Monday, May 31, 2010

Syeikhuna Sidi Yusuf Bakhur al-Hasani

Dua minggu lepas saya ke Dar al-Maliki untuk menghadiri majlis ilmu Syeikhuna Sidi Yusuf Bakhur al-Hasani. Sebelum beliau memulakan majlis, tuan guru yang mulia Syeikh Fuad al-Maliki terlebih dahulu mensyarahkan kitab Kanzul Minan. Syeikh As-Syarif al Imam Yusuf Muhyiddin Riq El-Bakhur Al-Hasani berketurunan Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husein r.a. yang merupakan kedua-dua cucu kesayangan Rasulullah s.a.w. Syeikhuna Sidi Yusuf dilahirkan di Aka, Lubnan pada tahun 1948. Kini, beliau tinggal di Lubnan dan Kanada. Pada peringkat awal, Syeikhuna Sidi Yusuf menuntut di Lubnan. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajiannya di Institut Fiqh (Islamic Study) pada tahun 1974 dalam bidang Ijazah Sarjana Muda. Beliau juga turut mengambil pengajian Sarjana Muda di Al-Azhar dan tamat pada tahun yang sama, dalam bidang Al-Syariah wa Al-Qonun. Beliau melanjutkan Ijazah Sarjana di Al-Azhar dalam bidang Al-Syariah wa Al-Qonun dan tamat pada tahun 1989. Dua tahun kemudian, beliau telah dianugerahkan ijazah Kedoktoran (Ph.D) Kehormat daripada Universiti Islam Lubnan. Syeikhuna Sidi Yusuf mengambil tarbiah sufiyah secara khusus dari As-Syeikh Al-Mursyid Sidi Abdul Qadir Isa r.a. yang merupakan mursyid bagi Tarikat As-Syazuliyah Ad-Darqowiyah. Sidi Syeikh Abdul Qadir Isa r.a. kemudiannya memberi izin wirid 'am dan khas tarikat As-Syazuliyah dan izin irsyad dan tarbiah kepadanya. Syeikhuna Sidi Yusuf merupakan khalifah Syeikh Abdul Qadir Isa r.a. yang termuda dari kalangan keempat-empat khalifah beliau. Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani pernah dibawa oleh Syeikh Abdul Qadir Isa r.a. untuk bertemu dengan guru beliau sendiri iaitu Syeikh Muhammad Al-Hasyimi. Syeikh Muhammad Al-Hasyimi turut memberi izin wirid am dan khas tarikat As-Syazuliyah kepada Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani, Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mendampingi gurunya, Syeikh Abdul Qadir Isa sehinggalah ke hujung hayat Syeikh Abdul Qadir Isa r.a.. Setelah kewafatan Syeikh Abdul Qadir Isa r.a., Syeikhuna Sidi Yusuf mencari mursyid lain sebagai tabarruk kerana merasakan dirinya masih lagi memerlukan tarbiah dari seorang mursyid, walaupun pada ketika itu, beliau sudahpun mendapat izin sebagai seorang mursyid. Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mengambil bai'ah tabarruk dari Syeikh Sa'duddin Murod, yang merupakan khalifah utama Sheikh Abdul Qadir Isa r.a.. Syeikh Sa'duddin Murod turut memberikan izin tarbiah khalwah dan izin wirid am dan khas tarikat As-Syazuliyah kepada Syeikh Yusuf. Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani turut menemui Syeikh Al-Habib Abdul Qadir As-Saggaf untuk mengambil bai'ah tarikat daripada beliau seterusnya menjadi murid beliau. Syeikh Abdul Qadir As-Saggaf kemudiannya memberi izin irsyad tarikat As-Syazuliyah kepada Syeikhuna Sidi Yusuf al-Hasani setelah melihat keahlian yang dimiliki oleh Sheikhuna Sidi Yusuf. Di samping itu juga, Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mengambil bai'ah tarikat daripada beberapa mursyid tarikat berlainan serta menerima izin irsyad dari mursyid-mursyid tarikat tersebut seperti Syeikh Soleh Farfur (tarikat As-Syazuliyah juga), Syeikh Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi Al-Maliki (tarikat Alawiyah), Syeikh Uthman Sirajuddin An-Naqsyabandi (tarikat An-Naqsyabandiyah), Syeikh Muhammad Na'im Al-Jailani Al-Asyarafi (tarikat Al-Qadiriyah) dan Syeikh Muhammad Zaki Ad-Din Ibrahim (tarikat Asyirah Muhammadyah). Syeikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani juga meriwayatkan hadith-hadith musalsal dan sanad-sanad hadith dan ilmu agama secara umum dari Syeikh Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki r.a. dan Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim. Syeikhuna Sidi Yusuf pada ketika ini memegang beberapa jawatan seperti Pengarah Yayasan Islam Kanada, di Hamilton, Kanada bermula dari tahun 1981 sehingga hari ini, Pensyarah di Universiti Islam Lubnan, Ahli JawatanKuasa Majlis Fatwa Lubnan dan Anggota Majlis Ulama' di Syria. Beliau adalah seorang pendakwah peringkat antarabangsa (Syam, Kanada, Mesir, Jepun dan AsiaTenggara) dan merupakan Mursyid atau Syeikh Tarikat Al-Asyirah Al-Muhammadiyah di Hamiton, Kanada. Beliau adalah Murobbi Tasawwuf khususnya dalam Tarikat Syazuliyah, Qadiriyah, Naqsyabandiyah, Darqowiyah, Alawiyah dan sebagainya. Beliau turut menjadi Pengasas Dar El-Hasani Center, iaitu tempat perhimpunan anak-anak murid beliau di Mesir, Penasihat Kehormat Institut Pengajian Ar-Razi, Pulau Pinang, Malaysia dan Penaung dan Penasihat kepada Markaz Darul Hasani Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.
*Biografi Syeikhuna Sidi Yusuf al-Hasani diolah dari sumbernya di sini


Syeikhuna Sidi Yusuf bersama-sama dengan Tuan Guru Yang Mulia Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

Syeikhuna Sidi Yusuf sedang menyampaikan syarahan

No comments:

Post a Comment