Usai menziarahi maqam Hang Kasturi, kami kembali ke tempat parkir kereta. Pakcik yang saya bertanyakan arah lokasi maqam tadi masih berada di pintu masjid. Saya kembali merapatinya. Kali ini ringan pula mulut saya bertanyakan lokasi Kampung Ketek. "Dekat je dik. Depan tu je haa. Nampak tak orang jual air depan tu", kata pakcik yang saya terlupa bertanyakan namanya. "Jalan straight ni ke?" Saya mendapatkan kepastian. "Mari sini ikut pakcik." Kami menurutinya. Rupanya dekat saja dengan Masjid Kampung Kling. Lebih dekat dari maqam Hang Kasturi. Dari Masjid Kampung Kling, kami hanya perlu berjalan tegak sahaja sehinga sampai ke sebuah rumah yang bertentangan dengan tokong Cina. Situlah letaknya Kampung Ketek. Apa istimewanya Kampung Ketek ini? Sebenarnya, disinilah letaknya maqam seorang ulama besar abad ke-17 yang berasal dari Aceh iaitu Syeikh Shamsuddin as-Sumatra'i. Beliau banyak menghasilkan karya-karya yang berasaskan tasawwuf. Salah satu karyanya bertajuk Syarah Ruba'i Hamzah Fansuri. Karyanya ini pernah diterbit semula oleh Dewan Bahasa Pustaka pada tahun 1976. Syeikh Syamsuddin turut mensyarah sebuah syair Hamzah Fansuri yang berjudul Sya'ir Ikan Tongkol. Malah nama laman blog ini juga diinspirasikan dari sya'ir tersebut. Selain maqam Syeikh Syamsuddin, Kampung Ketek juga turut menempatkan rumah Munsyi Abdullah dan rumah lama Melaka yang berusia ratusan tahun.
Maqam Syeikh Shamsuddin as-Sumatra'i yang terletak di Kampung Ketek, tidak jauh dari Masjid Kampung Kling
Kata tuan penjaga maqam, pokok mata kucing yang terletak betul-betul di pintu masuk maqam Syeikh Shamsuddin ini telah berusia puluhan tahun dan masih berbuah
Replika rumah Melaka di Kampung Ketek
Batu tanda Kampung Ketek
Laluan dari Kampung Ketek menghala ke Masjid Kampung Kling
No comments:
Post a Comment