Wednesday, May 19, 2010

Nanas

Ayahanda mertua saya seorang yang amat gemar bercucuk-tanam. Boleh dikatakan pantang ada kawasan kosong sikit, pasti akan ditanamnya samada dengan pokok buah atau apa-apa jenis pokok kampung yang boleh dimakan seperti ulam dan sebagainya. Menariknya, kebanyakan pokok yang ditanam oleh ayah ‘menjadi’. Pokok buah seperti dokong, rambutan gading, mempelam, manggis, buah naga, nanas dan macam-macam lagi 'menjadi' belaka hasil usaha tulang empat kerat ayah. Ramai yang minat dengan nanas ayah. Malah nanas ayah juga turut menjadi tumpuan pencuri. Kalau rumah ditinggal dua tiga hari semasa musim pokok berbuah maka putih mata la jawabnye kerana buah dikebas orang. Nanas ayah sangat special. Ayah menanam pelbagai spesis nanas tetapi tidaklah saya pasti samada ianya dari jenis morris atau nanas Sarawak seperti yang terdapat di pasar-pasar besar seperti Tesco atau Mydin. Ada yang jenis daunnya berduri dan ada yang tidak. Buah yang terhasil juga bermacam jenis, ada yang besar dan ada yang kecil. Namun kesemuanya mempunyai satu persamaan iaitu SANGAT MANIS. Selain manis, nanas yang ditanam ayah juga tidak meninggalkan kesan ‘gatal’ atau ‘kesat’ pada lidah dan lelangit mulut setelah memakannya. Inilah kelebihan nanas yang ditanam ayah. Apabila saya kaji dan teliti balik, ada dua perkara yang menyebabkan nanas ayah ini menjadi sangat manis dan mempunyai keistimewaan sebegitu rupa. Pertama, ayah tidak kedekut menyiram pokok. Setiap hari, sekurang-kurangnya dua kali sehari ayah pasti akan menyiram pokok-pokoknya iaitu di sebelah pagi dan petang. Kedua, ayah sentiasa membaja pokok-pokoknya. Pokok-pokok yang ditanam tidak dibiar begitu sahaja. Beliau sentiasa melihat perkembangan pokok-pokoknya dan memastikan pokok-pokoknya sentiasa sihat. Apapun, kata kuncinya ialah disiplin. Bercucuk-tanam ni memerlukan disiplin yang tinggi. Tanpa disiplin, tanam apa pun tak menjadi.


Buah nanas dari pokok yang ditanam ayah

No comments:

Post a Comment