Wednesday, February 17, 2010

Catatan Dua Hari Satu Malam - Bahagian 3

Ketika masuk ke Bandar Melaka, ternampak signboard Masjid Kampung Hulu. Kami singgah disitu. Isteri saya yang belum menunaikan solat zohor (kerana memangku anak lelaki saya yang tidur tadi) segera menunaikannya disini. Saya pula masuk ke dalam menunaikan solat sunat tahiyatul masjid dan meninjau keadaan sekitar masjid yang penuh bersejarah ini. Sejarah masjid ini boleh dibaca disini,
Masjid tertua Melaka pertahankan seni bina tempatan
Oleh AZMAN IBRAHIM
SELAIN runtuhan Kota A’Famosa, Bastion House dan Stadthuys di Melaka berjaya mencuri perhatian pelancong seluruh dunia, salah satu binaan lama dan bersejarah yang turut menarik perhatian di negeri itu adalah masjid-masjid lamanya. Masjid-masjid lama di Melaka didapati mempunyai seni bina yang begitu indah, klasik dan masih kukuh sehingga ke hari ini. Melaka sehingga kini mempunyai lebih daripada 54 buah masjid lama yang berusia lebih 100 tahun dan kesemuanya telah diwartakan sebagai bangunan warisan sejarah oleh kerajaan negeri.
Paling unik apabila ciri-ciri seni bina masjid di negeri itu disifatkan mempunyai struktur binaan yang seragam dan kelihatan hampir sama antara satu sama lain, walaupun di berbeza daerah seperti di Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah. Kelainan seni bina masjid lama di negeri ini jika dibandingkan dengan masjid di negeri-negeri lain adalah terletak pada tiga lapisan bumbungnya yang diperbuat daripada tanah liat dan sebuah menara batu yang berbentuk seperti kubu, namun sebenarnya berfungsi sebagai tempat laungan azan. Masjid-masjid lama di negeri ini juga mempunyai empat tiang seri yang menjadi pendokong kepada bumbung dan lantai masjid. Berdasarkan kajian oleh beberapa penyelidik Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), masyarakat Melayu di negeri ini suatu masa dahulu mempunyai kepercayaan tersendiri iaitu setiap lapisan bumbung masjid di negeri ini mempunyai maksud tertentu dan mempunyai hubungan antara satu sama lain. Mereka percaya bahawa lapisan paling atas bumbung masjid bererti `iman manusia kepada tuhan’, lapisan kedua, `hubungan manusia dengan manusia’ dan ketiga membawa maksud `alam semula jadi yang menghubungkan manusia dengan Pencipta’. Ada pendapat lama yang menyatakan bahawa seni bina setiap masjid di negeri ini mempunyai pengaruh luar yang dibawa dari pedagang-pedagang India, China dan Arab. Perzim bagaimanapun mempertahankan hak seni bina masjid-masjid di negeri yang dianggap mempunyai ketulenan tempatannya yang tersendiri.
Pengurus Besar Perzim, Datuk Dr. Ramlah Adam menegaskan bahawa senibina masjid di negeri ini direka oleh masyarakat Melayu di negeri ini sendiri dan ia tidak mempunyai pengaruh luar seperti yang disangkakan. Menurutnya, masyarakat Melayu di negeri ini juga mempunyai ramai tukang bina tersohor yang mahir dalam seni bina tempatan. ''Saya ingin menyangkal bahawa seni bina masjid negeri ini sama seperti pagoda di China mahupun pengaruh-pengaruh luar yang lain. ''Kajian yang dilakukan oleh penyelidik tempatan mendapati ukiran yang terdapat pada bahagian bumbung dan dinding masjid di negeri ini merupakan ukiran asli Melayu yang melambangkan alam semula jadi. “Kita tidak boleh lupa bahawa masyarakat Melayu juga pandai dalam seni ukiran sejak berkurun lamanya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Ukiran dan seni bina masjid-masjid di negeri ini dikatakan hanya menggunakan faktor alam semulajadi. Pengaruh tumbuh-tumbuhan menjadi kriteria utama seni bina dan ukiran pada bahagian dinding dan bumbung masjid-masjid berkenaan. Malah, pada hujung bumbung terdapat ukiran berkonsepkan sulur bayur, mahkota dan awan larat. Dalam pada itu, bahan binaan pada bahagian dinding masjid juga dipercayai diperbuat daripada campuran putih telur dan pasir serta batu granit. Salah satu contoh masjid lama yang menarik perhatian pelancong di negeri ini adalah Masjid Kampung Hulu yang dibina di Jalan Kampung Hulu, Banda Hilir di sini.
Ia merupakan masjid tertua di negeri ini dan dibina sekitar tahun 1720 hingga 1728. Masjid ini dipercayai dibina oleh Datuk Arom atau Harun iaitu seorang pendatang dari China yang telah memeluk Islam. Masjid ini juga dipercayai dibina pada zaman pemerintahan Belanda dan telah diubahsuai dengan binaan batu konkrit pada tahun 1892. Pada waktu ini, dalam perkarangan masjid berkenaan turut terdapat beberapa buah rumah kedai yang disewakan kepada orang perseorangan yang menjadikannya sebagai masjid terkaya antara masjid-masjid di negeri ini.
Masjid kedua tertua adalah Masjid Tengkera yang terletak di sebelah kanan Jalan Tengkera yang namanya diambil bersempena dengan nama mukim Tenquerah oleh pemerintahan Portugis di Melaka. Bangunan asalnya dipercayai dibina sekitar tahun 1750-an dan telah dibaiki pada tahun 1850-an. Masjid ini bercirikan seni bina tradisional Melaka dan campuran seni bina Sumatera dan China. Masjid ini mempunyai sedikit kelainan kerana mempunyai tiga lapisan bumbung iaitu bumbung beranda, bumbung ruang sembahyang dan bumbung kubah. Di bahagian hadapan masjid ini dipagari dengan tembok batu yang dihias kekisi porselin manakala pintu gerbangnya dihiasi dengan ukiran tulisan khat dan bumbungnya berbentuk seperti pagoda. Terdapat juga sebuah menara batu yang mempunyai bumbung tanah liat berkeliling pada bahagian bawahnya. Satu lagi masjid tertua di negeri ini adalah Masjid Peringgit.
Pada asalnya ia dibina di Bukit Peringgit pada tahun 1726, tetapi ia telah musnah akibat perlaku peperangan. Kemudiannya ia telah dibina semula pada 1868 di tempat yang sama. Masjid ini unik kerana berbentuk empat segi ,manakala bahan binaannya terdiri daripada batu laterit dan batu-bata terra cotta yang wujud pada zaman Belanda sebagai asas dan dinding. Pada 1978, kerajaan negeri telah membuat kerja-kerja penambahan pada bahagian belakang masjid dengan binaan konkrit yang melenyapkan tangga utama, perigi dan kolam. Masjid Peringgit tidak lagi digunakan untuk sembahyang Jumaat kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Masjid Negeri iaitu Masjid Al Azim di Bukit Palah. Masjid ini sehingga kini digunakan untuk singgahan dan sembahyang harian sahaja.
Utusan Malaysia Terbit pada 5 April 2006 Ruangan Bicara Agama. Boleh dicapai di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm. Dicapai pada 18 Februari 2010
Satu lagi sumber boleh dirujuk disini,
Masjid Kampung Hulu merupakan sebuah masjid yang terletak di tengah-tengah Bandar Melaka dalam daerah Melaka Tengah, Melaka. Dibina dalam tahun 1728 (ikut plak penerangan dibina pada tahun 1720), Masjid Kampung Hulu di Melaka adalah masjid paling tua di Malaysia yang masih digunakan dan berada di tapaknya yang asal. Masjid ini terletak di persimpangan Jalan Masjid Kampung Hulu dan Jalan Masjid di Melaka, dalam kawasan yang kini dipenuhi kedai-kedai yang diusahakan oleh peniaga kaum Cina.
Masjid ini dibina oleh oleh penduduk-penduduk tempatan dengan pembiayaan Belanda semasa penjajahan Melaka oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (singkatannya V.O.C.). Masjid ini dibina adalah kesan daripada perubahan dasar oleh pemerintah Belanda, yang mengutarakan dasar kepelbagaian pegangan agama. Sebelum kedatangan kaum Belanda pada tahun 1624, penjajah Portugis telah, sejak tahun 1511, memusnahkan peninggalan rumah-rumah ibadat bukan Kristian di Melaka. Antara yang dimusnahkan oleh Portugis adalah masjid yang pertama dibina di Melaka, yang kononnya terletak bertentangan dengan tapak Stadhuys sekarang. Pemerintah Belanda telah menugaskan Kapitan untuk mengetuai penduduk tempatan dalam pembinaan tempat ibadat mereka, Dato' Samsuddin Bin Arom, seorang pendatang dari China yang telah memeluk Islam, [1] ditugaskan pemerintah Belanda untuk membina Masjid Kampung Hulu. Binaan asal kemudiannya diperbaiki oleh Sheikh Al Omar bin Hussain Al-Attas.
Penjajah Belanda juga menggalakkan kepelbagaian budaya di kalangan penduduk, dan ciri-ciri senireka masjid dari tanah Jawa telah dimasukkan di dalam senireka Masjid Kampung Hulu. Masjid ini mempunyai bumbung berlapis 3, dengan bentuk seakan-akan piramid. Ruang di antara lapisan-lapisan bumbung ini membolehkan kemasukan udara dan cahaya ke dalam masjid. Mereka percaya bahawa lapisan paling atas bumbung masjid bererti `iman manusia kepada tuhan’, lapisan kedua, `hubungan manusia dengan manusia’ dan ketiga membawa maksud `alam semula jadi yang menghubungkan manusia dengan Pencipta’. Struktur bumbung disokong oleh 4 tiang seri di tengah-tengah masjid, yang kemudiannya membawa kepada tiang-tiang penyokong yang lain. Walaupun senireka masjid ini dipengaruhi oleh senireka Jawa, Masjid Kampung Hulu tidak dibuat daripada kayu seperti masjid-masjid di Jawa, sebaliknya dibuat menggunakan bata dan batu. Masjid ini juga mempunyai tembok rendah yang memagarkan kawasan masjid. Seperti banyak masjid yang dibina di Melaka pada zaman itu, hiasan dengan pengaruh Cina digunakan untuk menghiasi masjid ini. Bahan-bahan seperti jubin seramik dan jubin lantai daripada kerajaan China Dinasti Ching juga digunakan. Motif-motif menghiasi tepian kubah masjid. Menara batu menunjukkan ciri senireka Melaka pada masa itu, dan dipengaruhi oleh rekabentuk pagoda orang Cina. Ukiran dan seni bina masjid menggunakan faktor alam semulajadi. Pengaruh tumbuh-tumbuhan menjadi kriteria utama seni bina dan ukiran pada bahagian dinding dan bumbung masjid-masjid berkenaan. Pada hujung bumbung terdapat ukiran berkonsepkan sulur bayur, mahkota dan awan larat. Masjid ini adalah antara 777 bangunan bersejarah disenaraikan oleh Archnet.

[1]Ed. Martin Frishman and Hasan-Uddin Khan. 1994. The Mosque: History, Architectural Development and Regional Diversity. London: Thames and Hudson, 237-238.
Dirujuk dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Masjid_Kampung_Hulu. Dicapai pada 18 Februari 2010


Pintu masuk utama ke tempat parkir kereta

Masjid dan menara masjid di sisi jalan utama


Satu lagi pandangan sisi masjid dan menara dari tepi jalan utama


Kubur-kubur lama di tepi kanan masjid

Maqam yang agak terserlah disisi luar masjid sebelah kanan. Saya tidak pasti samada maqam ini adalah maqam Sayyid Abdullah al-Haddad seorang guru agama yang terkenal yang dianggap ramai sebagai Wali Allah dimana namanya disebut dalam laman web ini, http://www.tourism.gov.my/my/destinations/item.asp?item=kampunghulu. Dicapai pada 18 Februari 2010


Gugusan lampu dalam dewan solat utama
Mimbar masjid yang mempunyai senibina yang sangat indah


Dewan solat utama masjid

Masjid Kampung Hulu diwartakan sebagai warisan kebangsaan


Kolah utama yang sentiasa menjadi tumpuan


Beduk utama yang diletakkan di bahagian atas bumbung salah satu pintu masuk masjid


Salah dari dari sepasang meriam kecil yang berada di pintu masuk utama masjid (sebelah kiri masjid)

Meriam dari pandangan atas


Tulisan pada meriam


Ruang solat disebelah luar


Pintu masuk dari sisi masjid yang lain


Kolah utama masjid - airnya agak sejuk


Plak penerangan masjid


Pemandangan masjid dari bahagian belakang

Beduk masjid yang dapat dilihat dari jalan utama

No comments:

Post a Comment