Tuesday, September 14, 2010

2 Syawal 1431

Seorang lagi sahabat lama saya, Zein datang ke rumah. Beliau juga datang bersama dengan keluarganya. Kalau tak silap saya, pakaian mereka merah sedondon. Persahabatan kami agak unik kerana kami menyambung tradisi persahabatan ayahanda saya dengan ayahandanya. Begini, ayahanda saya dan ayahanda Zein adalah sahabat baik ketika mereka bersekolah di sebuah sekolah asrama penuh sekitar tahun 1960-an. Sementara saya dan Zein pula bersahabat baik ketika kami sama-sama bersekolah di sebuah sekolah asrama penuh di utara semenanjung pada tahun 1990-an. "Mika nak ke mane lepaih ni?" Tanya saya kepada Zein dalam loghat Perak. "Teman lepaih ni nak balik Kuantan", Balas Zein juga dalam loghat Perak. Laluan yang dipilihnya untuk sampai ke Kuantan ialah melalui Rasa, kemudian Kuala Kubu Baru dan naik ke Genting Sempah. Kata Zein, semasa dia berulang-alik dari Kuantan ke UPSI, Tanjung Malim, memang itulah laluan utamanya. "Ok jalan tu, kalo dari Kuantan ke UPSI tu lebih kurang sejam je teman lalu", kata Zein senyum lebar. Tapi kereta mesti dalam keadaan baik terutamanya bahagian brek, kata Zein lagi.
Di sebelah petang, saudara-mara dari Kuala Kangsar pula datang ke rumah. Salah seorang darinya ialah sepupu saya yang tinggal di Bukit Katil, Melaka. Dia juga berhajat nak balik ke kampung sebelah isterinya di Kuala Lipis beberapa hari lagi. Laluan yang diambilnya ialah laluan Simpang Pulai.

No comments:

Post a Comment