri dijual RM 25 sekilo. Mahal lebih kurang RM 5 hingga RM 7 dari kebiasaannya. Kami kemudiannya bergerak menuju ke Shah Alam. Di Shah Alam, kami ke Seksyen 3 menikmati hidangan roti canai di Restoran Gembira. Usai makan kami ke Seksyen 6. Ada pasar besar disitu. Harga ikan lebih kurang macam di pasar borong Serdang. Banyak pilihan tetapi mahal. Ikan tenggiri ada yang dijual sehingga RM 39 sekilo (isi sahaja). Tak munasabah langsung. Kelihatan ramai orang berkerumun di luar pasar. Rupanya ada orang menjual arnab. Si penjual namanya Zaid. Ramai juga yang membeli arnab darinya. Kebanyakannya membeli sepasang termasuk sangkar dan makanan. Anak perempuan saya dah mula berkenan. Lain yang dicari lain yang dibeli. Akhirnya kami membawa pulang sepasang arnab, sangkar dan makanan dari Shah Alam. Ralit kami mendengar penerangan Zaid tentang penjagaan arnab. Katanya, kena perhati betul-betul arnab ni takut dia demam. Ada pengunjung bertanya, macam mana nak tau dia demam. Kata Zaid, kalau hidung dia dah mula berair atau najisnya cair, kemungkinan besar dia demam. Lalu ubatnya? Kata Zaid, saya selalu bagi arnab ni minum air kelapa. Kata Zaid lagi, arnab ni ada masanya boleh kena sakit mata. Boleh pakai eye-mo dan titis atas matanya. Untuk arnab peringkat 'baby' ini, kurangkan bagi makan kangkung. Elok bagi vitamin dan makanan yang diperbuat dari dedak. Kalau pemiliknya berjalan jauh, boleh juga tinggalkan sengkuang dan lobak merah untuk habuan arnab tersebut. Keseluruhannya, RM 115 dikeluarkan buat belanja beli arnab. Bayangkanle kalau 10 orang beli sepasang dan sangkar? Usai urusan di Shah Alam, kami pulang ke rumah. Dalam perjalanan, kami singgah di Pasar Tani berdekatan dengan Tol USJ-Puchong. Di situ kami beli ikan dan sayur. Harga pun ok disitu. Beli ikan lebih sikit untuk bekalan ke Melaka esok harinya (percutian keluarga).
Arnab yang dijual oleh Zaid dan rakannya
Pasar Besar Seksyen 6 Shah Alam
Arnab yang dibeli dari Zaid. Sedang asyik menikmati kangkung (tapi tak boleh bagi makan kangkung selalu sebab arnab ni masih kecil lagi)
No comments:
Post a Comment